Thursday 24 March 2016

Nota ~ Lunch Box (Bab 1) ~ Nisyah

September 2012
Hospital Port Dickson

AZLAN melewati koridor yang tidak terlalu sibuk. Waktu tengahari begitu selalunya hanya dikunjungi waris terdekat. Wad 5 menjadi singgahan pertamanya hari itu.
Senyuman dilemparkan pada sekumpulan jururawat di kaunter yang masih lagi sibuk bekerja. Dia berhenti sebentar di ruang tengah di antara kaunter dan kubikel-kubikel pesakit. Matanya mengimbas secara rawak katil-katil yang tiada pengunjung tengahari itu.
“Katil 12 Lan,” beritahu jururawat yang sudah agak berumur.
“Makcik Nab ada lagi, kata semalam discaj hari ni…” matanya beralih pada ketua jururawat yang berwajah lembut itu.
“Pesakit baru. Masuk tengah malam tadi, tak berhenti  tanya anaknya. Kesian dia.”
Azlan mengangguk faham. Segera dia menuju ke kubikel di sebelah kiri dan menghala ke katil kedua dari hujung. Hatinya menjadi sayu kala melihat tubuh kecil yang tergapai-gapai cuba menyuap makanan.
“Assalamualaikum Makcik Rosnah.” Sapanya sambil mengerling sepintas pada tanda nama di dinding.
Salamnya tidak dijawab, sebaliknya Makcik Rosnah masih terus berusaha untuk menyuap sup. Keadaannya yang sedang berbaring membuatkan kuah sup lebih banyak tumpah ke tilam. Sudu di tangan Makcik Rosnah diambil, Azlan mencedok sedikit sup lalu disuap ke mulut tua itu.
“Makcik, saya ada bawa makanan. Ada kari ikan kembung,” kata Azlan memancing perhatian.
Mata yang tadi tertumpu pada sup bening, terus beralih pada plastik yang dijinjing.
“Anak ni siapa ?” tanya Makcik Rosnah. Suaranya terketar-ketar dan matanya dikecilkan cuba mengingati siapakah gerangan si pemuda di hadapannya. Bukan Omar anaknya. Bukan juga cucu-cucunya.  
“Saya Azlan, Lan.” Jawabnya sambil tangan membersihkan kotoran di atas tilam. Bekas plastik sup di letakkan di atas meja. Dia mengeluarkan sehelai tuala dari beg sandangnya dan melap pipi Makcik Rosnah dan bahagian bahu yang basah.
“Kawan Omar ?” tanya Makcik Rosnah, matanya yang kecil menatap wajah Azlan.
Azlan sekadar mengangguk.
“Ha … Omar sibuk agaknya. Semalam lepas hantar makcik dia terus balik. Dia kata nak datang pagi ni…tapi bayang pun tak..” Dia tidak mahu menyudahkan kata, hampa yang dia rasa di telan sahaja. Selayang harapan di mata sayunya jelas terlihat oleh Azlan.
Azlan menaikkan sedikit katil bahagian kepala, dibetulkan kedudukan Makcik Rosnah agar lebih selesa.
“Makcik makan ni ye. Ada kari ikan, sayur kobis dengan telur dadar.” Pujuk Azlan perlahan, sedaya upaya dia menyembunyikan suara yang bergetar-getar.
“Sambal belacan ada ?” Senyuman lantas terukir di wajah tua itu.
Azlan tergelak kecil sambil menarik air hidungnya. Panas yang dirasa di tubir mata terus hilang kala melihat senyuman manis itu.
“Ada, tapi sikit saja, nanti pedas.”
Meja makan disorang lebih dekat. Azlan mengeluarkan sebuah bekas makanan, sekuntum bunga dan sebiji epal merah. Dia mula sibuk mengaturnya di atas meja. Bunga ros di letak melintang di hadapan bekas plastik yang mempunyai 3 kompartmen. Sekeping nota yang terlekat pada penutup bekas makanan itu di ambil.
Dia duduk di tepi Makcik Rosnah, wajah tua itu di tatap.
“Bintang yang berkerdipan hilang bila matahari menjelma, tidak sabar dia menanti langit gelap semula kerana dia mahu terus memancarkan senyumannya.” Nota tadi di baca dan didengar penuh minat oleh Makcik Rosnah.
“Bintang pun tahu nak senyum.”
“Ye, malam nanti makcik tengok bintang yang paling terang. Itu sayalah yang sedang senyum pada makcik.”
Makcik Rosnah tersenyum lebar lagi, matanya bercahaya tanpa sedar ada tangis yang mengalir perlahan.
“Kita makan ye ?” tanya Azlan lembut. Makcik Rosnah hanya mengangguk.
Dengan sabar Azlan menyantuni Makcik Rosnah. Melihat Makcik Rosnah makan dengan penuh selera Azlan tidak tega untuk ke katil lain. Azlan duduk melihat Makcik Rosnah makan sambil mendengar ceritanya.
Membawa makanan tenghari sudah menjadi rutin harian Azlan. Dia akan ke katil yang tidak menerima kunjungan waris. Cumanya Azlan hanya mampu siapkan lima bekas makanan. Namun apa yang istimewa, setiap bekas makananya akan disertakan dengan sekeping nota dan sekuntum bunga. Nota untuk menyuntik kata semangat dan bunga pula penyeri yang dapat mengurangkan resah di hati.
“Sedap kari ikan ni. Lan masak ke ?” tanyanya sambil mencedok kuah.
“Ye makcik. Mula-mula dulu tak pandai. Jenuh saya tengok rancangan masak.”
“Orang rumah ?” mata Makcik Rosnah menyorot wajah anak muda di hadapannya. Orangnya manis dan segak berkulit sawo matang.
“Sebab tak adalah saya kena masak sendiri.” Jawab Azlan dengan ketawa.
“Kena cari orang rumah lah…” gurau Makcik Rosnah.
Azlan menyambut cadangan Makcik Rosnah dengan senyuman lebar. Lesung pipit di kiri membuatkan Makcik Rosnah jatuh hati lagi dengannya.
“Senyum manis macam ni, senang gadis nak terpikat.” Bisik Makcik Rosnah.
Azlan terpaksa menguntum senyum sekali lagi, gaya Makcik Rosnah mengusiknya memang comel.
“Kita habiskan kari ni ye ?”
Makcik Rosnah menggeleng, “Biar yang selebihnya di dalam plastik tu. Nanti malam Makcik boleh ulang lagi.”
“Petang nanti saya datang bawa lauk lain ye.” Walau dia hanya datang sekali sehari, tetapi Azlan jatuh kasihan pada Makcik Rosnah. Apa lah sangat kalau setakat hendak buatkan sup ayam atau sup sayur.
Makcik Rosnah terus menggeleng.
“Tak payah, mungkin petang ni Omar datang.”
Azlan hanya mengangguk. Tak sampai hatinya melihat si ibu yang mengharapkan anak datang menjenguk.
“Makcik, Lan kena pergi katil lain. Makcik rehat dulu ye,” Azlan sudah pun bangun dari kerusi.
Sebelum meninggalkan Makcik Rosnah, Azlan menghulurkan bunga ros berwarna merah jambu yang di ikat riben putih susu di tangkainya.
“Saya doakan Makcik Rosnah kembali sihat seperti mekarnya bunga ni.Insya Allah.”
Makcik Rosnah terus mengangkat tangannya, “Moga Allah beri keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat untuk Azlan. Aamiin.”
“Aaminn.”
Mereka berjeda seketika. Ada perasan yang halus melingkar di hati Azlan. Melihat Makcik Rosnah membuatkan rindunya pada arwah ibu bertambah.
“Insya Allah esok Lan datang lagi ye.”
“Insya Allah, kalau umur makcik panjang.” Balasnya penuh makna.


TINGGAL sebuah bekas sahaja lagi dan waktu melawat sudah tinggal kurang dari sepuluh minit. Dia ke Wad 2. Jururawat di situ juga sudah biasa dengan Azlan.
“Bang Lan, lambat hari ni…” tegur seorang jururawat yang baru dua minggu bekerja di situ.
“Itu lah terlewat sikit… Lola ada perasan siapa-siapa yang tak de pelawat tak tadi ?”
“Katil 29.” Jawabnya ringkas.
“Terima kasih.”
Lola hanya membalas dengan senyuman. Lirikan matanya mengekori Azlan sehingga hilang di balik dinding kubikel. Di dalam hatinya terbit rasa hormat dan kagum dengan Azlan. Dia sudah menyentuh ramai hati di situ dengan caranya yang tersendiri.


DALIA Zahari, berdiri di tepi tingkap ralit memerhati ke luar. Tidak apa yang menarik hatinya di luar, tetapi tiada juga yang lebih menarik hatinya di wad itu. Dia sedar ada seseorang berdiri di sisi, tetapi dia tidak kuasa untuk memaling. Kalau boleh dia tidak mahu lagi beri mana-mana bahagian tangannya untuk diambil darah, habis lebam-lebam.  
“Assalamualaikum Cik, saya ada bawa makanan.” Sapa Azlan sedikit teragak-agak.
Dalia mengerutkan dahi, suara itu bukan mana-mana jururawat di situ, penghantar makanan pun tidak akan menyapa sebaik itu.
Bila tiada balasan. Menyahut tidak, menoleh pun tidak. Azlan meletakkan bekas makanan, diaturnya sama seperti katil-katil lain. Bekas makanan di tengah, bunga ros melintang di hadapan.
“Cik, nanti makan lah ye. Makanan di masak di rumah, lain rasanya dari masakan di hospital.” Azlan cuba menarik perhatian perempuan bertudung hitam itu. Namun, apa yang dia dapat hanyalah tubuh yang bertambah kaku. Diam membisu.
“Saya harap Cik jamahlah sikit ye. Saya juga doakan Cik cepat sembuh.”
Diam.
“Assalamualaikum…”
Diam.

Azlan mengundur beberapa langkah, perempuan itu masih lagi kaku. Memandang ke luar tingkap seolah terperangkap dalam dunianya sendiri.

No comments:

Post a Comment