“AKAK nak buat pembentangan
pakai kertas mahjong ke?”
Nana sengih pada adik juruwang yang menghulurkan wang baki kepadanya.
“Setahu saya, zaman sekarang ni orang buat pembentangan pakai powerpoint. Tak main dah kad manila,
kertas mahjong ni.”
“Taklah dik.”
“Ada kem motivasi ya? Biasanya penganjur kem pun kadang-kadang pakai kertas
mahjong untuk program mereka.”
Nana geleng lagi sambil tangannya memasukkan duit baki ke dalam dompet.
Ramah pulak adik juruwang ni. Kalau
ikut hati, nak aje dia jawab ‘Adik banyak tanya sangatlah adik... tak larat
akak nak jawab’. Tapi... tak sampai hatilah pula.
“Terima kasih.”
Nana mencapai kertas mahjong yang
sudah digulung sekali. Setelah adik juruwang membalas dengan ‘sama-sama’, dia
melangkah laju keluar daripada kedai alat tulis itu. Takut adik tu tanya dia
soalan banyak-banyak lagi. Karang, adik tu tanya soalan sama banyak dengan
kertas mahjong yang dia beli...
maknanya dia kena jawab 250 soalan la.
Haih... tak kuasa eh!
“NANA! Bangun! Dah solat isyak ke
belum ni?”
Nana bangun menggosok mata berkali-kali. Suara Mami menggegarkan gegendang
telinganya. Tubuh Mami nampak macam ada dua, tiga, empat. Dia menggosok mata,
terkedip-kedip sampailah Mami jadi satu semula.
“Kenapa kertas bersepah ni Nana?” soal Mami sekali lagi bila soalan
pertamanya belum dijawab.
Nana meraup muka. “Nana tertidur la tadi lepas solat maghrib.” Mata singgah
pada jam digital yang terletak elok atas meja. Eh... dah pukul 11 malam? Rasa
macam lelap sekejap aje.
“Mami nak simpan lauk dalam peti. Tapi, tadi Mami tengok lauk tak luak pun.
Nana tak makan lagi ke?”
Geleng.
“Nak makan tak ni?”
“Tak naklah. Tak elok makan tengah malam ni kan?” Dia menggeliat malas.
“Nanti Nana nak solat isyak, lepas tu sambung tidur.”
Kerutan di dahi Mami bertambah beberapa lapis. “Dah tu kertas-kertas ni
bila nak kemas?”
“Lepas subuhlah Nana kemas. Boleh kan?” soalnya dengan mata terbuka
separuh.
Mami menggeleng kepala. “Mami nak tidur dulu. Ikut suka Nanalah nak tidur
atas kertas-kertas tu ke atas tilam.”
Nana ketawa kecil. Mata mengekori satu demi satu langkah Mami sampailah
pintu biliknya ditutup rapat oleh Mami.
Pandangan dialih pada kiri kanan tilam yang dia duduk sekarang. Nanti dia
tolak semua kertas tu ke atas lantailah.
Habis dah renyuk sebab dia tertidur atas kertas-kertas tu. Malam ni, dia
nak juga gunting kertas-kertas tu sampai dapat lima puluh helai baju kurung
pesak saiz kanak-kanak. Sebab kalau dia nak buat saiz dewasa, banyaklah pula
kertas mahjong yang perlu dibeli.
Bankraplah Nana. Mana ada orang beberapa hari kerja terus dapat gaji kan? Dia
nak buat banyak-banyak gitu, biar nanti bila dia gunting kain tak tersalah
langsung! Bakat tu kan kena asah. Malam ni dia nak ‘menajamkan’ bakat la ni.
“HELO...”
Jeda.
“Helo, Isabel...”
“Ya...” Di hujung corong telefon sana, dengan suara yang dipaksa keluar
juga dari celah tekak dia menjawab. Mata masih terpejam rapat.
“You nak ikut I pergi dinner
syarikat abah tak Sabtu tiga minggu lagi.” Tenang dia menutur. Sengaja dia beritahu tiga minggu awal, atas permintaan
Isabel juga. Katanya, kalau nak ajak dia pergi dinner mana-mana Syahmin kena buat ‘temu janji’ paling kurang dua
minggu awal. Kalau tak... mungkin Isabel tak dapat nak susun jadual
betul-betul. Haih... sibuk benar
teman wanitanya itu. Rasanya... kerja dia sebagai pengarah urusan merangkap
pereka grafik Kalam Holdings lebih sibuk. Tapi sempat juga dia atur jadual
untuk jumpa insan tersayang.
“Tiga minggu lagi I kena pergi
Langkawi.”
“You tengah tidur ke ni?”
“Hmm...” Dia berdeham membetulkan
suara. “Baru tidur pukul 5 pagi tadi. Semalam ada pertunjukan la.”
Dan sekarang matahari dah tercacak atas kepala. Bayang-bayang pun memang
paling pendek sekarang ni. Haih...
Isabel... Isabel....
“Okey, sambunglah tidur. Bye.”
Klik. Talian diputuskan.
Kening yang rasa gatal digaru. Hmm...
macam manalah nanti kalau dia kahwin dengan Isabel. Terpaksa makan sarapan
sekali dengan makan tengah hari ke?
Satu keluhan terzahir dari hembusan nafasnya. Harapnya... sempatlah dia
‘didik’ Isabel dalam tempoh beberapa tahun ni, sebelum mereka mendirikan rumah
tangga yang belum ada tarikh dan tahunnya lagi.
“NANA dah sedia nak potong pakai
kain hari ni?”
Nana angguk walaupun dalam hati rasa cuak yang amat sangat. Dah tiga hari
dia duk mengasah bakat dengan menggunting kertas mahjong. Baju ‘kertas mahjong’
kat rumah tu dah ada sampai 150 helai. Percaya tak? Haa... jangan main dengan Nana. Alang-alang menyeluk pekasam, biar
sampai ke pangkal lengan. Alang-alang nak asah bakat, biar sampai habis kertas mahjong bergulung-gulung. Cuma setakat
Nana tak gunting kain lagilah. Kak Zatil suruh aje dia cuba, tapi dia saja yang
pengecut amat. Dah seminggu kerja ni, dia hanya tolong Kak Zatil jelujur kain
sebelum dijahit mesin aje. Kalau suruh Nana jelujur kain, memang boleh kira
‘pakar’ dahlah Nana ni.
Chewah! Perasan betul!
Menurut Kak Zatil kain tu sebenarnya kita boleh gunting sambil tidur.
Dengan maksud lain, senang sangat. Heh, Kak Zatil memang suka hiperbola sikit.
Tak usah percaya sangat dia tu. Isy... mengutuk bos sendiri eh Nana!
“Okey. Pertama sekali, Nana kena tengok kainnya bidang berapa, berapa
meter. Macam kain ni, kain biasa aje.” Kak Zatil mencapai gumpalan kain yang
ada di hadapan Nana.
“Biasa tu macam mana?” Kain digesel antara jemari tangan.
“Biasa tu maksudnya... kain bukan jenis licin macam satin atau sutera.
Kalau kain jenis macam tu leceh sikit. Kena berhati-hati nak potong. Nanti
tersalah potong, terus tak jadi baju.” Tawa kecil Kak Zatil meletus, disambung
dengan ketawa Nana yang sumbang sebab dia sebenarnya pantang dengan perkataan
‘tersalah’ tu.
Dia takut terkena sumpahan ‘tersalah’ tu pula nanti.
“Kalau kain yang jenis sifon, pun kena berhati-hati juga terutama bila nak
potong kain lining dia. Kalau
tersalah potong terkecil ke terbesar ke makin cerewetlah kita nak tangkupkan
sekali dua kain tu bila jahit.”
Haih... macam-macam pula. Jadi meremang bulu roma Nana bila banyak sangat
perkataan ‘tersalah’ yang dia dengar.
“Lepas tu, Nana ke tengok juga... kainnya jenis berkaki atau ada corak
tertentu.”
“Pulak dah.” Nana dah rasa macam
nak menangis. “Banyaknya nak kena tengok...”
Kak Zatil hanya tersenyum. “Tak apa Nana... semua orang pun mula daripada
tak tahu. Ni nak beritahu Nana lah. Nanti Nana dah pandai... bagi kain apa pun,
tutup mata pun Nana boleh potong dengan cantik.”
Nana mengherotkan bibir. “Ya, ya aje kakak ni. Bila entah Nana nak pandai
tu.”
“Kalau berdasarkan firasat Kak Zatil...” Kak Zatil mengurut dagunya, macam
ada janggut aje gaya dia. “Nana akan jadi pakar bab gunting menggunting kain
yang cerewet dan susah-susah tu dalam dua minggu maksimum.”
“Hesy! Macamlah Nana nak percaya firasat kakak tu!”
Zatil ketawa besar tengok muka Nana yang tak puas hati tu.
AYA mencapai bijirin
Honeystars dalam mangkuk. Disuapkan ke mulut. Berkeriuk sekali bunyinya.
Berlawan dengan bunyi TV yang sedang menayangkan drama Inggeris Forrest Gump di
hujung minggu.
“Bila nak matang sikit ni Aya? Macam budak kecil aje duk makan benda tu.”
Syahmin merengus kasar melihat adik perempuan tunggalnya itu yang duduk
bersimpuh atas sofa dengan mangkuk di pelukan.
“Min tahu tak tema makan malam nanti tema macam hari raya?”
Syahmin memandang mamanya lama. “Maksudnya kena pakai baju Melayu?”
Datin Mah angguk.
“Mama dah ada baju baru ke?”
Sekali lagi dia mengangguk pada soalan anaknya itu. “Mama baru tempah hari
tu. Kebaya.”
Matanya kembali fokus pada drama di kaca TV.
“Belikanlah baju untuk Isabel. Cari yang dah siap pun senang kalau saiz
Isabel tu...” Datin Mah memandang wajah anaknya yang kelihatan dari sisi.
Syahmin mencebikkan bibir. “Dia bukan boleh pergi pun. Nak pergi Langkawi
katanya.”
Datin Mah mengeluh perlahan. Perlahan... namun cukup untuk ditangkap oleh
telinga Syahmin. Syahmin berpaling sekilas, kemudian kembali kepada Tom Hanks
dalam TV.
“Isabel beritahu mama, Min berkira sangat. Kalau Min belikan hadiah sekali-sekala
untuk dia kan bagus. Kesian dia. Rasanya kalau Min belikan baju untuk dia pergi
makan malam kali ni, mesti dia boleh ubah fikiran.”
Ah sudah.... mama sudah mula dengan ceramah percumanya.
“Entah Abang Min ni!” Aya menyambung pula dengan mulut penuh. Menambahkan
lagi perisa pada ayat mami yang sudah cukup pedas di telinganya.
“Tak payahlah. Bukan dia nak pergi pun.” Jawabnya pendek. Nanti kalau dia
jawab lagi panjang, lagi berjelalah ayat mama yang terpaksa ditadah.
“Mama malaslah nak bercakap dengan Min ni. Kita nak ajar dia cara pikat
hati perempuan, dia buat tak tahu macam tu. Ikut suka kamulah Syahmin!” Datin
Mah merengus geram.
Syahmin buat muka selamba tak ada perasaan. Kalau dia cakap Isabel yang tak
nak pergi pun, nanti dia juga yang dihukum salah. Isabel juga yang menang.
Walaupun Isabel tu bukan anak mama, tapi... Isabel tu kan satu kaum dengan
mama; perempuan!
Dia dah belajar daripada abah, peraturan pertama bila mahu ‘bertempur’
dengan perempuan. Diam.
Peraturan kedua, diam.
Peraturan ketiga, juga diam.
Kalau tidak, lelaki yang ‘terkorban’ dalam perang mulut nanti atau terpaksa
angkat bendera putih.
No comments:
Post a Comment