Monday, 7 October 2013

Sungguh, Aku Jatuh Hati (Bab 7): Zarra Zuyyin


TAUFAN KATRINA!
Bab satu; Gara-gara cuti khas, terlajak tidur yang sesekali dijengah mimpi ngeri makanya menjelang pukul 7 baru mata celik dipanah cahaya matahari. Matilah aku! Terus bangun mengejut berjalan ala zombie tersesat kampung menonong masuk bilik air dan hampir sahaja aku mencuci muka berpencucikan ubat gigi Safi perisa gamat!
Bab dua; baju kurung hangus sebab terlajak suhu seterika. Kelam kabut mencari pakaian sarung siap, apa lagi jubahlah jawabnya.
Dan Bab tiga; ada penumpang tanpa izin yang tiba-tiba minta tolong hantar ke hospital di kala aku sendiri dihambat kelewatan!
Aku yang sedang mengagau mencari seat belt, yang tiba-tiba boleh pula ghaib bila aku tengah kalut ternganga bila dengar bunyi pintu sebelah penumpang dibuka dan ditutup. Bila aku kalih kiri, ada satu wajah yang sedang elok menayangkan sengihnya siap dengan pasang seat belt. Rahang sikit lagi bakal cecah stereng kereta.
“Eh…” itu je yang aku mampu sebut.
“Assalamualaikum. Tumpang boleh tak?” aku telan liur. Nak tumpang tuan doktor yang seorang ini, makna kata kad perakam waktu aku bakal berdakwat merah. Kalau tak tolong, tak sampai hati pula. Tangan sudah menggaru pipi. Apa yang aku nak buat sekarang? Nak tolong atau buat-buat tak tolong? Apa kosa kata tolong yang celaru ni Nani? Entah. Tangan spontan menggaru kepala yang bertudung.
Aku buat muka. “Kereta rosak, ada dekat bengkel. Yang lain semua oncall malam tadi.” Macam faham je soalan yang aku hantar guna mimik muka! Hebatlah tu, ilmu kedoktoran tembus terus ke hati aku. Erk…
Please! Kiranya Am hutang dengan Nani.” Ton suara mendayu. Aiseh, kut iyerpun nak minta aku tolong hantar rasanya tak perlulah guna ton seksi macam orang baru bangun tidur macam tu sekali. 
Nak disuruh keluar tak sampai hati. Nak ditolong, aku juga bakal mati. Aah..mati la sangat. Mahu tak mati, kalau bos kecik aku tengah jiwa kacau terkena hembusan angin melintang memang percuma je aku kena hamun. Sekali dengan aku jadi mangsa taufan mengalahkan taufan Katrina membadai.
Aku mengeluh. Lambat-lambat aku angguk. Sebab teringatkan pertolongan tuan doktor yang sorang ni tempohari, aku buat-buat pengsan jelah kejap lagi andaikata bos kecik tu lipat maut dekat aku.
Dengan lafaz basmallah, kunci aku pulas dan enjin kereta mula berfungsi. Cik Suzuki pucat lesi menderu laju membelah jalan menuju ke Hospital Putrajaya. Tak jauh pun sebenarnya. Tapi dalam keadaan pagi-pagi macam ni memang boleh sempat bercinta jugaklah. Erk…bercinta? Okey, melalut apa pagi-pagi ni cik Nani oii.
“Nani kerja bahagian apa yer?” Tanya Dr. Am semasa menunggu lampu isyarat bertukar hijau di persimpangan depan Stesen Minyak Petronas Presint 9B.
“Teknikal.” Sepatah dan tangan laju memusingkan stereng bila lampu isyarat sudah bertukar ke hijau. Dah apa lembap benornya kereta depan ni. Karang aku hon, dikatakan kurang sabar pulak. Yang kurang nafas aku sekarang. Nak bernafas pun rasa macam tak cukup oksigen dalam kereta sebab kena berkongsi dengan tuan doktor di sebelah. Haru betullah. Bukan niat nak menyombongpun, cuma untuk jarakkan perkenalan dengan doktor-doktor ni. Aku kan alergik dengan orang pakai kot putih. Sangat-sangat alergik okey!
Sampai di persimpangan dekat Hospital Putrajaya. Boleh tahan panjang jugak queue kereta yang sama juga tujuan dengan aku, menghantar penumpang. “Nani dah ada calon suami?” bila tuan doktor bersuara lagi, dan-dan tu enjin kereta mati!
Muka sudah membahang. Soalan luar silabus Fluid Mechanic sampaikan cik Suzuki pucat lesi aku terkejut. Jaga di hadapan sudah tergawang-gawang tangannya menunjukkan isyarat kereta sudah berderet menanti di belakang. Kelam kabut tangan menghidupkan enjin kereta. Padahal jantung sudah berkira-kira mahu melompat tak tetap duduknya. Bila hidup sahaja enjin terus aku tekan minyak menghala ke Hospital Putrajaya dengan peluh dingin satu badan dan wajah sudah tak mampu nak toleh ke kiri dah.
“Dekat Lobi sana.” Ujar Dr. Am padaku bila sahaja aku memasuki perkarangan Hospital Putrajaya. Sampai sahaja di lobi yang dimaksudkan aku hentikan kereta dan jam di dashboard aku kerling. 8.05 pagi! Aku separa mengeluh.
Rentunglah aku kali ni!
“Nani. Terima kasih yer. Nanti boleh tumpang lagi.”
Aku senyum kelat. Berjaya juga kempen Amalan Budi Bahasa yang dijalankan Kementerian Penerangan Kebudayaan dan Kesenian bagi meningkatkan amalan yang baik ini. Aku angguk tanda hormat. Baru nak anjak gear, cermin diketuk. Eh, ada lupa apa-apa ker? Aku tekan butang untuk turunkan cermin.
Dr. Am tarik senyum segaris. “Nani, soalan tadi tu saya nak jawapan petang nanti yer.” Lembut tapi cukup membuatkan aku terkedu. Dan lelaki itu berlalu begitu saja meninggalkan aku yang terpinga-pinga.
Lambaian jaga keselamatan dengan isyarat supaya aku segera beredar membuatkan aku terus menekan minyak sambil tangan diangkat membalas lambaian itu tanda minta maaf. Otak masih belum mampu untuk mencerna ayat pernyataan tuan doktor berjanggut sejemput itu. Soalan? Rasa macam terjerut leher. Rewind kejadian sebentar tadi. Ohh, dia tanya dah ada calon suami atau belum.
Calon suami tak jadi adalah!

TERKOCOH-KOCOH aku keluar daripada lif dan kemudian mengambil jalan pintas untuk masuk ke ruangan aku.  Aku tarik nafas lega. Kad perakam waktu aku telek, nasib baiklah ada kawan-kawan yang bersifat penyayang ni. Melanggar etika sebenarnya tetapi keadaan terdesak, kira halal la yer. Laju-laju aku gerak menuju ke partition aku sambil mata kenyit tanda terima kasih pada Kak Nur. Jari telunjuk aku luruskan ke pintu bilik di depan laluan aku kepada Kak Nur. Membawa maksud, bos kecik ada tak. Kak Nur senyum dan angguk. Aku senyum sumbing. Aiseh…
Letak saja beg tangan, tekan on komputer dan terus capai purse, perut sudah bagi isyarat, langkah kini laju menuju ke kafe. Dah terasa bakal terisi dengan angin kus-kuslah jawabnya kalau lambat menjamah. Tak lama pun, belum cukup 10 minit aku sudah terpacak depan partition aku. Beli dan bungkus. Makan sahaja di ruangan sendiri, depan komputer. Jimat masa. Makan nasi lemak sambal ikan bilis aje. Hari-hari kena fikir nak sarapan apa. Kerja aku atur menu aje setiap hari. Macamana kalau esok-esok dah kahwin. Dengan suami aku sekali kena atur menu kafe jugak ker? Huh, Nani…Hari ni kome kena sampuk dek badi Monday Blues gamaknya. Asyik melalut sampai ke Laut China Selatan aje.
Waktu tengahari menjengah juga. Kalau hari Isnin memang terasa satu jam yang berlalu lambat sangat. Rasa macam nak tolong aje jarum minit tu berputar. Penat dengan kerja yang takkan habis, alih-alih lunch aku depan komputer aje. Satu mug berisi milo yang masih lagi panas berasap dengan tiga biji karipap kentang yang aku beli pagi tadi di kafe aku jeling. Sabar... Cerdik sangatlah ala minta ketuk dahi bila serbuk milo dalam mug disiram dengan air panas sepenuhnya. Padahal tahap kelaparan sudah serupa orang Somalia. Sudahnya, pandang-pandang, jeling-jeling ajelah.
Cermin mata yang hanya berfungsi semasa di pejabat aku letakkan di atas keyboard. Ibu jari mengurut pangkal batang hidung. Laporan Kemajuan Projek yang baru diserahkan oleh konsultan petang semalam sudah suku aku semak. Sudah menjadi kerja aku untuk mengemaskini data-data kemajuan projek melalui maklumat dalam Laporan Kemajuan yang wajib sampai ke meja aku setiap 31 haribulan. Kemudian harus pula kemaskini dalam Sistem Pengurusan Projek untuk kegunaan seksyen Pengurusan.
Aduhai, dahaganya. Laparpun iyer jugak. Aku jeling lagi mug yang macam menggoda aku gayanya. Sabar je lah. Lalu aku capai plastik berisi karipap. Aku ambil satu lalu kunyah perlahan-lahan. Tercekik nanti aku sendiri yang merana. Takkan terus nak teguk milo panas berasap tu. Tak sayang nyawalah namanya . Lagipunkan sunnah kunyah sampai 40 kali. Baru nak ingat sunnah segala. Nani ohh Nani.
“Makan baca bismillah tak?”
Mangai…Bersembur karipap dalam mulut! Aku laa, cukup pantang orang main sergah tak bagi salam. Memang nak kena tazkirah sebelum zuhur gamaknya. Cepat-cepat tisu aku capai lalu aku lap mulutku. Nasib baik tidak terkena Laporan Kemajuan. Aku angkat kepala. Tahu sangat makhluk penganggu keamanan sejagat yang sedang elok tersidai di depan partition aku kala ini. Mukanya langsung tidak beriak. Kut lah nak ada sedikit perasaan bersalah sebab membuatkan karipap sedap aku hilang nilai nikmatnya. Nan ado! Dan jangan mengharaplah. Tetap dengan muka toya dia tu. Haih.
“Mana pelan RG Setia yang konsultan hantar semalam?” tanya tuan insiyur sambil mata meliar atas meja aku yang agak berselerak. Tu, dalam hati kutuk aku rasanya.
“Tuan Insiyur Izz Harriz, untuk pengetahuan tuan sekarang adalah waktu lunch.” Matanya pandang aku, tajamnya. Langsung-langsung tak ada senyum. “So?” Tu datang dah angin lintang sampai sepatah soalan sarkastik dia tuju tepat dekat aku. Boleh tak kalau dalam satu hari, lelaki ini cuba untuk jadi versi bos yang tidak akan mencari pasal dengan aku? Bos yang boleh senyum santai dengan aku. Bukan bos yang menjengkelkan aku dan mematikan mood aku untuk melaksanakan tugas dengan berdedikasi.
“Sekarang baru pukul 1.45 tengah hari. Maknanya saya masih ada lagi 15 minit lagi sebelum memulakan tugas.” Datar nadaku berbaur geram. Bersusun kerja atas meja ni. Dengan nak semak drawing lagi, nak siapkan laporan masa keluar ke site visit lagi. Mahu pengsan Eric yang glamour bila tengok keadaan partition aku. Haiyoh… kan betul. Sibuk mengalahkan Menteri Pelajaran!
Dia angkat tangan kanannya. “Nop, silap tu. Awak ada lagi cuma 13 minit 25 saat sahaja.” Siap kening angkat sebelah. Kemudian dia berlalu. Bulat mataku. Aku siram jugak mamat kerek ni dengan air milo panas aku karang!
Bos kecik sebenarnya. Jurutera J44. Tapi, bossy mengalahkan Dato’ SUB! Leceh sebenarnya bekerja bawah dia. Sangat perfectionist. Sebelum aku masuk mengadap, selalu memang aku tadah tangan hembus dulu doa mana yang patut. Angin dia tak menentu. Kalau angin baik macam malaikat, memang waktu petang tahu-tahu ada aje delivery Domino sampai dekat sini. Tapi, kalau angin melintang membadai. Ya ampun, mengalahkan orang gila meroyan. Kecut perut kami yang bekerja dengannya. Semua kena libas! Sekali dengan tukang vacuum karpet pun kena.
Itu pandangan tulus ikhlas aku. Pandangan orang yang lain, mungkin berbeza. Cuba tanya si Tinie, pandangannya harus sahaja bertentangan dengan aku. Sebab aku nampak si Tinie macam ada hati dengan tuan insiyur. Gosip satu unit! Selalu aku jarang ambil port internet bergerak yang lajunya mengalahkan Unifi dekat rumah aku. Macamlah kerja aku goyang kaki, cukup bulan sentuh skrin ATM Maybank, tangan tadah gaji. Masa lapan jam memang tidak cukup! Bekerja mengalahkan anggota tangan bercabang dua tiga dalam satu-satu masa. Cabaran sebagai Pengurus Projek.
Aku tongkatkan daguku. Memandang skrin komputer. Laporan Kemajuan itu aku tutup dulu. Nak buka blog sempat lagi. Tangan mengetuk perlahan keyboard. Nak tulis apa yer? Erm... okey tau dah. Baru nak menekan huruf L...
“Nuradelia Hanani, masuk!” Terus hilang idea aku. Bukan dalam bilik dia ada telefon ker. Apa yang susahnya. Angkat, tekan. Sambungan telefon tempat aku 9090. Nombor cukup mudah nak ingat. Ini melaung macam zaman Neolitik gayanya. Huh, apa yang tuan insiyur nak tengahari buta-buta ni. Aku diam tidak berkutik. Malas mahu menyahut. Jam belumpun berdenting pukul 2 petang. Ampun maaf zahir batinlah.
“Nuradelia Hanani, awak sudah lambat seminit untuk memulakan tugas.” Pecah suara itu di depan aku.
Kelu terus lidah. Tadi bukan kata ada lagi 13 minit. Takkan dah pukul dua? “Err...”
“Dua minit. Petang nanti awak kena tambah masa sebelum pulang!” ujarnya tegas dengan senyum sinis tersungging di bibir. Memanglah! Dasar pecah perintah betul! Tergesa-gesa aku capai buku nota lalu mengekornya daripada belakang sambil mulut menjampi serapahkan bos kecik aku tu.
“Jangan awak mandremkan saya.” Ek? Langkah terus terhenti depan pintu biliknya. Dia tau? Huiyo.. Deria keenam ker? Bahaya! Kut iyer aku nak mandremkan dia, segala doa aku redah di bibir. Fuh kiri fuh kanan.
Keluar sahaja daripada biliknya aku henyak kasar ke kerusiku. Bergaduh dengan tunang dia agaknya, berangin kemain lagi. Siap kena sembur kata aku buat kerja lembap bagai. Aku dah berangin sakan. Nak menjawab karang dituduh kurang ajar pulak. Kurang pulaklah markah LNPT aku nanti. Jangan cari pasal Nani.
Salah aku ker kalau aku dah selamat turunkan waran kepada unit yang sepatutnya. Salah aku ker kalau bayaran sangkut dengan alasan dokumen tak lengkap. Dan salah aku ker kalau dia kena hamun dengan kontraktor.
Sabar Nani! Dia bos, kau tu cuma Penolong je. Beza gaji dia dengan kau!
“Kenapa tu Nani? Tanya Kak Nur yang datang bersidai di partition aku. Aku angkat bahu. “Macamanalah tunang dia tu boleh tahan dengan perangai dia. Berangin macam orang senggugut datang bulan…” pecah tawa kami. Nasib awaklah tuan insiyur Izz Harriz, dapat team yang kaki kutuk kaw-kaw dekat awak.

JAM pukul 6.30 petang baru aku sampai rumah dengan mata yang rasa nak tertutup aje masa memandu tadi. Kereta budak-budak serumah dah siap ada. Aku je kut yang lambat hari ni. Bukan kome memang selalu balik lambat ker? Betullah tu. Otak dah tak mampu nak fikir dalam-dalam. Dah tak lalu nak mengadap bebanan kerja. Beg tangan dengan beg kerja aku letak tepi sofa. Dah nampak macam sofa menggamit ajak aku baring. Sunyi sepi rumah. Argh…Lega. Tudung pashmina aku longgarkan. Kepala aku letakkan atas bantal kecil. Badan aku luruskan. Nikmatnya. Baru rasa nak lelapkan mata, tiba-tiba bahuku dicuit. Malasnyalah nak membuka mata.
“Ada apa?” tanyaku sambil mata tertutup. Letihnya Tuhan sahaja yang tahu. Boleh pulak lepas sahaja lunch time, si tuan insiyur tu hilang sampai jam 5.30 petang berbunyi dan pada masa yang sama tiga konsultan projek datang serentak dengan pelbagai masalah yang perlu aku hadap karenah satu demi satu. Huwaa… Memang rasa nak nangis dah. Mujur ada jugak seorang pegawai Quantity Surveyor tu yang sudi tolong menemankan aku. Menjawab apa yang aku teragak-agak. Kalau tak…huh, mati aku kena sembur dengan datuk-datuk kepala botak semua tu! Sia-sia aje.
“Nani, orang depan bagi puding.” Suara Fida menarik aku dari cerita pejabat. Aku masih lagi pejam mata.
“Nani…” Adeh, nak apa lagi agaknya. Aku nak rehat ni. Mendengus tanda tidak puas hati.
“Nani…” suaranya naik satu oktaf. “Mende?” tanyaku laju. Orang dah bagi, orang suruh makanlah maknanya tu. Takkan nak dibuat pameran semata-mata.
“Ada nota lah…”
“Dia suruh balas balik lah tu..” laju aku mengabiskan ayat, entah macamana idea tu yang terkeluar daripada bibirku. Otak sudah malas mahu bekerjasama.
“Aku baca eh..” aik, minta izin pulak.
“Berkicau riuh seluruh alam, Burung merpati si burung nuri, Jenuh menunggu Cik Nani masih berdiam, Bolehkah saya jadi calon suami. Ikhlas lagi sudi menunggu, Am.”
Doktor Naufal Ikram!
Pantas sahaja mataku terbuka! Dan ketawa Fida dan Umi pecah di meja makan! Terpacak tubuh merenung meja makan yang sudah dikerumi budak-budak serumah.
“Jawab Nani jangan tak jawab.” Hilang letih, yang ada rasa mahu penyet-penyet anak teruna orang tu!
Fida sudah senyum-senyum. Dijah dah jeling-jeling. Haru betullah kawan-kawan aku ni. Tanganku masih lagi menyudu puding milo ke dalam mulut. Sedap. Tak sangka seorang doktor pun pandai masak. Dan pandai bersastera! Kursus elektif kedoktoran agaknya kut.
“Nani, bila kau nak balas pantun Am tu?” Fida sembunyi senyum.
“Cik Nani sayang, balaslah sekarang, Doktor Am menunggu awak seorang, kata putus untuk  menghantar pinang.” Pecah tawaku. Gila!
Sambil menyudu puding milo, mata aku pejam. “Apa punya pantun tu. Badi sastera mana sampuk kau ni?” tanyaku mencemik. Pengaruh novel-novel cinta yang bersusun agaknya tu. Memang teruk kena bahan dek budak-budak serumah. Isu pantun memantun. Tak menyabar betul mereka suruh aku balas pantun tuan doktor jiran depan rumah. Aku sengih ajelah. Pandai pulak si kot putih bermadah pujangga, berpantun segala bagai. Aku rasa tok guru dia mesti sehebat Awang Sariyan. Tak pun, Nik Safiah. Budak enjin kejung bahasa macam aku nak berpantun? Tunggu aku masuk kursus bahasa DBP dululah jawabnya.
“Bila kek coklat berbalas puding..” aku kerling wajah Fida. Muka selamba aje.
“Nani, aku rasalahkan hantaran kau nanti mesti berbalas makanan je...” melampaui waktu betullah kawan-kawan aku ni. Fikir sampai ke hantaran. Buat ngeri aku je.
Piring yang licin aku letak atas meja depan televisyen. “Dia melawak je tu.” selaku sambil mata terus menatap Boboi Boy sedang berpecah jadi tiga sebab nak melawan raksaksa ciptaan  Adudu.
Pahaku ditepuk perlahan. “Lawak lagi ker tu beb sampaikan siap hantar puding dengan pantun. Aku nampak dia bersungguh aje, betul tak Dijah?” tanya Fida sambil mulutnya dijuihkan pada Dijah. Uiks, pakatan bersatu peraih undi Doktor Am rupanya.
Dijah angguk je sambil tangannya melayan mesej di Samsung Galaxy S II yang asyik berkelip-kelip selang 2 minit. Angau overboard dah kawan aku yang sorang ni.
“Itu nasib baik dia selitkan nota pantun je, tapi kalau dia letak cincin dalam puding tu, memang aku nak masukkan dalam youtubelah.” Mulut si Dijah sekali bersuara, memang pecah ketawa kami.
“Nani... Kadangkala kita patut bagi peluang pada diri kita.” Celah si Umi yang ralit membaca majalah Anis. “Dan juga kepada orang lain.” Sambungnya lagi sebelum mengatur langkah menuju ke dapur bersama dengan piring-piring yang licin isinya.
Aku sekadar menarik senyum segaris. Puding milo macam terasa-rasa dalam tekak. Sedap…Sweet like... lelaki berkot putih berkain pelekat berselipar jepun!
Limit Nani, limit your angau!

Dear blog…
      Puding milo is sweet.
Did I love that pudding or… the way he propose it? J
p/s: Taman botani dalam hati dah tumbuh! Hati-hati…

Gila! Julung-julung entri karang bab taman botani!
Senyum.

No comments:

Post a Comment