Wednesday 12 August 2015

Suri Hati Abang (Bab 5) ~ Aylanins

MARDHIYAH MENGITARI sekeliling dewan. Memang meriah majlis perkahwinan Kak Azreen ini. Dewan besar Kompleks Islam tempat majlis ini berlangsung dihias indah sekali. Meja-meja bulat dengan setiap meja boleh menempatkan sepuluh orang, banyak yang sudah penuh dengan tetamu.

Pelamin di atas pentas nampak begitu gah dengan konsep warna biru muda dan putih. AJK Protokol yang menyambut tetamu di muka pintu dewan turut berbaju biru muda sedondon dengan tema. Abah dan emak yang turut dilantik sebagai AJK Protokol pun memakai baju warna yang sama. Almaklum, Abah dan emak itu kan kawan lama ibu bapa pengantin perempuan ini. Tinggal pula di kawasan kejiranan yang sama. 

Mardhiyah memandang sekeliling. Rata-rata tetamu yang hadir berpakaian mengikut tema, warna biru. Dia memandang baju kurung hijau yang dipakainya. Manalah dia ada baju warna biru muda begitu. Sebenarnya ada, cuma bukan baju baru, hanya baju kurung yang biasa dia pakai pergi kerja. Tak begitu sesuai untuk dibawa ke majlis gah begini. Sudahnya dia pakai saja baju kurung pesak gantung hijau muda ini. Ini saja koleksi baju kurung terbaru dalam almari pakaiannya.

“Tak cukup orang lagi eh?” sapa Agus yang tiba-tiba saja muncul di sebelahnya.

“Eh?” Mardhiyah mendongak lalu tersenyum bila melihat wajah yang dikenali menyapanya.

Berdebar-debar Agus melihat senyuman menawan itu. Cantik betul dia ini, dengan baju kurung hijau muda dan selendang labuh yang dililit kemas di kepalanya. Cepat-cepat dia menarik kerusi kosong di sebelah Mardhiyah. Meja bulat yang boleh memuatkan 10 orang tetamu itu masih ada lagi enam tempat kosong.

“Aina duduk sini,” Agus menggamit budak perempuan comel di sebelahnya.

“Ni sapa? Cantiknya… salam…” Mardhiyah menghulurkan tangannya kepada anak gadis comel itu.

Aina tersenyum malu lalu hulur tangannya untuk bersalam dengan Mardhiyah.

“Anak Abang Long. Mak suruh saya dan dan Aina pergi sini, makan sebelah Mar. Takut ‘orang tu’ tak selera sebab tak ada kawan temankan ‘dia’ makan,” usik Agus. Aina sudah ambil tempat duduk di antara Mardhiyah dan Agus.

“Hahaa… susah-susah je ‘culik’ anak orang… Mar tak kisah pun,” ujar Mardhiyah dengan senyuman padahal dalam hati sudah suka sebab ada wajah yang dikenali duduk semeja dengannya. Tetamu yang tiga orang yang duduk semeja dengannya dari tadi, dia tidak kenal. Mak dan Abah nanti sah-sah makan semeja dengan AJK Protokol yang lain.

“Yalah… terpaksalah ‘culik’ anak orang. Nak bawa anak sendiri, tak tahu bila lagi. Harap-harap dalam masa setahun dua ni, dapatlah bawa anak sendiri.” Jawab Agus sedikit berkias.

Mardhiyah terus terdiam. Wajahnya sudah mula sedikit merah. Macam dia tahulah maksud kiasan kata-kata Agus itu. Seriuskah Agus ini sukakan dia? Tapi Haji Syafie sudah merisik. Kata Abah, kalau Mar setuju, nanti mereka hendak hantar cincin tanda. Cuma seminggu dua ini tidak pula Abah bertanya lagi. Agaknya keluarga Haji Syafie sibuk sangat dengan persiapan majlis perkahwinan Kak Azreen ini.

“Malam tadi kenapa tak datang? Akad nikah tu? Kak Reen tanyakan Mar, nak sangat jumpa Mar. Geng keras lawan main batu seremban dengan dia dulu.” Agus mengubah tajuk perbualan. Agaknya sedar kata-katanya sudah buat Mardhiyah sedikit salah tingkah.

“Malam tadi?” Mardhiyah menoleh pada Agus.

Malam tadi? Oh, malam tadi dia kan pergi BBQ di tapak perkhemahan Kabori Pengakap itu. Cikgu Awang Had itulah. Tak ada wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri yang datang, pegawai dari Unit Kokurikulum cuma dapat datang semasa majlis penutupan esoknya, kata Cikgu Awang Had. Alang-alang mereka di sana sudah kenal wajah Mardhiyah, elok Mardhiyah yang tunjuk muka.

Sudahnya Mardhiyahlah jadi mangsa. Mentang-mentang dia belum kahwin, asal ada urusan begini semua tolak pada yang single mingle pringle macam Mardhiyah ini.    

Perkhemahan Kabori Pengakap. Luqman Arif si Kem Komandan. Nama Agus tiba-tiba saja samar-samar dari ingatannya.



MARDHIYAH MENYUAP nasi minyak ke mulutnya. Sedap, detik hatinya sambil mengunyah nasi minyak berlauk rendang daging itu perlahan-lahan. Tambah lagi dengan pajeri nanas kesukaannya, makinlah  dia berselera makan. Tapi, segan juga sebenarnya duduk di meja bulat khas untuk sepuluh orang itu sebab tiada sesiapa yang dia kenal. Nasib baik Agus dan anak buahnya si Aina itu ada duduk semeja dengannya.

“Puteri kepada Haji Syafie bin Mansur dan Hajah Fatehah binti Othman ini merupakan graduan jurusan Association of Chartered Certified Accountants dari UiTM. Sekarang berkhidmat sebagai akauntan di firma Ernst & Young yang berpangkalan di ibu negara,” bergema suara pengacara majlis memperkenalkan latar belakang pengantin perempuan kepada hadirin yang hadir.

“Kak Reen ambil accountancy?” Tanya Mardhiyah pada Agus yang sibuk melayan si kecil Aina di sebelahnya. Firma Ernst & Young, wah, boleh tahan Kak Reen ni. Itu bukan calang-calang firma akaun di Malaysia ini.

“Haah… dia kan suka subjek kira-kira sejak dari kecil dulu,” jawab Agus.

“Suami dia orang mana?” Tanya Mardhiyah lagi sekadar berbasa-basi. Padahal boleh saja dia tunggu pengacara majlis memperkenalkan latar belakang suami Kak Reen itu.

“Orang Johor. Classmate Kak Reen masa study dulu. Sama ambil ACCA. Tapi sekarang kerja pensyarah,” balas Agus sambil melayan karenah Aina yang meminta tambah rendang daging.

“Oh…” jawab Mardhiyah pendek lalu kembali menyuap nasi minyak ke mulutnya. Pengacara majlis sedang membacakan pula biodata pengantin lelaki. Yang itu pun tidak kurang hebatnya. Sudah ada ijazah, lepas itu sambung pula ambil ACCA. Ada Master. Pensyarah kanan di UM. Rendang daging yang sedap itu rasa tersekat pula di kerongkong Mardhiyah.

Perlukah ya setiap kali majlis kahwin begini, biodata pengantin dibacakan di hadapan hadirin yang hadir?

Mardhiyah menguis-nguis pajeri nanas di pinggan. Kalaulah ditakdirkan dia kahwin dengan Agus, apa pula biodata Agus yang pengacara majlis bacakan di hadapan tetamu yang hadir?

Putera kepada Haji Syafie bin Mansur dan Hajah Fatehah binti Othman ini merupakan tukang gunting rambut…

Erkkk… nasi minyak di pinggan nampak berbalam-balam pula.



“TERIMA KASIH SUDI datang majlis kahwin Kak Reen. Ni terus baliklah ni?” Tanya Agus ketika menghulurkan bunga telur pada Mardhiyah.

“Haa… terus balik. Tapi mak dan Abah macam tak habis lagi cerita tu, pantang jumpa kawan lama, habis semua cerita zaman Tuk Kaduk digali agaknya,” seloroh Mardhiyah.

Habis makan tadi, selesai upacara menepung tawar pengantin oleh keluarga terdekat, semua tetamu majlis beransur-ansur pulang.  Ramai juga tetamu yang ambil peluang bergambar di photo booth yang disediakan. Cantik dan gah betul majlis kahwin Kak Azreen ini, detik Mardhiyah dalam hati. Siap ada photo booth lagi. Jurukamera yang diupah khas saja ada beberapa orang. Pasti besar belanja majlis begini.

“Nak bergambar sama tak? Ni Aina suruh berdiri kat tengah-tengah,” pelawa Agus. Bergambar kenangan apa salahnya, fikirnya. Lagipun bukan dia hendak berdiri dekat-dekat dengan Mardhiyah, Aina kan ada.

“Segan… ramai orang tu. Teringin sebenarnya…” kata Mardhiyah dengan nada sedikit kecewa. Kalau orang tidak ramai tadi, mahu juga dia bergambar di photo booth sana, tapi ini ramai juga yang berbaris menunggu giliran hendak bergambar di situ.

“Paksu… Aina nak duduk kat Mama…” rengek si kecil Aina. Dia bosan sudah diheret ke sana-sini oleh Paksu Agus ini. Tadi dia hendak duduk makan dengan Mama dan Papanya, tapi Nek Tehah suruh dia ikut Paksu Agus makan di sini pula. Dia tidak kenal Auntie mata sepet, merangkap kawan Paksu Agus ini.   

“Mama mana? Kejaplah… Mama masih sibuk dengan pengantin tu. Nanti Paksu hantar Aina ke sana ok…” sahut Agus. Kak Atiqah, kakak iparnya masih sibuk di meja makan sana, belum habis makan lagi dia agaknya. Janganlah Aina ini meragam pula, sebab kalau Aina tidak ada, janggal juga dia berdua dengan Mardhiyah di sini. Ehem, macam berdating pula, segan juga Agus. 

Mardhiyah pandang Agus sekilas. Sopan betullah Agus ini sekarang. Lain benar dari Agus yang dia kenal masa sekolah dulu. Apa ya yang menyebabkan dia berubah begini?

Bibir Agus nampak merah saja. Sah dia ini tidak merokok, detik hati Mardhiyah. Dulu seingatnya, Agus itu pernah juga jadi pengedar rokok semasa zaman sekolah menengah. Jauh benar mantan samseng Kampung Tikam Batu ini berubah, detik hati Mardhiyah.

“Agus… Mak dah lambai Mar tu. Pergi dulu ya… terima kasih bunga telur ni. Cantik…” ujar Mardhiyah bila dilihatnya emak sudah lambai-lambai tangan dari pintu dewan. Telefon genggam di dalam beg tangannya berlagu riang. Emaklah ini, tangan Mardhiyah sudah capai telefonnya. Memang betul, emak yang telefon. Takut dia tidak nampak agaknya.

“Okay… panjang umur jumpa lagi,” sahut Agus. “Aina, salam Auntie…”

Amboi, Auntie ya Agus padahal tadi Aina bisik-bisik padanya dan bertanya, siapa kakak cantik mata sepet yang duduk sebelahnya itu?


Yalah, mestilah Auntie, mana tahu satu hari nanti betul-betul kamu panggil dia Auntie, Aina, Agus sudah senyum-senyum memandang langkah Mardhiyah yang berlalu pergi.   

No comments:

Post a Comment