Tuesday 22 March 2016

Nota ~ Jodoh Sambal Hitam (Prolog-Bab 1) ~ Ijazati Habib

Prolog

Kau rasa cinta tu apa?
Datang bila kau suka,
Pergi bila kau bosan,
Apa kau tak terkesan?

Ya, aku perempuan,
Tapi aku bukan hamba cinta,
Yang menanti kasih arjuna,
Sampai masa aku tegarkan hati,
Jangan berpaling kembali,
Hormat  jiwa sendiri,
Dan waktu itu aku tak menoleh lagi,
Walau selaut kasih kau janji.




1- SATU
Kalau memikat burung kedidi,
Janganlah sampai memijak duri,
Kalaulah benar orang tak sudi,
Biarlah saya membawa diri.
Ariana mendongak ke langit. Cahaya matahari sedikit redup. Langit cerah menjelang petang. Langit baharu!
Ariana baru berpindah ke Klebang Jaya. Bukan Klebang di Melaka ya... Ni Klebang Jaya, Ipoh. Teringat kawan rapat Ariana, Hani yang kata dia nak merasa Coconut Shake Klebang yang popular tu bila ada masa melawat Ariana kelak. Cik kak oi! Di Klebang Jaya ni tak ada coconut shake tu. Tu di Klebang Melaka sana. Salah tempat.
Ariana berdehem. Matanya memandang sekeliling. Duk teringat fasal Hani dan Coconut Shake Klebangnya, Ariana tak sedar dia menguntum senyum sendiri. Ariana pandang sekeliling. Nasib baik tak ada orang. Malu kalau ada orang nampak. Nanti mereka sangka jiran mereka yang baru pindah ni ada masalah mental.
"Baru pin..."
"Oh, mak kau!" Ariana sedikit terloncat. Penyapu yang dipegangnya tadi terlepas. Terkejut punya fasal.
"Maaf, nak. Acik ni lupa bagi salam. Terkejut anak dibuatnya..." Seorang wanita berusia dalam lingkungan umur lima puluhan ketawa kecil melihat tindakan refleks Ariana akibat terkejut ditegurnya.
Ariana pandang belakang, ke arah rumah sebelah kiri, rumah lot tepi. Ariana kutip penyapu yang terlepas tadi. Kemudian ditegakkan di tepi tembok pemisah antara rumah Ariana dan rumah makcik itu sambil melemparkan senyum.
"Assalamualaikum..." Makcik itu menghulurkan salam.
"Waalaikumussalam..." Ariana sambut salam makcik rumah sebelah yang peramah tu.
"Anak ni baru pindah ya?" Dia bertanya.
"Ya makcik. Baru pagi tadi."
"Oh, patut Acik tak perasan! Pagi tadi Acik tak ada dirumah. Ni baru balik dari rumah anak Acik di Sungai Siput." Makcik itu ramah bercerita.
"Oh, macam tu ke? Nama makcik ni apa ya?" Ariana bertanya. Bukan apa. Dari tadi berbual. Lupa tanya nama.
"Nama Acik Zulinah. Panggil Acik aje. Nama anak ni?"
"Ariana..."
"Oh, Ariana tinggal sini dengan siapa?"
"Saya tinggal menyewa seorang aje Acik. Acik tinggal sini sekeluarga ke?" Ariana turut bertanya. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Tak macam tu?
"Acik tinggal berdua dengan anak Acik aje. Ariana kerja dekat Klebang Jaya ni ke?"
" Pejabat saya di Medan Klebang Prima..."
"Okeylah tu. Tak adalah jauh sangat."
"Haah. Tak jauh. Sebab tu saya menyewa rumah ni. Kebetulan terjumpa iklan rumah kosong dekat Mudah.com. Acik dah lama tinggal dekat sini?" Ariana meneruskan perbualan. Tiba-tiba teringatkan emak bila berborak dengan Acik ni. Ish, mak! Rindunya…
"Dalam tiga tahun."
"Oh..." Ariana menganguk-anggukan kepala. Tiga tahun. Lama juga. Okeylah tu. Kalau ada apa-apa boleh Ariana tanya Acik ni. Mesti dia dah biasa dengan kawasan sekitar sini.
"Rumah sebelah ni dah lama kosong. Tuan asal ni lepas beli tak pernah duduk. Ada disewakan. Tapi dah beberapa bulan kosong taka da penyewa. Akhirnya ada juga Ariana datang. Adalah teman Acik nak berbual sesekali."
"Err... lama kosong?" Ariana telan air liur. Berhantu tak?
"Adalah dalam dua tiga bulan. Jangan risau. Tak ada apa-apalah. Kalau Ariana takut panggil Acik kat sebelah ni." Makcik Zulinah tergelak kecil. Faham. Mesti budak ni fikirkan hantu.
"Hujung minggu ni saya nak buat majlis doa selamat. Acik, jemput datang ya?" Ariana berhasrat mahu membuat majlis hujung minggu ini.Hari ini hari Rabu. Cadangnya kenduri hari Ahad. Adalah masa untuk Ariana berkemas apa yang patut. Selain mahu menjemput jiran-jiran, Ariana pula berhasrat mahu menjemput rakan-rakan sekerja di pejabat baharu. Tak ramai pun. Dalam sepuluh orang.
"Insya-Allah. Nanti Ariana nak masak ke guna khidmat katering?"
"Jemputan saya tak ramai mana pun Acik. Saya masak sendiri aje kut. Tapi tak adalah masak susah-susah tu. Mungkin nasi ayam dan mihun sup. Tak boleh jemput ramai-ramai. Rumah saya ni tak besar mana. Perabot pun belum lengkap. Kalau setakat nak duduk bersila di ruang tamu untuk baca Yassin dan doa selamat tu okeylah." Ariana menjelaskan panjang lebar.
"Ha, tak apa! Nanti kalau nak masak panggil Acik. Acik datang tolong." Puan Zulinah menawarkan diri.
"Eh, tak apalah Acik! Susahkan Acik pula..." Ariana menolak dengan lembut. Ariana bukannya apa. Dia segan.
"Eh, tak apa! Acik tak kisah. Acik duduk rumah pun bukan buat apa. Duduk tenung dinding bosan juga. Nanti kalau Ariana nak beli bahan untuk masak-masak tu beritahu Acik. Nanti kita pergi pasar basah dekat stadium tu." Puan Zulinah bersemangat.
"Segan pula saya, Acik..." Ariana tersengih-sengih. Dalam hati Ariana memang ada rasa lega. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang akan membantunya.
"Ada telefon bimbit? Haa. Salin nombor Acik. Apa-apa hal kecemasan ke, nak minta tolong Acik ke, senang nak hubungi Acik."
"Ada..." Ariana mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar dan menyalin nombor telefon yang disebut Puan Zulinah.
"Amboi... comelnya dia..." Puan Zulinah mengusap kucing belang-belang yang tiba-tiba memanjat tembok.
"Ni kucing saya, Acik. Duduk seorang ni bosan juga. Bela kucing adalah kawan. Kucing ni saya jumpa bulan lepas. Kasihan. Dia disiram air panas. Saya jumpa dekat gerai makan. Habis bulu dia. Saya ambil dan bawa dia pergi veterinar. Tengoklah ni, bulu sebelah kanan badan di ni baru nak tumbuh." Ariana menunjukkan badan kucing itu yang baru nak sembuh.
"Ya Allah... kasihannya. Hari tu Acik tengok di Facebook. Ada orang siap korek mata kucing. Apa nak jadilah manusia zaman sekarang ni..." Puan Zulinah turut sama mengusap tubuh kucing itu. Jelas sekali dia turut sama menyayangi haiwan kesayangan Rasulullah itu.
"Acik suka kucing?" Ariana bertanya.
"Suka. Tapi Acik tak bela kucing. Anak Acik tu tak berapa gemar kucing. Dia cuma tak gemar. Dia tak adalah nak menyiksa kucing walaupun dia tak suka..."
"Oh..." Risau juga Ariana. Anak Acik ni tak suka kucing.
"Apa nama kucing ni, Ariana?"

"Nama dia Mahmod..."

No comments:

Post a Comment