Friday 1 April 2016

Lelaki Bona Fide (Bab 3) ~ Xenia Zidane

Kalau aku tak  datang kenduri tu boleh tak?” kata Dayana tiba-tiba.
 Membulat mata Hana mendengar kata-kata Dayana. “Apa? Kau jangan nak mengada-ngada. Siapa nak jadi pengapit nanti?”
“Ala…orang lain kan ramai. Kau kan tahu aku ni pantang sikit kalau datang kenduri ni. Lagipun Rina boleh gantikan tempat aku.” Matanya melirik ke arah Khairina yang sedang sibuk memakaikan inai di jari Hana.
“Hey, jangan nak memandai kaitkan nama aku, ya. Aku tak boleh jadi pengapit,” bantah Khairina dengan pantas.
“Aku tak nak dengar alasan kau tu. Nanti mulalah kau cipta pelbagai alasan yang tak munasabah. Tak boleh terima dek akal. Aku tak kira kau kena datang juga.”
“Ala…bolehlah, ya?” Dayana masih cuba memujuk.
“Cuba kau bagi tahu kenapa susah sangat kau nak datang?” Khairina menyoal kurang puas hati pula dengan Dayana. Yalah, mana nak puas hati kalau nanti tak pasal-pasal dia pula yang kena jadi pengapit.
“Kau kan tahu aku tak boleh duduk lama-lama bila ada majlis macam tu. Kalau kenduri tahlil aku tak kisah. Kau suruhlah aku duduk lama-lama memang tak ada masalah. Boleh ya, Hana? Rina?” kata Dayana dengan nada merayu.
“Okay, yang kau susah sangat nak datang ni kenapa? Aku bukan suruh kau memasak pun cuma suruh kau duduk diam-diam jadi pengapit aku.”
“Rasanya dah berpuluh kali aku beritahu perkara ini. Tak mengapa, biar aku ulang pada kau tentang lima alasan utama aku tak suka pergi kenduri kahwin tu lagi sekali pada kau. Alasan pertama, nanti terjumpa kawan sekolah atau satu universiti, mulalah kawan-kawan yang dah kahwin sibuk tanya bila giliran aku nak kahwin. Ini memang soalan cepu gangsa. Memang aku malas nak jawab. Kalau ikut mulut jahat aku ni boleh saja bagi jawapan ‘Kenapa? Ada calon untuk aku ke?’ atau ‘Nak aku jadi bini nombor dua ke?’ Tak pun jawab ‘Kalau nak tahu sangat tanyalah kat Tuhan’. Itu kalau ikut hati, kalau tak nak jaga air muka. Tapi nasiblah semua tu aku hanya berani jawab dalam hati. Setakat ni kira masih boleh lagi bersabar. Tapi tak tahulah tahap kesabaran tu boleh tahan sampai tahap mana. Jangan nanti meletup macam gunung berapi Krakatau saja.”
“Alah, bukan kau saja yang kena tanya, aku pun mesti kena juga,” sampuk Khairina dan Hana pula sudah mula tersengih. Ada rasa mahu ketawa tetapi mereka cuba menahan ketawa untuk meletus keluar dari bibir mereka.
Dayana menjeling mereka sekilas. “Kedua sebab ramai orang.  Itu sebab kalau tempat sesak dengan orang macam kat Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman tu memang aku elak untuk pergi. Bagilah upah berapa banyak pun memang takkan pergi. Dahlah sesak lepas tu panas pula.”
Hana yang mendengar mula ketawa berdekah-dekah. “Apa punya alasanlah.”
“Nak dengar ke tak?” kata Dayana. Keningnya terangkat tanda kurang senang apabila Hana mentertawakannya. Yalah, kalau mahu menolak jadi pengapit dan tak mahu datang ke kenduri kahwin Hana mestilah dia kena sediakan alasan-alasan yang kukuh dan munasabah!
“Maaf. Aku bagi iklan sekejap kat kau.” Terhambur tawa Hana ketika itu tanpa dapat ditahan.
“Ketiga sebab panas. Bila panas mulalah sakit kepala datang menyerang. Bila sakit kepala mulalah rasa nak marah orang.,” sambung Dayana apabila Hana menghentikan tawanya.
“Keempat, kalau aku tak sakit kepala pun bila dah panas-panas nanti dah penat aku akan suka marah-marah orang. Bila marah orang mulalah rasa nak makan banyak. Kau kan tahu badan aku jenis cepat naik lepas tu nak turunkan berat badan punyalah azab.
Kelima sebab akan jadi perhatian orang terutamanya kalau kena jadi pengapit. Kalau boleh elak memang dielakkan. Lagipun aku darah gemuruh. Nanti ada juga aku kipas diri sendiri kat atas pelamin tu dari aku kipas pengantin. Mahu cair make up pengantin.” Puas hati Dayana setelah memberikan alasan-alasan yang cukup munasabah baginya.
“Tapi tak kira apa pun alasan kau, aku tetap nak kau ada juga hari tu,” putus Hana.
“Bukan kau sorang saja yang darah gemuruh, ya. Aku pun gemuruh juga. Lagi satu,  macamlah kau tak faham perangai orang Melayu yang suka sangat jaga tepi kain orang. Bila orang tak kahwin ditanya bila nak kahwin. Bila dah kahwin mesti tanya bila nak ada anak. Dah ada anak perempuan, nanti mesti tanya bila nak ada anak lelaki. Patut kita tanya balik pada mereka  yang bila pula mereka nak mati? Biar mereka sedar yang bab ini semuanya urusan Allah. Bukan kita yang tetapkan semuanya,” Khairina pula menyampuk.
“Tapi sanggup ke kalau make up kau cair? Memang hilang seri pengantin nanti.” Dayana masih cuba memberi alasan kepada Hana dan dalam masa yang sama mengharapkan simpati daripada Kahirina agar Khairina menjadi pengabit Hana nanti.
“Rina, kau gantikanlah tempat aku, ya?”
“Tak naklah aku. Lagipun ini kan majlis Hana. Biar Hana yang buat keputusan,” balas Khairina sambil memandang Hana.
“Tak cairnya make up tu. Buat kat rumah. Ada penghawa dingin pula tu. Jadi tak payah cipta alasan lagi. No excuses!” tegas Hana berkata.
Dayana mula buat muka kesian. “Alah…carilah orang lain, please…” pujuknya.

“Dah…tak payah nak buat muka kesian kat aku. Tak payah nak pujuk dan merayu. Aku tak kira aku nak kau datang kenduri tu dan jadi pengapit aku. Titik. Full stop. Noktah,” kata Hana dengan tegas tanpa mengendahkan alasan-alasan yang diberikan oleh sahabatnya.

No comments:

Post a Comment