Friday 7 August 2015

Suri Hati Abang (Bab 4) ~ Aylanins

LUQMAN
Salam. Saya dah kat gate belakang ni.

Mardhiyah
Kejap. Faisal belum turun.

Luqman
Ok. Cepat sikit ya. Banyak nyamuk ni.

Mardhiyah tersenyum-senyum melihat pesanan ringkas WhatsApp yang masuk.

Luqman. Luqman Arif.

Samsung tab di ribanya tiba-tiba bergegar lagi. Mardhiyah menekan skrin.

Luqman
Dah makan? Malam ni kami buat BBQ. Jom ikut sekali.

Mengada-ada, Mardhiyah mengetap bibir menahan senyum.

Mardhiyah
Tak ada kaitan dengan perkhemahan, tiba-tiba tunjuk muka waktu makan. Nanti orang kata muka tak malu.

Luqman
Awak kan wakil Pengarah. Saya Kem Komandan. Awak jemputan khas saya.

Mardhiyah sudah tersenyum panjang.

Luqman
Susup masuk bawah pagar, tak pula malu hahaa…
Jomlah… ikhlas ajak ni. Ada ayam panggang madu, saya masak tau. Resepi istimewa keluarga saya.

Mardhiyah sudah tergelak kecik membaca pesanan ringkas itu. Eleh, pandai hendak pancing kita supaya datang, siap kata ada resepi istimewa lagi. Hesy, tapi segan pula rasanya bila terkenangkan kisah dia menyusup bawah pagar petang semalam.

Tok! Tok!

Mardhiyah menoleh ke kiri. Faisal sudah berdiri di sebelah keretanya sambil mengetuk cermin tingkap.

“Dapat jawab?” soal Mardhiyah ketika Faisal melangkah masuk ke dalam kereta.

“Insya Allah… ada satu dua soalan je yang sangkut sikit,” jawab Faisal sambil menutup pintu kereta.

“Kalau tak dapat ikut pertukaran pelajar je Jepun ni, tak berbaloi tau Mak Long seludup masuk keluar macam ni,” ujar Mardhiyah sambil menukar gear dari N ke D.

“Cikgu Luqman tunggu ke?” Tanya Faisal apabila kereta Persona milik Mardhiyah itu menyusur laju di jalan besar.

“Ya. Cikgu tu ajar sekolah kamu ya?” Tanya Mardhiyah.

“Aa… baik Cikgu Luqman tu Mak Long. Nasib baik dia ada, kalau tak susah juga nak keluar ambil ujian ni,” jawab Faisal. “Cuma, kalau dia bagi arahan masa kawad, garang sikitlah.”

Wah, naik saham Cikgu Luqman di mata Mardhiyah. Kalau Luqman dengar kata-kata Faisal itu, pasti dia belanja Faisal makan KFC tiga hari berturut-turut.

“Nanti sampai tapak perkhemahan, jangan cakap kat orang lain tahu, kisah kita keluar masuk macam ini,” pesan Mardhiyah sedikit bimbang.

Yalah, siapa tak susah hati. Seludup murid keluar dari tapak perkhemahan macam ini. Sudahlah yang terlibat pegawai dari JPN dan Kem Komandan. Nanti kalau orang lain tahu, timbul masalah lain pula.

“Tak… ibu dah pesan dah. Cikgu Luqman pun ada cakap jugak, jangan bagitahu orang lain,” jawab Faisal.

Dia pun tahu cerita dia keluar sekejap ini memang salah, tapi hendak buat macam mana, nak ditinggalkan perkhemahan KABORI ini memang sayang sebab ini aktiviti peringkat antarabangsa, cuma dibuat empat tahun sekali. Ujian kelayakan program pertukaran pelajar ke Jepun itu pula, memang tidak ada tarikh lain. Dua-dua perkara itu sama penting.

“Jangan lupa ucap terima kasih kat Cikgu Luqman tu. Susah payah dia cari alasan nak tunggu kamu kat gate belakang,” pesan Mardhiyah lagi. Takut juga dia kalau Luqman kena tindakan. Amboi Mardhiyah, tiba-tiba saja dia pandai pula susah-hati pasal Luqman itu.

“Yalah…” jawab Faisal.

Kereta Persona terus meluncur laju membelah jalan. Semakin dekat dengan tapak perkhemahan, entah kenapa hati Mardhiyah semakin berbunga-bunga.



AGUS TERCARI-CARI wajah Mardhiyah dalam ramai-ramai tetamu yang datang itu. Majlis akad nikah Kak Azreen tidak lama lagi akan bermula, tapi dia tidak nampak pula si mata sepet berkulit kuning langsat itu.

Tadi dia macam perasan ibu bapa Mardhiyah bersalam dengan ibu bapanya, jadi dia ingat tentu saja Mardhiyah ada ikut sekali. Seketika dia memandang telefon pintarnya, masih berkira-kira mahu hantar atau tidak pesanan ringkas pada Mardhiyah.

Susah betul kalau hati sudah terpaut sayang ini. Barangkali dia terlalu cepat agaknya, tapi Mardhiyah itu kan dia sudah kenal dari sekolah rendah lagi. Geng main kahwin-kahwin, lawan main batu seremban masa kecil dulu, kawan bergaduh masa sekolah menengah, Agus tersenyum sendiri mengenangkan kisah dulu-dulu.

Tapi, yalah, mungkin apa yang ada dalam hatinya tidak sama dengan apa yang ada dalam hati Mardhiyah. Pemikirannya mudah saja, bila hati sudah berkenan, dia tidak akan tunggu lama-lama. Lebih-lebih lagi bila dia rasa sudah jumpa gadis yang baik, dan dia rasa sekarang dia sudah boleh tanggung anak dara orang sebagai isteri. 

Hati orang, manakan sama dengan hati kita.



“LAMA DAH KE KERJA kat JPN?” Tanya Luqman ketika ambil tempat duduk sebelah Mardhiyah. Pinggan kertas yang penuh dengan makanan yang ada di tangan kanannya, dia hulur pada Mardhiyah.

“Dua tahun jugaklah… terima kasih…” ucap Mardhiyah sambil sambut pinggan kertas di tangan Luqman. Pucuk dicita ulam mendatang, lewat petang tadi Cikgu Awang Had telefon dan minta dia ke tapak perkhemahan ini untuk jadi wakil JPN. Malam ini bukankah malam kebudayaan.

“Ayam panggang… satu malam saya perap. Resepi Umi saya,” kata Luqman sambil mengunjuk ayam panggang di pinggan Mardhiyah.

“Cium bau, tengok rupa pun dah sedap,” puji Mardhiyah. Kembang kuncup hatinya menerima layanan kelas pertama dari Kem Komandan.

Tadi segan juga dia bila melangkah masuk ke kawasan perkhemahan ini, nasib baik Timbalan Kem Komandan,  Encik Ismail sudah dapat panggilan telefon lebih awal dari Cikgu Awang Had. Selepas menonton persembahan kebudayaan murid-murid Persatuan Pengakap, Luqman pelawa pula dia makan. Ayam panggang baru saja masak, kata Luqman. Tetamu kehormat kena makan awal, sebab kalau hendak tunggu sampai semua persembahan habis, lagi lamalah dia duduk di tapak perkhemahan ini.

“Bila nak bakar unggun api ini?” Tanya Mardhiyah sambil pandang longgokan kayu yang ada tidak jauh dari tempat mereka duduk itu. Kerusi-kerusi plastik disusun mengelilingi longgokan kayu yang bakal jadi unggun api nanti.

“Kejap lagi, tunggu persembahan dekat nak habis nanti, baru bakar. Sebab itu suruh cikgu-cikgu makan dulu, boleh cikgu-cikgu semua pantau murid-murid yang makan nanti. Budak-budak ni nanti makan sambil tengok unggun apilah,” terang Luqman. Menguruskan budak-budak pengakap sekolah rendah ini susah juga, nanti kalau tidak pantau betul-betul, ada saja yang main-main dekat dengan unggun api. Itulah kena suruh para guru makan awal sikit, nanti perut dah kenyang senang jaga murid-murid pengakap itu semua.

“Dulu mengajar mana?” Tanya Luqman. Pinggan kertas di tangan kirinya sudah beralih ke atas ribanya. Nasib baik jawatan di sini jadi Kem Komandan, jadi tak adalah nampak janggal sangat dia makan bersebelahan dengan Cik Mardhiyah, merangkap wakil JPN ini.

“Saya mengajar sekolah pedalaman. Jauh dari bandar,” jawab Mardhiyah.

Nampak sedap pula ayam panggang di pinggannya ini, perlahan dia cubit sedikit isi ayam itu. Tak apalah tak dapat makan nasi kenduri akad nikah Kak Azreen, dapat makan ayam panggang ini pun sudah cukup. Duduk pula sebelah Cikgu Luqman yang tampan ini, macam bulan jatuh ke riba saja.

“Macam mana boleh masuk ibu pejabat?” masih juga Luqman mahu mengorek cerita si gadis manis sebelahnya ini. Jarang yang muda-muda macam Mardhiyah ini diserap ke ibu pejabat.

“Oh… dulu masa mengajar, saya aktif kat portal Engkabang. Portal rasmi JPN, pernah dengar tak?” Tanya Mardhiyah. Beberapa orang guru sudah ambil tempat duduk di kerusi plastik dekat-dekat dengan mereka berdua, jadi tak adalah segan sangat dia duduk berdua dengan Luqman di sini.

Luqman mengangguk. Dia tahu portal itu. Laman web berbentuk forum itu kiranya wadah untuk para guru dan staf pendidikan berinteraksi. Banyak maklumat mengenai pendidikan boleh diperolehi dalam portal itu.

“Agaknya sebab saya selalu bagi komen, lepas itu selalu juga tolong jawab apa-apa masalah berkaitan ICT yang cikgu-cikgu tanya kat dalam portal tu, last-last, somebody from JPN tanya saya, berminat ke tidak hendak kerja di ibu pejabat,” terang Mardhiyah panjang lebar.

“Ni kiranya nak lari dari kawasan pedalaman jugalah ni?” Tanya Luqman dengan nada berseloroh.

Mardhiyah tersenyum malu. “Tak adalah macam itu. Tukar angin kata orang.” Manalah ada dia hendak lari dari mengajar kawasan pedalaman, seronok mengajar di sekolah kecil begitu, cuma dia hendak rasa suasana baru saja.

“Nasib baik awak masuk JPN…” kata Luqman di sebelahnya.

Mardhiyah menoleh ke arah Luqman. “Mana ada nasib baik? Kena tangkap susup masuk bawah pagar, buat rosak reputasi staf JPN saja.”

Luqman sudah tersenyum.

“Yalah, nasib baik kerja JPN. Kalau tak, tak adalah kita jumpa kan…”  sambung Luqman cuba beranikan diri.

Mardhiyah sudah terdiam. Tiba-tiba saja hatinya berdegup kencang dua kali ganda.

…kalau tak, tak adalah kita jumpa kan…

Apa maksud Luqman?

“Eh… saya lupa ambil sos ayam panggang. Ada sos istimewa juga. Kejap ya, saya ambil kat sana dulu,” Luqman sudah bangkit dari duduknya. Pinggan kertasnya dia letak di atas kerusi plastik yang dia duduki sebentar tadi.

Mardhiyah cuma memandang langkah Luqman dari belakang. Bahang unggun api yang semakin marak di tengah-tengah padang tidak terasa di wajahnya. Matanya menyoroti setiap derap sepatu Luqman yang menuju ke arah tempat pemanggang. 

Diakah? Diakah jodoh yang dia tunggu-tunggu selama ini?


Ceh, tiba-tiba rasa hendak tampar pipi sendiri saja. Baru duduk makan sebelah-menyebelah, dia sudah fikir pasal jodoh.   

No comments:

Post a Comment