Wednesday 23 March 2016

Lelaki Bona Fide (Prolog ~ Bab 1) ~ Xenia Zidane

 “Tak ada hubungan? Habis yang berkepit ke sana sini tu apa? Dengan aku tak ada pun kau layan macam tu. Kita bukannya baru kenal Yana, dari kecil lagi kita dah kenal. Aku dah masak sangat dengan perangai kau tu luar dan dalam,” kata Benedict dengan suaranya menempik kuat dan tegang. Mukanya merah menandakan dia sedang marah.
“Nampaknya kau silap, Ben. Kau  belum cukup kenal aku. Kalau kau cemburu sangat yang aku selalu studi dengan Hadi, itu bukannya salah aku. Bila diajak, kau menolak. Kau lebih senang belajar dengan Azri. Jadi kenapa pula sekarang nak salahkan kami?”
“Macam mana nak belajar sama kalau kau dan Hadi tu dah terlebih mesra. Silap-silap belajar ke mana yang lebihnya tu cerita soal cinta. Sakit mata aku tengok kamu bertepuk tampar. Sejak adanya Hadi kau dah jauh berubah. Dulu kalau nak rapat dengan lelaki memang susah, bila ada Hadi boleh saja berkepit setiap hari. Dah rapat macam tu masih nak nafikan lagi?”  Entah mengapa lancar sahaja mulut Benedict berbicara begitu.
“Bila pula aku berkepit dengan Hadi dan bila pula kami bertepuk tampar? Jangan buat fitnah, Ben. Kau ingat aku perempuan murah? Habis dengan Azri yang aku  ‘berkepit’ setiap bulan dalam bilik komputer tu kenapa tak dijadikan isu? Dia pun ada juga datang jumpa aku, belajar  bersama. Jangan nak salahkan orang dengan buat tuduhan yang melulu.”
Benedict terdiam tidak tahu hendak menjawab soalan Dayana yang bertubi-tubi itu. Nafas dihembus panjang. Kedua belah tangannya meraup rambutnya dengan kasar.
“Sudahlah Ben, kita masing-masing dah penat. Aku nak balik. Agak-agak bila dah tenang baru kau cari aku.” Kalau ikut hati panasnya pada waktu itu memang rasa hendak ditampar mulut Benedict yang celupar.
Sejak dari hari itu Benedict sudah tidak menghubunginya. Dia buntu bila memikirkan perubahan sikap Benedict terhadap dirinya. Siapakah yang bersalah di dalam perkara ini. Benedictkah yang salah atau dia yang bersalah?
Berita Benedict melanjutkan pelajaran ke United Kingdom selepas SPM memang memberi kesan  di dalam perhubungan mereka.  Tak disangka yang Benedict sanggup ke luar negara tanpa memberitahu kepadanya terlebih dahulu dan perkhabaran tentang keluarga Benedict yang diterima daripada emaknya membuatkan Dayana terpanar.
“Yana tahu keluarga Benedict nak berpindah ke Kuala Lumpur minggu depan? Uncle Victor dipindahkan ke sana. Dia dapat naik pangkat.”
Berita yang disampaikan oleh emak agak mengejutkan. Dayana hanya mendiamkan diri mahu mengelakkan emaknya mengetahui masalah perang dinginnya dengan Benedict. Biarlah perang dingin ini menjadi rahsia mereka berdua yang mana pada hakikatnya dia sendiri tidak mengerti apa puncanya yang membuatkan perkara ini terjadi . Sampai hati Benedict. Takkanlah besar sangat kesilapan yang telah dia lakukan hingga hendak berpindah pun tidak dikhabarkan kepadanya.
Akhirnya hubungan mereka terus terputus apabila Benedict sekeluarga berpindah dari situ. Dia hanya menerima kad ucapan maaf serta pemegang kunci berbentuk hati yang diberikan oleh Benedict kepadanya melalui Hana. Selepas itu tiada apa-apa berita yang diterimanya daripada Benedict dan akhirnya Dayana kehilangan sahabat baiknya buat selamanya.




BAB 1


Azri menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sejak dari setengah jam yang lalu, puas dia memikirkan apa yang harus dibelinya kerana senarai barang yang  telah dibuatnya tertinggal di rumah. Troli yang berisi dengan sedikit barang ditolak perlahan-lahan. Dia berhenti sebentar dan mencapai tin sardin yang terletak di rak. Berkira-kira untuk membeli. Tin sardin Ayam Brand yang pada mulanya dibelek-belek akhirnya dimasukkan ke dalam troli. Troli ditolak ke  tempat bahan basah tetapi tiada satu pun menarik minatnya.
Perkakas mandi. Ya! Teringat perkakas mandi yang telah mula susut di rumahnya. Tangannya pantas mencapai  pencukur dan ubat gigi. Troli ditolak lagi ke rak sabun. Shower foam dan syampu dimasukkan ke dalam troli. Baru sahaja beberapa langkah troli ditolak, dia terpaku. Langkahnya terus terhenti. Wajah insan di hadapannya ditatapinya. Dia mengerlipkan matanya beberapa kali. Mungkinkah itu semua hanya khayalan?
Perempuan itu masih di situ. Ini realiti! Bukan khayalan! Perempuan yang berbaju kurung kapas berwarna firus berbunga kecil serta bertudung sedondon warna dengan bunga pada baju kurung tersebut diperhatikannya dengan begitu menarik sekali. Sedap matanya memandang ke arah perempuan tersebut dan perempuan tersebut masih tidak sedar dirinya diperhatikan.
Dia itu masih seperti dahulu tidak pernah berubah sentiasa kelihatan menarik walaupun sentiasa khayal dalam dunianya sendiri. Azri tergelak kecil apabila terkenangkan keletah perempuan itu.
Perempuan itu akhirnya berjalan tanpa membeli apa-apa di dalam pasar raya tersebut. Tanpa berlengah Azri menolak trolinya perlahan-lahan mengekori perempuan itu. Langkah perempuan itu terhenti sebentar dan menoleh ke kanan apabila mendengar seorang memanggilnya lalu  berjalan menuju ke arah temannya. Azri pantas mengekori takut sekiranya perempuan tersebut hilang dari pandangan. Langkah kakinya dipercepatkan mengekori mereka. Kedua-dua perempuan tersebut terus berjalan keluar melepasi kuanter bayaran dan menuju keluar ke medan letak kereta.
Tanpa berfikir panjang, troli tersebut terus ditinggalkan. Sedang Azri  meloloskan diri dari kaunter pembayaran yang sesak, kedua-dua perempuan tersebut berjalan semakin jauh daripadanya dan menuju ke tempat letak kereta. 
Azri memanjangkan langkah untuk mengejar perempuan itu. Nafasnya tercungap-cungap. Matanya melilau untuk mencari wajah yang menarik perhatinya tadi yang kini tiba-tiba hilang dicelah orang ramai. Tetapi hampa kerana perempuan itu tiada di situ. Apa yang kelihatan hanyalah kenderaan yang sibuk keluar masuk dari situ. Dia mengeluh hampa. Misinya mencari perempuan tersebut gagal dan membeli barang dapur turut gagal. Lalu dengan perasaan kecewa yang bermukim di hati dia mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah.


“Yana! Maaflah aku lambat,” Hana berkata sebaik sahaja pintu kereta ditutup sambil memerhatikan Dayana menghidupkan enjin kereta dan kemudiannya menukar gear untuk mengundurkan kereta.
“Tak apalah. Bukan lama sangat pun aku tunggu. Sempat juga aku cuci mata tengok barang. Nak membeli macam tak ada keperluan pula. Kalau membeli dah jadi membazir,” jawab Dayana. Jam di tangan kirinya dibelek. Hana lewat setengah jam dari waktu yang dijanjikan.
“Pukul berapa kau janji dengan Kak Ain nak cuba baju pengantin tu?”
“Kalau ikutkan pukul 3. Ada masa lagi ni. Maaflah aku dah menyusahkan kau pula. Biasanya sekejap saja potong rambut di kedai tu. Sekali hari ni ramai pula yang buat rawatan rambut. Kalau aku tahu tak kuasa aku nak tunggu lama kat situ. Kesian kau kena tunggu lama,” kata Hana dengan nada kesal.
“Perkara kecil sajalah Hana. Jangan stres. Kau tu nak jadi raja sehari. Kena relaks. Nanti lari pula Lokman tiba-tiba tengok muka kau yang cantik macam Sleeping Beauty  berubah jadi macam Maleficent,” Dayana mengusik bagi meredakan perasaan marah yang bermukim di hati Hana.
“Kau jangan sebut nama dia hari ini. Aku geram dengan dia sebab dia mungkir janji. Mulanya dah setuju nak jumpa Kak Ain dengan aku hari ni tapi boleh pula kelmarin tukar rancangan sebab bos dia suruh dia selesaikan masalah di pelantar. Sepatutnya bila tarikh dah dekat, janganlah setuju buat kerja luar sebab banyak benda tak selesai. Kalau pergi sekejap, tak apa juga. Ini sampai seminggu di sana, memang buat aku geram sebab aku kena buat benda ni seorang,” Hana merungut sambil tumpuan diberikan ke atas jalan raya. Kenderaan yang banyak membuatkan perjalanan mereka agak perlahan. Dia memandang wajah Dayana yang sedang memandu dalam keadaan tenang. Nasib bukan dia yang memandu hari ini, kalau tidak memanglah dia bertambah stres.
“Adatlah tu kalau berpasangan dengan ‘orang minyak’ memanglah selalu outstation dan kena tinggal. Tambah pula kalau projek tu memang projek dia sendiri. Dahlah, jangan stres. Nanti lepas jumpa Kak Ain aku bawa kau pergi tempat spesial yang kau takkan menyesal kalau kau ikut aku,” pujuk Dayana. Kesian juga dia melihat Hana yang terpaksa menguruskan hal perkahwinan seorang diri tanpa Lokman.
“Kau nak bawa aku pergi mana?” Hana menyoal dengan mengerutkan dahinya. Wajah Dayana yang duduk di kanannya dikerling sekilas.
“Mana boleh bagi tahu. Kalau dah bagi tahu nanti tak surprise dan tak spesial dah.”
“Kau jangan bawa aku ke tempat tak senonoh. Aku dah lama meninggalkan kegiatan zaman jahiliyah aku ni.”
“Isy, ada pula macam tu. Selama kita berkawan, mana pernah aku bawa kau ke tempat tak senonoh,” balas Dayana. Lampu isyarat diberi menandakan dia mahu membelokkan keretanya ke kanan. Mujur dia pernah menemani Hana ke butik pengantin Kak Ain sebelum ini. Jadi tidaklah dia terkial-kial mencari arah ke butik pengantin tersebut.
“Dah tu macam misteri sangat tempatnya. Manalah tahu kau nak bawa aku ke konsert k-pop. Aku tak mahu pergi. Aku dah taubat dah dengan benda-benda yang tak berfaedah ni. Buang duit dan buang masa saja. Silap-silap boleh jadi maksiat pula tanpa sedar. Manalah tahu teruja sangat jumpa artis terus  panjat pentas peluk artis tu macam kat luar negara. Itu belum lagi kes peminat perempuan yang histeria atau baling pakaian dalam pada artis semasa konsert. Nauzubillah…nasiblah aku tak tergolong dalam orang begitu walaupun aku pernah pergi tengok konsert.”
“Jangan risaulah. Aku takkan bawa kau ke tempat macam tu sebab yang ini lagi spesial. Kalau kau masuk mesti hilang semua stres kau tu. Sekali  dah cuba mesti kau rasa nak pergi lagi. Lepas kau selesai cuba baju , aku bawa kau terus ke sana,” Dayana berkata sambil memperlahankan kereta untuk masuk ke petak parkir. Dia sendiri pun merasa tidak sabar untuk ke tempat yang dijanjikan dengan Hana.
Selesai sahaja segala urusan di butik berkenaan, Dayana terus memacu laju keretanya ke destinasi yang di janjikan yang tidak jauh dari butik tersebut.
“Zara’s Beauty & Spa? Pusat Rawatan Kecantikan dan Urut?”
“Yalah, kau ingat aku nak bawa kau ke mana? Pusat karaoke? Jom masuk. Aku dah beberapa kali ke sini. Rasa selesa dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Masa inilah kau nak memanjakan diri. Urut untuk melegakan stres sambil tu dapat merehatkan badan. Sepatutnya masa yang terhad ni kau kena banyak kali ke spa kecantikan untuk naikkan seri pengantin tu. Cuba dapatkan package untuk perkahwinan. Lagi untung begitu,” kata Dayana sambil tersenyum kerana tiba-tiba dia rasa seperti promoter pula.
“Amboi! Ini siapa yang nak kahwin? Kau atau aku? Promosi mengalahkan tuan empunya spa. Berapa percent dia bagi kat kau sebab tolong promosi pusat kecantikkan dia?” usik Hana apabila melihatkan Dayana yang bersungguh-sungguh mempromosikan package yang ditawarkan oleh pusat rawatan kecantikan tersebut.
“Hisy, mana ada dapat apa-apalah. Macam aku cakap tadi. Aku dah beberapa kali ke sini dan suka dengan cara dia. Jadi tak salah kalau aku cadangkan pada kawan aku pula, kan?” balas Dayana pula sambil mengenyitkan mata.
Yeah, right! Oh, sebelum aku terlupa. Nanti kau tolong bawakan aku inai boleh tak? Aku nak pakai inai daun nanti sebab kalau inai serbuk beli di kedai tu tak cantik. Nanti tak merah.”
“Nanti aku bawakan. Tapi tolong ingatkan aku ya sebab takut terlupa. Kau faham-faham sajalah kalau dah kerja banyak, nanti memang ada potensi untuk aku terlupa. Petang sebelum majlis berinai tu aku bawakan ke rumah kau,” balas Dayana sambil menolak pintu untuk masuk ke pusat rawatan kecantikkan berkenaan bersama Hana. 

Sebaik sahaja daun pintu ditolak, mereka di sambut oleh perkerja-perkerja pusat kecantikkan tersebut dengan senyuman yang manis. Hana ditawarkan dengan pelbagai package yang menarik dan tanpa berfikir panjang, terus sahaja Hana bersetuju untuk mengambil package perkahwinan untuk mandian serta urutan di situ dan Dayana pula tersenyum puas kerana dapat mengembirakan hati sahabat karibnya itu.

No comments:

Post a Comment