Thursday 12 January 2017

Kukatakan Tidak(Maksudnya Ya) ~ Bab 3 ~ Bunick Firdaus

“Terima kasih prof.” Aku kemaskan segala kertas-kertas yang berconteng di atas meja Profesor Norliza. Pensyarah yang menjadi penyelia tesisku itu akhirnya bersetuju dengan tajuk yang dicadangkan setelah dua kali meminta aku menukar tajuk. Aku sudah boleh menarik nafas lega walaupun tidak sepenuhnya. Tempat untuk memulakan latihan industri juga sudah aku dapatkan dengan bantuan dari Kak Siti dan suaminya. Walaupun anak-anaknya sudah ditempatkan di nurseri selepas pemergian arwah emak, namun ternyata bekas majikan emak itu masih lagi mengambil berat tentang keluargaku.
“Humaira, saya nak awak buat tesis ni dengan bersungguh-sungguh. Awak kena naikkan kembali pointer awak. Saya tahu bukan mudah untuk awak, tapi saya yakin awak boleh buat yang terbaik.” Profesor Norliza berpesan sebelum aku meninggalkan biliknya.
“Insya-Allah Prof, saya akan buat yang terbaik.” Aku pandang wajah pensyarah yang pernah mengajar subjek Islamic Banking sewaktu aku di semester empat dahulu.
“Kalau ada apa-apa masalah, call je saya. Kalau saya tak jawab, just give me a text.” Pesan Profesor Norliza lagi.
“Baik Prof.”
“Awak dah boleh mula buat deraf untuk literature review since you already got the journals. Cuma saya nak awak tambah jurnal yang berkaitan dengan tajuk supaya awak ada lebih banyak empirical evidence. Dan ingat, jangan lupa hipotesis yang saya dah tulis tadi.” Pesannya lagi.
Kali ini aku cuma anggukkan kepala. Selagi aku tidak keluar dari bilik ini, selagi itulah pesanan penaja dari dia akan berkumandang. “Saya minta diri dulu Prof. Apa-apa nanti saya akan contact Prof.”
One more thing, awak kena dapatkan data before end of this month because by next month bengkel untuk Eviews dan SPSS dah start. Make sure awak install siap-siap Eviews sebab awak guna secondary data. Saya tak nak masa bengkel nanti baru nak install, lepas tu baru nak kumpul data. Bengkel ni sekali je tau. And please don’t absent.”
            Nampaknya banyak sungguh  kata-kata azimat dari penyeliaku ini. Walaupun pesanan itu adalah pesanan yang sudah dikitar semula, namun aku tidak memandang enteng pada setiap ayat yang keluar dari pensyarah itu. “Insya-Allah Prof, saya akan kumpulkan data macam yang Prof cakap tadi. Saya pergi dulu Prof. Assalamualaikum.” Ucapku sebelum membuka pintu dan melangkah keluar dari bilik Profesor Norliza.
Dan sebaik sahaja aku keluar dari Fakulti Pengurusan Perniagaan, langkah kakiku terhenti apabila bertembung dengan figura yang cukup aku kenali. Kalau dahulu, melihat bayangnya sahaja sudah membuat aku cukup teruja. Adrenalinku mudah sahaja mengalir dengan laju apabila menangkap bau harumannya. Namun kini, selepas status anak yatim piatu seolah-olah tertulis dengan jelas di dahiku, perasaan itu sudah mula malu untuk bertandang lagi.
Siapa tidak kenal Mukhlis, pelajar jurusan perakaunan yang baru sahaja menamatkan
pengajiannya pada semester lepas. Tapi apa yang dia buat kat sini? Fakulti Perakaunan nun jauh di atas bukit sana bersebelahan dengan Perpustakaan Tun Abdul Razak. Lagi pula, lelaki itu sudah pun menamatkan pengajiannya semester lepas.
“Humaira,”
Aku terpempan! Itu kali pertama aku mendengar dia memanggil namaku. Sungguh, walaupun kami pernah menjadi ahli Kelab Rekreasi Luar atau lebih dikenali dengan nama ORC (Outdoor Recreation Club) untuk lebih empat semester, tidak pernah sekali pun antara kami saling menyapa antara satu sama lain.
“Humaira...” Panggilnya lagi sekali apabila aku langsung tidak menjawab.
Aku berkira-kira sendirian. Perlu menyahut, atau buat tidak tahu sahaja. Sejujurnya, aku merasa sangat kekok sekarang. Kenapa mesti dia menyapaku di saat aku bersendirian tanpa ditemani dengan three stooges yang lain? Dan yang paling menghairankan aku, macam mana dia boleh tahu nama aku? Setahuku, dia tidak pernah menunjukkan minat kepada mana-mana gadis di kampus ini. Sehinggakan aku pernah berburuk sangka mungkin dia itu tidak straight kerana dengan statusnya sebagai antara jejaka terhangat di Kampus Shah Alam ini, tiada seorang pun yang pernah melihat dia berdating dengan mana-mana gadis.
“Humaira.” Kali ini sedikit keras nada suaranya. Geram barangkali kerana aku hanya  mematung apabila dia memanggilku.
Perlahan-lahan aku mengangkat muka. Dan wajah kacak Mukhlis yang berkaca mata itu aku tatap sekilas. Tidak sanggup untuk berlama-lama melihat wajahnya yang sedang tersenyum. Sumpah! Aku rasa seolah-olah berada di awangan je sekarang ni. Aku tak  mimpikan?
“Abang nak cakap sikit dengan Humaira.” Dia bagi isyarat kepadaku supaya kami  beralih dari tengah-tengah laluan koridor yang memisahkan Fakulti Pengurusan Perniagaan  dan Fakulti Undang-undang itu.
Abang? Serius aku macam nak pitam apabila dia membahasakan dirinya abang. Kali ini aku rasa seolah-olah aku terbang makin tinggi. Dan disebelahku pula ada pesawat Boeing 777 yang sedang terbang beriringan. Okey, itu sudah melampau!
“Errrr...” sungguh aku kepupusan kata sekarang ni. Aku masih lagi memikirkan apakah yang perlu aku panggil pada Mukhlis. Benar dia senior aku walaupun kami berlainan fakulti, dan seharusnya aku memanggil dia abang kalau mengikut aturan umur antara kami berdua.
“Kita duduk kat situ.” Mukhlis pandang kerusi yang terletak bersebelahan dengan vending machine yang menjual minuman.
Aku masih belum habis berkira-kira. Ibaratnya aku sedang mengira secara manual sahaja. Tak cukup jari tangan, jari kaki pun aku nak guna sekarang ni untuk berkira-kira adakah aku perlu menerima pelawaan Mukhlis itu. Kalau ikutkan darjah suka aku pada Mukhlis, aku tidak perlu membuat sebarang perkiraan pun. Atau aku hanya perlu tekan kalkulator saintifik untuk mendapatkan jawapan sama ada aku perlu menerima pelawaannya atau tidak.
“Jom...” Mukhlis cuit hujung lengan baju kurungku perlahan.
Okey, kali ini aku sudah ada jawapan. Perlahan-lahan aku merapati kerusi kayu atau bangku panjang itu. Duduk aje Humaira. Tak payah nak jual mahal sangat!
“Duduklah.” Mukhlis hulurkan air tin kepadaku.
Aku pandang lagi wajah Mukhlis, kemudian aku pandang pula mesin gedegang itu. Oh, aku panggil vending machines tu mesin gedegang sebab setiap kali beli air, mesin tu akan mengeluarkan bunyi gedegang selepas dia menjatuhkan tin air minuman. Mungkin dia membeli air itu sewaktu aku sedang larut dalam sesi kira mengira tadi.
“Kenapa?” Aku tidak duduk. Minuman yang dihulurkan oleh Mukhlis juga aku tidak ambil. Dan aku masih lagi buat jual mahal tidak mahu duduk.
“Ambillah, abang tak sempat nak tiup apa-apa pun.” Mukhlis unjukkan lagi tin minuman itu kepadaku. Dia tidak menjawab soalanku pun.
Aku gelengkan kepala. Tanda tidak mahu. Walaupun aku pernah sukakan dia tahap chenta mati, namun aku belum cukup kenal dia untuk mengambil air itu dengan senang hati.
Mukhlis duduk pada bangku kayu itu dan dia bermain-main dengan dua tin minuman di tangannya. “Duduklah Humaira. Abang ada benda nak cakap dengan Humaira.”
“Nak cakap apa?”
“Duduk dulu, baru abang cakap.” Dia tepuk perlahan bangku kayu itu. Isyarat supaya aku duduk.
Akhirnya aku mengalah. Duduk aje lah. Mungkin ini peluang pertama dan terakhir aku untuk duduk di sebelahnya. Mungkin ini satu-satunya peluang untuk aku berbual dengan Mukhlis. Beg galas aku pangku atas riba.
“Apa dia?”
“Humaira okey?” Soalnya sambil memandang tepat ke wajahku.
Aku rasa mukaku sudah memerah bagai buah ceri sekarang ini. Cepat-cepat aku larikan pandangan mataku. Mungkin kalau lebih lama aku biarkan Mukhlis memandang tepat ke wajahku, rasanya aku sudah bertukar menjadi dedebu seperi penjahat di dalam salah satu sekuel cerita Spiderman.
“Okey.” Jawabku sepatah.
“Terkejut?”
Aku anggukkan kepala. Jujur.
“Mesti Humaira pelikkan kenapa abang tiba-tiba ada kat sini. Lepas tu tegur Humaira pula.”
Aku angguk lagi. Tak payah aku cakap pun dia dah tahu.
“Hmmmmm...” Mukhlis berdehem panjang.
“Nak cakap apa sebenarnya ni?” Aku tanya soalan yang sama sekali lagi.
“Mula-mula abang nak ucap takziah. Mungkin dah terlambat, but better late than
never right?
“Terima kasih.” Oh...dia tahu juga tentang orang tuaku yang sudah meninggal dunia.
“Mana tahu?” Aku soal sambil pandang dia. Sekilas je.
“Ada orang beritahu.” Pendek dia jawab.
Nak je aku tanya dia balik, orang mana yang beritahu? Orang utan ke? Orang asli ke? Ke orang-orang yang beritahu dia. Tapi soalan itu tersekat kat hujung lidah aku. Aku belum cukup rapat untu bertanyakan soalan loyar buruk itu kepadanya.
Are you really okey?
Aku angguk lagi. Nampak sangat ke aku ni tak okey?
“Tadi jumpa Prof tanya pasal tesis ke?”
“Ha ah.” Serius aku rasa aku macam budak tadika kena marah dengan cikgu je sekarang ni. Sepatah-sepatah aku jawab soalan dari Mukhlis.
Giliran Mukhlis pula diam. Mungkin dia juga sudah kehabisan ayat soal. Rambut yang jatuh ke dahi dia kuak dengan tangan kanan. “Tak haus?” Dia masih belum berputus asa
nampaknya untuk bagi air tin kepadaku.
Kali ni aku geleng. Aku rasa lama-lama macam ni, boleh mati lemas kot. Lama kami  diam lepas tu. Masing-masing tidak tahu untuk cakap apa.
“Kalau tak ada apa-apa, saya nak balik.” Akhirnya aku memecahkan kesunyian  antara kami berdua. Takkan nak duduk tertonggok kat sini jadi orang bisu sampai petang. Beg galas aku angkat dari riba.
“Err, nanti dulu Humaira.” Dia bingkas bangun dari bangku kayu dan menghalang pergerakanku.
Aku sedikit kaget dengan tindakan Mukhlis yang tiba-tiba itu. “Ada nak cakap apa-
apa lagi ke?” Soalku sambil meletakkan semula beg galas yang sudah ku angkat tadi.
Mukhlis duduk semula di sebelahku. Dia jeda seketika.
Haish mamat ni nak cakap apa sebenarnya? Ke dia nak cakap yang dia suka kat aku? Sila jangan perasan ye Humaira!
“Ada siapa-siapa pergi rumah Humaira tak sebelum ni?”
“Siapa-siapa? Siapa?” Aku tanya dia balik. Ramai je yang datang rumah aku untuk menziarah selepas orang tuaku meninggal dunia.
Mukhlis diam lagi. Aduh, aku pula yang geram dengan dia. Cakap separuh-separuh memang boleh membuatkan aku mudah marah. “Abang ada datang rumah saya ke?” Ceh, soalan apa ni Humaira? Kau ingat kau siapa sampai Mukhlis nak datang rumah kau? Menyesal! Sumpah aku menyesal tanya soalan tu kat dia.
Mukhlis geleng kepala.
Dah agak dah, buat apa dia nak datang rumah aku kan. Kalau boleh nak je aku menyorok belakang mesin gedegang tu sekarang. Malu!
“Macam ni Humaira...” Lagi sekali Mukhlis tak habiskan ayat dia.
Aku dah tarik nafas panjang. Kalau dalam masa seminit dia tak sambung ayat dia, aku blah! Aku tundukkan pandangan ke bawah. Tengok sandal aku lagi baik dari pandang wajah Mukhlis. Sebab apa? Sebab tengok sandal warna hitam tu tidak membuatkan jantung aku berdegup laju. Kalau tengok wajah Mukhlis lama-lama, rasanya aku boleh kena serangan jantung kot.
“Ada tak pegawai dari JKM pergi rumah Humaira?” soal Mukhlis.
Aku alihkan pandangan pada Mukhlis. “Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat ke?”
Mukhlis angguk.
“Mana tahu?” Aku hairan binti pelik. Rasanya tiada sesiapa pun yang tahu akan kunjungan pegawai JKM ke rumahku. Waima kepada tiga rakan sekutuku pun tidak aku khabarkan tentang perkara itu. Macam mana Mukhlis yang tidak pernah menyapaku ini boleh tahu pula?
“Sebenarnya, Puan Rubiah tu ibu saudara abang.” Mukhlis kalihkan badannya menghadap ku.
 “Ibu saudara?”
Dia menganggukkan kepalanya.
“Jadi, abang beritahu dia suruh datang ambik adik-adik saya?” Aku sudah bingkas berdiri. Dadaku berombak kencang. Marah! Ya, aku sangat marah sekarang. Ternyata telahanku silap. Aku fikir jiran-jiran yang membuat laporan kepada pihak JKM. Tetapi Mukhlis, lelaki yang selama ini aku puja dalam diam yang cuba memisahkan kami adik beradik. “Tapi kenapa?”
“Abang cuma nak tolong.” Mukhlis juga turut berdiri.
“Tolong?” Aku kesat air mata yang sudah bergenang. Tunggu masa sahaja mahu gugur ke pipi. “Tolong pisahkan saya dengan adik-adik saya? Itu yang abang kata nak tolong saya?”
“Bukan macam tu Humaira...abang ikhlas nak tolong Humaira.”
“Saya tak perlukan pertolongan sesiapa pun. Saya boleh besarkan adik-adik saya sendiri. Kenapa mesti nak pisahkan kami semua? Kenapa?” Aku sudah tidak mampu menahan tangis. Kakiku sudah tidak berdaya untuk menampung badanku dari terus berdiri. Perlahan-lahan aku kembali duduk di bangku kayu.
“Jangan macam ni Humaira. Abang betul-betul nak tolong Humaira. Abang dengar Humaira nak berhenti belajar. Sebab tu abang minta tolong dengan ibu saudara abang. Kalau mereka ambil adik-adik Humaira pun...”
“Tidak, saya tak benarkan sesiapa pun ambil adik-adik saya.” Aku menyanggah kata-kata Mukhlis sebelum lelaki itu menoktahkan ayatnya.
“Humaira, dengar sini. Masa tu memang abang tak boleh fikir cara lain untuk tolong Humaira. Abang takut Humaira akan berhenti belajar.” Mukhlis masih lagi berdiri dihadapanku.
“Tapi saya masih di sini kan? Ya, memang saya ada terfikir untuk berhenti belajar. Tapi saya lebih rela berhenti daripada berpisah dengan adik-adik saya.”
“Humaira...abang minta maaf.” Mukhlis raup mukanya dengan kedua tangan. “Mungkin abang tak berfikir panjang masa tu. Abang cuma terfikir itu sahaja cara yang abang boleh buat untuk tolong Humaira. Cuma tinggal dua semester je, sayang kalau Humaira tak habiskan pengajian.”
“Terima kasih atas niat abang untuk tolong saya, tapi saya tak akan terima sebarang pertolongan yang boleh memisahkan keluarga saya. Apatah lagi dari orang yang tidak rapat dengan saya.”
“Abang tahu kita tidak cukup rapat. Tapi percayalah Humaira, abang betul-betul nak tolong Humaira.”
Air mata yang membasahi pipi aku lap dengan hujung tudung bawal. Aku bangun semula dari bangku kayu itu. Mukhlis juga turut bangun. Rasanya, ini sudah kali ketiga kami berdua melakukan senaman duduk bangun di bangku kayu.
“Humaira...”
“Saya nak balik.” Aku atur langkah dan berlalu dari situ. Air mata yang sudah berhenti mengalir kembali menitis laju ke pipi. Dalam sekelip mata, hilang sudah rasa cinta yang sekian lama bersarang di hati. Tapi benarkah rasa itu adalah cinta? Atau pun rasa itu sekadar suka atau minat sahaja? Kalau benar rasa itu adalah cinta, mudah benarkah untuk rasa itu hilang dalam sekelip mata?
“Tunggu dulu Humaira. Abang belum habis cakap lagi.”
Langkahku terhenti apabila batang tubuh Mukhlis pergerakanku. Aku tarik nafas. Dalam dan panjang. Mahu apa lagi? “Tepilah, saya nak lalu.”
“Abang minta maaf Humaira.” Mukhlis masih belum berganjak.
“Tak ada apa yang nak dimaafkan.” Aku lencongkan langkah kakiku ke kiri memandangkan dia langsung tidak mahu bergerak dari hadapanku. Kunci kereta aku keluarkan dari poket hadapan beg sandangku.
“Humaira...” Mukhlis masih lagi mengekori langkahku menuju ke kereta.
“Tolong jangan ikut saya.” Ujarku sambil menekan alarm kereta. “Saya anggap saya tak pernah bercakap atau jumpa dengan awak hari ni. Jadi, tolong lupakan apa yang awak dah buat dan jangan cari saya lagi lepas ni.” Aku buka pintu kereta dan terus masuk ke tempat duduk pemandu. Langsung tidak aku pedulikan Mukhlis yang masih tegak berdiri di luar kereta. Kalau tadi, aku cukup selesa memanggilnya dengan ganti nama abang, tapi kini panggilan itu sudah berganti dengan awak sahaja. Rasa marah, atau lebih tepat lagi rasa kecewa dengan apa yang telah dilakukan oleh Mukhlis membuatkan kata ganti diri awak saya lebih sesuai untuk aku dan dia. Kalau difikirkan kembali, kami berdua tidak cukup rapat untuk aku memanggilnya dengan panggilan abang. Humaira, berpijaklah di bumi yang nyata. Anggap sahaja apa yang berlaku tadi hanyalah mimpi! Ya, mimpi sahaja Humaira. Buang sahaja Mukhlis dari ingatan mulai dari saat ini. Mana mungkin aku mahu terus memuja lelaki yang mahu memisahkan aku dari adik-adikku? 

Tamat. Itulah pengakhiran kisah cinta sebelah pihak antara aku dan Mukhlis. Mulai hari ini, segala rasa suka aku terhadap lelaki itu luput ditelan bumi. 

No comments:

Post a Comment