Friday, 25 October 2013

Tic Tac Toe (Bab 1 - Bahagian I): Jill Naura



DERUMAN enjin kereta Honda Hybrid CR-Z memecah kesunyian lebuhraya yang lengang malam itu. Laju kenderaan itu memecut tanpa mengambil kira halaju yang telah ditetapkan demi keselamatan pengguna jalanraya. Pedal minyak terus ditekan sehingga mencecah pada kelajuan 160 kilometer sejam. Memang mengundang kecelakaan!
Bukannya dia tidak peka dengan bahaya memandu laju pada waktu gelap. Lebih-lebih lagi di tengah-tengah hujan yang lebat turun membasahi bumi. Setiap butir titisan air yang turun dari langit itu berdetak-detak menghentam cermin kereta lalu berderai, mengaburi pandangan. Fikhri tidak peduli. Kalau dia ditimpa kemalangan sekalipun, dia rela. Tiada kecederaan fizikal mampu menandingi keperihan yang menghurung jiwanya ketika ini.
Seksa rasanya apabila memori luka gagal dihentikan dari terus bersiar di layar mata. Terbayang-bayang kelibat kekasihnya, Afrina yang begitu mesra bersama seorang lelaki berbangsa Itali. Tidak segan silu mereka berpelukan. Wajah Afrina yang tampak begitu gembira menusuk ke jantung Fikhri bagaikan sebilah pedang Samurai yang maha tajam. Tidak dia sangka gadis pujaan hatinya sanggup menduakan dirinya lantas menoda selautan cinta suci yang diciptakan khas untuk gadis yang bernama Afrina itu!
Dia tidak berdaya untuk membuat apa-apa. Ikutkan hati, mahu sahaja dia terjah Afrina ketika itu. Bersemuka dari mata ke mata. Biar gadis itu melihat betapa hatinya sakit apabila cintanya dilayan seperti sampah, dipijak-pijak seperti pasir.  Tetapi, akibat luka yang mendalam, dia tidak mampu. Tubuhnya terasa lemah dan seluruh jiwanya rebah dek pengkhianatan yang baru disaksikan tanpa sengaja. Allah S.W.T Maha Kaya. Nyata, itu petunjuk dariNya. Siapa sangka Fikhri akan terserempak dengan kekasihnya di hotel tempat dia bermesyuarah. Siapa yang dapat menduga, ketika Afrina sepatutnya berada di kampungnya di Sabah, melawat ibunya yang kegeringan, dia sebenarnya mendustakan kata. Fikhri sedayanya menahan perasaan. Dia sendiri yang telah menghantar Afrina ke lapangan terbang untuk pulang ke Sabah!
Siapa pula yang mampu menjangka, Afrina gamak bermain dengan perasaannya. Fikhri benar-benar kesal. Semenjak kejadian itu petang tadi, dia menjadi tidak keruan. Sepanjang perjalanan pulangnya, dia melepaskan geram dengan memandu selaju-lajunya. Dia kecewa. Barulah dia faham mengapa ada yang sanggup membunuh diri semata-mata kerana putus cinta. Sakitnya terlalu perit untuk diungkapkan akan kata-kata. Sesaat, terdetik juga di sudut hatinya agar dia ditimpa kemalangan. Namun, dia segera beristigfar. Mengingatkan diri bahawa hidupnya kerana Maha Pencipta, bukannya kerana Afrina.
Dalam dia memandu tanpa sikap berhemah, dia akhirnya sampai di perkarangan rumah agam milik ibu bapanya, Datuk Fakhrul dan Datin Wahiza yang terletak di Damansara. Kakinya menekan brek secara mendadak. Berdesing bunyi tayar tatkala bergeser kasar dengan permukaan lantai yang kasar. Sekilas, dia terpandang sebuah kereta yang dikenalinya terletak di perkarangan rumah itu. Walau sekilas pandang, dia tahu kenderaan itu milik Tan Sri Rosman, kawan baik bapanya. Namun, dia tidak memberi perhatian atau cuba memikirkan sebab dan tujuan orang itu ke mari bertandang. Otaknya masih terlalu tepu memikirkan hatinya yang masih berdarah akibat ditoreh oleh sang kekasih hati.
Enjin kereta pantas dimatikan. Pintu kereta dihayun kasar lalu dihempas kuat sebaik dia melangkah keluar. Dengan perasaan yang membuak-buak, dia mengeluarkan segugus kunci dari kocek seluarnya sambil melangkah menuju ke pintu utama. Bagasi pakaian yang terletak di dalam but kereta pun tidak dia pedulikan. Sedangkan makan dan pakainya sendiripun dia tidak terhirau, inilan pula barangnya yang tidak bernyawa. Besar sungguh impak penikaman Afrina!
Satu anak kunci diasingkan lalu diselitkan ke dalam lubang kunci yang terletak di tombol gangsa pintu. Dengan satu rentapan yang kuat, dia memutarkan anak kunci mengikut arah jam.
Tap! Patah anak kunci.
Damn it’. Semakin mendidih darah dibuatnya. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambut yang sudah sedia kusut nampak semakin tidak terurus.
Dia hilang sabar. Telapak tangannya mula menggenggam penumbuk. Tangannya yang gagah itu diangkatkan ke dada pintu lalu diketuk-ketuknya sedaya mungkin.

No comments:

Post a Comment