Monday 2 February 2015

Belum Aku Temu (Bab 7) ~ Amri Ramli

Masih tempat yang sama. Biarpun ada berpuluh tempat makanan lain yang boleh dituju, Amy dan Fez tetap pergi ke lokasi yang sama. Kata Fez, dia suka nasi goreng yang disediakan di situ. Kawasan yang ramai orang tapi tidak banyak kereta lalu lalang. Dan dari situ boleh nampak Jambatan Pulau Pinang.

Fez menanggalkan tali lehernya sebelum turun dari kereta. Dia datang dari seberang sebaik sahaja habis mengajar. Walaupun kiranya tidak berbaloi membayar tol semata-mata untuk datang makan tengah hari, tetapi Fez tidak kisah. Sekali sekala dia dapat berjumpa dengan Amy, banyak benda yang dapat dikongsi.

Amy seperti biasa. Berseluar jeans dan baju lengan panjang. Terkocoh-kocoh dari rumah tadi, Amy sampai di universiti dengan bersandal sahaja. Sandal yang memang dipakai di luar, bukan sandal dari dalam tandas. Mujur tidak ada kelas tutorial pada hari ini. Sekadar terperap di bilik siswazah sepanjang pagi. Juga keluar makan di kafeteria pagi tadi. Tapi Amy tidaklah kisah sangat pun jika ada yang ternampak dia sekadar memakai sandal. Pernah hari itu dia sekadar pakai selipar jepun. Tak apalah. Bukannya berkaki ayam.

“Jom duduk sini,” Fez menuding ke arah meja yang mempunyai surat khabar. Amy sekadar mengikut.
 Pelayan pantas datang meminta pesanan. Fez sudah tahu apa yang dia mahu. Nasi goreng istimewa dan air Horlicks ais. Amy dengan nasi goreng sotong dan Nescafe ais.
 “Hah, spill!” kata Amy sebaik sahaja pelayan meninggalkan meja. Geram sedikit dia apabila melihat Fez menyelak-nyelak surat khabar. Kata tadi ada benda yang mahu diceritakan.
 “Oh,” Fez sedikit tersentak. Baru sahaja hendak menyelak bahagian hiburan.
 “Kak Amy...” keluh Fez. “Kecewa ni..”
 Memek muka Fez terus berubah serta merta sebaik sahaja dia mula bercerita walau tadi sedang tersenyum riang.
 “Apanya?” Amy berlembut. Sudah tahu Fez sudah mula berperangai seperti anak manja.

Fez menarik nafas panjang sebelum dia bercerita fasal Farhana. Satu demi satu diceritakan daripada Farhana masuk ke dalam kereta, memaksanya menyanyi bersama dengan lagu, sehinggalah panggilan telefon di KFC. Semuanya digambarkan secara terperinci kepada Amy. Amy mendengar sambil sekali sekala mencelah.

“Dia dah ada boyfriend la pula! Ingatkan awal-awal tu bagi hint, rupanya setakat ‘mesra alam’,” kata Fez.
 “Ala.. kamu tu pun selalu saja ber’mesra alam’ dengan orang-orang lain,” Amy tersenyum. “Ala.. sekali sekala, kamu la pula yang terkena.”
 “Hm...” Fez memaksa dirinya tersenyum. Hati tidaklah terasa remuk. Bukanlah kecewa yang menggila. Cuma terasa sukarnya hendak mencari yang satu. Bila dia suka, mulalah si dia sudah berpunya.

Fez diam beberapa lama. Amy membiarkan sahaja Fez mengelamun sendiri. Air Nescafe ais yang dipesan sudah pun sampai ketika Fez galak bercerita tadi. Dia minum Nescafe ais itu perlahan-lahan sambil fikirannya melayang kepada Rael.

Tidaklah dirisau sangat fasal Fez dan pencariannya. Sekurang-kurangnya Fez masih lagi muda. Dia sudah pun hendak mencecah 30 tahun akhir tahun ini. Dan apa cerita si Rael?

Spill!”  tiba-tiba Fez bersuara.

“Apa?” Amy tertanya.

Your face tells it maaa.. Ada la benda kat kepala otak akak tu!” kata Fez.

Amy menarik muka. Bukannya marah. Tapi dia geram dengan diri sendiri. Wajahnya sentiasa memaparkan apa yang terfikir di hati.

“Fikir fasal Rael tadi,” Amy bercerita.

“Kenapa dengan dia?” tanya Fez.

“Dia taknak kahwin lagi...” Amy terhenti sekejap. Makanan yang dipesan sampai.

Sambil mulut menjamah, Amy menceritakan kerisauannya pada Rael. Walaupun sudah 3 tahun mereka berkenalan, Rael sentiasa mengelak apabila Amy bercakap fasal kahwin. Alasan yang diberi oleh Rael diulang-ulang. Sama ada masih belum bersedia ataupun masih belum cukup duit.

“Ugut la sikit,” Fez memberi idea. “Biar dia ada push”.

“Tak naklah,” kata Amy perlahan. Amy terhenti lagi. Ada sotong yang terlekat di celah gigi. Amy menyambung, ‘akak push nanti, push away terus pula. He can be a good husband, you know.”

Or can he actually be a husband?” tanya Fez.

Amy terkedu.

Fez terdiam. Kasihan pula dia melihat Amy. Rasa bersalah juga dia bercakap begitu.

I know he’s a good guy yeah,” kata Fez.

Amy sekadar mengangguk.

“Dah dah dah, akak jumpa kamu bukan nak bercerita meruntun jiwa,” Amy kembali tersenyum. Dia terhenti bercakap sekali lagi. Amy meradang pada sotong yang begitu liat. Terus saja ditelan tanpa dikunyah. “Ha, apa cerita student kamu tu? Yang starring tak ingat tu?”

“Oh, yang budak Form 6 tu?” Fez sama tersengih. “Aiyo akak, dia usyar saya tak berhenti. Ngeri pula.”

Cute tak?”

Cute juga.”

“Okay apa. Nanti bila kamu 30 tahun, dia 24 tahun. Taklah orang kisah pun. Lagipun kamu tu lelaki.”

“Akak nih...”

“Dah, dah. Akak melawak je. Jangan kamu buat betul pula.”

“Tak tak..”

“Eh, kamu ni makan lambat betul la.”

“Dah bersembang. Lambat la sikit.”

“Alasan. Kamu tu memang makan lambat. Dah, biar akak pergi bayar dulu.”

“Akak belanja ek?”

“Ya lah, ya lah.”

Amy melangkah ke kaunter. Tangannya mencapai dompet di dalam beg galas. Sambil mencari-cari dompet dari beg galas yang penuh dengan pelbagai benda termasuk telefon bimbit, buku nota dan gincu bibir, dia terperasan akan tiket yang diberikan Adli tempoh hari. Tersimpan elok di dalam fail lutsinar. Amy hampir terlupa pula akan teater muzikal tersebut. Dia menjeling tarikh yang tertera di tiket.


Ah, malam lusa! Hati Amy tiba-tiba berdebar.

No comments:

Post a Comment