Friday, 13 January 2017

A.D.A(Anak Dara Abah) ~ Bab 3 ~ Norisah A. Bakar

Keteng!  Keteng!  Keteng!      
"Oiii, bisinglah, kak! Nak abah marah lagi ke?" Sergah Ayu dengan bisikan keras, menyebabkan terhentinya bunyi hentakan yang mendesing di lubang telinganya sejak dari tadi.  Sedikit terjegil matanya merenung Ona yang sedang berdiri di depan dapur gas dengan muka ronyok seribu.  Sudah dirasuk hantu agaknya tiba-tiba mengamuk ketika memasak.  Habis periuk yang tidak bersalah itu Ona ketuk dengan senduk besi berkali-kali.  Nasib baiklah kalau periuk yang diketuk itu tidak bocor.  Kalau rencah yang sedang ditumis di dalam periuk terpercik ke tangan dan muka nanti, tidak fasal-fasal pula tangan dan muka yang putih dan gebu itu akan bertanda dengan parut bekas lecur.  Ona kalau sudah marah, selalu ikutkan perasaan.  Sesedap hatinya sahaja mengamuk dengan apa sahaja barang yang ada di tangan.  Sebab itulah harta benda abah banyak yang jahanam di tangan Ona.   
Ona pamerkan muka masam.  Sejak kena marah dengan abah tadi tampangnya sudah begitu.  Sampai tidak berani Ayu hendak membantah apabila disuruh membuang ekor tauge di meja makan.  Padahal kalau ikut perjanjian sejak dulu lagi tugas Ayu cuma mengemas rumah sahaja.  Lagi pun ruang depan dan bilik tidur belum sempat dia kemas lagi tetapi sudah dipanggil ke dapur untuk membantu Ona.   
Ayu fikir, tidak mengapalah hari ini dia mengalah pada Ona asalkan hati Ona kembali sejuk.  Tetapi siapa sangka dalam diam Ona melepaskan protes terhadap abah.  Itu yang sampai mengetuk periuk gulai berkali-kali dengan senduk besi.  Bingit betul Ayu dengar!           
Suasana di ruang dapur menjadi senyap seketika.  Yang terdengar hanya desir rencah yang ditumis Ona semakin garing dimamah minyak panas di dalam periuk.  Sejurus harum gulai asam pedas mulai merata ke seluruh ruang.  Ona meletakkan senduk di atas piring sebelum datang dan duduk di depan Ayu di meja makan.   
"Kakak tak puas hati, tau!"
Terangkat lagi mata Ayu mengerling Ona.
"Tak puas hati fasal apa lagi?" Ayu sedikit jengkel.  Sejujurnya dia rimas kerana Ona tidak habis berdendam.  Pantang kena marah sedikit dengan abah, mulalah Ona buat perangai.  Padahal salah Ona juga kerana tidak habis bisingkan anak-anak kucing itu sampai berani bergaduh dengan Makcik Senah.   
"Abah itulah, kan kakak dah minta maaf dengan Makcik Senah.  Tapi abah tetap marahkan kakak juga macamlah kakak yang bersalah.  Padahal Makcik Senah sendiri dah kata tadi, dia yang letakkan anak-anak kucing tu di tempat kita.  Kucing-kucing tu dah kotorkan tempat kita dan jahanamkan pokok-pokok kita.  Kalau kakak marah pun memang patut, kan?"
Setelah apa berlaku, Ona mengharapkan abah faham dengan alasannya.  Bukanlah dia jenis yang suka mencari fasal dengan orang.  Sudah Makcik Senah yang mulakan dahulu mengganggu ketenteraman hidup mereka sekeluarga dengan kucing-kucing itu.  Takkan dia hendak diamkan. 
"Abah kan tak suka kita biadab dengan orang tua.  Lagi pun Makcik Senah tu jiran kita.  Tak elok kan bergaduh sesama jiran.  Dan kakak pun satu… yang kakak pergi gertak Makcik Senah nak telefon polis tu buat apa? Kan orang tua tu dah panik.  Macam besarlah sangat perkara sampai nak panggil polis.  Buat gelak orang saja tau kalau dengar." 
Terlepas juga gelak Ayu.  Lucu apabila mengenangkan gelagat Ona yang kalut pagi-pagi hari tadi.  Hanya kerana kucing, Ona sampai hendak menelefon polis.  Apakah Ona fikir polis hendak layan ke aduan seperti itu?     
Jelingan Ona menyapu tajam wajah Ayu yang sedang terkekeh-kekeh geli hati.
"Bagus juga kakak gertak nak telefon polis.  Kalau tak, sampai sekaranglah kucing-kucing tu masih bersepah di luar sana.  Dahlah besok kakak kerja.  Macam mana nak keluar rumah kalau binatang-binatang tu terus bergayut di pintu pagar rumah kita?  Entahkan baru saja buka pintu, semua dah menderu masuk ke dalam rumah.  Siapa nak tolong tangkapkan nanti?  Ayu berani?" 
"Alah, takut sangat dengan kucing.  Macamlah kucing-kucing tu makan orang." Ayu sedikit menjeling kakaknya.     
"Memang tak makan orang, tapi boleh cakar orang.  Ayu belum pernah kena cakar dengan kucing lagi, kan?  Jadi, jangan nak gelakkan kakak sesuka hati Ayu, okey?  Kalau dah kena, baru tahu sakitnya macam mana." 
Terketap bibir Ona melihat senyum sinis Ayu mengejeknya.  Pantas dia bangun dari kerusi lalu mematikan api dapur gas.  Gulai asam pedas yang sudah siap dimasak itu ditutup dengan tudung periuk.  Senduk dan piring kotor dibawa ke singki untuk dicuci.
"Kasihan Ayu dengan Lela, tau.  Nak sangat dia bela kucing." Terluah juga nada kesal Ayu yang dipendam sejak tadi.  Sehingga kini dia masih terkilan dengan apa yang berlaku.  Sepatutnya Lela dibenarkan membela seekor daripada anak-anak kucing itu.  Tidaklah Lela sedih sangat seperti tadi.     
"Yalah, nak bela kucing, belalah di tempat sendiri.  Ni yang campak ke rumah orang, apa ke jadahnya?  Kalau tempat kita kotor, ada dia nak tolong bersihkan? Kalau ada jiran kompelin kucing kotorkan tempat mereka, siapa yang mereka cari?  Tak fasal-fasal kita pula kena saman dengan majlis bandaran nanti kerana mereka ingat kucing-kucing tu kita yang punya."Ona tidak mahu kalah dengan hujahnya.   
Ayu bingkas dari kerusi seraya mencampakkan segenggam tauge yang sudah dibuang ekor ke dalam besen hijau di hadapannya.  Malas dia hendak berdebat dengan Ona yang kalau sudah bercakap, tidak pernah mahu kalah.  Cakap dia sahaja yang betul, yang dia hendak orang lain dengar.  Sebab itu jugalah Ona selalu kena marah dengan abah.  Abah tahulah anak abah yang mana satu yang terlebih-lebih degil dan suka sangat melawan cakap-cakap abah selama ini.
"Dahlah.  Ayu nak kemas bilik pula." Bertindan rasa kesal memenuhi dada Ayu.  Setelah ketiadaan kucing-kucing itu kini, tidak ada peluang lagilah untuk dia bermain-main dengan Lela dan Izam seperti dulu.   
Kedua-dua anak kecil itu sudah mendapat tempat di hatinya semenjak dia ikut bermain dengan kucing-kucing itu bersama mereka.  Lela yang berumur lapan tahun, ternyata seorang yang bijak serta petah berkata-kata.  Sementara Izam yang berumur lima tahun itu pula, sungguhlah montel budaknya.  Kalau tidak ingat yang Izam itu anak orang, mahu sahaja Ayu peluk-peluk macam dia peluk patung beruangnya yang dia namakan Popcorn.  Tetapi Lela pernah berkata, adiknya yang bernama Izzul lagi montel daripada Izam.  Kalau Kak Ayu lihat, mesti Kak Ayu suka.   
Namun sehingga kini Ayu belum pernah lagi nampak adik Lela yang bernama Izzul itu.  Ada tidak ada, seekor anak kucing yang berbulu putih itu telah Lela namakan Izzul.  Lela kata sempena nama adiknya yang dia sayang itu.   
Sebenarnya, banyak lagi yang Ayu tidak tahu tentang keluarga Makcik Senah.  Menurut Makcik Fauziah, Makcik Senah sekeluarga jenis yang tidak campur orang.  Sebab itu Ayu tidak pernah nampak Lela dan Izam bermain-main dengan anak-anak jiran yang lain, hatta yang duduk satu deret dengan mereka.  Hanya sekali dua sahaja Ayu ternampak Lela dan Izam bermain 'kuti-kuti' di ruangan depan tangga antara tingkat lima dan tingkat empat.  Itu pun kerana rumah Makcik Senah di tingkat lima, betul-betul di sebelah tangga itu.  Dan rumah mereka pula di tingkat empat, betul-betul di bawah rumah Makcik Senah di sebelah tangga yang sama itu.
Sehingga kini Ayu belum pernah lagi nampak kelibat ibu bapa Lela dan Izam.  Lela pernah bercerita yang ayahnya seorang guru.  Lela kata, ayahnya boleh menjadi garang sekiranya dia dan Izam tidak mendengar kata.  Sehingga kini Lela belum pernah lagi menyebut fasal ibunya.      
Baru melangkah setapak ke beranda belakang untuk mengambil penyapu dan penyodok sampah, loceng rumah tiba-tiba berbunyi.  Ayu menoleh dan bertembung pandang dengan Ona.  Ona mengetap bibir.   
"Orang jualanlah tu." Ona berpaling dan mula membersihkan dapur gas semula.  Malas hendak melayan orang yang datang berjualan itu. 
Memang sudah menjadi kebiasaan pada setiap hujung minggu akan ada sahaja orang yang datang berjualan dari rumah ke rumah di blok mereka ini seperti menjual kurma walaupun bukan bulan Ramadan.  Atau yang datang berjualan segala macam produk makanan ringan untuk tujuan amal.  Tidak ketinggalan juga yang datang memungut derma untuk rumah-rumah kebajikan, baik untuk rumah kebajikan di dalam negeri mahupun yang di seberang tambak sana nun.   
Yang dari seberang tambak itulah kadang-kadang buat Ayu ragu-ragu hendak percaya.  Tetapi seperti abah selalu berpesan, kalau orang sudah datang meminta, berikanlah sahaja.  Atau yang datang berjualan itu, sekiranya kita tidak mahu membeli barangan mereka sekalipun, sekurang-kurangnya sedekahlah sedolar dua untuk duit penat mereka menapak dari tingkat ke tingkat membawa barang jualan mereka.  Sama ada mereka jujur atau tidak, menipu atau tidak, itu urusan mereka dengan Tuhan.  Diri kita ini, kata abah lagi, biarlah selalu bersangka baik pada orang.  Kerana hidup akan terasa aman bahagia sekiranya hati kita bersih.                        
"Tengok dulu… jangan buka sembarang.  Manalah tahu kalau ada kucing panjat lagi pintu pagar rumah kita."
Ucapan Ona itu mematikan langkah Ayu di muka pintu dapur.  Pantas Ayu menoleh.  Dahinya berkerut sedikit dan bibirnya terherot seperti hendak melepaskan tawa.       
"Kucing tekan loceng pintu rumah kita ke?  Merepek sajalah Kak Ona tu." Terlepas juga gelak sinis Ayu.  Memang sahlah Ona sudah fobia dengan anak-anak kucing itu.  Janganlah tidur malam Ona nanti sampai mengigaukan anak-anak kucing yang dia aniaya itu.   
Ayu melanjutkan langkah ke ruang tamu.  Sampai di depan pintu, mata sebelah dilekapkan ke lubang intip.  Sejurus tangannya memulas tombol pintu.  Pintu dibuka lebar.  Senyumnya menyapa Lela yang sedang tercegat di luar bersama Izam.
"Nenek kasi." 
Bulat mata Ayu memandang kuih lompang yang tersusun cantik di dalam pinggan yang diunjuk Ayu kepadanya.  Amboi!  Meriahnya warna.  Merah.  Putih.  Hijau.  Kuning.  Biru.  Dan ungu.  Hanya kelabu asap sahaja yang tidak ada.   
Ayu tersengih suka.   
"Nenek ke yang buat ni?"
"Haah."
Seingat Ayu, inilah pertama kali Makcik Senah menghantar juadah ke rumah mereka.  Mungkinkah kerana Makcik Senah ingin berdamai setelah berselisih faham dengan Ona tidak sudah-sudah? 
"Apa nama kuih ni?" Sengajalah Ayu ingin menduga Lela.   
"Lompang."
"Lompang? Kenapa diberi nama lompang?"
"Sebab ada lubang di tengahnya.  Macam kolam untuk itik berenang." 
Terkekeh-kekeh Lela ketawa.  Dia yang buat lawak, dia juga yang geli hati sendiri.  Ayu pun ikut ketawa.  Terhibur melihat Lela gembira.  Barangkali Lela sudah melupakan kesedihannya tadi kerana kehilangan anak-anak kucing itu.  Barangkali Makcik Senah buat kuih lompang ini pun untuk menghiburkan hati Lela juga.   
"Beritahu nenek Lela… Kak Ayu kata terima kasih banyak-banyak.  Nanti Kak Ayu pulangkan pinggannya, ya?"
"Sama-sama." Lela membalas perlahan.  Tangan Izam diraih dan sama-sama mereka mendaki anak tangga ke tingkat atas.  Ayu memerhatikan Lela dan Izam sejenak sebelum kembali menutup pintu.  Pinggan berisi kuih lompang pemberian Makcik Senah itu ditatang ke dapur.  Ona yang sedang menggoreng tauge spontan menoleh ke belakang sebaik dia datang.
"Kuih apa yang Makcik Fauziah beri tu?" Sempat lagi Ona menjenguk ke dalam pinggan yang Ayu letakkan di atas meja makan.  Kelihatan isi pinggan beraneka warna dengan taburan kelapa parut di atasnya.  Kuih lompang agaknya.
Memang Makcik Fauziah rajin membuat kuih-muih tradisional.  Selain menerima tempahan daripada jiran tetangga untuk majlis kenduri-kendara, Makcik Fauziah juga ada membuka kelas memasak di rumahnya.  Nanti ramailah suri rumah serta wanita muda yang berkerjaya, datang belajar dengan Makcik Fauziah pada setiap hari Sabtu.     
Oleh sebab mereka sahaja jiran Melayu yang tinggal sama tingkat dengan Makcik Fauziah, maka dapat jugalah mereka merasa kuih-muih yang dimasak oleh Makcik Fauziah.  Tahu jugalah mereka rupa dan rasa talam banjar, dangai pulut, badak berendam dan lompat tikam macam mana.     
"Bukan Makcik Fauziah bagilah, kak."  Kata Ayu seraya duduk di kerusi.   
"Habis tu siapa?" 
"Cubalah teka."  Meleret senyum Ayu mengusik kakaknya, Ona.
"Makcik Tiah?"
"Salah."
"Kak Syaza?"
"Juga salah."
"Kalau bukan mereka berdua, siapa yang bagi?" 
Seingat Ona, hanya Makcik Fauziah sahaja jiran yang rajin menghantar juadah ke rumah mereka.  Makcik Fauziah memang terkenal sebagai juara memasak di blok mereka.  Tidak seperti jiran mereka yang lain, yang kebanyakan mereka ibu-ibu muda yang bekerja.  Manalah mereka ada masa hendak memasak yang enak-enak, kemudian berkongsi juadah yang mereka masak itu dengan jiran tetangga.  Banyak ketika pula mereka lebih suka makan di luar daripada memasak sendiri untuk keluarga.        
“Kawan baik kakaklah.  Kawan yang selalu kakak ajak bertekak tu." 
Ayu sudah ketawa.  Ona yang tercengang seperti orang tidak percaya itu betul-betul kelihatan lucu di matanya.          
"Makcik Senah?" Kening Ona terangkat.   
"Siapa lagi?" Ayu tidak habis ketawa lagi.   
Ona segera mematikan api dapur gas sebelum datang dekat ke meja makan.  Kuih lompang dalam pinggan Pyrex putih dengan motif mawar merah hati di pinggirnya, dipandang dengan penuh minat.  Biar betul Makcik Senah hantar juadah ini ke rumah mereka.  Setelah banyak kali menyakitkan hatinya, hari ini Makcik Senah berlagak baiklah pula.  Macam ada muslihat sahaja.  Macam hendak beli jiwa Onalah sahaja.      
"Dia nak berdamai dengan kakaklah tu. Dia tahu dia yang bersalah." 
Macam tahu-tahu sahaja Ayu apa yang sedang Ona fikirkan.  Pada masa yang sama dia berharap Ona akan sejuk hati dengan pemberian Makcik Senah ini.  Setelah apa berlaku, Ona patut bersyukur yang Makcik Senah tidak simpan dendam atau marah dengannya.   
Ona mendengus.  Walaupun hatinya sedikit terpujuk dengan pemberian Makcik Senah ini, namun tidak pula dia mahu tunjukkan perasaan sebenarnya kepada Ayu.  Dibelek serta diperhatikan sahaja kuih lompang itu seperti membelek sesuatu yang aneh, yang belum pernah dia lihat sebelum ini.  Ayu sudah tergelak lagi.  Geli hati melihat gelagat kakaknya yang serupa orang jakun.
"Kuih lompanglah, kak.  Macamlah kakak tak pernah makan.  Ke kakak takut nak makan?  Takut Makcik Senah bubuh racun dalam kuih tu ke?"        
Usikan Ayu itu tidak dibalas Ona.  Dengan rasa teruja diambil sebiji kuih lompang yang berwarna merah jambu dari pinggan.  Setelah melafazkan bismillah, kuih lompang itu dibawa ke mulut.  Selepas dua tiga kali kunyah, kepalanya mulai terangguk-angguk.   

Hmm... boleh tahan sedap.  Pandai juga Makcik Senah memasaknya.  Pandai juga Makcik Senah melancarkan strategi berkesan untuk mengambil hati Ona.  Ini yang buat Ona terlebih suka dan terasa sejuk hati mahu memaafkan Makcik Senah.  Baiklah Makcik Senah.  Mulai hari ini berdamailah kita sesama jiran.  Dan terima kasih daun keladi.  Lain kali, bolehlah hulur-hulur lagi juadah sesedap ini!

1 comment:

  1. SELAMAT DATANG DI WWW.TOKO4D.NET
    *** 1 USER ID UNTUK SEMUA GAME ***
    SPORTBOOK | LIVECASINO | E-GAMES | TOGEL | POKER | SABUNGAYAM
    Toko4d Tersedia 8 Pasaran Terbaik...
    Discount : 2D : 29% | 3D : 59% | 4D : 66%
    www.prediksitogeltoko4dd.blogspot.com
    - Singapore
    - Sydney
    - Hongkong
    - Magnum4d
    - Kuching
    - Wales
    - Serbia
    - Petaling
    Promo Terbaru TOKO4D.NET :
    - Bonus Deposit MEMBER BARU Sportbook 100%
    - Bonus Deposit Sportbook 30% Setiap Hari
    - Bonus Deposit 10% Setiap Hari Untuk Semua Game
    - Bonus Casino Rollingan 0.8% Setiap Hari Senin
    - Bonus Cashback Sabungayam 15%
    - Bonus Cashback Sportbook 15%
    - Bonus Cashback E-Games 20%
    - Bonus Cashback Mixparlay 100%
    - Bonus Rollingan Poker & domino 0,3%
    - Bonus Referall 2% Semua Game
    - Bonus Referall 1% dari member Togel
    MIN DEPO & WD CUMA Rp.50.000,-
    BCA - MANDIRI - BRI - BNI - DANAMON
    UNTUK INFORMASI SELANJUTNYA BISA HUB KAMI DI :
    LIVECHAT TOKO4D.NET 24 JAM ONLINE
    Pin BBM : D8AEF213 | 2BAA30F5
    LINE : TOKO4D
    WECHAT : TOKO4DCS1
    SKYPE : TOKO4D
    GMAIL : toko4d@gmail.com
    WA +855973820012

    Togel Online
    Kasino Online
    Agen Sabung Ayam
    Judi Casino
    Agen Casino
    Agen Togel
    Judi Togel
    Agen Judi
    Judi Online
    Judi Casino
    Agen Casino
    Judi Bola
    Agen Bola

    ReplyDelete