Monday 28 March 2016

Nota ~ Kerana Sarah Aliya (Bab 1) ~ RodieR

                                                               Saifudin Ali
            Kisah bertahun-tahun dulu...
            “Sif!!”
            Laungan Khair aku buat tak endah. Dahaga ni weh! Seluar sekolah aku gulung naik sehingga ke lutut sambil berjalan terhincut-hincut ke tepi padang. Kerja gila budak umur sepuluh tahun sambil tunggu mak ayah datang ambil? Main bola dengan kaki ayam!
            Aku duduk di sebelah beg yang dicampak berselerak di atas rumput itu. Botol air mineral aku tarik dari poket tepi beg sekolah aku, kemudian mengeluh. Dah tinggal beberapa titik aje. Aku angkat muka, melingas mencari seseorang. Jumpa. Nun di sana, di atas wakaf di hujung padang. Tanpa sedar, aku senyum. Baru aku nak jerit memanggil namanya, aku terpandangkan dia. Budak perempuan itu lain. Sebab dia pakai uniform skirt, bukan baju kurung. Budak baru agaknya. Mata aku mengecil. Nampak macam cina sikit mukanya. Putih. Itu aje la pun yang aku boleh nampak dari sini. Aku tak jadi nak jerit. Tak nak kacaulah. Nampak rapat aje dua orang itu.
            “Hoi!” Khair datang dengan kerut di dahi. “Apasal cepat sangat berhenti ni?” Dia duduk sebelah aku. Seluar sekolahnya dikebas-kebas dengan tangan. Habis terbang debu pasir ke sana-sini.
            Khairul Fairuz Muhammad. Jadi kawan baik sejak darjah satu selepas sama-sama kena denda sejam lebih berdiri tengah padang. Sebabnya? Curi masuk bilik peralatan pendidikan jasmani dan bersuka ria melenggang pinggang main hula-hoop yang ada di situ. Haha!
            “Aku dahaga la weh.” Lambat aku jawab soalan dia, mata terarah ke sana lagi. Kemudian, cepat-cepat aku kalih pandang Khair semula.
            “Baru sikit...”
            “Abang!!”
            Laju aku berpaling. Aku tak jadi jerit nama dia, dia pula yang jerit nama aku. “Apa?!”
            “Balik! Mak dah datang ni!”
            Aku sengih pada Khair. “Bye, geng!” beg sekolah aku tarik dan kasut aku pakai buru-buru. Stoking entah ke mana aku campak tadi. Ada lah tu kut dalam beg. Aku pandang ke wakaf lagi. Aish, budak tu dah tak ada.

***

            “Padan muka!”
            Aku jeling balas.
            Dia sengih jahat. “Sakit tak?” gaya tanya langsung tak ada macam nak mengambil berat.
            “Apa yang sakit tak?” aku tanya balik, geram.
            “Telinga. Kena piat dengan mak tadi tu?”
            Aku sengih selamba. “Dah biasa.” Memang dah biasa pun. Dah kalau hari-hari balik dari sekolah dengan seluar yang berkerak dengan pasir, mana tak mengamuk mak aku. Nasib baik aku pandai memujuk. Caranya? Aku letak sendiri baju sekolah dalam mesin basuh, lepas tu tekan butang  ‘start’. Heh!
            Dia mencebik. “Orang cakap kat mak...” dah mula keluar dah buah ugut dia.
            “Cakap la. Tak heran.” Aku cabar balik.
            “Mmmaaa... aapp!!”   
            Aku pekup mulut dia dengan sebelah tangan. “Sarah Alya...” Perlahan aku panggil nama dia. Bulat mata dia pusing tengok aku balik. Aku sengih. “Sayang abang tak?”
            Susah payah dia geleng sebab tangan aku masih kejap pegang mulut dia. Aku ketawa. “Sarah Alya Awang Saad, sayang abang tak ni?”
            Geleng lagi.
            “Abang nak tanya satu benda ni.”
            Terjongket sebelah kening dia.
            “Janji jangan cakap dengan mak? Sayang abang kan?”
            Dia angguk perlahan-lahan. Aku lepas tangan aku daripada mulut dia, perlahan-lahan juga. Bukan boleh percaya adik kembar kesayangan aku ni. Nama aje lahir enam minit lambat daripada aku. Manjanya mengalahkan budak yang lahir enam tahun lagi muda!
            “Yang tadi tu siapa?”
            “Yang tadi mana?”
            “Yang kat wakaf tu.”
            “Oh, itu. Fatimah Asyikin. Baru pindah masuk kelas Sarah minggu lepas. Kenapa?”
            Kami berdua walaupun kembar, tapi belajar kelas lain-lain. Almaklumlah, adik aku ini bijak orangnya. Jadi duduk kelas atas. Aku ini bijak juga, tapi banyak main. Jawabnya, duduklah kelas bawah sikit.
            “Saja tanya.” Aku sengih. Eh, kejap. Fatimah Asyikin? “Sarah...” Bahu dia aku peluk.
            “Hm?”
            “Bukan mak selalu cerita fasal sirah Rasul, puteri-puteri Rasul dengan pasangan dia orang sekali eh?”
            “Haah. Kenapa?”
            “Nabi Adam ada Hawa, Nabi Sulaiman ada Balqis, Nabi Yusuf ada Zulaikha, Nabi Muhammad S.A.W ada Khadijah...”
            ‘Iye, iye, kenapa?” berkerut kening Sarah.
            “Puteri Rasulullah ada seorang nama Fatimah, kan?”
            Sarah angguk.
            “Pasangan dia Ali kan?”
            Angguk lagi.
            Aku jongket kening beberapa kali, tersengih lebar.
            Makin berkerut Sarah dibuatnya. “Kenapa abang ni?”
            “Maknanya, pasangan Ali, Fatimah la kan?” aku tanya lagi.
            “Iyela! Dah tu kenapa?”
            “Maknanya kawan Sarah tu pasangan abanglah.” Selamba aku jawab.

            “Hah?!”

No comments:

Post a Comment