“TIA…”
Tak layan. Anak matanya masih
pada buku. Tangan masih juga menulis. Telinga buat-buat tak dengar namanya
dipanggil. Diam, diam. Tengah fokus ni. Tak nampak ke?
“Tia…” Suara mengada. Sekali lagi
memanggil. Dan sekali lagi juga Tia buat-buat tak dengar atau lebih tepat
buat-buat pekak. Malas nak melayan. Apa jelah dia ni nak? Nak mintak pelempang
agaknya.
“Tia…” Kali ketiga. Tia mengeluh.
Pensel mekanikal ditangan diletakkan di atas buku dan terus kepalanya
dipusingkan memandang Sam yang sudah pun menongkat dagu memandang Tia dengan
senyum tersungging di bibir. Tia angkat kening dengan muka tak puas hati. Nak study la oi!
“Tak payahlah buat homework tu. Kat rumah kan boleh. Borak
dengan aku la.” Suara mengada lagi. Tia buat muka toya. Kadang-kadang aku jadi
musykil si Sam ni perempuan ke lelaki. Mengada mengalahkan perempuan. Nasib
baiklah Ash tak macam ni. Kalau tak memang selamat makan penyepak aku.
“Kau bosan sangat ke?” Tia
membalas dengan nada malas.
“Kalau tak bosan takdelah aku
ajak kau borak. Cukuplah aku ada kawan ulat buku kat blok belah sana. Janganlah
kau pun nak jadi macam dia.” Rungut Sam dengan muka sedih. Tia geleng kepala.
Serius perangai mengalahkan perempuan. Atau lebih kepada kebudak-budakan? Ah,
tak kisahlah. Kombinasi pun boleh – perempuan dan kebudak-budakan.
“Kau nak borak apa je?”
“Apa yang kau nak dengar?”
Angkat bahu. “Entah. Apa-apa
jelah. Kau jugak yang ajak borak.”
Sam sengih. Dia pandang siling.
Berkerut-kerut dahinya memikir. Entah apa yang difikirkan Tia pun tak tau.
Tengah fikir nak borak pasal apalah kot. Tapi, perlu ke muka tu sampai macam tu
sekali? Amatlah buruk, okay!
“Aku cerita pasal sekolah ni
dulu.”
“Okay, aku dengar.” Buku yang
terbuka di atas meja ditutup dan ditolak ke tepi. Tia tongkat dagu dengan
tangan kiri memandang Sam. Sam berdehem.
“Sekolah ni dulu sekolah lelaki
kalau kau tak tau la. Baru je tahun lepas ke dua tahun lepas jadi sekolah
campur. So, kalau kau ternampak ada aksi-aksi ganas terlampau tu kau
faham-fahamlah. Benda normallah kat sini. Kalau takut, aku ada.” Terang Sam
panjang lebar.
Tia mencebik. Nak harapkan dia
ni? Entah selamat ke tak aku nanti. Silap haribulan dia kena rembat, aku pun
kena rembat sama. Sam yang perasan akan reaksi Tia hanya gelak.
“Kat sekolah ni kalau kau nak tau
ketua buat segala masalah si Rex tu. Kau nampak je dia macam tu, tapi
sebenarnya bab buat jahat kau kasi dia. Champion!”
Sambung Sam lagi. Sengih.
Terus bulat mata Tia mendengarkan
nama Rex. Sam senyum penuh makna dengan reaksi yang seperti sudah diduga
olehnya. Sam tarik sehelai kertas dari bawah meja. Pensel dicapai dan tangannya
terus mula melakar sesuatu di atas kertas tersebut. Tia hanya memandang tanpa
soal.
“Rex tu selalu keluar masuk bilik
guru disiplin dengan bilik kaunseling sampai dah tak larat nak kira. Aku pun
jadi rakan subahat.” Sam gelak dengan kata-katanya sendiri. Tia hanya
mendengar. Tak langsung memberi reaksi. Beku. Dia semacam terkedu. “Tapi, kau
tak payah risau. Rex okay. Kau tak cari pasal dengan dia, dia okay je.” Sambung
Sam lagi. Bersungguh.
Tia masih diam. Tak tahu nak bagi
respons macam mana. Sam pandang muka Tia yang tak beriak. Senyum masih bergayut
di bibirnya.
“Aku dengan Rex dah kawan dari
kecik.”
“Dari kecik?” Barulah Tia memberi
respons. Menyoal Sam.
Sam angguk kepala. “Dari kitorang
tadika. Sampai aku dah muak dengan dia.” Gurau Sam sambil ketawa. Muak? Tak
pernah ada istilah muak dalam hidupnya berkawan dengan Muhammad Redza, Rex tu.
Rex tulah teman ketawa, teman menangis, teman merungut, teman sepak-menyepak
tumbuk-menumbuk.
“Dia memang macam tu ke?”
Perlahan nada suara Tia menyoal. Dia bukannya berminat sangat dengan Rex tu
cuma dia nak tahu Rex tu macam mana. Sebab dia rasa Rex tu macam tak suka
dengannya. Macam dia cuba meletakkan jurang antara mereka. Macam nak bagi
amaran ‘jangan dekat atau mati’ macam tu. Scary
okay!
“Maksud kau?”
“Stiff macam konkrit gitu. Cakap pun beku je.”
Sam ketawa besar. Serentak satu
kelas yang sedang sibuk dengan aktiviti masing-masing berpusing memandang Sam.
Tia dah tunduk – malu. Tak sangka Sam akan ketawa kuat macam tu. Dia ni memang
tak tau istilah malu ke? Sam sengih.
“Depends. Kalau dah lama kenal dia okay je. Atau lebih tepat dia macam
tu dengan perempuan je. Rasanya. Tapi kau takkan percaya kalau kau tengok diri
dia yang sebenar-benarnya.” Sam pandang Tia dengan kening terangkat.
Tia diam.
Diri dia yang sebenar-benarnya? Rex yang dia nampak ni, bukan diri dia yang
sebenar ke? Then, Rex yang dia jumpa
dan nampak ni siapa? The other side of
him?
Tika itu juga Rex melangkah masuk
ke dalam kelas. Kelas yang tadinya hiruk-pikuk terus jadi senyap-sunyi sebaik
sahaja Rex masuk. Semua mata tertumpu padanya. Begitu juga Tia dan Sam. Macam ada
aura penarik pada lelaki tu.
Rex angkat
tangan. Mukanya tiada langsung segaris senyuman. Tangan menarik kerusi Azri dan
dipusingkan menghadap Sam. Punggung dilabuhkan. Tangan diletakkan di atas meja
dan kepala diletakkan di atas lengan itu. Dua saat lepas tu, kelas kembali
bising macam dalam pasar.
“Apasal kau?” Sam menegur.
Rex mengeluh. “Bosan. Diorang
semua study. Nak tidur pun tak feel.” Rungut Rex. Sam ketuk kepala Rex.
Rex menyeringai. Dah kenapa nak main ketuk-ketuk kepala pulak ni? Aku nak tidur
ni. Cubalah bagi peluang kepada aku yang mengantuk tahap dewa ni tidur.
“Budak kelas elit kan ulat buku.”
“Aku tak.” Laju Rex membalas
tanpa menunggu sesaat pun. Yang ulat buku tu diorang, bukan aku.
“Kau tu exceptional. Entah macam mana boleh tersesat masuk situ pun aku tak
tau.” Sam mengejek. Rex buat-buat tak dengar. Masih dengan posisi yang sama.
Tia dah membuka kembali buku yang tertutup tadi. Hanya ekor mata memerhati
mereka berdua.
“Eh, cikgu semua pergi mana eh?
Dah second period ni.” Rex bersuara
bertanya.
“Meeting kot. Aku bukan cikgu yang kau nak tanya.”
“Oh. Notes tu kau dah bagi kat budak tu?”
“Dah. Kemain bahagia muka budak
tu.”
Rex mengerutkan dahinya. Ni mesti
Sam ada cakap apa-apa kat budak tu. Rex mengeluh. “Kau cakap apa masa bagi?”
“Rex suruh study elok-elok.” Sam gelak tak ingat dunia. Rex terus tendang
kerusi Sam tanpa ragu-ragu. Sam masih ketawa.
“Bangang. Jangan cakap benda
bukan-bukanlah.” Rex mendengus kasar. Tak suka tau!
“Eh, kata-kata perangsang la.”
Rex dah malas nak layan.
Kepalanya masih lagi di atas lengannya. Aku nak tidur! Aku mengantuk. Tak ada
ke tempat yang seronok nak dibuat port tidur?
Semua port aku ponteng kelas untuk
tidur dah di ambush. Mana nak lepak
buat tahi mata ni?
“Nak tidur balik kelas la woi.”
Sam menolak lengan Rex. Rex langsung tak berganjak. Mengeraskan dirinya di atas
kerusi. Masih lagi dengan posisi yang sama.
“Tak nak!”
“Syuh. Aku nak berdua-duaan
dengan Tia. Dah lama aku menduda.” Sam menghalau Rex macam gaya menghalau ayam.
Tangannya masih berusaha menolak lengan dan kepala Rex.
Rex angkat kepala. Dia pandang
Sam dengan muka toya. Mengada sangatlah mamat ni kan? Rex pandang Tia yang
sedang menulis. Menulis apa dia tak tau. Nota mungkin? Mind map? Ke peta dunia? Entah.
“Study?” Rex menyoal. Langsung tak ada kata ganti nama diri. Soalan
yang macam terlalu general. Yang
kalau sesiapa dengar pun boleh jawab. Sam tepuk dahi. Tia alih pandang dari
muka surat di hadapan ke wajah Rex yang sedang memandang buku di atas mejanya.
Tia mengerutkan dahi. Dia tanya aku ke? Nak jawab ke biarkan je? Tapi, soalan
tu untuk aku ke?
“Err, haah.” Lambat-lambat Tia
membalas. Masih tak pasti sama ada soalan tadi ditujukan untuknya.
“Study apa?”
“Chemistry.”
Diam kembali. Rex masih lagi
memandang buku di atas meja. Tia mula jadi serba tak kena. Terasa macam
pandangan Rex mampu menembusi setiap inci dan ruang yang ada. Sam hanya menjadi
pemerhati langsung tak mencelah. Atau lebih tepat menjadi penganalisa. Menanti
apa lagi benda yang menarik bakal dilihat.
“Boleh jadi budak kelas elit.”
Laju ayat itu meluncur keluar dari mulut Rex. Tia dan Sam pandang Rex dengan
dahi berkerut. Apa?
“Weh, ulang balik.”
Rex yang seakan-akan baru
tersedar tayang muka blur. Apakah?
“Kau cakap apa?”
“Cakap apa?” Rex menyoal balik.
Aku tanya apa? Aku ada cakap apa-apa ke tadi? Sam pandang Rex. Lama. Rex
pandang Sam. Kening terangkat. Serius, aku cakap apa tadi? Aku ada cakap benda
yang aneh ke sampai diorang pandang aku pelik semacam?
“Kau cakap kat siapa tadi?”
“Aku cakap apa?”
“Kau cakap boleh jadi budak kelas
elit.”
“Oh.” Hanya itu hanya dibalas
Rex.
“Oh je?”
“Eh, apa salahnya. Kalau dia
rajin study boleh je apply masuk kelas elit kan?” Rex
membalas. Membela diri. Sam pandang Rex dengan muka tak puas hati. Rex
mengeluh. Lah, apa lagi yang tak puas hatinya? Betullah kan? Kalau dah Tia ni
minat sangat nak study, apply la
masuk kelas elit tu. Bolehlah aku masuk kelas biasa je. Bukannya ada niat
apa-apa pun. Takkanlah sebab aku cakap macam tu bagi maksud yang sangat besar
kot?
Tia kembali memandang bukunya.
Sam menyandarkan tubuhnya ke belakang. Rex garu kepala. Aku buat salah ke? Sam
tarik Rex rapat kepadanya. Bibirnya didekatkan ke telinga Rex.
“Kau nak cakap apa sebenarnya?”
Bisik Sam.
“Mana ada apa-apalah.” Rex
menjawab malas. Apa lagi yang dia ni tak puas hati? Rex menjarakkan dirinya
dari Sam. Dia turut sama bersandar ke belakang. Anak mata memandang Tia.
“Erm, apa-apa pun sorry sebab langgar hari tu.” Rex
memegang lehernya. Anak mata dilarikan ke arah lain. Memandang tiga orang
lelaki yang duduk berhampiran dengan tingkap. Dia tak biasa bercakap dengan
perempuan. Bila difikirkan balik perempuan yang jadi teman berboraknya hanyalah
Sarah. Itu pun sebab mereka duduk bersebelahan di dalam kelas. Kalau tak, jangan
harap.
Tia angguk. “Takpe.”
“Sorry.” Kata maaf dari Rex. Kali kedua.
Tia angguk lagi juga buat kali
kedua. Sam sengih. I sense something.
Kena siasat balik nanti.
REX memusing-musingkan pensel ditangannya ala-ala bilah helikopter.
Tumpuannya langsung tidak pada cikgu dan papan putih di hadapan. Dah lama
berlari-lari mencari seraut wajah yang dah terpahat di hati. Anak mata ditala
ke luar terus ke kelas Sam di blok sebelah sana. Dari situ dia dapat menangkap
sisi wajah Tia dan Sam tapi apa yang menjadi tumpuan matanya adalah Tia. Gadis
itu.
Gadis yang
dijumpai hampir setahun lalu. Gadis yang menghiasi frame gambar di atas mejanya. Gadis yang menjadi teman tidurnya
selama setahun lalu. Tak sangka mereka akan bertemu. Bertemu di sekolah itu.
Sekelas dengan Sam. Duduk bersebelahan Sam. Semuanya tak diduga. Dia langsung
tak menjangka.
Kali pertama dia bertemu Tia
adalah sewaktu dia dan Sam sedang lepak mencari ilham dengan gitar kapok
masing-masing di tepi tasik. Tempat yang menjadi tempat lepak mereka berdua.
Tempat yang tenang tanpa gangguan.
Dan di
situlah dia bertemu gadis itu. Tapi, Tia tak perasan akan dirinya yang
terselindung di sebalik pokok besar yang ada di tasik itu. Ketika itu dia
berlima. Tiga perempuan, dua lelaki. Ada seorang lelaki yang selalu ada di
sisinya. Waktu tu, dia mengandaikan lelaki itu mungkin teman lelaki Tia.
Mungkin. Tapi, seboleh mungkin dia menidakkan. Dia tak nak! Dia berharap sangat
tika itu Tia tak dimiliki sesiapa.
Dan entah kenapa, dia terasa
hendak menangkap gambar Tia. Dia mahukan gambar gadis itu. Dia sendiri pun tak
tahu kenapa. Terus tangannya menyeluk poket seluar yang dipakainya mengeluarkan
telefon bimbitnya dan sekelip mata gambar Tia sudah pun berada di dalam telefon
bimbitnya. Bukan satu tapi ada enam gambar semuanya. Dia tak sedar. Semuanya
berlaku di bawah kawalan. Aneh tapi itulah yang berlaku.
Tia Ameena. Itu nama dia rupanya.
Selama setahun dia memikirkan nama yang sesuai dengan gadis itu. Kalau
diikutkan dia taklah secantik mana. Serius, kalau nak dibandingkan dengan
perempuan-perempuan cantik yang bersepah kat luar tu, Tia boleh jatuh dalam
kategori biasa-biasa. Tapi, biasa-biasa itu ada sesuatu yang luar biasa. Luar
biasa yang tak tahu nak ditafsirkan macam mana.
“Rex…”
Rex masih memandang Tia.
“Rex…” Bahunya dicuit. Rex
tersentak. Dia berpaling ke kiri. Sarah memandangnya dengan dahi berlapis.
“Apasal kau?”
Geleng. “Takde apa-apa.”
“Okay.” Sarah kembali memandang
depan. Rex tarik nafas dalam-dalam. Kepalanya digaru-garu dengan hujung pensel.
Aku dah kenapa? Anak mata jatuh pada muka surat yang tak berganjak dari tadi
kemudian beralih pula pada buku tulis yang kosong tak bertulis apa-apa. Cikgu
kat depan dah beberapa kali padam tulisan di atas whiteboard, tulis benda baru. Rex pandang ke luar tingkap lagi. Tia
tengah berborak rancak dengan Sam. Rex tarik senyum segaris.
SEPERTI BIASA mereka akan menghabiskan masa mereka di tempat
letak basikal itu sebelum balik. Berbaring di atas motosikal masing-masing
sambil memandang bumbung yang dah kelihatn uzur. Entah zaman bila pihak sekolah
nak tukar bumbung baru pun tak tau. Nak kata sekolah miskin sangat, boleh je
nak buat karnival la pertandingan la apa la tu semua.
Rex keluarkan handphone dari dalam poket seluar. Sam
hanya memandang dengan ekor mata. Tika itu dia sedang membelek-belek nota yang
diberikan oleh Tia kepadanya. Dia pun tak tau kenapa Tia bagi nota tu padanya.
Hadiah? Suruh study agaknya.
Rex memandang lama skrin handphone. “Sam, kau percaya dengan
kebetulan?”
“Contoh?”
“Kau ada terjumpa sorang ni dah
lama dan kebetulan sekarang dia jiran kau.”
Sam pandang bumbung. “Takde
kebetulan dalam dunia. Semua dah tertulis.” Balas Sam. Yakin. Rex angguk. Betul
tu. Tak ada kebetulan dalam dunia ni. Semuanya dah tertulis. Kita je yang menganggap
setiap yang berlaku tu satu kebetulan. Kebetulan bertemu si A, kebetulan jatuh
suka kat si B dan banyak lagi kebetulan.
“Kenapa?”
“Terfikir.” Balas Rex. Mudah. Sam
diam. Turut sama berfikir.
“Kau nak cakap pasal Tia ke?”
Rex angkat kening. “Kenapa dengan
dia?”
Sam senyum nipis. “Dia ke
perempuan setahun lepas?” Sam serkap jarang. Hampir-hampir Rex jatuh dari
motosikalnya mendengarkan soalan Sam yang tepat mengena sasaran. Tak tersasar
sikit pun dari range. Rex hanya
angkat bahu. Tak mengulas apa-apa. Lebih senang membiarkan soalan Sam berlalu
dibawa angin petang.
“Sebab tu kau cakap muka dia familiar?”
“Hmm.”
“Sebab kau tenung gambar dia je
setahun ni.” Sam sambung lagi. Rex pandang muka Sam dengan riak penuh tanda
tanya. Sam geleng kepala. Dia tahu apa yang bermain di kepala Rex. Dia tahu apa
yang Rex nak tanya. “Aku perhatikan kau setahun ni, Rex.”
Rex senyum. Ye, dia tahu tu. Sam
memang selalu dengannya. Sam memang pemerhati yang bagus. Dia tahu apa yang
berlaku di sekelilingnya. Tak macam dirinya yang tak peduli langsung dengan
keadaan sekeliling. Seorang yang ignorant.
Apa yang dia kisahkan adalah dirinya, keluarganya dan kawan-kawannya. Selain
daripada itu, bukanlah dalam lingkungan. Dia bertuah sebab ada Sam. Sam yang
selalu mengingatkan, Sam yang selalu ada bila diperlukan.
“So?”
“Apanya?”
“Nak teruskan jadi pemerhati dari
jauh sedangkan dia dah dekat? Sedangkan dia bukan lagi bayangan kau macam
setahun lepas?” Sam menduga dengan soalan.
Rex menyebak
rambut ke belakang. Perlu ke untuk dia mendekati sedangkan Tia tak tau apa-apa
pun? Macam mana kalau dia dah berpunya? Macam mana kalau lelaki yang dia jumpa
setahun lepas dengan Tia tu someone
special? Macam mana kalau Tia tolak dia mentah-mentah? Macam mana nak recover lepas tu? Soalan yang sama
seperti soalan setahun yang lepas dan soalan itu bertambah dari hari ke hari.
Terlalu banyak persoalan yang mengasak.
“Biar jelah.” Rex membalas malas.
Dia dah malas nak terus menyeksa diri dan fikirannya. Dia terlalu penat dan
lelah. Hampir setahun dia diselubungi rasa yang tidak dapat ditafsirkan.
“Kau takut dia dah berpunya?”
Sekali lagi tekaan Sam mengena. Rex gelak. Sam ni memang boleh baca fikiran
orang lain ke hape? Rex terus-terusan
gelak. Tak tahu kenapa dia rasa kelakar dengan situasinya tika itu. Rasa pelik
bila berborak dengan Sam hati ke hati macam ni. Mana pernah diorang buat selama
ni. Oh, mungkin pernah. Lama dulu.
“Apasal gelak? Aku tanya ni.”
“Apa soalan kau?”
Sam mencebik. “Kau takut dia dah
berpunya ke?”
“Dia mungkin nampak biasa-biasa
tapi akan ada lelaki yang pandang dia dengan luar biasa. Tak mustahil kan?” Rex
senyum sambil mengangkat tangannya ke udara. Kelima-lima jarinya dikuak,
matanya memandang tangannya.
“Dan lelaki yang pandang dia
dengan luar biasa tu kau. Kan?”
Rex angkat bahu. Tak membalas.
Membiarkan Sam menjawab sendiri soalan yang diajukan. Dia tahu Sam ada
jawapannya. Saja nak suruh dia yang menjawab. Itu namanya mengada!
“Kau nak buat apa?”
“Buat apa? Buat tak tahu jelah.
Nak buat apa?”
“Berkawan. Get to know her.”
“Hmm.”
“Hmm je?”
“Lepas ni aku rajin datang kelas
kau okay?” Rex menjawab geram. Tak suka terus diasak begitu. Bukannya dia tak
pernah fikir setahun ni. Dia selalu memikirkan kebarangkalian untuk mereka
bertemu semula dan apa tindakannya.
Dia selalu
membayangkan Tia ada dengannya tapi bila dah depan mata macam ni nak buat apa?
Takkan nak terus terkam cakap ‘hai, saya suka awak dah setahun’ macam tu. Tak
terkejut pulak dia dengar. Mahu dia ingat aku ni stalker atau mungkin pervert.
“Kadang-kadang cakap dengan kau
boleh sakit otak.”
“Habis tu, cakap dengan kau tak
la?”
Diam. Hanya bunyi ‘cip cip’ dari
burung yang bertenggek di atas besi penyokong bumbung kedengaran. Sesekali
bunyi kereta dan motor yang lalu-lalang turut sama menjadi halwa telinga mereka
berdua.
“Sam.”
“Apa?”
“Budak yang jadi stalker kau tu apa cerita?”
“Apasal kau ingatkan pasal dia
weh? Aku dah lupa tau tak?” Sam meraup mukanya mendengar soalan Rex. Rex
sengih. Tadi bukan main seronok nak duga hati aku. Sampai bab dia kerja nak
mengelak je. Mana aci!
“Entah. Alang-alang dah cerita
hati ke hati ni bukak jelah semua
cerita. So?”
“Tak tau. Dia dah tak cari aku.”
“Langsung?”
“Hmm.” Balas Sam endah tak endah.
Dia malas nak menjawab sebenarnya tapi kalau tak jawab kesian pulak.
“Putus asa?”
“Takdenya. Rehat kot.”
“Akan ada lagi la scene macam tahun lepas?”
“Mintak selisih la.”
Rex gelak. Sam mengeluh berat.
Mengingatkan pasal Darina, stalker
tegarnya itu dia jadi kecut perut. Meremang bulu romanya. Dia tak tahu kenapa
Darina tu persistent sangat sampai
dia jadi takut nak ke sekolah. Nightmare!
“Kita nak lepak sini sampai esok
ke?” Sam mengalihkan arah perbualan mereka.
Rex tengok jam di pergelangan
tangan. 5.30 petang. “Nak gerak balik?”
“Nak singgah mana-mana ke?”
“Tak kot. Kau?”
“Tak. Eh, cop. Kau tak nak
singgah ke?” Sam pandang Rex pelik. Dia sudah pun duduk bersila di atas
motosikalnya.
“Kenapa?”
“Rokok?”
“Aku bukan heavy smoker la. Ada lagi.” Rex membalas acuh tak acuh. Dia tahu
Sam sengaja hendak memerlinya. Sudah beberapa kali Sam menyuruhnya berhenti
merokok. Bukan dia tak pernah cuba tapi dah banyak kali. Kira sekarang okaylah
dari dulu. Dia dah tak kuat merokok seperti sebelumnya. So, okay la tu kan?
“Berhenti jelah.”
“Nantilah. Dah, jom gerak.”
“Malam ni nak lepak ke?”
“Haah. Paan dengan Apek ajak
lepak. Bawak gitar kau.” Arah Rex sambil menyarung helmet ke kepala. Sam
angguk. Turut sama menyarung helmet. Enjin motosikal dihidupkan dan kedua-dua
motosikal itu meluncur laju meninggalkan sekolah itu.
No comments:
Post a Comment