Thursday 5 February 2015

Si Dia dari Boston (Bab 5) ~ Norliza Baharom

Haninah sudah pun serba-sedikit berkemas barang-barang yang mana perlu dibawa ke Boston. Satu beg pakaiannya sudah penuh dan disorong ke bawah katil buat sementara waktu. Passport dan visa sudah diperolehi, tersemat kemas di dalam beg sandangnya – digantungkan di tepi dinding. Kapal terbangnya akan berlepas pada hari Rabu minggu depan. Hari itu hari Sabtu.  Ibu dan abahnya masih belum tahu, namun dia bercadang untuk memberitahu abahnya petang nanti, selepas dia pulang dari bendang.
            Kini dia berasa sedikit teruja untuk melawat negara asing itu bersama Ainun. Kadang-kadang dia tersenyum sendirian membayangkan Boston sepertimana yang diceritakan oleh Ainun dan seperti yang dilihatnya di gambar-gambar dalam internet. Mungkin benar kata Ainun, berada di tempat yang asing buat seketika mungkin mampu menghembuskan sedikit semangat untuknya. Dia lantas membisikkan doa ke hadrat Ilahi agar harapannya itu dimakbulkan.
            Kedengaran di luar motosikal buruk abahnya sudah menjerit di halaman rumah. Baru pukul 12, menandakan abahnya sengaja pulang awal hari ini untuk makan tengahari bersama-sama. Lebih senang kalau memberitahu mereka semasa makan nanti, fikir Haninah. Haninah bergegas ke dapur, membantu emaknya menghidangkan makanan.
            Dia duduk bersetentangan dengan abahnya di meja makan. Lelaki tua berumur lebih 60 tahun itu sedang bersemangat menceritakan bagaimana tanah kebun kelapa sawitnya yang satu ini mencatat jualan rekod berbanding bulan-bulan lain.
“Dekat 3 tan bulan ni. Cuaca hujan panas macam ni lah yang baik sekali. Kalau dah masuk musim hujan nanti dah tak dapat macam ni.” sambil makan, dia sibuk mengomel.
Haninah menambahkan sesenduk lagi nasi ke dalam pinggan Pak Ngah Hamdan sambil dia masih lagi asyik bercerita tentang kebun kelapa sawitnya itu.
“Abah,” potong Haninah untuk memulakan bicara.
Ayahnya mengangkat muka. “Hmm… kenapa?” tanyanya sambil mulut masih lagi perlahan-lahan mengunyah makanan.
“Ninah nak minta kebenaran abah ni. Si Ainun, dia nak berjumpa dengan tunangnya Umar. Jadi dia mengajak saya untuk menemankan dia. Sekarang ni si Umar masih di  –”
Sedang Haninah berkata-kata, kedengaran bunyi deruman kereta di luar rumah. Kuat dan jelas. Setiap kepala memaling ke arah bunyi itu. Kereta itu kedengarannya diletak benar-benar di hadapan rumah.
“Biar abah tengok sekejap.” kata abahnya yang sudahpun selesai makan dan membasuh tangannya. Haninah mengeluh kecewa. Hampir benar dia hendak memberitahu, ada pula yang mengganggu.
Tidak lama ayahnya keluar kedengaran bunyi riuh rendah dengan suara-suara yang sangat dikenali Haninah. Suara kanak-kanak kecil bercakap kuat dan satu suara lelaki dewasa yang memang sangat dikenalinya.
Abang sulongnya, Azam yang tinggal di Terengganu.
Dan benar seperti yang dijangka, muka abang sulungnya muncul di hadapan pintu dapur disusuli tiga orang anaknya yang kelihatan lebih kurang sebaya, serta isterinya Latifah.
Kenapa pula balik waktu begini? Leter Haninah di dalam benaknya. Sekarang bukannya Deepavali, atau Raya Cina, atau Raya Puasa. Biasanya mereka tak akan balik hujung minggu begini. Terengganu bukannya dekat, fikirnya lagi.
Ketiga-tiga anak Azam yang masing-masing berumur 3, 6, dan 8 tahun meluru ke arah nenek mereka di meja makan, menjerit “Nenek! Nenek!”. Mak Ngah Rafidah kelihatan terkejut bercampur gembira menerima tubuh-tubuh kecil itu di dalam dakapannya. Diusap-usapnya kepala cucu-cucunya sambil dia tersenyum lebar.
            Kak Latifah yang bertudung biru muda dan berbaju kurung merah menghulurkan tangannya dan disambut oleh Haninah. Dia tidak berkata apa-apa, dan wajah biasa yang ditunjukkan tiap kali datang ke sini. Suram dan tidak teruja. Bahkan lebih sugul dari biasa. Begitu juga ekspresi wajahnya bila dia bersalam dengan ibu mertuanya.
“Mak.” sapanya, seperti terpaksa. Tidak pun bertanya khabar walau sepatah. Kelihatan jelas riak jauh hati di wajah Mak Ngah Rafidah. Membuatkan Haninah juga mempunyai perasaan yang sama setiap kali dia melihat kakak iparnya itu. Tersinggung.
            Latifah kemudian terus duduk di salah satu kerusi di meja makan itu, hanya memandang ke arah suaminya dan bapa mertuanya yang masih lagi berbual-bual.
            Itu jugalah sebabnya mengapa Haninah merasa pelik kenapa tiba-tiba sahaja mereka terjenguk di sini tanpa diduga; memberitahu terlebih dahulu pun tidak. Kakak iparnya itu seperti selalu, suam-suam kuku sahaja. Biasanya mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak perlu pulang menjenguk. Kadang-kadang bila ada cuti panjang pun mereka akan mengelak dengan berbagai alasan.
Abang Longnya itu pun sama, dua kali lima. Jarang sekali hendak memikirkan tentang orang tua. Melainkan kalau ada pertolongan yang diperlukannya. Sudah berapa kali pulang semata-mata hendak meminjam wang dari abahnya. Tiada maksud lain.
             Satu perkara yang mengecewakan Haninah ialah betapa senangnya abahnya ‘membeli’ apa sahaja yang ‘dijual’ oleh abang sulungnya itu. Tidak kiralah apa pun cerita dari abang Long yang sampai, mudah sangat percaya. Jika tidak percaya pun, mudah sangat kasihan, mudah sangat akur untuk membantu.
Maka abangnya itu tidak pernah mendapat balasan dan pengajaran. Tidak pernah mengenal erti susah yang sebenar-benarnya. Oleh itu tidak pernah hendak belajar untuk berdikari. Setiap kali dia terhantuk dan terngadah, ada sahaja tangan yang sedia memangkunya.  Memikirkan tentang itu, hati Haninah mendidih geram.
Namun bila difikirkan semula, itulah lumrahnya hati seorang ayah. Seburuk-buruk mana pun, tetap anaknya juga. Takkan sampai hatinya membiarkan anak sendiri tercungap-cungap dan tergapai-gapai, tiada haluan.
            Setelah bersalam dengannya dan ibunya, abang Longnya duduk di meja makan. Di situ jelas kelihatan wajahnya kusut, letih dan tidak bermaya. Mesti ada sesuatu yang tak kena lagi, fikir Haninah di dalam benaknya. Dia bingkas bangun membuatkan air minuman untuk tetamu yang baru sampai itu.
“Sebenarnya abah, emak, saya sudah lama dibuang kerja. Sudah masuk tiga bulan.” Azam membuka cerita. Wajahnya ditundukkan ke meja makan.  Haninah tidak terkejut mendengar kata-katanya.
Mak Ngah Rafidah beristighfar. 
“Kenapa Long?” dia bertanya kepada anaknya.
“Susah saya nak jelaskan, Mak. Panjang ceritanya. Senang cerita, saya dikhianat di tempat kerja.” jelas Azam dengan perlahan dan teragak-agak. Isterinya hanya memandangnya dengan wajah kosong dan muram. Pak Ngah Hamdan menggeleng-gelengkan kepala. Keluhan panjang dilepaskannya.
Haninah menjeling ke arah abangnya, cuba membaca air muka lelaki itu. Mungkin ada benarnya abangnya itu dikhianat. Tetapi kalau difikirkan akan sikap panas baran abangnya itu yang kadang-kadang boleh membawa kepada konflik dan salah faham, masalah selalunya berpunca darinya sendiri.
Haninah menghidangkan air minuman di atas meja sambil telinganya peka mendengar.
“Saya juga ada masalah nak membayar sewa rumah di Paka tu. Mana nak membayar kereta lagi, api air. Anak sekolah lagi. Jadi, nak minta kebenaran abah dan emak buat sementara waktu ni supaya kami dapat tinggal di sini, sampai saya dapat kerja yang lain.” sambung Azam, tunduk.  Isterinya kelihatan tidak senang duduk di atas kerusinya. Anak-anak mereka sudah pun riuh rendah bermain di luar rumah, tidak menyedari segala masalah yang menimpa ibubapa mereka.
Suasana di dalam dapur hening buat seketika.
            “Banyak sangat masalah kau ni Azam. Lepas satu, satu yang aku dengar.” Pak Ngah Hamdan bersuara. Jelas yang dia sendiri sudah penat dibebani oleh masalah anak sulungnya itu. Azam mendengar dengan wajah mencuka.
“Aku dengar dari orang kampung ni, kau ada berhutang dengan dua tiga orang lagi di sini. Masih belum langsai. Betul ke?” tambah Pak Ngah Hamdan lagi.
            Azam terkedu dengan pertanyaan itu. Mulutnya terbuka seperti hendak mengatakan sesuatu. Tetapi dibatalkan niatnya, terpaksa membenarkan apa yang dikatakan oleh abahnya itu.
Pak Ngah Hamdan menggeleng kepala. Mak Ngah Rafidah kelihatan seperti hendak menangis.
“Macam inilah.” sambung Pak Ngah Hamdan setelah beberapa lama berfikir.
“Kamu dan keluarga kamu boleh tinggal di sini, dengan syarat kamu tolong aku bekerja di kebun sawit dan sawah padi yang ada beberapa petak lagi tu. Upah yang aku berikan pada kamu, kamu gunakan untuk keluarga kamu dan beransur-ansur kamu bayar hutang-hutang lapuk kamu tu.”
Mendengar kata putus abahnya itu, Azam mengangguk-angguk perlahan.
Begitulah kalau sudah terdesak, detik hati Haninah. Akhirnya sanggup juga memegang tanah dan lumpur. Kalau sebelum ini cakap dan lagaknya sentiasa gah. Kalau tidak memakai tali leher dan baju kemeja, bukan kerja namanya. Begitulah kalau Tuhan mahu mengajar, tidak perlu menunggu lama.
Haninah juga dapat melihat wajah terdesak dan keterpaksaan kakak iparnya. Mungkin kakak iparnya itulah yang paling merasa tersepit dengan masalah ini. Masakan tidak, terpaksa menumpang ihsan daripada orang-orang ‘asing’ yang tidak pernah digemarinya.
            Haninah yakin, sudah tentu abang Long dan kak Latifah sudah pun cuba meminta tolong daripada keluarga sebelah kakak iparnya. Cuma setakat yang dia tahu, keluarga kak Latifah itu pun bukan orang-orang senang. Rumah pun hanya rumah papan kecil, tidak mampu menampung kedatangan orang baru.
            Namun terdetik di hati Haninah simpati akan anak-anak saudaranya yang masih kecil itu. Memikirkan mereka, Haninah cuba bersikap redha.
            Setelah beberapa ketika, Haninah tersedar daripada gelumang masalah yang dibawa oleh abangnya dan menyedari masalahnya sendiri kini yang semakin terbeban. Lantas dia bergegas meminta diri masuk ke bilik tidur. Tanpa bertangguh dia menyambar telefon bimbit yang terletak di atas katil dan  mula mendail.

“Wa”alaikumussalam.” dia menjawab salam yang sudah pun diberikan menerusi corong telefon itu.
“Ainun, aku ada masalah besar ni.”
“Apa dia?” Ainun bertanya.
“Abang Long aku, ada di sini.”
“Bila pula dia balik? Kenapa kau tak cakap dengan abah kau awal-awal?”
“Aku sedang bercakap dengan abah akulah tadi tu, tiba-tiba sahaja dia sampai. Tak sempat nak bagitau.”
“Bila dia balik semula ke Paka?”
“Dia takkan balik.”
“Hah!?”
Lantas Haninah menceritakan berita terbaru tentang abangnya itu.
“Macammana ni Ainun?” tanyanya lagi meminta nasihat.
“Aku pun pening kepala juga Ninah. Walaupun aku tak duduk serumah dengan kau, faham benar aku dengan abang Azam tu. Dari kecil aku kenal perangai dia. Suka sangat dia mencari pasal dengan kau. Ingat lagi aku masa arwah Zahid mula-mula datang beraya dulu, disoal-siasatnya arwah tu bagaikan pegawai polis menyoal penjenayah. Minta maaflah, terus-terang aku sendiri memang tak berkenan dengan sikap abang Azam tu.” kata Ainun dengan sedikit rasa bersalah.
“Itu engkau. Aku ni? Setiap kali dia di sini aku rasa nak menjinjit beg keluar dari rumah ni, kau tau!” balas Haninah, panas hati. Hatinya bergolak resah.
            Haninah memang tidak pernah serasi dengan abangnya yang sulung itu. Azam sentiasa mahu menimbulkan kemarahan hatinya. Sangat suka mengambil tahu dan masuk campur perihal peribadinya lebih dari yang perlu. Mentang-mentang dia abang yang paling tua. Memikirkan yang dia akan tinggal di rumah ini membuatkan Haninah berasa lebih tidak senang hati.
Selain Azam, Haninah mempunyai dua orang lagi abang yang masing-masing sudah berkerja dan berkeluarga – Abang Langnya, Hasbi berada di hujung semenanjung, di Gua Musang, Kelantan. Abang Ngahnya, Khairul pula tinggal nun jauh di Singapura, kerana peluang bekerja sebagai pensyarah di sebuah Universiti di sana tidak dapat ditolaknya.
 Jarang kedua-dua abangnya itu pulang ke kampung atas alasan jarak yang jauh itu. Tambahan pula abang Longnya kini sudah tinggal di sini, Haninah yakin mereka bertambah gembira kerana tidak perlu pulang selalu.
 Walaupun hubungan Haninah dengan dua lagi abangnya itu tidaklah serapat mana, dan kadang-kadang dia sendiri berasa kecil hati melihat sikap endah tak endah mereka dalam mengambil berat soal orang tua, namun tidaklah sampai dia mempunyai perasaan yang sama seperti perasaannya terhadap Azam. Azam memang seolah-olah tidak pernah menganggap dirinya sebagai adik. Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, bagi Azam Haninah terlalu dimanjakan oleh kedua-dua ibubapa mereka.
Pada masa yang sama, Haninah merasakan yang dia akan mempunyai masalah untuk mendapatkan izin abahnya supaya dia boleh ke Boston. Abangnya mungkin akan masuk campur. Sudah menjadi fitrah Azam untuk sentiasa membuat orang lain mendengar pendapatnya, dan jika tidak diterima, naik anginlah dia. Bagi abangnya itu, Haninah perlu patuh mendengar cakapnya sama seperti dia perlu patuh kepada kedua-dua orang tuanya.
“Emm.. aku tak suka nak menghasut kau, tapi bagaimana kalau kau menipu sikit?” cadang Ainun secara tiba-tiba. Haninah tersentak, tetapi tidak dinafikan yang dia ada juga memikirkan perkara yang sama.
“Maksud kau?”
“Kau cakaplah yang kau hendak menemankan aku ke KL saja selama beberapa hari, tak perlu cakap yang kita hendak ke Amerika…” jelas Ainun.
“Kalau dia bertanya bagaimana? Aku tak mahu menipu abah dan emak aku, Ainun. Tak tenang hati aku di sana nanti. Lagipun bayangkan kalau apa-apa jadi. Masalah besar nanti..” jawab Haninah.  Dia merasa serba salah.
“Aku faham, betul juga tu. Susah macam ni...” keluh Ainun. Masing-masing terdiam sebentar di gagang telefon. Kedengaran suara riuh-rendah anak-anak saudaranya yang masih lagi belum berhenti bermain.
 “Beginilah, kau cakap sajalah pada abah kau. Tak perlu nak mereka-reka cerita. Kalau dia bagi, bagilah. Kalau kau tak dapat pergi, aku tak marah. Jangan risau semua tu. Yang penting, hati kita senang.” sambung Ainun.
“Betul ke ni?” tanya Haninah kepada sahabat baiknya itu. Terfikir dia akan passport dan visa yang sudah pun dibuat dan dibayar oleh tunang sahabatnya itu.
“Betul. Aku tak kisah. Kau cuba je dulu, minta kebenaran dari abah kau. Baca doa banyak-banyak sebelum tu.” nasihat Ainun.
“Baiklah.” jawab Haninah perlahan.

            Di suatu petang di luar rumah, Azam sedang duduk di atas kerusi rotan sambil melihat anak-anaknya berkejar-kejaran di atas tanah halaman yang lapang dan tidak berumput. Kelihatan beberapa ekor ayam jiran sedang mematuk-matuk di tanah, mencari makan.
 Pak Ngah Hamdan sedang duduk di gigi tangga, membersihkan tapak kasut berkebunnya yang dilekati lumpur tebal lebih seinci. Dia mahu ke kebun lagi, menjenguk pekerja-pekerja yang sedang menguruskan tandan-tandan sawitnya.
“Macam mana dengan si Haninah tu bah? Dah habis sedihnya?” tanya Azam tiba-tiba, kepada Pak Ngah Hamdan.
“Entahlah, macam itu juga.” jawab Pak Ngah Hamdan pendek sambil dia meneruskan kerjanya.
“Tak mahu kahwin ke dia?” tanya Azam lagi.
“Tak mahu katanya. Dah jenuh aku dan mak kau mencarikan calon. Dia memang tak nak. Menangis dia kalau dipaksa sangat.” Pak Ngah Hamdan mengeluh. “Biarlah dia. Kalau dipaksa-paksa pun dia tak mahu, nak buat apa. Kalau sampai masanya nanti, kahwinlah dia.” tambahnya lagi sambil dia menyarungkan kasuh getah ke kaki. Tongkat motosikal dinaikkannya, sudah bersedia untuk pergi.
“Mengada-ngada si Haninah tu.” bisik Azam kepada dirinya sendiri.
            Matanya masih lagi memandang ke arah anak-anaknya yang sedang bermain. Pak Ngah Hamdan menghidupkan enjin motosikalnya lalu bergerak pergi ke kebun. Asap berkepul-kepul tinggal terawang-awang di tengah laman. Memang sudah rutinnya pergi ke kebun waktu-waktu begini dan pulang semula sebelum waktu makan tengahari.
“Naufal!” tiba-tiba Azam melaung nama anaknya yang paling tua. Tanpa membuang masa anak yang berumur 8 tahun itu berlari ke arah bapanya, patuh.
“Pergi panggil Ucu Ninah di dalam bilik.” Azam menyuruh sambil memandang anaknya itu dengan pandangan yang tajam.
Naufal pun terus berlari masuk menuju ke bilik Haninah dan mengetuk-ngetuk pintu.
Sejurus Haninah membuka pintu, melihat anak saudaranya tercegat, mendongak dan memandang ke arahnya.
“Kenapa, Naufal?” tanyanya lembut.
“Ucu Ninah, ayah panggil.” sampainya ringkas, selaku utusan.
Haninah mengerutkan dahi. “Ayah nak apa?” dia bertanya, dengan sedikit nada jengkel.
“Tak tahu.” jawab Naufal sambil mengangkat bahu, lantas berlari pergi. Dia tidak sabar hendak menyambung mainnya yang tergendala.
Haninah menarik nafas panjang dan kuat. Betapa dia malas untuk bersemuka dengan abangnya itu. 
Apalah yang dia nak kali ni, fikirnya. Dia mengenakan tudung kepalanya dengan malas lalu berjalan keluar, menutup pintu biliknya lalu menuju ke beranda.
            Azam masih lagi duduk di tempat yang sama dengan sepuntung rokok ditangannya yang sudah separuh jalan dihisap. Haninah datang dan melabuhkan punggung di bahagian paling hujung kerusi rotan itu. Tidak langsung memandang ke arah abangnya, ditetapkan wajahnya ke hadapan melihat tiga anak saudaranya yang sedang bermain kejar-kejar.
“Ada apa Long?” tanyanya dengan nada serius.
“Along dengar abah dan emak banyak kali cuba mencarikan kau jodoh.”
Haninah hanya diam membisu. Bibirnya digetap, menahan marah yang tiba-tiba membuak. Isu itu baginya tiada orang lain di rumah ini yang layak membincangkan dengannya melainkan emak dan abahnya.
“Along bukannya apa, sudah lama dah rasanya arwah kawan kau tu meninggal dunia. Kesian dekat emak dan abah tu, ke hulu ke hilir mencarikan calon yang sesuai buat kau. Fikirkanlah perasaan mereka.” kata Azam. Nada suaranya, bagi Haninah, hanyalah nada mengambil berat yang palsu, dibuat-buat. Hanya untuk menyakitkan hatinya.
            Memang dasar tak sedar diri, kutuk Haninah di dalam hati. Kalau abangnya itu benar-benar mengambil berat tentang perasaan ibu dan bapa mereka, sudah tentu dia tak akan berada di sini, meminta abahnya menampung hidup dia dan keluarganya. Sampai tua dan beranak-pinak pun masih mengharapkan kudrat ibubapa. Hutang yang keliling pinggang itu pun mengharapkan orang tua juga yang melangsaikan. Apakah itu kalau bukan sikap hipokrit!
“Bang Long, soal jodoh saya biarlah saya fikirkan sendiri dan bincangkan bersama emak dan abah. Orang lain tak perlulah risau. Saya bukan berniat sedikit pun nak menyusahkan hati emak dan abah. Namun setahun peninggalan arwah bagi saya tak sama dengan setahun bagi orang lain.” Haninah membalas, walaupun niat dihatinya mahu menyumpah seranah abangnya itu. Marahnya itu hampir tidak tertahan lagi; abangnya itu tidak menunggu lama untuk cuba menyakitkan hatinya.
“Sebelum bang Long hendak memberikan pendapat, saya harap bang Long memikirkan juga tentang perasaan saya.” tambah Ninah, jelas dan tegas.
Azam berganjak sedikit di tempat duduknya, menampakkan yang dia tersinggung dengan jawapan dari Haninah itu. Puntung rokok di tangannya didekatkan lagi ke mulut dan disedut dalam-dalam.
Haninah sedar benar akan sebab mengapa abangnya itu begitu membencikannya. Ini kerana dalam hidup Azam, hanya Haninah seorang sahaja selain bapanya yang berani bercanggah pendapat dengannya. Haninah seorang sahaja yang sanggup bertegang leher mempertahankan hak-haknya sekiranya dia mendapati Azam cuba menggunakan kuasanya sebagai abang yang paling tua untuk masuk campur.
Isteri dan anak-anaknya terpaksa patuh sentiasa dek kerana sikapnya yang suka mengugut dan membentak itu. Haninah merasakan kelebihan yang dimilikinya pada waktu itu hanyalah kerana dia perempuan – ada sedikit rasa malu abangnya untuk berkeras, dan ibubapanya masih ada untuk membela. Jika dia lelaki, sudah lama penampar sulung abangnya itu hinggap di pipinya berkali-kali.
Abang Ngah dan abang Langnya sendiri pun sentiasa mengelak dari bersanggah dengan Along mereka. Pendek kata, mereka lebih senang terus sahaja mengelak dari bertemu dengannya. Makin jaranglah abang-abangnya itu balik ke kampung nanti, fikir Haninah.
“Aku tak kisah. Cuma nanti yang susah kamu, Ninah. Membujang sampai ke tua. Dipandang serong oleh orang kampung. Takkan kamu nak mengharapkan emak dan abah menampung kamu sampai mati?” sambung Azam pula, pedas.
Telinga Haninah berdesing. Kata-kata abangnya itu baginya sungguh biadap.
“Agaknya bang Long lupa, yang selepas saya habis belajar nanti, saya boleh mencari kerja dan hidup sendiri.” Haninah memandang Azam tepat dimukanya buat pertama kali. Dadanya berombak kencang.
“Rezeki datang dari Allah - bukan bang Long atau orang lain yang tentukan. Bahkan rezeki bang Long sekarang ni pun saya lihat sudah semakin sempit. Mungkin bang Long perlu muhasabah diri dulu, jangan risau soal saya. Insya-Allah saya mampu berdikari dan membayar hutang saya sendiri.” dia menangkis lagi dengan jawapan yang sinis. Diselitkannya juga sindiran dengan harapan abangnya itu dapat menyedari. Senang benar habis sabarnya bila terpaksa berhadapan dengan manusia yang kurang akal sebegini.
Azam menegakkan badannya seperti ular tedung selar yang sedia mematuk mangsa.
“Memanglah kau ni adik yang kurang ajar!” selar Azam. Puntung rokok di tangannya yang sudah pendek dilenyek-lenyekkan di dalam bekas abu rokok di hadapannya.
“Walau saya berpangkat adik, tak semestinya saya yang kurang ajar.” balas Haninah pula.
“Aku cuma nak menasihatkan kau. Bukannya nak mendengar kau mengutuk dan menyindir aku pula!”
“Kalau nasihat itu sendiri dalam bentuk kutukan dan sindiran, bang Long ingat saya nak mendengar saja, menerima?” bangkang Haninah.
“Biadap!” bentak Alongnya, pada satu ketika tangannya menggenggam penumbuk. Namun tanpa berbuat apa-apa, dia terus meninggalkan Haninah menuju ke dalam rumah, masuk ke dalam bilik tidurnya dan menghempaskan pintu. Mungkin hendak melepaskan pula rasa marah dan tidak puas hatinya di hadapan isterinya pula.
            Haninah menggigil geram. Tangannya sendiri sedang berbuku seperti sedia untuk membalas serangan abangnya sekiranya ia terjadi. Air matanya bergenang dek kerana marah.
Dia juga bangun dan berjalan laju menuju balik ke ke biliknya. Hampir-hampir dia menghempaskan pintu bilik ketika menutupnya. Namun mengenangkan ibunya yang berada di dapur mungkin terkejut, dia menahan diri.
 Dia ingat aku ni hamba abdinya, boleh diteriak, dibentak sesuka hati? Dengan bini dan anak-anaknya bolehlah! Haninah membentak di dalam hati. Telefon bimbit yang sebelum itu di dalam genggamannya dibaling ke atas katil. Dia duduk di hujung katil dan mula menangis. Cuba menenangkan semula hatinya yang telah terkacau oleh kezaliman abangnya sendiri.
Setelah tangisnya reda, dia mengangkat muka. Sekarang nekadnya bertambah kuat untuk mengikut Ainun pergi ke Boston. Seribu kali lebih baik daripada terperangkap di dalam rumah ini bersama dengan abangnya. Apa yang perlu dilakukannya kini hanyalah menunggu abahnya pulang dari bekerja.

*
Haninah sengaja menunggu masa di mana Azam ada bersama sekali dengan abahnya di ruang tamu itu, selepas semua selesai makan malam. Tujuannya supaya nanti ketika dia sedang sibuk berkemas dan hendak pergi, Azam tidak sibuk mengambil tahu dan mempersoalkannya.
“Abah,  Insyaallah hari Rabu ni, Ninah akan pergi menemankan Ainun, ada program cuti untuk budak-budak Universiti selama dua minggu.” Haninah membuka bicara. Ibu jari kanannya berlaga dengan ibu jari kirinya, mengawal gemuruh.
“Di mana?” tanya ayahnya sambil menyapu-nyapu perutnya yang sudah kenyang.
“Di KL, di kampus.” jawab Haninah. Rasa bersalah kerana terpaksa menipu abahnya menyengat tajam di sanubari. Berat untuk dia melakukannya tetapi telahpun dinekadkan di dalam hati. Dirinya berasa berdosa, namun dia sanggup melakukannya semata-mata tidak mahu memandang muka abang sulungnya terlalu lama.
 Azam memasang telinga tetapi tidak sekali pun menoleh ke arahnya – berkat pertelingkahan tadi.
“Abah jangan risau, ayah Ainun akan menghantar kami nanti terus ke KL.” tambah Haninah lagi, sedikit teragak-agak.
Abahnya menganggukkan kepala, setuju. Azam diam sahaja membatu sambil matanya melekat di kaca televisyen yang sedang menyiarkan berita.
“Nak duit belanja ke?” tanya abahnya tiba-tiba.
“Err, boleh juga sedikit.” jawab Haninah.
            Pak Ngah Hamdan mengeluarkan beberapa keping wang kertas 50 ringgit dan menghulurkannya kepada Haninah. Azam melihat dengan ekor matanya.
“Terima kasih, bah.” ucap Haninah sambil mencium tangan abahnya, terharu.

No comments:

Post a Comment