Monday 3 August 2015

Suri Hati Abang (Bab 3) ~ Aylanins

MARDHIYAH MENEKAN butang pada telefon genggamnya. 37 minit! Dia tersenyum puas. Balik dari hantar budak-budak gunting rambut tadi, sempat dia buat dua kali percubaan memecut. Guna kereta Personanya, dapat 45 minit. Kalau pecut dengan Myvi atau Viva, mungkin boleh dapat 30 minit. Persona berat sangat. Tapi kereta abah Avanza, lagilah berat, fikirnya dalam hati.

"37 minit kak!" ujar Mardhiyah dengan girang. Telefon genggam dirapatkan ke telinganya.

"Cuba sampai 15 minit boleh?"

"Haa... gila. Tak beranilah. Laju sangat kereta nanti. Tapi tadi jalan macam sesak sikit. Kalau lewat petang, jalan dah lengang, dua puluh atau dua puluh lima minit boleh kut."

"Dua puluh minit pun ok. Takut nanti sampai belakang kem, hari dah malam, tak dapat nak seludup masuk."

"Esoklah Mar cuba lagi. Nanti Mar telefon balik. Nak masuk pagar dah ni." 

"Ok. Hati-hati."

Mardhiyah mematikan telefon genggamnya. Kawasan persekitaran sunyi. Bunyi burung-burung berkicau saja sesekali kedengaran. Hutan belukar ini nampaknya cuma dia seorang saja manusia yang berdiri di sini.

Kak Bariah. Kakak sepupunya. Cikgu Khairul Bariah itu.

Ini semua rancangan Kak Bariah.

Dia bawa murid-murid sekolahnya ke perkhemahan pengakap ini, lepas itu petang esok seorang murid itu, ada ujian kelayakan untuk program pertukaran pelajar ke Jepun. Dan, kebetulan pula, murid yang menduduki ujian itu anak Kak Bariah sendiri, Faisal. Faisal si sarang tebuan itu. 

“Tak payahlah hantar ke perkhemahan ni,” sahut Mardhiyah petang tadi.

“Sayanglah Mar. Perkhemahan ini peringkat antarabangsa. Bukan senang nak dapat peluang ni,” jawab Kak Bariah.

Mardhiyah mengetap bibir. Menyesal pula rasanya dia telefon Kak Bariah petang tadi. Ingatkan Faisal ada di rumah, rupanya Faisal si sarang tebuan itu ada ikut perkhemahan pengakap ini juga. Kononnya dia hendak belanja Faisal gunting rambut di kedai gunting Agus. Sudahnya dia ini yang jadi mangsa untuk seludup keluar Faisal keluar sekejap dari perkhemahan ini.

“Ujian tu online. Tapi kena ambil kat tempat tu jugak. Kat pusat yang mereka dah tetapkan,” sambung Kak Bariah.

“Ni kalau saya tak ada, akak punya rancangan asal nak suruh siapa?” Tanya Mardhiyah sedikit geram.

“Ingat akak sendiri yang nak bawak keluar, kawan satu sekolah ada juga sama jaga budak kat sini. Tapi, alang-alang Mar dah ke sini, bolehlah tolong, ya?” pujuk Kak Bariah dengan wajah yang mengharap.

Sesi pujuk-memujuk begitulah yang Mardhiyah paling malas. Dia susah sebenarnya mahu tolak pertolongan orang. Sudahnya sekarang dia di sini, di tepi belukar semak samun ini jadi pasukan peninjau jalan untuk seludup Faisal keluar esok.

Jalan.
Masa.
Lubang tikus.

Mardhiyah menghitung-hitung dalam hati.

Telefon genggam tadi dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Dalam masa 3 minit, dia sudah menyusup masuk di bawah pagar kawat. Terima kasihlah ya untuk siapa-siapa yang buat lubang tikus ni, detik Mardhiyah sudah tersengih-sengih menyusup masuk ke bahagian sebelah dalam pagar.

"Mardhiyah!"

Mardhiyah terkejut. Dia mendongak ke atas. 

Lengkap berpakaian Pengakap. Pangkat di baju itu, Mardhiyah sudah telan air liur.

Gopoh-gapah dia berdiri.

Sudah! Kem Komandan! 



MARDHIYAH TEGAK berdiri di hadapan lelaki itu. Dia tidak tahu mahu buat apa. Matilah. Kenapalah dia setuju dengan permintaan kurang cerdik Kak Bariah itu. Terbayang-bayang sudah di matanya antara tajuk sensasi surat khabar esok hari.

Pegawai pendidikan dari Jabatan Pendidikan Negeri menyusup masuk ke kawasan perkhemahan KABORI Pengakap!

Memanglah menyusup masuk. Kalau masuk ke tapak perkhemahan dari pintu depan, tak adalah namanya ‘menyusup’. Ini dia masuk melalui lubang di bawah pagar kawat berduri, di bahagian belakang tapak perkhemahan ini. Yang penuh hutan belukar pula tu.

“Cik Mardhiyah! Dah lama buat kerja ni?” tanya Luqman sambil memandang wajah manis yang merah padam di hadapannya.

“Salah jalan. Ingatkan ini pintu hadapan…” cepat saja Mardhiyah mencari alasan. Darah terasa hilang dari wajahnya. Dada terasa berdegup dua kali ganda pantasnya. Dia pandang tag nama lelaki di hadapannya itu.

Luqman Arif. Beberapa lencana Pengakap tersusun rapi di bajunya. Jawatan di tapak perkhemahan ini ialah Kem Komandan. Cikgu dari sekolah mana entah, tapi nama Luqman Arif ini agak terkenal di ibu pejabat. Aktif kokurikulum katakan. Kalau tak silap dia ini Jurulatih Utama (JU) Kebangsaan dalam kokurikulum. Janganlah pula si Luqman Arif ini mengadu pada Cikgu Awang Had mengenai kisah dia ini yang menyusup bawah pagar kawat ini.

“Tadikan dah datang sekejap. Takkan tengah hari tadi tahu pintu masuk, dah lewat petang macam ini tersesat pula ke pintu belakang,” ujar Luqman mahu mengusik Mardhiyah yang sudah pucat lesi.

“Sa… saya…” alamak, hendak bagi alasan apa lagi ya? Mardhiyah mengetap bibir.

Dia lupa tengah hari tadi dia ada terserempak dengan Luqman Arif ini sewaktu melawat tapak perkhemahan, cuma tidak sempat bertegur sapa. Barangkali inilah rasanya jadi pelajar nakal, yang kena tangkap dengan pengawas sekolah. Cuma bezanya sekarang dia bukan lagi Mardhiyah si Ketua Pengawas penuh wibawa itu. Dia sekarang sedang memegang watak pelajar nakal!

“Kak Bariah suruh saya tunggu kat sini…” kata Luqman. Dia sudah tersenyum-senyum menahan gelak menatap wajah pucat Mardhiyah.

“Awak…” Mardhiyah sudah pandang wajah di hadapannya dengan geram. Jadi? Luqman ini rakan subahat Kak Bariahlah ya?

“Nanti petang esok saya bawa Faisal tu ke sini…” sambung Luqman lagi dengan senyum simpulnya. Senak perutnya menahan gelak. Lucu pula rasanya melihat wajah Mardhiyah yang memandang tajam ke arahnya.

Mardhiyah yang manis. Tengah hari tadi dia hendak menegur Cik Penolong Pengarah ini, tapi jalannya laju sangat menuju ke pentas tempat majlis penutupan diadakan nanti. Bila Kak Bariah yang satu sekolah dengannya menelefonnya dan kata ada orang lain yang akan tolong bawa Faisal keluar dari tapak perkhemahan ini sekejap, dan orang itu ialah Mardhiyah, dia jadi suka tiba-tiba. Tambah suka bila dia sempat melihat aksi Mardhiyah menyusup masuk bawah pagar kawat tadi haha. Macam budak nakal saja!

“Kak Bariah tak bagitahu saya pun,” jawab Mardhiyah lirih. Aduhai, mana mahu letak muka ini, tebal seinci rasanya. Pasti Luqman nampak dia menyusup bawah pagar tadi. Aksi melampau seorang pegawai pendidikan! 

“Tak sempat agaknya. Dia sibuk, budak-budak Pengakap ada aktiviti ikhtiar hidup memasak sekarang,” terang Luqman lagi.

“Kalau macam tu, saya balik dululah,” Mardhiyah sudah berpaling ke belakang. Ceh, Kak Bariah sudah kawtim dengan Luqman rupanya. Tambah senanglah kerjanya sebab Luqman yang akan bawa Faisal ke sini. Baru nak angan-angan mengendap macam Detective Conan tadi.

“Eh.. eh.. tu nak ke mana?” sempat Luqman menahan.

“Nak… nak baliklah…” sahut Mardhiyah. Dia berpaling ke arah Luqman. Langkahnya terhenti. “Kenapa?”

“Pintu pagar depan kat sebelah sana.”

“Tapi…” Mardhiyah sudah pandang keluar pagar. “Ke… kereta saya parking dekat sini…”

“Habis… nak susup keluar bawah pagar lagi ke… hahaa…” Luqman sudah ketawa berdekah-dekah di situ.

“Nak keluar macam mana lagi!” Mardhiyah sudah geram. “Awak pergilah ke padang sana. Tak payahlah sibuk nak tengok saya kat sini.”

“Amboiii… marah hahaa… cantiknya muka dia kalau marah hahaa…” Luqman tekan-tekan perutnya yang senak, geli hatinya melihat Mardhiyah itu.

“Eh… Cik Mardhiyah. Nombor telefon. Mintak nombor telefon…” laung Luqman bila dilihatnya Mardhiyah sudah berjalan semakin menjauh darinya, menuju ke arah tempat dia menyusup masuk tadi.

“Mintak dari Kak Bariahlah!” jerit Mardhiyah dengan geram. Bencinya! Siap Kak Bariah. Selamba saja dia terbongkok-bongkok menyusup keluar melalui bawah pagar kawat yang berlubang itu.


Luqman yang ditinggalkannya di belakang masih lagi ketawa berdekah-dekah.   

No comments:

Post a Comment