Friday 12 June 2015

Si Pemandu Hati (Bab 3) ~ Nazira Ilias

Dah 6.30 pagi, Najihah tekan butang stop pada penggera telefon bimbit. Dia mengatur langkah ke bilik air mengambil wudhuk. Kalau terus mandi, jawabnya terbabas Subuh. Lepas solat, sempat lagi dia terlelap di atas katil.
“Ya Allah… tidur lagi budak ni, dah pukul 7 tahu tak? Bangun cepat, mandi!” Mak Cik Aisyah tarik kasar selimut dari badan Najihah. Brutal betul Mak Cik Aisyah ni. Terkejut akak!
Najihah bangun dengan malas. Tuala yang tersangkut di penyidai, dia capai dan jalan masuk bilik mandi dengan mata separuh tutup.
“Jiha.. apa kamu buat lama-lama dalam bilik air tu. Kamu tidur ke apa?” Lebih kurang 20 minit macam tu, Mak Cik Aisyah terjerit-jerit panggil Najihah yang masih tak keluar dari dalam bilik mandi.
“Mana ada. Kenapa bu? Lama sangat eih orang mandi? Dah nak keluar dah ni…jappppp!” Najihah jerit dari dalam bilik air.
“Okey siap cepat…boleh sarapan! Dah pukul berapa dah ni.” Mak Cik Aisyah membebel-bebel di hadapan pintu bilik air Najihah.
Untung sebenarnya kalau duduk di rumah ibu bapa, ada orang yang boleh kejutkan bila bangun lambat. Dan sebab itulah perangai Najihah pun melampau-lampau.
Lama sangat ke Najihah di dalam bilik mandi tadi? Mesti ibu risau sebab dia pernah tertidur di dalam bilik mandi. Tapi, itu cerita lamalah. ‘Penyakit’ tu dah hilang sejak masuk hostel di universiti. Pernah jugak Mak Cik Aisyah tanya Najihah dahulu yang berbunyi begini...
“Jiha…macam mana kamu boleh lena dalam bilik air tu? Kamu bersila ke, mencangkung ke…tak pun kamu baring betul-betul?”
“Entahlah bu…buat gaya bebas je.” Najihah ketawa kuat bila dengar Mak Cik Aisyah tanya begitu.
Pukul 8.10 pagi dia h sampai di pejabat. Bermakna ada 20 puluh minit lagi untuk memulakan kerja. Wah, sesaknya nak masuk sini. Dia terpaksa mengecilkan badan untuk membolosi ruang Jabatan Operasi untuk sampai di meja kerja. Semua yang ada di situ pandang Najihah tak lepas. Lagak macam tak pernah tengok perempuan je mereka semua ni. Manakala ada dua tiga orang pekerja sudah mengetahui bahawa dia adalah orang baru di situ. Jabatan ini biasanya dipenuhi dengan pemandu-pemandu yang keluar masuk tak kira masa untuk menyemak jadual trip perjalanan bas mereka.
Ruang pejabat Najihah ditempatkan di dalam bangunan utama bersama enam jabatan lain. Manakala, jabatan Alia ditempatkan di bangunan bersebelahan sahaja.
Sebaik sahaja Najihah duduk di kerusi, dia disapa oleh seorang pemandu. Mestilah pemandu lelaki. Menurut Suzana syarikat ini belum pernah lagi mencipta sejarah untuk mengambil pemandu dari kalangan wanita.
“Eksekutif  baru kat sini?” Tanya seorang pemandu yang agak berumur. Senang saja nak kenal dengan driver di sini sebab mereka semua beruniform syarikat yang berwarna biru.
“Ye…baru start hari ni.” Pendek Najihah jawab.
“Cik atau puan?” Pemandu itu menambah. Najihah berfikir sebentar mencari jawapan. Pemandu yang sebaya abah Najihah itu tersenyum. Nak tahu samada dia sudah berkahwin atau belumlah tu. Sibuk betul orang tua ni.
“Hermm…PUAN!” Najihah selamba.
“Eh tipulah!! Tak nampak macam orang dah kahwin pun. Muka pun berseri-seri je.” Pemandu tadi cakap dengan yakin.
Eh! Boleh kenal ke orang dah kahwin ke tak? Bahaya orang tua ni. Tipu pun tak lut.
“Oh…dah kahwin rupanya. Anak berapa?” Seorang pemandu lagi mencelah. Ini soalan perangkap.
“Tiga orang. Dua perempuan satu lelaki. ” Lancar betul mulut Najihah ni kalau masuk bab menipu. Bukan apa, saja nak tutup cerita kahwin-kahwin ni.
Tak lama lepas itu, Haji Ramli dilihat melintas bilik operasi untuk menuju ke bilik dia. Keadaan bertukar menjadi senyap. Nak tunjuk hormatlah mereka tu. Belakang pak aji tu, bukan main mereka.
 “Ain…ikut saya ke dalam. Ada beberapa perkara nak dibincang.” Haji Ramli mengarah.
“Baik, Tuan Haji.” Hamba menurut perintah. Dia mengekori Haji Ramli dari belakang dengan membawa sekali planner.
Haji Ramli menerangkan tentang selok-belok bidang tugas Najihah dengan lebih lanjut. Pak aji tu juga menunjukkan prosedur untuk membuat laporan sesuatu kes saman melalui Gantt Chartt. Selain tu, Najihah perlu tahu mengenai PERKESO, KWSP, PUSPAKOM  dan banyak lagilah tugas dia. Kalau nak cerita semua kat sini mahu dua tiga bab pulak karang dengan naratif aje. Mengantuk je semua yang baca cerita ni.
Hampir ke tiga jam jugalah Najihah bertapa di dalam pejabat Haji Ramli. Walaupun pendingin hawa cukup kuat di sini, tapi peluh dingin tetap memercik di dahi Najihah yang sedang pick-up arahan daripada Haji Ramli.
“Cukuplah tu Ain…saya tahu awak pening nak cacth up semua benda ni. Tengok dahi awak yang berkerut tu pun saya dah dapat agak.” Haji Ramli ketawa kecil.
“Eh…sampai macam tu sekali ke Tuan Haji?” Najihah risau. Terover acting pula.
It’s okay…awak boleh semak semua dokumen tu di luar. One more thing…di belakang tempat duduk awak ada sebuah bilik kecil. Bilik tu ada semua maklumat mengenai saman dan rekod-rekod pekerja. Awak boleh masuk ke situ untuk ambil segala rekod dan buat rujukan. Awak boleh minta tolong daripada Laila. Sebahagian daripada tugas dia memang untuk membantu awak di sini.” Panjang lebar Haji Ramli membuat penerangan.
“Ok, Tuan Haji…kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu.”
Dia melangkah ke meja kerja dia dengan berkira-kira mengatur plan kerja. Sebaik sampai, ada seorang lelaki dalam lingkungan 40an datang mendekati.
“Cik Ain…tinggal kat mana?”
“Panggil Ain je…En. Rahim. Rumah saya dekat Taman Cempaka.” Jawab Najihah sambil membelek-belek dokumen yang bertimbun di atas mejanya.
“Eh…tahu nama saya?” En. Rahim terkejut.
“Hish En. Rahim ni…apa guna pakai pas pekerja yang besar gedabak tu kalau bukan nak tunjuk nama En. Rahim.” Najihah tersenyum sambil menggeleng kepala.
“Hehehe…” En. Rahim tepuk dahi. “Sorylah Cik Ain…orang tualah katakan.” Ketawa kecil pulak En. Rahim ni.
“Tak ada hallah.” Tak sempat Najihah menghabiskan kata-kata, telefon di mejanya berdering. Najihah dan En. Rahim sama-sama merenung set telefon tersebut. Najihah jawab. En. Rahim dah bergerak ke tempat dia.
“Hello Jiha…aku ni.”
Alia!!!! Pandai dia guna ‘kemudahan percuma’ di syarikat ni.
“Weh kau... ingatkan siapa tadi. Kenapa babe?”
“Jap lagi lunch time…kita makan sama-sama kat café eih.” Najihah tengok jam di tangan, ada setengah jam lagi untuk keluar rehat. “Aku pergi kat tempat kau. Kau tunggu je situ.”
“Ok.” Najihah jawab tanpa banyak soal.

“AIK…sikit je makan. Tak habis pun.” Tanya Alia.
“Aku memang macam ni… kalau berubah tempat, selera lambat nak mari. Macam lah kau tak kenal aku?”
“Ada juga orang pelik macam kau ni. Tapi yang buat aku lagi pelik…kalau makan kat mana-mana restoran even first time…lalu je, berselera je kau makan aku tengok.” Alia mengutuk.
“Aku tak pelik lah…aku unik.” Najihah angkat kening. “Itu lain, suasananya enjoy…mestilah berselera. Kat sini suasana bekerja…first day pulak, macam-macam aku nak kena pick up. Bila aku dah adapt tempat ni, kau tengoklah nanti berapa banyak aku boleh makan.” Najihah tergelak.
“Tulah…siapa suruh belajar tinggi-tinggi, kan dah pening kepala.” Alia ketawa perlahan.
“Apa punya nasihatlah kau bagi kat aku ni… tak ada motivasi memajukan diri langsung. Menjahanamkan lagi adalah.” Najihah mengeluh.
“Seriusnya. Nak lawak pun tak boleh dah.” Alia mencemik.
“Kalau aku tau macam ni punya susah bekerja, baik aku jadi doktor je dulu.” Najihah tiba-tiba tergelak besar.
“Kau punya penyesalan tu… tak logik langsung!” Alia ketawa kuat. Kemudian Najihah turut ketawa dengan idea bodoh dia tu. Orang lain yang sedang menjamu selera tertoleh melihat mereka.
“Tak payahlah Jiha oii…dah tak ada makna nak tukar profesyen. Eh, Jie…aku baru teringat nak tanya kau satu benda ni.” Bunyi macam serius. Najihah angkat kepala tunjuk reaksi bertanya. “Kau ada jumpa budak operasi tak? Amin nama dia.”
“Tak ada pun…En. Rahim ada lah.” Najihah jawab acuh tak acuh.
“Cik Rahim yang tua bangka tu nak buat apa?”Alia mencemik. “Kalau kau nak tahu, Amin tu supervisor kat operasi tu. Satu sekolah dengan kita dulu. Tapi yang itu…aku sure kau tak heran. Aku cuma nak bagi tahu kau yang dia tu perangai tak semenggah orang. Suka hati atok nenek dia je nak buat apa kat sini. Kalau bab bergaduh, bagi je kat dia. Kau cuba tanya dia perempuan mana yang kerja kat sini…tak pernah bertekak dengan dia. Ada je point dia nak bergaduh dengan orang.” Panjang pula Alia cerita pasal orang yang bernama Amin tu.
“Aku bukan apa…aku tak nak dia cari pasal dengan kau je. Sekarang aku dah bagi tahu…at least kau boleh berjaga-jaga dengan mamat kurang ajar tu.” Ada lagi penambahan ayat dari mulut Alia. Laser juga mulut Alia ni.
“Ok-ok…aku dengar nasihat kau tu.” Akhirnya Najihah baru dapat bersuara walaupun dia belum benar-benar menerima kesahihan cerita sebelah pihak Alia.

 Sehari suntuk Najihah mempelajari perkara baru. Lepas habis rehat tadi, terus dia berjumpa dengan IT Technician di sini. Belajar semua sistem yang dia patut tahu. Perkara yang memang perlu dia beri tumpuan seratus peratus. Kalau tidak, boleh mati kutu dia tak reti nak buat kerja nanti dengan segala sistem yang ada.
Keluar sahaja Najihah di luar pintu pejabat, dah boleh nampak kereta Pak Cik Nazim di luar pagar. Tak sabar nak balik rumah lepas terasa penat bekerja hari ni. Almaklumlah dah lama membuta dekat rumah. Hari ni rasalah kepenatannya.
“Macam mana kerja?” Tanya Pak Cik Nazim sebaik sahaja Najihah membolosi kereta.
“Ermm…sakit kepala la bah. Semua nak kena belajar.” Najihah bersandar lesu.
“Dah namanya baru masuk kerja…mestilah kena balajar benda baru. Kerja tak sama dengan belajar. Belajar sekurang-kurangnya bertanggungjawab pada diri sendiri dan keluarga. Tapi, bila kamu dah bekerja…tanggungjawab lebih daripada tu. Kamu kena bertanggungjawab pada syarikat merangkap majikan, orang atasan dan orang bawahan juga. Besar amanah tu…jadi kena pikul baik-baik. ” Pak Cik Nazim berceramah. Adoi, banyaknya tanggungjawab Najihah!
“Ye bah…orang ingat semua tu.” Jawab Najihah lemah. Kepala dia tiba-tiba ingat kembali pelawaan Alia ketika waktu makan tengah hari tadi.
“Kau pergi balik kerja ni naik apa? Abah kau jadi driver eih angkut kau?”
“Amboi-amboi…aku rasa ringan je tapak tangan ni nak lempang mulut engkau.” Najihah buat aksi nak lempang pipi Alia.
“Emo pulak.” Alia menyeringai gigi. “Kau jangan marah-marah…aku nak offer benda baik kat kau ni. Apa kata…aku je yang ambil dan hantar kau. Senang kan sebab kita ke tempat yang sama.”
“Memanglah kita ke tempat yang sama…tapi kita datang dari tempat yang berbeza. Apa kau dah lupa? Rumah aku tu lagi jauh dari rumah kau.” Sanggah Najihah pula.
“Alah…tak jauh mana sangat pun.  Tiga, empat minit je nak ke rumah kau kalau naik kereta.” Alia berkira-kira.
“Kau sanggup ke hari-hari?” Najihah serius.
“Sanggup!” Laju Alia jawab. “Aku charge lebih petrol nanti..baru kau tak rasa bersalah nak tumpang aku.”  Alia berseloroh.
Najihah menunjal kepala Alia. Tak guna punya kawan!
Lama Najihah mengelamun, tak sedar dah sampai ke rumah. Sempat jugak Najihah jenguk Mak Cik Aisyah yang sedang cabut rumput dalam pasu bunga. Lepas tu, dia terus naik ke bilik. Campak tudung atas katil, tukar baju dan solat Asar. Kemudian terus rebah atas katil. Nak buang rasa penat kejap. Tapi rasanya hanyut terus gamaknya.

Hampir ke pukul 9.30 pagi, Najihah tenampak ada seorang lelaki yang baru masuk ke bahagian operasi. Dah sejam waktu kerja berlalu. Pukul berapa lelaki ni masuk kerja? Kelihatan Cik Rahim mahu melintasi mejanya dan Najihah sempat menggamit tangan memanggil Cik Rahim. Cik Rahim berpatah balik mendapatkan Najihah. Orang di sini semuanya panggil ‘cik’ dan bukannya dengan ‘encik’ sebab dah terbiasa begitu. Mereka cuma ambil hujung suku kata ‘encik’ itu je. Betul jugak kan, macam susah je nak pangil ‘encik-encik’ ni. Sebut ‘cik’ sudah.
“Ada apa Cik Ain?”  Cik Rahim menunggu jawapan.
“Sapa yang duduk kat meja sebelah kanan tu? Dia baru sampaikan?”
“Amin…supervisor kat sini. Dia memang selalu datang lambat.” Sekarang ni, Cik Rahim tunjuk muka bosan bila bercerita pasal orang yang duduk di meja sebelah kiri dia tu.
“Semalam tak nampak dia pun.”
“Semalam off day dia. Kenapa Cik Ain?”
“Tak ada apa. Saya ingat siapa tadi.” Najihah cuba berselindung.
Inilah rupanya budak Amin tu, datang lambat buat company ni macam bapak dia yang punya. Lepas ni apa pula perangai buruk dia?
Lepas Cik Rahim kembali ketempat dia, Najihah nampak Cik Rahim dan Amin borak-borak seketika. Kemudian Amin toleh ke belakang pandang Najihah. Mugkin baru tersedar kewujudan Najihah di situ. Najihah hanya meyelak-nyelak dokumen nak tunjuk yang dia sedang bekerja sedangkan ekor mata dia tengok Amin dari jauh. Sekarang ni, Amin sedang jalan menghampiri meja Najihah.
“Eh siapa ni…orang baru?” Amin menyapa Najihah sambil tersenyum riang. “Cik Rahim…siapa nama awek ni?” Tanya Amin kepada Cik Rahim. Macam gaya Mat Rempit je.
“Tanyalah pada tuan punya badan sendiri.” Acuh tak acuh je Cik Rahim jawab. Tiba-tiba Amin jalan ke pintu hadapan memeriksa rak punch card. Dia tercari-cari sesuatu, kemudiannya dia mengeluarkan satu kad.
“Nur Ain Najihah Binti Mohd Nazim.” Amin baca kuat-kuat sambil tangan dia pegang satu card.  Umur dia pun sebaya sayalah Cik Rahim.” Amin membelek-belek punch card Najihah yang tertera nombor kad pengenalan dan jabatan. Cik Rahim buat tak reti je.
Amin letak balik kad Najihah dan pergi jenguk Najihah di meja. Jenuh Najihah menjawab soalan daripada Amin. Apa dia ingat syarikat  ni bapak dia punya ke boleh bersembang bila-bila dia suka. Dalam berborak Najihah sempat juga Najihah siapkan satu laporan. Daripada bersaya awak bertukar menjadi aku dan engkau. Entah macam mana boleh sampai pula ke topik zaman persekolahan dulu.
“Tak sangka kita satu sekolah dulu. Kalau aku tau kau comel macam ni…dulu lagi aku dah mengorat sampai dapat.” Amin senyum meleret-leret.
“Kau dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah. Sapa yang tak kenal dengan perangai jahat, lawan cikgu, kuat gaduh kau tu.” Najihah buat serangan tepat pada Amin sekarang ni.
“Sampai hati kau, Ain. Itu dululah…hari ni aku dah berubah.” Mendatar je suara Amin. Takkan sedih kut? Muka gangster.
“Hari ni? Hari ni baru nak berubah? Tak apa…biar aku tengok sejauh mana perubahan kau tu.” Najihah angguk-angguk kepala.
“Kau cabar aku ke Ain?” Amin merasa terpukul.
“Aku cabar ke? Aku cakap nak tengok je.” Najihah berkias-kias. Kalut betul mamat ni. “Dah…aku nak buat kerja ni.” Najihah buat muka serius. Amin dah kembali ke tempat dia. Najihah sambung kerja.
Keadaan pejabat senyap sunyi tiba-tiba bila ada sorang lelaki berpakaian kemas siap berkot dan bertali leher melintasi bilik operasi. Ada juga yang tunduk hormat.
“Dato’.” Amin menyapa. Dato’ Ramlan hanya mengangguk kepala.
Dato’ menuju ke sebelah kiri bilik operasi. Bilik Dato’hanya selang tiga buah sahaja dari bilik operasi.
“Ain…kalau kau nak tahu, tulah owner company ni.” Amin cakap dari tempat duduk dia selepas Dato’ dah selamat masuk ke bilik.
“Oh…patutlah aku tengok muka kau kecut tadi. Rupanya nampak bos besar. Itulah asyik bercakap tak henti-henti.” Sindir Najihah.
Amin ingat Najihah tak kenal ke tuan punya syarikat ni. Haji Ramli dah bawa dia berjumpa dengan Dato’ dah pun sebelum ni. Kenalah jumpa bos besar dulu sebelum mula bekerja.

“Jiha jom…kau tak nak lunch ke?” Alia datang menghampiri meja Najihah. Boleh tak sedar jam dah masuk ke waktu rehat.
“Ikut boleh?” Amin tiba-tiba mencelah.
“Boleh blah! Lain kali je, hari ni dia makan dengan aku. Esok dengan aku. Lusa dan tulat pun dengan aku jugak.” Jawab Alia dengan suara kasar. Najihah tengok je. Tak dapat rentak lagi nak faham keadaan dua makhluk di hadapan dia ni.
“Heh Alia…sombong betul! Mentang-mentang dah ada geng...besar kepala pulak” Amin tak puas hati. Sebijik perangai dia macam waktu sekolah dulu-dulu. Langsung tak matang.
“Apa kau ingat kau je yang boleh angkat geng? Kau je yang boleh besar kepala? Aku tak boleh…macam tu?” Lagi tinggi suara Alia mengalahkan Amin. Hish, tak boleh dibiarkan budak berdua ni.
“Lia, Amin…sudah-sudah la! Korang bukan zaman sekolah lagi tau. Jom!” Najihah tarik tangan Alia keluar dari situ. Amin sempat tendang meja dia tunjuk protes.
Alia berjalan laju ke café hingga Najihah tertinggal di belakang. Marah betul Alia dengan Amin. Benci benar dia. Sebut nama Amin pun dia tidak sudi. Inikan pulak nak duduk semeja menjamu selera. Memang tidak berseleralah Alia jawabnya. 
“Ermm Lia, aku dah bincang dengan abah aku semalam pasal kau nak ambil hantar aku tu.” Najihah buka cerita lain, tak sebut pasal Amin.
“Dah tu?” Alia angkat kening.
“Abah aku yang hantar selagi dia tak ada hal kat luar kawasan ni. Kalau dia ada hal.. aku minta tolong kaulah. Boleh?”
“Boleh je…dah aku offer ambil dengan hantar kau hari-hari, takkan sekali-sekala pulak tak boleh.” Alia geleng kepala.                 
“Thanks, Lia!”
Thanks  je tak cukup…belanja aku makan hari ni.”
“Kejam la kau ni…aku baru kerja dua hari. First gaji nanti…aku belanjalah.” Najihah buat suara sedih.
“Eleh…buat muka kesian pulak. Iyelah aku tau…saja nak test.”
“Heheh…kau memang kawan yang memahami la.” Najihah membodek.
“Jiha…pasal tadi, kau dah tengok sendiri kan. Macam mana dia suka cari pasal…ini baru sikit. Lepas ni kau kena berhati-hati dengan dia. Tempat kau tu, dekat je dengan dia. Memang senang sangatlah dia nak ambil kesempatan kat kau.” Bersungguh-sungguh Alia berpesan. Najihah hanya menganggukkan kepala.

Malam-malam begini memang bosan sebab tak ada aktiviti nak buat. Nak harapkan kak long, tak muncul-muncul sampai sekarang. Berjanji je lebih kata nak chatting malam ni.
Okay sis, next Saturday…kita chat lagi eik. Oyasumi nasai! Sayonara!
 Janji tinggal janji je. Sibuk sangatlah tu dengan kerja dia. Kerja, anak, suami semua nak handle. Mesti dah lupakan Najihah yang tengah tunggu dia macam buah tak gugur. Ni nak marah ni.
Sila fikir dengan baik-baik ya, Najihah. Kakak ipar kau tu banyak lagi kerja selain nak layan kau. Sudahnya, dia berteleku di hadapan komputer riba sambil menopang dagu dengan mata separuh tertutup.
<melissa_1701> Kon Ni chi Wa!!!!
Yeay! Cik kak ni dah datang. Tak sia-sia tunggu setengah jam. Sampai habis sekotak Rocky dia bedal.
<najihah_nazim> you’re late kak long… kena denda.
<melissa_1701> so sorry sis, very tired…I’ve done my presentation at noon. So, now can take a
                           deep breath…fuhhhh
<najihah_nazim> iyelah...wanita berkerjaya memang la macam tu
<melissa_1701> amboih…macam la orang tu tak ‘bekerjaya’. Congrats sis..boleh belanja Kak
                            Long nanti :p
<najihah_nazim> congrats after a third weeks? Hermmh…
<melissa_1701> ok apa dari tak ada . Kak long baru tahu la dik…nak harap adik bukan nak
                            cerita huhu
<najihah_nazim> saja la tu nak buat sedih. If I didn’t mention it...at the ends you’ll still got that
                              information, right? Hahaha…  doesn't matter what, thanks kak long. Nanti
                              orang belanja kak long makan cendol mamak kat bawah pokok ketapang.
<melissa_1701>  jangan cakap cendol-cendol kat sini.. nanti kak long homesick
<najihah_nazim> balik raya tak pernah miss still nak homesick kahkahakah. Kak long….last
                              Saturday…orang makan CENDOL PULUT dekat kedai Bismillah. Sedap kak
                              long…tak pernah lagilah makan sesedap hari tu…slrrrrppppp!

Najihah sengaja mengapi-apikan kakak ipar dia.
<melissa_1701> you’re too much dik…sob, sob, sob . Tak apa lah…kak long masih setia                 
                           dengan sashimi, udon, danburi, ramen….dan banyak lagi dik
<najihah_nazim> Euww…silap oranglah kak long. Saya kan benci dengan seluruh keturunan
                              sushi dan seangkatan dengannya. Kuey Teow Doly Special waiting you kak  
                              long. Mee Udang Mak Jah pon.  *gelak jahat*
<melissa_1701> *tumbuk dinding*
                            Along & Irfan…tengah main snow ball dekat luar. Dia orang tengah jerit-jerit
                            panggil you datang sini

Najihah jeling sekilas jam pada taskbar skrin. 10.25 pm.
<najihah_nazim> Pukul berapa sekarang ni Kak Long?? Agak-gaklah nak tipu orang pun.

Kak Long cuma balas dengan ‘hahaha’ je bila dia tidak berjaya mengalahkan Najihah. Gila apa nak main kat luar dalam waktu-waktu begini. Awal sejam aje pun waktu di sana. Macamlah Najihah tak pernah ke sana. Ada hati nak tipu dia. Inilah kesannya bila selalu sangat makan makanan yang dibeli dari mesin hahaha.  Kalau boleh, semua benda orang Jepun nak beli dari mesin. Termasuklah Kak Long yang sorang ni.

No comments:

Post a Comment