Tuesday 16 June 2015

Si Pemandu Hati (Bab 4) ~ Nazira Ilias

Pejam celik pejam celik, tak sedar dah sebulan dia bekerja di syarikat pengangkutan ini. Sedang dia meneliti satu dokumen, dia terperasankan seseorang di bilik operasi yang sedang memerhatikan dia dari kerusi menunggu. Bukan Amin atau Cik Rahim, Fitri pun bukan. Manusia mana entah yang jeling-jeling dia.
Sorang lelaki boleh tahan kacak sebenarnya. Pheuww! Ushh duduk pun ada gaya, kaki kanan bersilang di atas kaki kiri. Lelaki itu bersandar tenang bajet-bajet dia bos di sini. Tapi kenapa dia pandang-pandang Najihah pulak. Saja je kut, mungkin Najihah terperasan lebih aje ni.
Agak rimas diperhatikan, Najihah terpaksa fokus pada kerja dia. Tak sampai 2 minit, hati dia terpanggil-panggil nak tengok depan. Dia angkat kepala, lepas tu….
Dua pasang mata, bertembung. Rasa nak terjatuh dari kerusi. Cemas. Nak buat apa ni? Nak tekan keyboard ke nak tekan calculator? Mata meliar ke permukaan meja mencari calculator yang tak ada di mana-mana. Keyboard yang ada depan mata, tak nak pulak dia tekan. Sasau! Kepala hang dua minit. Idea, idea.. tolong! Ah.. pergi susun fail kat drawer belakang ni lah. Dia kena ubah posisi sekarang ni. Kalau tidak, risiko untuk terkena parkinson di sini tersangatlah tinggi.
Tak tahu nak gambar perasaan yang sangat subjektif ni. Tak terkata. Sambil-sambil susun fail masuk drawer, dia boleh menyanyi satu lagu ni.
Babak pertama bermula saat ku terlihat mu
Waktu seakan terhenti terpinga mencari
Rasa yang takkan terungkap tak pernah ku alami
Cuba aku mengerti……
Babak Pertama
~Drama Band~

Setakat satu rangkap ni je yang boleh dia nyanyi sebab cerita dia dan lelaki ni pun belum tahu hujung pangkalnya lagi. Ciss! Cara dia bercakap ni, macam ada sambungan je kisah dia dengan lelaki tu. Haha. Hairan sebenarnya Najihah ni. Apesal lelaki tu yang pandang, dia pula yang huru-hara.
“Ain!”
“Wohoii!” Najihah terjerit kecil dan serentak menghadap ke hadapan. Dia tengok Kak Laila ada di hadapan meja.
“Terkejut hah, Ain. Orang kat depan tu baru lepas interview dengan Tuan Haji.” Kak Laila toleh sekilas tengok lelaki yang tenung-tenung Najihah tadi.
“Tuan Haji minta cek rekod saman dia. Kalau okey semua, Ain boleh proceed macam biasa.” Kak Laila angkat-angkat kening dia sambil tangan memberi borang permohonan kerja lelaki itu pada Najihah.  
Patut dia pandang-pandang, rupanya Haji Ramli suruh dia jumpa Najihah. Tapi, motif apa dia pandang Najihah banyak kali tu? Okey, abaikan je.
Mata Najihah melekat pada borang permohonan kerja lelaki tadi. Lelaki tadi, Najihah dah tak pandang-pandang dah. Naik seram nak tengok sebab takut terkena penyakit menggeletar.
“Lah.. apply driver rupanya!” Najihah luah dengan suara yang amat tidak disangka. Kak Laila pulak terkejut dengan reaksi Najihah.
“Kenapa pulak.. tak boleh ke?” Lurus je Kak Laila tanya. Muka dia nampak sedikit musykil.
“Boleh je, apasal tak boleh pulak?” Najihah saja tanya Kak Laila balik. Nak selindung keadaan dia yang tak sangka tadi.
“Tapi, bila masa Kak Laila dengan orang tu masuk bilik Tuan Haji? Tak nampak pun.” Soal Najihah kerana sedar-sedar sahaja, Kak Laila dah sampai di meja dia. Tak ada pula nampak dia orang lalu-lalang kat sini.
“Masa akak masuk tadi…Ain tak ada kat sini pun.”
Okey, dia pergi Maintenance Department tadi. Tengok ada mekanik jatuh dari bumbung bas. Dah bawak ke hospital dah pun. Harap-harap tak ada yang patah-riuk mekanik tu. Najihah jawab soalan Kak Laila sambil meneliti borang permohonan kerja di tangan. Kak Laila memang dengar bersungguh-sungguh.
“Najmi.” Najihah sebut perlahan sambil kepala tengah terbayang-bayang lagi kes pandang-memandang tadi. Masih berdebar sebenarnya.
“Oh.. lupa pulak akak.” Kak Laila yang macam baru tersedar, terus cakap laju-laju. “Boleh akak panggil dia sekarang?” Najihah cuma angguk kepala dengan Kak Laila.
“En. Najmi! Encik boleh jumpa Cik Ain sekarang.” Kak Laila laung dengan suara dia yang lantang dari tempat Najihah.
Lelaki tu berjalan mendapatkan mereka. Najihah tengok je lelaki tu susun langkah. Sungguh bergaya!
“Jemput duduk En. Najmi.” Najihah mempelawa sambil meneliti kembali isi borang permohonan pemuda tersebut. Wah, macam terpegun Najihah tengok wajah lelaki ni dari dekat! Bersih betul kulit dia. Produk apa dia pakai ni? Pakai krim D’Herbs terlajak laris gamaknya.
“Terima kasih.” Lembut orang yang bernama Najmi ini menjawab dengan smiling face dia.
Najihah terpaku seketika. Hati bergoncang. Entah kenapa dia terasa gelabah melihat Najmi ketika ini. Kalau ikutkan hati, nak je tanya kenapa dia curi-curi pandang Najihah tadi. Adakah wajah Najihah tersangat berseri-seri pada pagi ni? Tapi, tak bolehlah sebab soalan tu macam memalukan diri sendiri je.
Najihah berdehem kecil membetulkan suara. “Jika diikutkan dalam borang ni.. En. Najmi pohon sebagai pemandu bas di syarikat kami. Betul ya.. saya tak tersalah baca?” 
Najmi mengerutkan dahi. Dia seperti keliru dengan maksud di sebalik pertanyaan Najihah. Kak Laila pula berdiri terpacak dari tadi di sebelah Najihah.
“Betul, tak ada yang salah! Dah interview tadi. Kenapa? Tak boleh ke saya pohon jawatan tu?” Najmi dapat membaca sedikit-sebanyak apa yang Najihah maksudkan.
Haih, dia pula bertanya sebiji macam soalan Kak Laila. Najihah angkat kening sebelah. Muka kau tu agak kacak nak jadi driver bas. Patutnya kau mohonlah jadi pemandu Airbus dekat Airasia ke Malindo Air ke, barulah kena gayanya. Ini tidak, habis tercemar kulit muka kau tu disembur asap bas ekspress di sini.
“Jangan risau! Sesiapa pun boleh mohon sebagai pemandu di sini asalkan megikut procedure syarikat dan ujian ringkas yang kami jalankan.” Najihah kembali kepada formal. Mujur boleh susun ayat nak bercakap. Kalau tak, haru jugak bila ada penemuduga jadi gagap bila kena soal dengan orang yang ditemuduga.
Lelaki ni nampak kacak dengan season jeans, tee Adidas berkolar terletak elok di badan, kasut kasual Adidas di kaki dan topi Adidas di kepala. Dia nampak sesuai sangat dengan tee merah sebab kulit dia yang cerah tu. Eh chop-chop! Semuanya Adidas. Dapat tajaan ke dia ni? Najihah berdecit.
“Boleh bagi saya kad pengenalan, lesen memandu,  dan PSV?”
Sure…” Najmi mengeluarkan dompet. Satu-persatu dia bawa keluar.
Passport ada?” Najihah tanya tiba-tiba. Najmi pandang Najihah. Takkan terkejut kut? Najihah bukan tanya soalan KBAT( Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) pun.
“Bas syarikat kami beroperasi hingga ke Singapura dan Selatan Thai. Jadi kalau En. Najmi ada passport, lagi senang kami nak uruskan trip En. Najmi ke sana. Lagipun, elaun pergi balik ke sana memang tinggi. Syarikat sangat memerlukan pemandu yang masih sihat, muda dan cergas untuk memandu dalam jarak jauh. Ermm…selain tempat yang saya cakap tadi, bas di sini bergerak ke utara, selatan, barat, dan timur Semenanjung. Sabah dan Sarawak je kami tak boleh nak pergi. Kalau boleh, dah lama kami sampai.” Sempat Najihah bergurau di hujung-hujng ayat dia. Najmi tersengih, tapi kejap je. Wah, ada lesung pipit! Selebihnya, Najmi serius. Yang serius itulah yang buatkan dia lebih segak rasanya. Angau Najihah dibuatnya. Lia, tolong aku! Kepala otak kawan kau ni dah senget ni, Lia oiii!
Passport ada…tapi saya tak bawak.” Slow je dia cakap. Najihah hulur segala benda yang diminta dari Najmi tadi kepada Kak Laila. Tanpa disuruh, Kak Laila terus jalan ke mesin fotostate.
“Tak apa, boleh bawa kemudian.” Najihah cakap dengan senyum sikit.
Lepas tu, dia terangkan segala prosedur yang perlu dilakukan sebelum menjadi seorang pemandu di syarikat ini. Tenang lelaki ini mendengar.
“Tapi sebelum apa-apa… En. Najmi tunggu kejap, saya perlu semak rekod saman En. Najmi dahulu.” Najihah klik pada google chrome icon. Sementara tunggu loading sempat lagi Najihah perhatikan Najmi dari ekor mata dia. Najmi nampak santai je di tempat duduk dia. Dalam pada itu, Kak Laila datang balik dengan bawa segala salinan harta pusaka Najmi tadi.
“Setakat ini.. saya rasa saya belum pernah kena compound.” Najmi bersuara tiba-tiba dengan yakin melangit. Suara dia tak kuat tapi cukup je di pendengaran. Bibir dia merah, pasti spesis yang tak pernah ambil rokok ni. Makin lebih dah ni Najihah puji dia.
Rasa aje kan, mana tau kalau ada. Najihah mengulum senyum. “Tak apa… kita check dulu. Samada pernah kena saman atau tidak, saya perlu semak dan saya perlu rekod di sini.” Najihah tunjuk satu ruang dalam borang permohonan yang perlu diisi. Entah kenapa rasa seronok nak bercakap dengan lelaki ni. Bercakap pasal kerja je bukan ada topik best pun. Tapi seronok tengok reaksi dia yang susah aku nak elaborate di sini. Gelabah tadi dah terbang jauh-jauh.
“Ermm.. dah keluar pun rekod En. Najmi kat sini. Ada satu saman. Kena di KL bulan lepas dan nombor platnya pun ada.” Aiceceh, confident je dia tadi tak pernah kena saman. Pergi sorok muka kau tu kat bawah meja aku ni hah. Najihah pusing skrin LCD komputer dia menghadap muka Najmi. Biar dia tengok sendiri bukti dia kena saman.
Dahi Najmi berkerut-kerut. Apa dia fikir sampai teruk sangat. “Oh.. masa ni bukan saya yang driving. Adik saya sebenarnya.” Najmi cakap dengan yakin juga kali ni. Tapi, ada Najihah kisah kalau atok tiri dia sekalipun yang drive.
“Setakat satu saman tidak jejaskan peluang En. Najmi untuk pohon kerja di sini. Mengikut polisi syarikat…kami tidak akan mengambil pemandu yang mempunyai lima dan ke atas rekod saman. Mereka kena jelaskan sekurang-kurangnya sehingga tinggal tiga bakinya. Kemudian, kami akan pertimbangkan. Kami tak mahu pemandu yang melanggar undang-undang. Keselamatan penumpang, servis yang baik dan nama baik syarikat penting untuk reputasi kami. Jelas ke En. Najmi?”
Najmi anguk-angguk. “Clear enough at all! And about the compound, I’ll settle it later.” Dia cakap dengan lajunya. Cakap orang putih pulak tu. Feeling London betul mamat ni!
Err er…cukup jelas semuanya. Pasal saman tu saya akan selesaikan kemudian. ” Tiba-tiba saja Najmi menterjemah kata-katanya ke dalam Bahasa Melayu.
Apa dia ingat Najihah tak faham bahasa orang putih ke? Mesti English si Najmi ni dapat A++ masa SPM dulu.
“Okey. En. Najmi boleh ambil semula dokumen. Isnin depan, sila datang ke sini pukul 9.00 pagi buat driving test. Nanti boleh jumpa terus dengan pegawai bahagian operasi. Itu saja.” Najihah pandang tepat ke muka Najmi.
“Itu je.. sijil-sijil akademik tak nak tengok?”  Najmi angkat kening.
“Tak perlu! Cukup dengan apa yang saya mintak tadi. Kalau En. Najmi mohon jawatan pentadbiran.. awal-awal tadi saya dah mintak.” Laju Najihah jawab. Dia ada degree dalam pemanduan bas ekspress ke?
Lepas ucap terima kasih, Najmi bergerak keluar. Lama Najihah pandang kelibat Najmi hingga hilang di balik dinding. Dia tak sedar yang Kak Laila di sebelah sedang perhatikan dia.
“Aiceh.. lama tenung! Akak tahu kenapa Ain terkejut mula-mula tadi. Sebab dia handsome kan.. tak pernah ada lagi driver sehandsome dia. Betul tak?” Kak Laila pasang perangkap.
Najihah fokus dengar apa yang  Kak Laila cuba sampaikan. Kemudian dia tersenyum.
“Aik.. saya tak cakap eik Kak Laila. Ke akak yang dah angau? Kat mana yang Kak Laila berkenan sangat dia tu?” Najihah saja cari akal nak tengok reaksi Kak Laila. Padahal dia pun dah naik gatal sekarang ni.
“Kita cakap dia…dia kata kita pulak. Tapikan…akak suka tengok mata dia.” Kak Laila bersahaja.
Ya, mata yang redup tu ada tarikan nak ditengok.
“Lesung pipit dan bibir dia yang merah tu yang paling mahal.” Tambah Kak Laila. Menjadi-jadi pula si kakak ni memuji.
“Ewah-ewah Kak Laila.. siapa yang tengok siapa sebenarnya ni?” Giliran Najihah senyum mengejek sambil merenung Kak Laila. Dia sebenarnya setuju dengan kata-kata Kak Laila, tapi dia mengambil keputusan untuk berdiam diri tanpa berpihak kepada Kak Laila. Kadang-kadang frasa ‘diam tandanya setuju’ boleh dipakai untuk sesuatu keadaan contohnya macam sekarang ni la.
“Apa salahnya akak memuji ciptaan Tuhan. Ain tu…ingat akak tak nampak ke Ain punya tenung tadi. Yang di depan tu tak marah ke?” Kak Laila memuncung mulut ke arah tempat duduk Amin.
Ciss! Ada apa dengan ‘yang di depan tu’? Dia bukan boyfriend aku pun yang perlu aku jaga hati dia. Baik lagi jaga hati sendiri. Najihah berdecit.

Entah kenapa satu hari ni, kepala dia asyik terbayang-bayang mata orang yang bernama Najmi. Sampai dah balik rumah ni pun, masih terfikirkan dia. Kenapa? Sebab wajah dia indah? Ah sudah-sudahlah tu Najihah! Banyak lagi kerja lain yang kau boleh buat daripada fikir dia 24 jam.
“Ibu… masak apa petang ni, laparlah.” Najihah turun ke dapur. Melangkah masuk je ke muka pintu dapur, dah boleh nampak Mak Cik Aisyah sedang mengacau air di dalam teko. Harap-harap bukan air kopi.
“Ada mee kari…makanlah. Kamu tak makan ke kat tempat kerja tadi?” Mak Cik Aisyah  selalu tanya macam ni sebab anak dia ni suka melewatkan waktu makan.
“Makan. Tapi lapar lagi.” Najihah jawab sepintas lalu. Sebelum tu dia sempat pergi jenguk air dalam teko tadi. Air teh. Lega!
“Mana nak kenyang kalau makan tak pernah habis.” Mak Cik Aisyah menyanggah. Najihah mencemik sambil tangan menyenduk kuah kari ke dalam mangkuk.
“Nak buat macam mana bu kalau dah tak boleh habis. Takkan nak sumbat jugak…nanti kalau muntah balik lagi teruk. Macam aneroksia bulimia pulak.” Najihah tergelak.
“Kamu jangan nak putar belit ibu…itu penyakit orang yang nak kurus. Tapi kamu ni ada penyakit yang memang makan tapi tak pernah habis. Penyakit membazir.” Mak Cik Aisyah dah keluarkan fakta.
“Ahha…pandai ibu. 10 markah untuk ibu.” Najihah bersahaja.
“Orang tak masuk universiti pun belajar jugaklah.” Mak Cik Aisyah menyindir. Baru dua bulan lepas je Mak Cik Aisyah bersara. Dia bersara awal pada umur 55 tahun. Katanya nak duduk di rumah bersama keluarga.
“Memang ibu pandai pun…tambah lagi lima markah untuk ibu.” Najihah buat Mak Cik Aisyah tu macam kawan-kawan dia. “Bestnya bu…esok cuti! Yeehaaa…”
“Macam budak-budak je perangai kamu ni…macam tak pernah dapat cuti.” Mak Cik Aisyah kutuk anak dia.
“Yelah bu…dah lima hari kerja. Badan pun tahu jugak nak rehat-rehat. Kerja rajin-rajin sangat pun bukan boleh kaya raya. Hidup lebih elok kalau bersederhana.” Najihah suap mee ke mulut. Baru dia sedar yang dia bercakap seolah-olah tak ada wawasan langsung untuk berjaya.
“Cakap kalau kena dengan kamu, memang pandai. Kamu tu bila nak kahwin? Kakak kamu umur 23 dah kahwin. Kamu tu dah 24.” Sudah….Mak Cik Aisyah dah buka hikayat. Mau bernanah telinga nak dengar.
“Apesal ibu tiba-tiba cakap pasal kahwin ni…zaman sekarang muda lagilah bu kalau umur macam orang ni.” Mengelak Najihah jangan tak mengelak.
“Kamu ada boyfriend tak? Tak pernah cerita apa-apa pun.” Mak Aisyah lagi laju menyoal.
“Dah tak ada boyfriend…macam mana nak cerita.” Jujur Najihah jawab. Macam tak ada apa yang perlu dia risau.
“Bagus…kalau ada orang pinang, ibu terima je nanti.” Mak Cik Aisyah tersenyum simpul. Bunyi macam dah ada kira-kira yang nak Mak Cik Aisyah buat.
“Aih-aih…ibu jangan suka-suka, bu. Orang tak nak…nanti orang lari rumah.” Najihah takut, tapi sempat mengugut.
“Itulah kamu…sikit-sikit ugut. Langsung kamu tak kesian dekat ibu.” Nada Mak Cik Aisyah berubah menjadi ayat sedih. Seolah-olah berkecil hati.
“Ibu...jangan la gitu, bu. Orang tak maksud apa-apa.” Jiha bangun dan peluk Mak Cik Aisyah dari bekang. “Orang muda lagi. Ibu kena beri peluang orang cari pilihan orang sendiri.” Najihah pujuk lembut tapi dalam masa yang sama maksud dia tegas. Mangkuk mee yang dah kosong diangkat terus ke singki.
“Ibu bukan nak suruh kamu kahwin sekarang…tapi kamu kena fikir pasal masa depan. Cari orang yang boleh bimbing kamu, orang yang ibu dan abah percaya untuk jaga kamu.” Nada Mak Cik Aisyah penuh mengharap.
“Memang semua orang nak cari lelaki macam tu. Tak apa bu…ibu jangan risau. Bila jodoh sampai nanti…kahwin la orang. Nak kena mandi bunga dulu kut, bu?” Najihah gelak. Mak Cik Aisyah juih bibir.

Pagi-pagi lagi Alia dah bertandang ke rumah Najihah. Dia bagi alasan nak pinjam novel daripada Najihah. Dah lama katanya tak baca novel. Tapi, dari air muka dia tu dah tunjuk masalah. Herm…jangan tipulah orang yang kenal dia dari kecik lagi ni hah.
Setelah puas bertanya, barulah Alia cerita hal sebenar. Rupanya dia perang dingin  dengan boyfriend dia si Aidysham tu. Orang bercinta memang macam ni, janji nak keluar sama-sama hari ni, tapi Sham batal pulak. Itupun beri tahu last minute…masa Alia tengah siap-siap depan cermin masa tu lah baru nak batal. Mahu tak terencat si Lia tu.
Bercinta jarak jauh memang susah. Si Sham baru dapat kerja kat Putrajaya sekarang ni. Dia dah jadi pegawai kerajaan. Dalam dua bulan, sekali je baru dapat jumpa. Bila tak jadi nak jumpa, tu yang Lia macam meroyan tu. Teruk betul minah ni kan.
Bosanlah cerita pasal orang tengah cintan-cintun ni. Nak cerita pasal Amin kejap kat budak Alia ni.
“Kau tahu Lia…petang semalam Amin bergaduh dengan Pak Cik Lan driver.” Najihah baling bantal kecil pada Alia.  Alia tersentak.
“Macam mana boleh jadi?”
“Amin tak nak approve claim Pak Cik Lan. Riuh-rendah dia orang bertikam lidah. Langsung dia orang tak hairan dengan aku yang cuba nak settle. Cik Rahim dengan Fitri dah macam tunggul. Lastly, aku panggil pak aji…ape lagi kena kaunseling la dalam bilik pak aji tu.”
“Aku boleh tabik springlah kalau Amin nak respect kau. Pak aji tu pun dia boleh redah cam tu je. Semua orang dah meluat dengan perangai Amin. Dia orang tak nak jadi macam kes lepas sampai kena panggil polis. Sikit punya pasal…semua bertumbuk. Termasuk Cik Rahim yang cuba nak lerai kes dia orang tu. Serik dah semua orang kalau nak cuba masuk campur hal Amin.” Panjang Alia bercerita. Maklumlah dah tiga tahun kerja kat situ. Banyaklah dia tahu berbanding Najihah.
“Dashyatnya…habis tu buat police report?”
“Tak adalah…company mana mahu kecoh-kecoh. Settle luar balai la.”
“Amin tu kena bagi dia pengajaran…kalau tidak entah bila dia boleh sedar.” Najihah merenung jauh.
“Aku pelik jugak, kenapa company tak buang je dia. Senang…aman sikit. Tapi, apa yang aku dengarlah…HOD dia orang yang pertahankan Amin.”
“Aku tahu jugak cerita ni dari Haji Ramli.”
“Haih…sampai bila company nak simpan dia lagi?” Berat bunyi keluhan Alia.
Sekurang-kurangnya kerja Alia tak perlu berhadapan dengan Amin melainkan Amin hanya mengganggu dia bila terserempak. Tapi Najihah lain, dia salah seorang yang perlu bertanggungjawab dalam masalah pekerja. Macam mana nak handle masalah pekerja macam Amin, kalau Amin langsung tak ada rasa hormat pada orang.
Sebenarnya Alia, aku tahu lebih dari itu sebab Haji Ramli yang bagi info. Banyak cara Haji Ramli buat untuk singkir Amin, tapi dia disokong kuat oleh ketua jabatan dia. Ketua jabatan dia En. Razif, saudara  kepad Amin. Jadi, Amin ada backup yang kuat di sini. En. Razif memyokong Amin sebab dia sukar mencari pengganti, memandangkan Amin lebih mengenali pemandu lebih daripada dia. Amin juga adalah ‘mata-mata’ pada En. Razif. Amin tu dah siap dapat surat amaran terakhir dah pun. Tapi langsung tak ada kesedaran nak berubah.

Satu lagi cerita, budak Amin tu percaya aku dah kahwin. Dia betul-betul ingat abah aku itulah suami aku. Lantak dialah!! Biar dia hormat sikit dengan aku yang kononnya dah bersuami ini.

No comments:

Post a Comment