Friday 31 July 2015

Kepala Batu Kepala Angin (Bab 3) ~ Fizziany

HARRIS MERENUNG isi kandungan SMS yang baru diterimanya. Satu keluhan dilepaskan. Telefon bimbit kembali disimpan ke dalam kocek seluarnya. Otaknya yang sebelum ini kosong, kini terganggu dek pesanan itu.

Sejak dari 5 tahun yang lalu, saat seperti inilah yang ditunggunya. Saat untuk mendapat tahu, berapakah bahagian harta yang akan diterima olehnya.  Selama 5 tahun ini, dia memaksa dirinya untuk menetap di Malaysia hanya semata-mata mahu melunaskan kemahuan mama. Jika diikutkan hatinya, mati hidup balik pun, dia tidak pedulikan semua harta bapanya itu. Dia tidak ralat hendakkan harta yang melimpah ruah lantaran sudah terbiasa hidup sederhana sedari kecil.

Sejak dia lahir, dia tidak pernah melihat arwah ayahnya. Dia dibesarkan oleh mamanya di sebuah kejiranan di London bersama-sama beberapa orang rakan senegara mama. Semasa kecil, mungkin dia begitu inginkan kehadiran seorang ayah kerana cemburu dengan teman sebaya yang ada ayah, tapi lama kelamaan, dia mula mengerti bahawa hidupnya sudah tersurat bahawa dia hanya ada ibu yang gigih dan tabah membesarkannya. Untuk itu, dia telah meletakkan titik noktah untuk bertanya tentang perihal ayah. Dia tidak mahu hati mama terluka atau terusik walau sekelumit. Pasti mama akan sedih.

Tapi, buat seketika, berita kematian ayahnya telah mengganggu emosi kehidupan mereka berdua buat seketika. Nyata, mama tidak berfikir panjang setelah menerima berita itu. Apa yang sewajarnya menjadi hak mereka, patut dituntut. Pada mulanya, dia agak membangkang tindakan mama.

Tapi, mama terlalu mendesak! Kata mama, papa meletakkan syarat. Jika mahu namanya tersenarai didalam senarai penerima wasiat, dia perlu bermastautin di Malaysia, sekurang-kurangnya 5 tahun. Demi sayangnya pada mama yang dirasakan terlalu menderita kerana perbuatan papa, Harris turutkan juga. Lagipun, dendamnya pada sikap papa terhadap mama, sebetulnya patut dibalas begini! Harta yang bertimbun itu, perlu diberikan hak kepada mama…

Harris menutup skrin komputernya. Jam ditangan dikerling. Sudah hampir Maghrib. Pejabat juga sudah kosong. Rata-rata pekerja nampaknya sudah pulang sejak jam 5.30 petang tadi lagi. Dia berkira-kira mahu pulang saja. Meskipun bila pulang ke rumah, tidak ada yang hendak dibuat di apartmennya, tetapi tinggal dipejabat juga agak membosankan.

Harris bangun lalu menutup lampu biliknya.
“Woih…ko pun tak balik lagi ke?” segera Harris menoleh ke bilik sebelah bila dia disapa oleh Azah yang juga baru menutup lampu biliknya. Harris angguk lalu terus berjalan  menuju pintu utama.Harris berlenggang sambil menyeluk kocek seluarnya.

“Apasal kau balik lambat? Kau bukan ada kerja banyak pun….” Sengaja Harris menyoal dengan ayat keras. Azah sengih saja dengan beg yang tergalas di bahunya.  Nampak macam budak sekolah! Mereka sudah beriringan keluar.
“Saja. …” balas Azah pendek. Mereka sama-sama berjalan menuju ke tempat letak kereta.
“Kau dok mana?” soal Azah. Harris dilihat sedang menyeluk kocek seluarnya sambil sebelah tangannya lagi melonggarkan tali lehernya.


“Kau nak ikut aku balik rumah ke?” soalan dibalas soalan. Terus Azah terdiam sambil mencebik meluat. Harris terus menuju ke keretanya tanpa menoleh ke arah Azah. Manakala Azah, terpaksa menapak lebih jauh kerana keretanya diparkir agak jauh. Hari makin gelap dan azan sahut-sahut berkumandang memecah hening langit petang.

No comments:

Post a Comment