Monday 9 January 2017

A.D.A(Anak Dara Abah) ~ Bab 2 ~ Norisah A. Bakar

Sudah tentulah abah terkejut dengan apa yang berlaku pagi itu.  Kebetulan waktu abah sampai ke rumah, Makcik Senah sedang menemani cucu-cucunya memungut anak-anak kucing yang sedang bermain di halaman rumah abah.  Anak-anak kucing itu Lela dan adiknya, Izam letakkan ke dalam kotak besar tempat kucing-kucing itu tidur di waktu malam.  Entah apa yang dikatakan Makcik Senah kepada abah, abah terus buka pintu rumah dan segera melaungkan nama Ona.  Terkocoh-kocoh Ona datang sebaik mendengar suara abah.  Melihat air muka abah tegang, kecut juga perut Ona.  Ona dapat rasakan yang dia bakal kena marah dengan abah nanti.  Semuanya gara-gara dia menggertak Makcik Senah, konon hendak panggil polis pagi-pagi tadi.  Abah bukannya peduli siapa betul siapa salah.  Janji anak-anak abah jaga tingkah laku dan tidak berlaku kurang ajar dengan orang tua.                     
"Apa hal ni, Ona?" abah terus bertanya.   
Walaupun abah tampak tenang, tetapi air muka abah cukup meyakinkan Ona yang abah sebenarnya sedang memendam marah dalam hati.  Ona jadi gugup berhadapan dengan abah.  Sempat lagi dia jeling Makcik Senah yang sedang sibuk mengarahkan Lela dan Izam supaya memungut segala ‘harta benda’ kepunyaan kucing-kucing itu yang bersepah di halaman rumah mereka.  Apa pun tanggapan dan reaksi abah terhadapnya sekarang, Ona tetap bersyukur kerana gertakannya hendak memanggil polis pagi-pagi tadi telah menakutkan Makcik Senah, sehingga wanita separuh umur itu tidak berlengah lagi terus bertindak pantas dengan membersihkan halaman rumah mereka secepat mungkin.  Memang padanlah muka Makcik Senah! 
"Ona?" Abah mendesak dengan nada rendah.  Ona jadi gugup dan tidak tentu arah.       
"Err... Ona takut kucing!" 
Terkulat-kulat Ona memandang abah.  Ona harapkan abah faham dengan trauma yang Ona alami.  Kalau abah ingat lagi, Ona pernah kena cakar dengan kucing arwah Tok Yang dulu sehingga dia jadi takut dengan binatang itu sampai kini.   
Tetapi walaupun Ona buat muka sedih di depan abah, Ona tahu abah mana ingat lagi pada insiden yang berlaku ke atas diri Ona semasa Ona kecil dulu.  Tumpuan dan minat abah ketika ini hanya pada perkara yang Ona telah mulakan dengan Makcik Senah pagi-pagi tadi.  Abah ternyata tidak suka dengan cara Ona berurusan dengan Makcik Senah.  Hanya kerana kucing, Ona gertak hendak telefon polis? Mengada-ada betul Ona ni tau! 
Makcik Senah menegakkan tubuh sebaik terlihat Makcik Fauziah keluar dari rumahnya di seberang koridor sana.  Pagi-pagi lagi Makcik Fauziah sudah siap membasuh.  Siap hendak menyidai pakaian yang sudah dibasuhnya itu di penjemuran yang didirikan di depan pintu rumahnya.   
Makcik Fauziah menoleh ke arah mereka.   
"Apa hal tu pagi-pagi lagi dah kecoh?" Makcik Fauziah menayangkan sengih.   
Ona dapat mengagak yang Makcik Fauziah mesti sudah tahu punca kekecohan yang berlaku di halaman rumah jirannya ini dan Makcik Fauziah berasa geli hati sendiri.  Apa lagi yang selalu buat Ona bingit, kalau bukan fasal anak-anak kucing Si Lela itu? 
Alah, Makcik Fauziah bolehlah gelak geli hati kerana kucing-kucing Si Lela itu tidak menceroboh ke halaman rumahnya.  Cuba kalau kucing-kucing itu pergi mengganggu ke tempatnya, Ona boleh agaklah, mesti Makcik Fauziah juga tidak akan suka.  Mesti Makcik Fauziah akan bertikam lidah juga dengan Makcik Senah tanpa mempedulikan jiran sekeliling yang hendak menikmati pagi minggu mereka ini dengan tidur yang nyaman.   
Makcik Senah meletakkan tangan sebelah di pinggang rampingnya yang berbalut kain batik lusuh berwarna hijau lumut.   
"Ni, hah… fasal kucing-kucing nilah.  Kita nak buang jauh-jauh.  Biar jangan ganggu orang lain lagi." Jelas Makcik Senah.  Serupalah kata-katanya itu seperti sindiran di telinga Ona yang nipis.  Tetapi hati Ona tidak terkesan langsung.  Lagilah dia suka kerana akhirnya Makcik Senah telah sedar betapa kucing-kucing kepunyaannya itu telah menyusahkan hidup jirannya yang tinggal di tingkat bawah rumahnya.   
Makcik Fauziah menyeringai lebih panjang lagi.  Tidak jadi dia hendak menyidai pakaian yang sudah dibasuhnya itu.  Ditinggalkan sahaja baldi berisi pakaian basah itu di tepi pintu rumahnya yang sudah bertutup rapat.  Lambat-lambat dia menghampiri Makcik Senah dan abah.  Makcik Senah kembali mengarahkan cucu-cucunya supaya membersihkan tumpahan susu di atas lantai dengan kertas surat khabar.  Terbongkok-bongkok Lela dan Izam menurutkan arahan nenek mereka tanpa membantah.  Mulut Ona pula yang gatal ingin segera menyuruh Lela memungut dulang pasir berisi najis kucing-kucing itu.  Geli betullah dia tengok.  Terasa akan terkeluar segala isi perutnya apabila memandang dulang pasir itu lama-lama.
"Ganas juga kucing-kucing ni, ya?" Makcik Fauziah bersuara lagi sebaik menjenguk ke dalam kotak yang mengandungi anak-anak kucing itu.   
Dilihatnya kucing-kucing itu sedang berusaha hendak memanjat keluar.  Ada yang sibuk mencakar dinding kotak seolah-olah melepaskan geram.  Kasihan juga dia melihatkan keadaan kucing-kucing itu.  Tetapi hendak buat macam mana lagi?  Daripada mengotorkan tempat orang, lebih baik dibuang jauh-jauh.  Satu masalah juga hendak membela anak-anak kucing sebanyak lima ekor itu di rumah pangsa.  Mesti ada jiran yang tidak suka.  Mesti ada yang akan kompelin.  Gelilah.  Kotorlah.  Mengganggulah.  Macam yang selalu dibuat oleh Si Ona itu.     
"Itulah, kita sendiri pun takut nak bela sebenarnya.  Tapi budak-budak ni, tahu nak buat main saja.  Tentang nak bersihkan tempat dan menjaganya, malas." Makcik Senah berleter perlahan.  Sebelah tangannya menggaru-garu dagu yang terasa gatal tiba-tiba.  Sementara matanya tunak memerhati Lela dan Izam bersungguh-sungguh membersihkan tumpahan air susu di atas lantai.  Sudah kena marah tadi dengan ayah mereka, barulah mereka hendak mendengar kata.  Tidak fasal-fasal mereka dikejut supaya bangun awal hari ini.  Mereka disuruh memungut anak-anak kucing itu serta membersihkan halaman rumah jiran mereka ini yang bersepah dengan barangan kucing.
"Biasalah, Senah… budak-budak, tapi ke mana awak nak buang kucing-kucing ni? Tak kasihan ke kalau dimakan anjing nanti?"
Sebaik Makcik Fauziah menyebut ayat terakhir itu, terhenti Lela daripada menyental lantai.  Mendadak kepalanya didongakkan ke arah Makcik Senah.   
"Tak pedulilah kita, Cik Fauziah.  Janji kucing-kucing tu tak ganggu orang lagi.  Kita dah malas nak fikirkan nasib mereka.  Banyak lagi kerja kita nak buat di rumah.  Kerja kita menjaga cucu.  Bukan menjaga anak kucing." Balas Makcik Senah dengan suara tegas.  Tidak kuasa lagi hendak memikirkan tentang kucing-kucing itu.  Selagi anak-anak kucing itu tidak dinyahkan jauh-jauh, selagi itu jugalah dia akan selalu bertelagah dengan anak jirannya yang seorang itu.  Rasa-rasa Makcik Senahlah, melayan kerenah anak jirannya yang seorang itu lebih memenatkan daripada melayan kerenah cucu-cucunya yang dua orang ini.  Kalau cucu, boleh sahaja dia cubit sekiranya degil.  Tetapi anak dara yang garang seperti Si Ona itu, huh… minta simpang malaikat 44… janganlah sampai menjadi menantu.  Tidak mahulah Makcik Senah sampai pisang berbuah dua kali.   
Terloncat Lela daripada cangkungnya.  Tubuh kecil Makcik Senah dipaut kejap.  Kepalanya terdongak, memandang muka neneknya sambil mencebik hiba.      
"Nenek.  Jangan buang kucing.  Lela sayang kucing." 
Sekejap saja air mata Lela sudah berlinang bagaikan empangan pecah melimpahkan air.  Bergerak-gerak bahu kecilnya melayan sendu yang datang secara tiba-tiba.  Makcik Senah mengetap bibir.  Ditahan rasa sebak dan serba salah yang menggasak dadanya dengan gelagat Si Lela itu.   
"Laaa, kan ayah dah kata tak boleh tadi, janganlah degil.  Siapa nak jaga kucing-kucing tu?  Nenek sendiri takut nak bela.  Lela pula sekolah.  Mana ada masa nak jaga?" 
Waktu itu Ona telah melontarkan jelingan maut ke arah Makcik Fauziah yang sedang tersengih girang bagaikan tidak ada apa-apa berlaku.  Sukalah hati Makcik Fauziah dapat menonton drama sensasi seperti ini.  Kerana mulut celopar Makcik Fauziah jugalah kini Lela jadi panik dan sedih.  Yang sebut fasal anjing makan kucing tadi itu buat apa?  Kenapa tidak cakap sahaja begini: Tak apalah Lela, mari letakkan kucing-kucing tu di tempat makcik.  Biar makcik tolong bela.
Makcik Senah meletakkan kedua-dua belah tangan ke pinggang bagaikan ingin tunjuk garang pada cucunya, Si Lela itu.  Tetapi dengan air muka Makcik Senah yang lembut, mana mungkin budak degil seperti Si Lela itu hendak rasa takut.  Bahkan digoncang-goncangnya pula tubuh neneknya yang kecil itu sambil merayu-rayu agar tidak dibuang anak-anak kucing itu.   
"Lela boleh jaga nek, Lela boleh jaga.  Nanti Lela jaga elok-elok.  Nenek janganlah buang kucing.  Lela sayang kucing." 
Makcik Senah melepaskan nafas penat.  Penat melayan kerenah cucu yang manja seperti Si Lela ini.   
"Cakap kamu saja nak jaga elok-elok.  Tapi sampai masa nanti nenek juga yang kena jaga, kena kasi makan, kena bersihkan tempat berak kucing-kucing tu.  Kamu… buat tak tahu saja.  Kamu kan tahu nenek selalu sibuk.  Sibuk nak masak.  Nak membasuh.  Nak hantar adik kamu ke sekolah lagi." 
Makcik Senah memang tidak mahu mengalah lagi dengan Lela.  Sudah cukuplah kesilapannya membenarkan Lela membela sekejap ibu kucing yang sedang sarat mengandung itu, yang Lela kutip dari pasar.   
Lela kata, dia kasihan dengan ibu kucing yang tidak ada tempat selamat untuk melahirkan anak-anaknya.  Sebab itulah dia bawa balik ke rumah.  Tetapi dengan adanya anak-anak kucing itu sekarang, semakin bertambahlah kerja Makcik Senah di rumah.  Daripada sibuk menguruskan kerja-kerja rumah dan cucu, terpaksa juga Makcik Senah menguruskan hal kucing-kucing itu.   
Kalau menjaga cucu, ada juga hasil yang Makcik Senah dapat.  Setiap bulan, penat lelahnya dibayar oleh ayah Si Lela dan Si Izam itu.  Tetapi menjaga anak-anak kucing terbiar itu, apa yang Makcik Senah dapat hanyalah penat.  Sudahlah itu, bersengketa pula dengan anak jirannya yang bernama Ona itu tidak sudah-sudah.     
Makcik Senah tidaklah sekejam mana pun terhadap kucing-kucing terbiar itu.  Sekiranya dia tidak geli dan takut dengan kucing, mahu juga dia bela anak-anak kucing itu di rumah sendiri.  Hendak harapkan Lela membelanya? 
Huh!  Rajin Lela cuma sebentar sahaja…selagi Lela suka bermain dengan kucing-kucing itu.  Nanti sebaik jemunya datang, ditinggalkan sahaja binatang-binatang itu merayau ke sana sini, tidak diawasi lagi.  Tahu-tahu sahaja nanti anak-anak kucing itu bagi bersepah halaman rumah jiran dan jiran pun datang mengadu kepada Makcik Senah kucing-kucing itu telah mengotori tempat mereka.  Memang kebanyakan penghuni rumah pangsa ini tidak suka pada kucing.  Pantang kalau ternampak seekor tersesat ke halaman rumah mereka, mulalah mereka hambat dengan penyapu.  Nama hendak berasa belas dan memberi kucing itu makan, langsung tidak.  Sudah beberapa kali juga Lela kena marah dengan ayahnya fasal anak-anak kucing itu.  Ayah Lela tidak benarkan anak-anak kucing itu dibawa masuk ke dalam rumah.  Bahkan binatang-binatang itu disuruh buang jauh-jauh agar tidak mengganggu jiran yang tinggal sebelah-menyebelah.
Suatu hari Lela datang berbisik di telinga Makcik Senah.  Lela beritahu Makcik Senah, kononnya kakak-kakak yang tinggal di tingkat bawah rumah mereka tidak kesah menumpangkan anak-anak kucing itu bermain-main di tempat mereka.  Sebab itulah Makcik Senah sampai berani meletakkan segala harta benda dan keperluan anak-anak kucing itu di halaman rumah jirannya ini.  Tetapi kemudian Ona menelefon ke rumahnya dan bertanyakan tentang kucing-kucing yang tiba-tiba muncul di halaman rumah keluarganya.  Barulah waktu itu Makcik Senah sedar bahawa dia telah dikelentong hidup-hidup oleh Lela.  Namun untuk mengambil semula anak-anak kucing itu dari rumah jirannya ini, Makcik Senah memang tidak sanggup.   
Selain sudah malas hendak menguruskan anak-anak kucing terbiar itu, Makcik Senah juga tiba-tiba berasa seperti membodohkan diri sahaja membela kucing-kucing yang bukan kepunyaan mereka pun.  Walaupun Lela telah menumpangkan ibu kucing itu beranak di tempat mereka dahulu, itu tidak bermakna anak-anak kucing yang keluar daripada perut si ibu kucing itu telah menjadi kepunyaan Lela seperti yang didakwa oleh Ona.  Sebab itulah Makcik Senah biarkan sahaja anak-anak kucing itu di halaman rumah jirannya ini.  Biar kebulur ke… dahaga ke… janji binatang-binatang itu sudah berada jauh dari rumahnya.  Dan Lela juga tidak kena marah lagi dengan ayahnya.
Tetapi ternyata hati kanak-kanak kecil seperti Si Lela ini lebih murni daripada hati orang dewasa seperti Ona yang tidak ada perasaan belas langsung terhadap makhluk Allah yang terbiar itu.  Tergamak Ona membiarkan anak-anak kucing itu kelaparan dan dahaga selama binatang-binatang itu berada di halaman rumah keluarganya.  Mahu tidak mahu terpaksa juga Makcik Senah menyiapkan semua makan dan minum untuk kucing-kucing itu setelah didesak berkali-kali oleh Lela.   
Lela kata, kalau kita manusia tahu berasa lapar dan dahaga, begitu jugalah dengan binatang.  Apalagi binatang kecil seperti anak-anak kucing itu yang belum pandai lagi mencari makanan sendiri.  Sudahlah ibu kucing-kucing itu diusir pergi entah ke mana.  Sudah hilang kasih ibu, dibiarkan pula tidak diberi makan atau dijaga dengan sempurna.  Tersentuh jugalah hati Makcik Senah mendengarkan kata-kata Lela itu yang seperti mengeluhkan nasib sendiri.  Sebab itulah anak-anak kucing itu Makcik Senah beri makan dan uruskan semula walaupun dengan berat hati.   
Tetapi sekarang, semuanya akan berakhir setelah Ona menggertak akan menelefon polis dan ayah Lela telah berkata akan mengurung Lela selama seminggu di dalam bilik sekiranya Lela tidak memungut semula anak-anak kucing itu dari rumah jiran mereka ini.  Ayah Lela kata, kucing-kucing itu akan dihantar ke SPCA.  Di sana nanti kucing-kucing itu akan dijaga dengan baik dan diberi makan dengan secukupnya.   
Sebab itulah Lela mahu menurutkan cakap ayahnya.  Janji kucing-kucing itu ada tempat tinggal yang selamat dan dipelihara dengan baik, Lela sanggup sahaja melepaskan anak-anak kucing itu pergi dengan senang hati.   
Tetapi gara-gara mulut gatal Makcik Fauziah menyebut fasal anjing makan kucing tadi, Lela sudah kembali bimbang dan sedih.  Satu kerja pula Makcik Senah terpaksa memujuk Lela semula.  Geram, memanglah Makcik Senah geram dengan mulut Makcik Fauziah yang celopar itu.  Tetapi hendak buat macam mana lagi?  Takkan dia hendak marahkan Makcik Fauziah pula?  Jirannya itu biarpun suka cakap lepas, tetapi dengan Makcik Fauziah sahajalah Makcik Senah boleh ngam.  Dengan jiran-jiran lain, kadang-kadang terserempak di tengah jalan pun mereka akan buang muka ke arah lain.  Nama hendak bertegur sapa, langsung tidak.   
"Sudah, jangan banyak cakap lagi.  Ayah kamu dah suruh buang, buang sajalah.  Nanti bising lagi ayah kamu kalau nampak kucing-kucing tu bersepah di halaman rumah orang." Makcik Senah memarahi Lela lagi dengan nada lebih tegas.
"Tapi Lela sayang kucing, nek." Lela masih tidak mahu mengalah.   
"Kenapa degil sangat ni?  Nak kena marah lagi dengan ayah ke?" Terangkat juga nada suara Makcik Senah.  Terkunci mulut Lela kali ini.  Tidak berani lagi dia hendak membantah cakap neneknya.  Esak tangisnya sahaja yang kedengaran sehingga menyentuh hati Ayu yang sedang mengintai senyap-senyap di belakang Ona.   
Kasihan sungguh Ayu melihat Lela.  Kalau bukan kerana Ona takutkan kucing, memang tiada siapa peduli pun dengan kehadiran anak-anak kucing itu di luar sana.  Seingat Ayu, abah sendiri tidak pernah kompelin tentang anak-anak kucing itu. Aina juga pernah berkata, suka melihat anak-anak kucing itu yang sudahlah kecil dan comel, nakal-nakallah pula.  Ona sahaja yang mengada-ada takutkan kucing.  Kadang-kadang tanpa pengetahuan Ona, Ayu akan keluar bermain-main dengan anak-anak kucing itu bersama-sama dengan Lela dan Izam.   
Makcik Senah berpaling memandang abah.        
"Minta maaflah, Encik Berahim.  Cucu saya Si Lela ni suka sangat nak pelihara kucing-kucing tu sampaikan ayahnya suruh buang pun dia degil nak simpan juga.  Tu yang dia tumpangkan anak-anak kucing tu di sini.  Dia fikir Encik Berahim dan anak-anak tak kesah.  Tapi kalau dah sampai lima ekor, memang mengganggu juga kan?  Tadi ayah Lela dah kata akan hantar kucing-kucing tu ke SPCA.  Harap-harap adalah orang yang sudi membela kucing-kucing tu nanti."
Tenang sahaja Makcik Senah menjelaskan kepada abah.  Abah hanya diam sebelum menoleh kepada Ona.  Ona yang sedang berpeluk tubuh di muka pintu, abah lihat sedang menggolekkan mata ke arah siling.  Geram betul abah tengok lagak Ona yang angkuh itu, macamlah diri tidak bersalah langsung.
"Ona, minta maaf dengan Makcik Senah.  Kamu pun bersalah juga." Kata abah dengan suara tegas.   
Hampir terbeliak mata Ona kerana terkejut dengan sergahan abah dan arahan yang tidak disangka-sangka itu.  Sudah sah-sah Makcik Senah yang bersalah, mengapa pula dia yang disuruh meminta maaf?  Ada ke patut? 
Tetapi sebaik melihat wajah tegang abah, terbantut juga hasrat Ona ingin membantah.  Lagipun dia fikir, tidak mengapalah dia mengalah pada Makcik Senah, memandangkan anak-anak kucing itu sudah pun dipungut semuanya dan akan dihantar ke SPCA nanti.  Selepas ini, tidak adalah dia takut lagi hendak membuka pintu.  Akan amanlah hidupnya semula seperti dulu-dulu.        
Lalu dengan suara rendah antara dengar dengan tidak, ucapan keramat itu diluahkan juga kepada Makcik Senah.   
“Minta maaf, cik." 
Makcik Senah mengangguk kecil.   
"Yalah, makcik pun begitu jugalah… minta maaflah kerana menyusahkan Ona sekeluarga." 

Selepas itu Makcik Senah pun mengarahkan cucu-cucunya supaya pulang.  Berdedai-dedai tiga beranak itu menaiki anak tangga ke tingkat atas.  Lela dan Izam, sama-sama mengangkat kotak besar berisi anak-anak kucing itu.  Sementara Makcik Senah pula mengangkat dulang pasir berisi najis kucing-kucing itu.  Ona segera melepaskan nafas lega di muka pintu.  Selamat dah… tak ada kucing lagi!

No comments:

Post a Comment