Friday 25 March 2016

Lelaki Bona Fide (Bab 2) ~ Xenia Zidane

Dua minggu sudah berlalu. Sejak dari hari itu boleh di katakan setiap hari Azri pergi ke pasar raya tersebut dengan harapan akan terserempak kembali dengan gadis tersebut. Dia sudah angau sampai termimpi-mimpi. Rindu. Tetapi hingga ke saat kini nampaknya usahanya tidak berhasil. Setelah puas berpusing-pusing di dalam pasar raya tersebut Azri mengambil keputusan untuk pulang tanpa membeli apa-apa.
Hujan yang turun dengan lebat diselangi dengan bunyian guruh yang kuat menjadi penghalang untuk dia terus pulang ke rumah. Malas pula dia rasakan untuk meredah hujan yang lebat. Payungnya pula memang ada di dalam kereta. Kalau hendak membeli rasa membazir pula. Jadi dia mengambil keputusan untuk tunggu sebentar bagi menunggu hujan reda.
Azri melangkah perlahan-lahan lalu berdiri di belakang seorang perempuan berbaju kurung bunga kecil berwarna kecil hitam putih yang kelihatan teragak-agak untuk meredah hujan yang lebat walaupun  ada sekaki payung di tangan. Mungkin perempuan itu berfikir jika dia meredah hujan dengan payung sekalipun dia tetap akan basah. Entah mengapa dia rasa perempuan yang berdiri dihadapannya amat menarik perhatiannya. Dia cuba beralih ke hadapan sedikit untuk mencuri lihat wajah perempuan tersebut namun pandangannya dihalang oleh payung yang memayungi kepala perempuan itu.
Sedang dia terintai-intai, perempuan itu terus berlari-lari anak menuju ke keretanya. Mata Azri terus mengikuti ke arah perempuan itu. Plastik yang berisi barang yang dipegang diletakkan di bahagian tempat duduk  penumpang dibelakang, lalu pintu bahagian pemandu dibuka. Azri tergamam sebentar melihat wajah perempuan itu sebaik sahaja payung ditutup. Walaupun wajahnya samar kerana hari hujan dan keadaan agak gelap kerana telah hampir malam, namun cahaya lampu yang menyinar dari tiang lampu berhampiran membolehkan dia mengecam wajah perempuan itu.
Perempuan itu terus masuk ke dalam kereta. Tanpa membuang masa Azri berlari meredah hujan, menuju ke kereta perempuan tersebut tapi sayangnya gadis itu tidak perasan akan kehadirannya di situ. Azri berhenti mengejar setelah keretanya meluncur keluar dari kawasan medan letak kereta. Dia hanya mampu memandang sehingga kereta tersebut hilang dari pandangan. Kemudian baru dia teringat sesuatu. Argh…bodoh!  Sepatut ambik saja nombor keretanya. Sekurangnya kalau dia keluar nanti terjumpa kereta yang sama boleh juga dia gunakan nombor kereta itu untuk menjejaki perempuan tadi. Dibiarkan sahaja hujan yang lebat terus membasahi dirinya sambil meraup wajahnya. Air hujan yang bertakung disepak kuat dengan perasaan yang geram.


“Maaf,” kata Dayana sepatah kepada lelaki tadi kerana terlalu ralit menjawab pesanan ringkas daripada Hana, secara tidak sengaja dia telah berlaga tubuh dengan lelaki itu. Entah macam mana dia boleh terlupa benda penting yang telah diingatkan berkali-kali oleh Hana sebelum ini. Nasiblah Hana mengingkatkan dia sekali lagi. Kalau tidak mahu kacau-bilau majlis berinai Hana esok hari. Entah macam mana dia boleh terlupa yang Hana mahukan daun-daun inai yang dipetik dari rumahnya.
“Tak apa,” jawab Azri sambil mengambil telefon bimbit yang jatuh di hujung kakinya. Sebaik sahaja dia mengangkat kepalanya, dia terkaku sebentar. Matanya dikerlipkan beberapa kali memandang seraut wajah bujur sirih yang berdiri dihadapannya. Wajah yang dicari-cari selama ini akhirnya wujud di depan mata. Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan doanya untuk bertemu dengan seraut wajah ini. Tidak sia-sia dia singgah ke sini setelah dia habis mesyuarat di sebuah bangunan  yang berhampiran dengan pusat membeli-belah ini.
“Err…telefon saya,” ujar Dayana sambil menahan malu apabila lelaki itu kaku dengan mata yang masih memandang tepat ke wajahnya. Tangan kanan di hulurkan meminta agar telefon bimbit di tangan lelaki itu diserahkan kepadanya.
Bagaikan terpukau dengan wajah ayu yang kemerahan dan suara merdu dihadapannya, terus sahaja Azri memulangkan telefon bimbit tersebut.
“Terima kasih,” ucap Dayana sebaik sahaja telefon bimbit itu berada di dalam genggamannya. Tanpa membuang masa, dia menghayunkan langkah meninggalkan keadaan yang amat tidak menyelesakan bagi dirinya.
Sebaik sahaja tubuh  itu hilang dari pandangan, baru Azri tersedar dari khayalan. Dia menepuk dahinya dengan perlahan. Rasa kesal mula menerjah di sanubari kerana tidak meminta nombor telefon si ayu tadi. Pantas kakinya melangkan ke arah yang di tuju oleh si ayu. Matanya melilau mencari si empunya diri. Hampa kerana wajah yang di cari tiada di situ. Dengan perasaan yang hampa buat sekian kalinya, dia membawa diri untuk pulang ke rumah.
Sampai saja di rumah, Azri terus melangkah lemah menuju ke biliknya. Lampu dan penghawa dingin dihidupkan bagi meredakan perasaannya ketika itu walaupun di luar rumah hujan sedang turun dengan lebatnya dan sesekali kedengaran guruh yang berdentum kuat. Tubuhnya dihenyak kuat di atas tilam kelamin. Butang baju kemeja dibuka kasar lalu bersandar pada kepala katil. Dia mengeluh lagi buat sekian kalinya.
Bodoh!
Lembab!
Bongok!
Kalau cepat tadi dah tak macam ni, sakit hati. Hendak menyesal pun tak berguna sebab benda sudah berlaku. Sejak tadi dia berperang dengan perasaan sendiri dan tidak habis-habis menyalahkan diri. Ternyata udara sejuk yang keluar daripada penghawa dingin tersebut tidak dapat menghalau rasa marah, geram dan kesal di dalam dirinya.
Perlahan-lahan Azri melangkah ke arah rak buku yang terletak di penjuru bilik bacaannya. Majalah tahunan yang disimpan rapi selama ini di ambil lalu di tatap gambar yang diselit di dalamnya. Gambar yang diambil secara berkumpulan berbelas tahun yang lalu.  Segaris senyuman terukir di bibir Azri apabila matanya menatap seraut wajah di dalam gambar itu yang duduk di sebelahnya. Perempuan ini unik tapi kadang-kala garang sangat. Menyinga tidak bertempat. Tapi Azri suka sangat  melihat perempuan itu kalut. Bila kalut muka mula merah. Memang comel dimatanya, bukan seperti perempuan-perempuan lain yang dikenalinya. Gadis itu seorang yang serba ringkas tetapi mempunyai aura yang tersendiri.
 Dia tersenyum sendirian apabila mengenangkan kisah lalu. Mesti seronok jika dapat berjumpa untuk mengeratkan kembali hubungan yang terputus. Namun senyuman itu terhenti apabila memikirkan dia tidak tahu macam mana hendak menghubungi gadis tersebut. Terus punah harapannya sebentar tadi.  Bukannya Azri  tak pernah mencari si pujaan hati  melalui media sosial seperti Friendster dan Facebook, tapi usahanya gagal sebab nampaknya Dayana memang tak sudi menggunakan aplikasi ciptaan Mark Zuckerberg ni.
Pernah juga dirisik khabar pujaan hati dari teman-teman sekolah, tetapi mereka menyatakan sejak si pujaan hati berpindah dari negeri Perak, mereka terus terputus hubungan. Dayana pergi tanpa meninggalkan ‘jejak’! Akhirnya Azri mengeluh. Nampaknya angan-angannya itu hanya tinggal angan-angan yang tidak akan menjadi kenyataan! Argh!jerit Azri kuat melepaskan geram!


No comments:

Post a Comment