“LULU! Lulu!”
Nana cepat berpaling kepada suara yang menjerit tu. Kedai Kak Zatil ni lot
tepi. Rasanya, sampai ke hujung deret bangunan lot kedai ni dengar suara yang
menjerit tu.
“Ya Allah!” Hampir terlepas penyapu di tangan melihatkan sesusuk tubuh yang
sedang berlari anak ke arahnya. “Hudhud!”
Sekali lagi... gema suara itu sampai
hujung deret bangunan ni. Tanpa
menghiraukan orang keliling, Huda terus merangkul Nana. Batang penyapu di
tangan Nana turut masuk dalam lingkungan pelukan Huda.
“Lamanya aku tak jumpa kau Lulu! Rindu!” Pelukan Huda makin kuat sampai nak
lemas Nana dibuatnya.
“Eh! Lepas! Lepas!” Nana tercungap-cungap, berusaha melonggarkan pelukan
Huda. “Lemas dah aku.”
Pelukan terasa makin longgar. Huda ketawa. “Lulu! Kau kerja sini ke?”
Nana angguk. “Tanam anggur lama sangat, tak berbuah-buah.” Tawa kecil
meletus juga. “Taklah... Kakak sepupu aku suruh tolong dia kat kedai ni.”
Huda berpusing, memandang ke dalam kedai yang dimaksudkan oleh Nana.
Kerutan di dahi bertambah beberapa lapis. Dia memandang Nana dan kedai bersilih
ganti.
“Kedai ni?” soalnya dengan jari telunjuk menghala ke arah kedai Kak Zatil.
Angguk.
“Kedai jahit?”
Angguk lagi.
“Kau jadi tukang sapu dekat kedai jahit ni?”
Pap! Satu tepukan hinggap di lengan Huda. Huda menyeringai kesakitan.
Nana buat muka geram. Tukang sapu dikatanya. “Tukang jahitlah!”
“Biar benar kau ni Lulu? Setahu aku, kaulah yang menangis-nangis nak
siapkan sarung kusyen kau tu yang senget dulu tu.” Huda tertawa
tertunduk-tunduk.
Nana mengetap bibir. “Cis! Kurang asam kau!”
Huda ketawa menutup mulut. Takut ketawanya sampai ke hujung bangunan lagi
kali ini. “Mana aku tahu kau ada bakat menjahit.”
“Baru belajarlah!” Nana menghentak penyapu ke lantai. Nasib baik bulu
penyapu tu tak menghasilkan bunyi yang kuat menarik perhatian orang ramai. Huda
yang masih ketawa dipandang geram. Karang, ada juga yang makan bulu penyapu ni.
“Adoi...” Huda cuba membuang tawa yang tersisa. “Aku tak sangka... sungguh
tak ku sangka...” Kepala digeleng berkali-kali.
“Kau pernah dengar tak, people change?”
Nana mengangkat kening berkali-kali. “Jadinya, inilah perubahan dan kemajuan
aku sekarang. Faham?”
Huda tersenyum. “Ya... aku tahu Lulu aku ni memang sentiasa nak maju, tapi
takut nak buat salah!”
“JADI, apa berita terbaru?”
Nana kacau air teh ais dengan straw. “Berita apa?”
“Kau tahu tak yang kita ni dah terputus hubungan lepas PMR? Jadinya... apa
berita terbaru daripada lepas PMR sampailah ke umur kau sekarang?”
“Lepas PMR, aku pergi Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra.
Jadi mek Kelate sekejap. Kemudian,
aku pergi UITM Dungun. Ambil kursus Perakaunan. Lepas belajar, aku tanam anggur
91 hari. Dan hari ni... dah masuk tiga
minggu aku kerja dengan Kak Zatil.” Nana menutur
hampir senafas.
Huda tepuk dahi. “Cik Lubna, kenapa kau tiba-tiba jadi skema macam ni? Aku
bukan tanya fasal bab belajar. Aku tanya, apa perkembangan hidup kau, apa yang
kau dah capai, apa status kau... serba-serbilah!”
Teh ais disedut seteguk. Dibiarkan rasa sejuk itu memenuhi kerongkong,
lama. Mata kembali memandang wajah Huda. “Hmm...
status bujang. Dah dapat satu ijazah. Berat badan bertambah, jadi saiz pun
mengembang.”
Huda mengeluh perlahan. “Haih...
sakit jiwa aku cakap dengan kau.”
Nana menyandarkan badan ke kerusi. “Dah tu... kau tanya macam tu. Aku jawab
mengikut soalan la.” Dalam hati dia tahan gelak.
Huda memandang tepat ke anak mata sahabatnya itu. “Apa yang menyebabkan kau
jadi macam ni sekarang ni bertudung, ayu berbaju kurung, bersopan santun.”
Jeda. “Beradab... dan apa lagi. Ha... maksud aku, kau jadi macam ini. Macam
perempuan Melayu terakhir ni. Apa yang menyebabkan kau jadi transformer ni?
Kenapa?” Tangannya didepangkan meminta penjelasan.
DALAM ramai-ramai kawan, Huda
saja yang sanggup mendengar segala benda merepek yang dia cerita. Orang cakap
dia dan Huda macam belangkas. Di mana ada Huda, di situlah ada Lubna. Di mana
ada Lulu, di situ juga ada Hudhud. Tapi... selepas dia berpindah sekolah, entah
apa yang jadi sampai dia tak sempat lagi nak berhubung dengan Huda.
Takdirnya, mereka berjumpa hari ini. Setelah kitaran angin monsun bertukar
dari barat daya ke timur laut berkali-kali, hujan panas, ribut kemarau silih
berganti berpuluh kali. Setelah dia... menurut kata Huda bertukar jadi
‘transformer’.
Dia senyum kelat. “Tak payahlah puji melebih. Bukan aku baik pun.”
Huda ketawa kecil. “Aku tak puji. Tapi... aku nak terangkan maksud soalan
aku aje. Kau sengaja buat-buat tak faham kan.”
Jeda.
“Jadi...?”
“Kematian itu satu peringatan yang cukup berkesan.”
Kerutan di dahi Huda bertambah beberapa lapis. “Maksud kau?”
“Kematian ayah.” Anak matanya bertemu dengan anak mata Huda. “Aku ada
dengan ayah masa saat sakaratul maut
dia. Aku ada dengan ayah masa ayah mengucap kalimah syahadah terakhir sebelum
rohnya diangkat.” Rasa sebak mula mendongkol. Nafas ditarik dalam, dihembus
perlahan-lahan.
Bunyi keletung-keletang sudip berlaga dengan kuali mencecah telinga.
Restoran Rahmat masih lengang. Sekarang belum masa makan tengah hari. Dan semua
orang dah mula masuk pejabat. Tapi dia di sini, setelah meminta izin daripada
Kak Zatil bertemu dengan sahabat lama yang dihantar Tuhan pada hari ini.
Kolam mata rasa bertakung sekali lagi. Ditahannya empangan itu seupaya
mungkin. “Kau takkan sanggup nak tengok orang yang kau sayang makin hari makin
teruk. Mula-mula masuk hospital... ayah okey lagi. Boleh lagi ke tandas,
berjalan meronda dalam wad. Dua tiga hari lepas tu, ayah dah tak boleh
berjalan. Kemudian, ayah dah tak nampak, makan dah kena orang suapkan, bercakap
pun tak boleh. Seminggu lepas tu...” Mutiara jernihnya curi-curi keluar. Diseka
setitis itu dengan tangan.
Huda menelan air liur. Ada dua tiga titis mutiara jernih mengalir lagi di
pipi sahabatnya itu.
“Seminggu lepas tu... ayah dah tak boleh buat apa dah. Terbaring macam
mayat hidup. Makan melalui tiub. Lampin pun mami yang kena tengok kering lagi
atau dah basah rejap nak kena salin. Sebelum ni, kalau lampin basah ayah boleh
beritahu lagi. Masa tu, memang aku doakan kalau mati itu satu kerehatan untuk
ayah, biarlah ayah berehat. Aku tak sanggup nak tengok ayah menderita. Dan
kalau sihat tu baik untuk ayah, biarlah ayah sembuh.” Kini mutiara jernih yang
sudah jadi air terjun yang mengalir di pipi sudah berada di luar kawalannya.
Dibiarkan jatuh begitu sahaja atas tudung, atas lengan baju, atas meja.
Huda sesekali menyeka kolam mata
sendiri. Dia tak sangka... ayah Nana menderita sampai begitu sekali.
“Sehari sebelum ayah meninggal. ayah buka mata, ayah boleh bercakap
walaupun ada telor pelatnya.” Bibir diketap kuat. Biar rasa sakit yang
meramas-ramas hatinya dari dalam ini hilang berganti dengan sakit di bibirnya
saja. Nyata, dia gagal juga. “Aku ingat masa tu Allah nak pulihkan ayah. Aku
ingat masa tu, Allah dah hapuskan semua sel barah yang dah merebak ke seluruh
badan ayah. Tapi... rupanya masa tu, ayah cuma sihat sekejap menyampaikan
wasiat terakhirnya pada aku.”
“Apa wasiat terakhirnya...?” Huda cuba mengawal sebak dalam nada soalannya.
“Malam tu... Ayah bercakap separuh berbisik. Dia tanya... Nana boleh tolong
ayah sempurnakan amanah ayah pada Allah tak sebelum ayah pergi? Aku angguk masa
tu. Ayah kata, Nana tolong jaga solat, jadi anak yang solehah dan terus jadi
bekalan pahala yang takkan putus untuk ayah. Dan paling penting, jaga maruah
Nana sebagai seorang Muslimah. Dan esok paginya... ayah dijemput pulang.”
Nana duduk berteleku lama di sejadah. Bunyi cengkerik bersahutan di luar
memecahkan memori perbualannya dengan Huda pagi tadi. Wasiat lama Ayah rasa
berdegar-degar di telinga.
Dan paling penting, jaga
maruah Nana sebagai seorang Muslimah.
Dulu... masa zaman jahiliah dulu bukannya dia tak pakai tudung. Dia pakai.
Tapi, mengikut keadaanlah. Contohnya, kalau keluar dengan kawan-kawan lelaki...
semestinya dia tak pakai. Apa kelas kan? Lagi satu, dia ikut jenis baju sesuai
ke tidak nak pakai tudung. Takkanlah bila pakai seluar jeans ketat dan t-shirt
sendat dia nak pakai tudung? Buat mencemar nama tudung aje dia rasa. Dia pakai
prinsip, kalau nak pakai tudung, biar pakai baju longgar juga. Rasa janggal
bila nak pakai baju sendat berlengan pendek atau blouse jarang yang dipakai dengan singlet di bahagian dalam,
kemudian pakai tudung. Dia rasa mengarut, sebab tudung tutup rambut, tapi
lengan dan badan nampak.
Nana pakai tudung bila pergi kenduri saja. Atau bila dia pakai baju kurung.
Sebab dia rasa tudung tu padanan yang sesuai dengan baju kurung. Kalau zaman
dulu-dulu pun kan, orang pakai baju kurung sekali dengan kain batik di kepala
kan? Maknanya, set lengkap baju kurung perlulah disertakan dengan tutup kepala.
Err... maksud Nana tudung. Bukan
setakat selendang yang diselempangkan di bahu atau badan macam dalam majalah
fesyen yang dia pernah tengok di kedai Kak Zatil.
Jaga maruah.
Dua perkataan yang ringkas. Namun... kalau difikirkan dan diteliti
betul-betul, dalam sangat maknanya.
Memang ayah selalu sakit kepala, tapi katanya... sakit kepala pikul
tanggungjawab jaga keluarga. Makan Panadol dua biji, tidur sekejap...
hilanglah. Sampailah satu hari ayah tiba-tiba pengsan, walhal ayah tak pernah
pitam ke apa sebelum ni. Masa itu jugalah, mami yang tak reti memandu, tak ada
lesen memandu terpaksa buat-buat berani memandu juga bawa ayah ke hospital. Dia
masa tu ada dalam kelas, terus balik sehelai sepinggang dari UITM Shah Alam ke
Kuantan selepas mami hantar pesanan ringkas di telefon.
Ayah di hospital. Nana
balik ya. Mami perlukan sokongan Nana sekarang.
Dia telefon mami, tapi mami tak dapat nak bercakap telefon sebab menangis
merambu air mata tak berhenti. Anak mana tak cuak bila mak sendiri tiba-tiba
jadi macam tu. Dia dah rasa tak sedap hati, takut ada khabar buruk.
Dan memang berita buruk dia terpaksa hadapi sampai sendi-sendi seluruh
badan rasa longgar. Ayah ada barah otak. Tahap empat. Tahap paling teruk. Tak
ada ubat. Dah lambat. Satu demi satu frasa dari doktor dia terpaksa cerna.
Selepas ayah selamat bersemadi di ‘rumah’ barunya, Nana duduk lama seorang
diri di tepi ‘rumah’ ayah. Ayah pergi sebab barah otak. Eh... bukan. Ayah pergi
sebab sudah ajalnya, Mami ingatkan. Barah cuma sebab untuk Allah bagi akal
manusia yang dangkal mampu terima bahawa kematian itu pasti.
Masa itu jugalah dia fikir dalam-dalam. Tanah merah yang masih basah atas
kubur ayah seolah-olah meminta dia kembali mengingati asal-usulnya daripada
tanah. Seolah-olah mahu dia menjejak semula sejarah hidupnya kembali kepada asal-usulnya.
Daripada saat dia masih suci murni sebagai seorang bayi, sampailah ke tahap
mumaiyiz, ke baligh, ke sekarang; setelah gelaran yatim dipegangnya.
Dia selak balik semua helaian
hidupnya dari saat dia melangkah masuk ke tanah perkuburan ini, berpatah balik
sehelai demi sehelai ke belakang sampai ke helaian terakhir yang mampu diselak
oleh minda.
Betul ke selama ni... dia jaga maruah sebagai seorang Muslimah?
Sebab itulah juga, di saat itu... bersaksikan tanah merah di kubur ayah,
bersaksikan pokok bunga kemboja yang harumnya lembut menyapa hidung,
bersaksikan kicau burung yang bersenandung syahdu... dia berazam... dia akan
jaga maruahnya sebagai seorang Muslimah.
Dan langkah pertamanya ialah dia akan memakai baju kurung selalu berserta
tudung yang jatuh ke bawah. Bukan lagi tudung yang diselempangkan ke bahu.
Kalau pun dia perlu berseluar, dia akan pakai baju kepada baju kurungnya dengan
seluar. Bukannya t-shirt atau blouse sendat lagi. Biarlah orang nak
kata dia jakun ke tak reti pakai baju ke ketinggalan fesyen ke... biarlah.
Yang penting ketika itu, dia mahu ayah ‘tenang’ di alam barzakh.
No comments:
Post a Comment