Tuesday 16 February 2016

Kapcai Biru Kenari Kuning (Bab 4) ~ Fizziany

PAGI. HARI ini awal-awal lagi Tok Cah sudah berleter pada Alisya. Dia mahu Alisya duduk di rumah dan belajar memasak! Erhhh....rasa macam gatal satu kepala! Alisya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Alisya mendongak ke langit pagi. Jam sudah pukul 10 pagi. Pisau di tangan dipandang.
“Cepatlah...ambilkan tok 3 batang serai...” pinta Tok Cah dari dapur. Alisya pula masih tegak berdiri di muka pintu dapur.
Okay...” walaupun dia tidak tahu mana satu pokok serai...tapi rasanya dia masih kenal batang serai kerana pernah nampak gambar serai di dalam buku sekolah. Alisya menapak ke depan rumah yang menempatkan banyak pokok-pokok herba dan sayur. Sedang dia berkira-kira mencari pokok serai, deruman enjin motor mengalih perhatiannya. Pantas dipandang arah datangnya bunyi motorsikal itu.
Amir! Lelaki itu menghampiri rumah Tok Cah dengan motorsikalnya. Sebaik tiba  di depan pintu dapur, enjin motorsikalnya dimatikan. Amir angkat muka, memandang Alisya yang sedang tegak berdiri memandangnya. Mata mereka bertentangan.
“Tok Cah ada?” soal Amir. Nadanya serius. Langsung tidak mesra. Alisya angguk. Amir turun dari motor dan membuka bungkusan plastik dari bakul motorsikalnya. Menyedari yang dirinya diperhatikan dengan ralit oleh Alisya, Amir berhenti sejenak dari membuka bungkusan. Dipandangnya Alisya yang berdiri di depan tidak jauh darinya. Budak itu tegak sahaja macam patung. Tak ubah macam terkena renjatan elektrik.
“Buat apa?” soal Amir, sekadar mahu Alisya meneruskan kerjanya yang terhenti kerana kedatangannya. Alisya pantas menggeleng.
“Dah ada serainya, Alis?” laung Tok Cah tiba-tiba dari dalam. Alisya dan Amir sama-sama menghala pandang ke arah dapur. Tok Cah masih di dalam. Amir dan Alisya kemudian berpandangan.
“Ada..ada...” Alisya kelam kabut menyahut panggilan Tok Cah. Terkial-kial dia mencari pokok serai. Sebaik ternampak rimbunan daun hijau yang lurus panjang, segera dia meluru ke arah rimbunan pokok itu dan mencantas perdunya. Amir hanya memandang terpinga-pinga.
“Buat apa tu?” soal Amir. Bungkusan gula dikeluarkan dari bakul motorsikalnya. Alisya menjeling ke arah Amir.
“Ambil serailah...” jawab Alisya. Amir yang sedang menatang bungkusan gula tidak jadi masuk ke dalam dapur Tok Cah. Dia menapak, mendekati Alisya. Alisya makin pantas memotong perdu pokok hijau itu. Kini Amir betul-betul berdiri di belakang Alisya yang sedang bertinggung membelakangkannya. Amir memandang Alisya sambil menghela nafas berat.
“Itu pokok lalang...” kata Amir. Alisya terkedu. Dipandang pokok di depannya. Alisya mengerutkan dahinya. Adusss...salah pokok ke.....Alisya mengetap bibir, menahan malu. Namun wajahnya masih disorokkan dari penglihatan Amir.
Kedengaran derap tapak kaki Amir berjalan ke arah satu rimbunan pokok. Dengan hanya menggunakan tangan, dia mencabut beberapa batang serai dan dia menghampiri Alisya yang masih bertinggung menghadap pokok lalang.
“Ni serai...” hulur Amir. Alisya masih membatu. Amir letak saja serai itu di tepi Alisya, kemudian terus berjalan masuk ke rumah. Dia perlu menyerahkan gula dan sedikit barang dapur lain yang Tok Cah minta dia belikan tadi. Alisya mengetap bibir. Hisshhhhh...



INI  tidak boleh jadi!!!Sejak peristiwa pagi tadi, Alisya memang tidak betah duduk diam. Dia tidak boleh membiarkan lelaki bernama Amir itu menganggapnya bodoh! Mana boleh macam tu! Setiap kali peperiksaan, dia selalu berada di dalam tangga 5 teratas di dalam kelas. Dia tidak bodoh! Ah, dia mesti cari akal. Dia mesti tunjukkan pada lelaki itu yang dia tidak bodoh!
Alisya bingkas bangun dari katil. Bantal peluk dicampak ke tepi. Dia memandang cermin sambil menyikat-nyikat rambutnya. Wajahnya ditelek sedikit. Ah..nampak macam berminyak pula. Bedak talkum badan yang ada di atas meja solek diambil, dibuka  dan dituang ke tapak tangan. Dengan kadar segera, dia menyapu ke mukanya dan meratakannya. Biar berseri sikit!
Toleh kiri, kanan..ah...dah berseri! Tak perlu pakai lipstick! Bibirnya memang sudah semulajadi merah. Alisya segera keluar dari bilik. Dia mencari Tok Cah di dapur. Tapi tiada. Kemudian dia ke anjung rumah. Tok Cah juga tiada di situ. Kemana pula perginya Tok Cah? Tak apa...balik nanti, dia akan beritahu Tok Cah.
Terus Alisya turun ke tanah selepas menutup pintu rumah. Dia menyarung seliparnya dan berjalan menuju ke belakang rumah. Pagar buluh dilewatinya dan dia terus menuju ke kebun pisang. Bayang lelaki bernama Amir itu dicarinya. Tempat pertama ditujunya tentulah ke arah perigi tempohari.
Sebaik sampai di perigi, Amir tiada di situ. Alisya mundar mandir di sekitar kawasan itu, masih mencari bayang Amir. Daun-daun pisang yang menghalang pandangannya, di tepis perlahan. Dari jauh, Alisya nampak asap berkepul naik ke udara. Tanda, ada orang sedang membakar sesuatu. Pasti Amir ada di situ. Pantas Alisya menapak ke arah kepulan asap.
Benar. Amir dilihat sedang membakar daun-daun pisang kering. Sebaik terdengar derap tapak kaki yang menghampirinya, Amir menoleh. Alisya dan Amir saling berpandangan sejenak. Amir kemudian menyambung kembali kerjanya tanpa menghiraukan kehadiran Alisya.
Melihat dinginnya layanan Amir padanya, membuatkan Alisya sedikit marah. Dia menarik nafas panjang, kemudian dengan berani, Alisya menghampiri Amir. Terus Alisya duduk di atas  timbunan batang pisang di depan Amir. Dengan berani, Alisya pandang Amir.
“Pagi tadi, saya sebenarnya memang tengah cantas perdu lalang. Tiba-tiba Tok minta serai pulak...” kata Alisya memecah kebisuan antara mereka. Amir memandang Alisya.
“Okay..” jawab Amir pendek. Alisya menarik nafas resah. Dia turut sama memandang api yang sedang membakar daun-daun pisang di depan mereka. Alisya tidak tahu hendak berbual apa lagi. Dia mati akal. Takkan terus nak balik? Nanti nampak sangat yang dia cuma datang untuk beritahu hal ‘serai yang salah’ tu. Alisya  mengutis kukunya keresahan.
Melihat Amir yang turut diam, Alisya tarik nafas berat. Dia terus angkat punggung dan melangkah kaki hendak meninggalkan tempat itu. Entah dari mana, tiba-tiba seekor ular yang berwarna hijau jatuh dari daun pisang berdekatan dan Alisya pula terpijak ular itu.
“Arrghhh!!!!” melompat sakan Alisya berteriak bila dia terasa sakit bagai dicucuk jarum di hujung buku lalinya. Ular itu pula kelam kabut menyusup lari di celah-celah batas pisang. Amir yang turut terkejut dengan situasi itu meluru ke arah Alisya. Panik dia seketika mendengar jeritan kuat Alisya.
“Adoii....” Alisya jatuh terduduk sambil memeriksa buku lalinya. Terasa ngilu buku lalinya. Amir mendekati Alisya lalu duduk di hujung kakinya, turut sama melihat buku lali Alisya. Cemas wajahnya memandang wajah Alisya yang sedang berkerut.
“Aduhh..sakitlah!..” Alisya membelek buku lali. Terdapat 2 kesan titik merah di buku lalinya.Sebetulnya, sakitnya tidaklah teruk sangat, rasa macam kena cucuk jarum je. Tapi, dia benar-benar terkejut bila terpijak ular itu.
“Ni kena gigit ular kan...ala...saya akan mati ke ni...” teriak Alisya risau. Dia sudah mula menangis tanpa airmata. Bingit telinga Amir mendengar. Amir memandang Alisya.
“Gosok-gosok sikit tempat gigit tu. Balik nanti, sapu minyak panas..” kata Amir.
“Aduh...ni nak kena pergi hospital ke ni...kena gigit ular ni...” teriak Alisya lagi. Dia sangat risau. Selalunya, dia mendengar cerita, seseorang itu akan mati atau lumpuh selepas digigit ular. Amir tersengih lucu.
“Itu ular lidi sajalah. Tak ada apa...Siapa suruh pijak dia...” kata Amir lalu bangun dan duduk semula di tunggul kayu, tempatnya sebelum ini.
“Eh..saya bukannya sengaja nak pijak dia! Dia yang tiba-tiba jatuh dari daun pisang tu...” tanpa sedar Alisya bangun sambil menggosok-gosok buku lalinya. Geram dia dengan sikap Amir yang bersahaja.
“Itulah. Berjalan lagi! Tok Cah dah pesan, jangan merayau dalam kampung ni...” kali ini Amir ketawa pula. Lucu agaknya cerita Alisya padanya. Mata Alisya membuntang.
“Eh...mana awak tahu Tok Cah tak bagi saya berjalan kat kampung ni?” soal Alisya curiga. Kali ini, dia sudah duduk kembali di timbunan batang pisang. Amir di depan dipandang jengkel.
“Tok Cah tu...dah macam nenek saya sendiri. Dari saya kecil, sampai sekarang, semua benda pun, dia cerita dengan saya...termasuk cerita pasal awak...” kata Amir bersahaja. Dia mengukir senyum. Barulah nampak lesung pipit di kedua belah pipinya. Alisya terpana seketika. Lelaki ni ada lesung pipit? Aduh...aku pun tak ada!
“Apa yang Tok Cah beritahu awak pasal saya?” soal Alisya geram. Amir senyum lagi. Api yang hampir padam, dikirai-kiraikan oleh Amir. Dia berniat hendak memadamkan api itu.
“Awak cucu dia kan...?” soal Amir tiba-tiba sambil memandang tajam ke mata Alisya. Terkial-kial, Alisya angguk.
“Itu sajalah yang dia beritahu saya...” kata Amir lagi. Dia bangun, berlalu dari situ menuju ke perigi. Alisya pantas bangun, mengekori langkah Amir.
“Ye ke itu aje?” soal Alisya tidak puas hati. Amir di depannya tiba-tiba berhenti berjalan dan menoleh ke belakang. Hampir-hampir Alisya berlanggar dengannya kerana Amir berhenti secara tiba-tiba.
“Awak harap Tok Cah cerita lebih dari itu ke pada saya?” soal Amir tegas. Alisya terdiam. Amir dan Alisya saling berpandangan. Amir meneliti raut wajah gadis di depannya. Dia menelan air liur pekat.
“Pergi balik. Sapu minyak ubat kat kaki...jangan biar lama-lama...” arah Amir. Alisya terkedu. Amir tidak jadi hendak pergi ke perigi, sebaliknya menapak kaki menghala jalan pulang ke rumahnya yang terletak di hujung kebun. Alisya termangu sendirian memandang pemergian Amir.



PULANG dari surau, Amir melewati rumah Tok Cah. Kelihatan gadis itu sedang duduk di serambi rumah mengira bintang seperti selalu. Amir menguntum senyum. Rumahnya sudah dihampiri. Sebaik enjin motorsikal dimatikan, dia mengunci motorsikalnya. Amir membasuh kaki di paip depan tangga rumahnya lalu naik ke rumah.
Lampu dipasang dan dia memasang televisyen 14 incinya. Drama swasta sedang bersiaran di kaca televisyen. Amir hanya memandang dengan pandangan kosong. Fikirannya masih mengingati peristiwa petang tadi di kebun pisang.
Dia tahu, gadis itu mahu berkawan dengannya. Bukan kerana dia kelihatan baik sebagai seorang kawan, tapi kerana gadis itu tidak diberi pilihan untuk mencari kawan. Tok Cah ada bercerita padanya tentang sikap gadis itu yang terlalu suka berkawan di bandar sehingga ibubapanya menghantarnya ke kampung ini untuk mengawal sikap bebas gadis itu. Tapi, gadis semuda itu, memanglah asyik fikir nak seronok saja. Apa tidaknya, sejak kecil tidak pernah merasa susah, jadi bila sudah besar, mana mungkin dia  dapat memahami satu perkara dari sudut yang berbeza?
Amir menghela nafas berat. Teringat kaki gadis itu yang dipatuk ular lidi. Nasib baik ular lidi. Kalau ular tedung atau ular kapak..mahu dia tercabut jantung juga tadi. Sungguh, waktu gadis itu menjerit tadi, dia terasa bagai putus nyawa. Terkejut dengan reaksi spontan gadis itu yang sangat takut.

Amir menguntum senyum dalam diam. Kasihan juga budak tu. Tak ada kawan. Tak salah juga kalau layan dia. Lagipun, Tok Cah sudah berpesan padanya agar turut sama memerhatikan gadis itu di sini. Tak apalah...Amir menghela nafas berat. Matanya mengantuk. Lantas televisyen ditutup dan dia terus masuk ke bilik. Esok pagi, dia perlu ke sawah Pak Din untuk menabur baja padi.

No comments:

Post a Comment