Wednesday 4 February 2015

Lukis di Langit Kita (Bab 5) ~ Hananee Amir

Saiful, satu-satunya kawan baik yang Ikram ada. Dan selaku kawan baik Ikram, bukan sekali dua dia menjadi tempat Abang Azril dan Abang Huzir mengadu, meluah persaan dan kebimbangan tentang Ikram. Tentang masa depannya. Tentang kedegilannya. Apa saja tentang Ikram. Ikram bukannya ramai kawan. Apatah lagi sejak tamat persekolahannya. Banyak masa hanya dihabiskan di cafe tua kesayangannya tu. Itu saja kehidupan yang dia ada. Kawan yang dia ada pun itulah satu-satunya, Saiful. Dia seolah-olah telah melupakan segalanya hanya untuk mempertahan café tua peninggalan arwah mama dan papanya itu.
            “Kau nasihatkan dia tu sikit. Kau baik dengan dia. Dia mungkin nak dengar cakap kau. Abang ni dengan Abang Azril dah naik jenuh dah bercakap, berleter, membebel, marah. Tapi tak diendahkannya.” Adu Abang Huzir satu petang ketika Saiful singgah ke rumah mahu menemui Ikram. Ikram pula tiada dirumah. Ada usrah disurau katanya. Saiful baru balik dari Scotland waktu tu. Sajalah konon nak surprise kan Ikram dengan motor baru dia tu, rupanya dia yang makan surprise sendiri. Terjebak dengan sessi luahan perasaan Abang Huzir pulak.
            Nak nasihat Ikram? Senang lagi kerja jadi sukarelawan Mercy  Malaysia kot. Panjat Kinabalu pun tak susah nak nasihatkan Ikram. Bukan sekali dua dia bagi nasihat. Dah tahap berleter dah pun. Tapi ada apa-apa yang berubah? Sama je. Ikram memang dah bulat tekad. Sampai dia yang susah nak putus asa tu pun jadi putus asa. Suruhlah dia buat kerja lain, mintaklah dia tolong hal lain, insyaAllah dia boleh usahakan. Tapi bukan bab-bab nak nasihat Ikram atau nak pujuk Ikram. Rasa macam kena hukuman mati pulak.
            “Abang bukan tak suka dia teruskan legasi café tu. Abang suka. Abang pun sayang café tu. Abang tahu café tu banyak kenangan. Bukan pada Ikram je. Pada kami semua satu keluarga. Arwah papa abang beli café tu dulu sebagai lambang cinta dia pada mama abang. Tapi dia kena fikir masa depan dia juga. Sampai bila dia nak duduk bertunggu tangga kat cafe tu? Kau pun tahu café tu bukannya mendatangkan hasil pun. Banyak yang perlu diubah kalau nak hidupkan semula café tu. Nak ubah macam mana kalau dia sendiri tak nak berubah? Nak berubah ni kena ada ilmu juga.” Tambah Abang Huzir lagi.
            “Dia takut abang jual café tu kalau dia sambung studi.” Air kotak laici yang dihulur Abang Huzir, disambut dengan tangan kanan. Biskut oreo yang masih dalam plastik, tapi sudah dibuka paketnya tu pun disambut sama. Ni lah rezeki kunjungan ke rumah orang bujang. Yang dalamnya tak ada seorang perempuan pun. Kalau Abang Azril ada, kadang-kadang ada juga kuih-muih. Abang Huzir memang tak rajin nak masak. Nak hidang air teh secawan pun dia malas. Ikram kata Abang Huzir ni kerajinan dia berkemas-kemas, basuh baju, lipat kain. Abang Azril pulak bahagian memasak. Ikram? Untunglah…
            “Abang gertak dia je. Takkan tergamak nak jual café tu. Tu kan kenangan arwah mak dan ayah abang. Abang cuma gertak dia supaya dia dengar cakap abang. Tak sangka pulak dia makin tak dengar cakap. Salah strategi.” Senyum segaris terukir dibibir. Kesian Abang Huzir, abang manalah tak sayang adik. Dia cuma nak terbaik. Kesian Ikram jugak. Dia cuma nak mempertahan café tu. Dan kesian, kat Saiful sebab terjebak dengan semua ni.
            “Dia memang dah tak minat belajar kot bang. Kita tak boleh paksa dia kalau dia dah tak minat. Tak kemana nanti jadinya.”
            “Jadi kemana dia boleh pergi dengan café tua tu?” Saiful tak dapat nak jawab. Macam-macam nama café tu dapat. Cafe tua, café nak roboh, café hujan. Macam-macam nama padahal nama sebenarnya White Blossom Café. Dapat nama Café Hujan, sebab setiap kali hujan, orang akan ramai datang berkunjung. Makan-makan kek dan minum-minum sambil tunggu hujan teduh. Kalau tak hujan, tak ada sangat orang. Nak harap 5 orang sehari pun payah.
            “Kalau café tu boleh bagi masa depan, bagi untung, abang pun tak gaduh nak suruh dia sambung studi untuk masa depan dia. Kau tahu kan, café tu nak balik modal pun payah. Jadi?”
            “Kita tak tahu apa yang dia fikir.” Bukan Saiful nak menangkan Ikram, cuma Saiful rasa tak adil je nak tuduh Ikram macam-macam. Dalam hati Ikram kita tak tahu. Ikram mungkin ada sebab. Ikram tak cerita semuanya pada Saiful walaupun dalam banyak hal, selalunya Saiful akan tahu. Lelaki ni bukan suka sangat nak cerita soal hati dan perasaan ni. Walaupun Ikram selalu juga cerita. Tapi Ikram tak cerita semua rasanya.
            “Dia dah lama berhenti berfikir.” Erk! ayat macam orang patah hati sangat.
            “Dia tu, satu-satunya adik abang. Abang cuma nak yang terbaik untuk dia je. Sambung belajar. Cari masa depan, untuk dia juga. Bukan untuk abang. Bukan untuk orang lain. Tapi dia tak nak. Kalau cakap lebih sikit, merusuh. Berkurung dalam bilik. Macam anak dara kena paksa kahwin. Jadi macam mana lagi abang nak buat? Cuba kau cakap.” Abang Huzir menambah lagi. Ye, tahu. Bukan senang nak nasihat Ikram. Tak payah nak bagi ayat penekanan sangat. Tak payah nak bagi metafora sampai anak dara kena paksa kahwin. Macam kritikal sangat bunyinya.
            “Dia perlukan masa kot bang. Kita bagi dia masa sikit.”
            “Berapa lama? 10 tahun?” Saiful sengih. Rasa menyesal pulak datang tadi tak call Ikram dulu. Ikram tak ada, dia pulak kena dengar ceramah Abang Huzir. Kejutan lah sangat kan?
            “Entahlah bang. Kadang-kadang saya pun tak faham dengan dia. Tapi yelah, kalau semua orang pakat-pakat hentam dia, kesian jugak.”
            “Kau tengok Umairah tu. Perempuan. Tapi cita-citanya tinggi. Dulu masa sekolah bukannya dia pandai sangat pun. Ikram jauh lebih pandai dari dia. Tapi sekarang kau tengok dia dengan Umairah. Macam langit dengan bumi.” La! Umairah terjebak sekali? Ni memang boleh sebabkan rusuhan ni kalau Ikram tahu. Dah lah dia dengan Umairah tu memang tak sebulu dari dulu. Disamakan pulak. Dibanding-banding. Memang boleh mewujudkan pergaduhan.Perang saudara.
            “Orang lain-lain bang. Rezeki pun lain-lain. Kita tak tahu rezeki orang. Masa depan orang.” Ayat-ayat Saiful memang semua memihak pada Ikram. Macam dia kata tadilah. Kalau semua orang nak hentam Ikram, kesianlah kat Ikram. Siapa nak sebelahkan dia. Dia bukan buat dosa pun. Dia cuma nak pertahan café tu je. Café tempat mak dan ayah dia bertemu, jatuh cinta, kahwin dan mencari rezeki untuk anak-anaknya sehinggalah kedua-duanya meninggal dunia. Dia tak buat jenayah pun.
            Betul, dia jadi lupa untuk memikirkan masa depan. Terperangkap dalam kenangan. Bermusuh dengan orang-orang yang sayangkan dia yang hanya mahu melihat dia berjaya tapi dia dah jadikan musuh. Tapi tu tak cukup untuk menghukum dia dengan segala tuduhan yang buruk. Ikram pada Saiful, masih sama macam Ikram yang dia kenal masa kat sekolah dulu. Ikram yang rajin, Ikram yang baik hati, Ikram yang penyayang. Cuma kerana rasa terlalu sayang pada café tu, dia jadi lupa nak fikirkan masa depan.
            “Rosakkan masa depan tu pun jenayah. Jenayah pada diri sendiri. Kan menghukum diri sendiri tu namanya.” Abang Huzir macam faham pulak apa yang Saiful fikirkan. Saiful sekadar senyum. Air kotak yang tadi dah habis dia sedut masuk dalam perut. Abang Huzir hulur sekotak lagi. Dia sambut, tapi tak terus minum. Tak nak lah minum manis banyak sangat. Kajian menunjukkan dalam sekotak air ni ada tujuh sudu gula. Bayangkan kalau dua kotak. Dah 14 sudu dah. Tu belum kira kopi yang dia ambil pagi tadi. Fresh orange yang dia minum tengahari tadi. Kek lagi. Roti manis lagi. Tu yang nampak tu. Yang tak nampak? Yang dalam nasi? Mee? Patutlah orang Malaysia ni banyak yang obes dan kadar menghidap kencing manis semakin meningkat dari sehari ke sehari.
            “Tapi tu jenayah pada diri sendiri  bang. Tak sama dengan jenayah rompak, rogol, pecah amanah.” Sekali lagi Saiful menyebelahkan Ikram. Huzir gelak sepatah.
            “Patutlah Ikram suka kawan dengan kau. Kau je sebelahkan dia tak kira apa.” Gelak Abang Huzir meletus kuat. Air kotak yang tadi dia bagi kat Saiful, dia ambil balik. Cucuk kan straw, lepas tu sedut sendiri. La! Tadi bukan dia bagi Saiful ke? Sekarang dia sendiri minum. Buruk siku.
            “Abang bukan apa Pol ….dia tu lelaki. Satu hari nanti nak kahwin. Kalau macam tu gaya. Macam mana dia kahwin? Nak tanggung anak orang? Sekarang bolehlah. Café tak untung pun perut dia masih kenyang. Makanan sentiasa ada kat rumah. Tak gaduh mati kebulur. Tapi takkan dah kahwin nanti nak macam ni? Abang bukan berkira. Tapi hidup ni ada tanggungjawab. Bukan kenangan semata-mata.” Abang Huzir sambung membebel. Sekarang dia sambung makan biskut oreo pulak. Tadi dia bagi kat Saiful. Saiful makan sekeping je. Sekarang dia makan dah 3 keping. Dia sediakan makanan untuk diri dia sendiri ke macam mana ni?
            “Kalau sampai seru nak kahwin nanti dia tahulah. Sekarang ni dia belum ada rancangan nak kahwin lagi. Jadi kita tak bolehlah nak hukum dia sebelum sampai masanya.” Abang Huzir ni beria je cakap pasal nikah kahwin. Yang dia tu sampai sekarang tak kahwin lagi kenapa? Ke dia tak kahwin sebab Ikram tak kahwin? Parahlah macam tu. Ikram ni, tanda-tanda nak kahwin pun masih belum ada. Jangan kata nak kahwin. Jauh lagi tu. Mahunya jadi bujang terlajak si Abang Huzir ni. Tu baru Abang Huzir, Abang Azril tak kira lagi. Ke diorang ni cadang-cadang nak naik pelamin sekali? Gila meriah.
            “Siapa yang nak kat dia dengan keadaan dia macam tu.” Eh! Abang Huzir tak tahu ke Ikram ni punya laku masa kat sekolah dulu. Sampai Saleha anak doktor tu dengan Naela Anak Cikgu Iskandar bertumbuk kat gate sekolah, pasal Ikram lah. Tapi sia-sia jelah mandi air tanah merah depan sekolah tu. Sebab Ikram pilih Husna. Tak berbaloi langsung. Tapi tu masa sekolah la. Masa ketampanan adalah satu-satunya motif untuk jatuh cinta. Bila dah kerja, motif dah lain dah.
Ikram ni pulak masa kat sekolah memang handsome, ketua pengawas pulak tu. Tu baru sebut yang bertumbuk kat gate sekolah. Yang simpan hati diam-diam belum sebut lagi. Yang hantar surat pakai sampul bunga-bunga, pen berpewangi dengan surat ditabur bedak? Yang bukan sekeping dua jumlahnya. Orang tak tahu. Siapa kata tak ada orang nak kat Ikram?
Tapi tu dululah. Sekarang, cukuplah tengok café dia tu. Jangan sebut nak gaduh bertumbuk depan gate. Pandang sebelah mata pun tak. Kalau kena kahwin paksa dengan Ikram macam dalam drama tv tu, takut-takut ada yang bunuh diri pulak nanti.
Tapi bila difikir balik, Ikram bukanlah bodoh sangat. Takkan dia tak fikir masa depan. Dia tu bijak orangnya. Bijak ni bukan kira pakai sijil je. Bukan kira ada ijazah je baru bijak. Bukan kira ada master baru bijak. Tengok berapa ramai kat dunia luar tu, yang ada master, tapi tinggal mak ayah kat stesen bas lepas habis kikis duit kwsp mak bapak dia? Berapa ramai yang ada degree, tapi terbabit dengan keganasan keluarga? Pukul anak bini, kadang-kadang sampai berbunuh.
Dan berapa ramai pulak kat luar tu yang sekolah tak habis, dihimpit kemiskinan. Tapi berjaya dalam hidup. Kadang-kadang orang macam ni siap bukak kilang. Bagi kerja kat orang yang ada degree, ada master bagai. Jadi, mengukur kebijaksanaan seseorang tu hanya melalui sijil yang dia ada, adalah salah. Itu fakta nombor satu. Fakta nombor dua, dia yakin Ikram ada perancangan untuk masa depan dia. Ikram pun takkan selama-lamanya nak hidup seorang berteman café tua tu. Dia kenal Ikram. Dia tahu.
Abang Huzir dengan Abang Azril pun kenal Ikram. Tentu diorang tahu. Cumanya dia takut kalau Ikram terus tenggelam sedangkan Ikram tu amanah arwah mak dan ayah dia. Bukan dia sengaja nak sebelahkan Ikram dalam segala hal. Cuma dia rasa yakin dengan kemampuan Ikram. Dia percayakan Ikram. Dan dia nak Ikram tahu yang Saiful sentiasa ada dan sentiasa yakin yang satu hari nanti Ikram akan berjaya. Dia tak minta lebih. Dikenang sebagai kawan susah dan senang tu dah cukup baik.
“Dia masih kawan dengan Ratna?” Tiba-tiba soalan Abang Huzir berubah arah. Tak jadi Saiful nak ambil oreo dari dalam peket.
“Tak tau.”
“Takkan tak tahu. Kau dengan dia kan macam belangkas.” Mak Oih! Ayat. Kalau orang dengar, jadi tuduhan gay pulak karang. Musnahlah harapan Saiful nak mengurat Nora Danish. Bak kata Ikram, taste Saiful ni semua Miss J je. Dulu dia terkenan kat Maya. Budak kerja service center dekat dengan tempat kerja dia tu. Miss J jugak. Tapi muda lagilah. Bergetah lagi. Sudahnya tak jadi kahwin jugak. Sebab? Dia kata dia nak tunggu Ikram kahwin dulu dan Maya tak nak tunggu. Putus macam tu je. Yang Nora Danish tu, cerita rekaan dia jelah. Nora Danish pun tak tahu dia wujud dalam dunia ni dan sedang berkawan dengan seorang manusia gila yang kerjakan café tak ada untung tu. Kalau dia paksa Nora Danish kawin dengan dia, mahu meraung Nora Danish.
“Dia pun tak cerita semuanya dengan saya bang…”
“Hmmm”
“Kenapa abang tanya?”
“Taklah. Hari tu abang nampak dia jumpa Ratna. Kat depan Econsave tu… tu abang tanya. Kalau kamu tahu.”
“Terserempak je kot.”
Tak sempat habis perbualan tentang Ratna, Ikram dah balik. Dengan jubah putih, kupiah putih, sandal hitam. Jalan kaki je dari surau. Nampak sungguh ‘nur suami soleh dia tu’.
            “Lama ke tunggu?” Soal dia sebaik berbalas salam.
            “Lama jugak.” Nak je sambung. Lama jugak, puaslah menadah telinga dengar rintihan hati abang kau ni.
            “Motor baru?” Dia tuding jari pada Ducati yang terdampar kat luar gate. Cantik gila. Gagah gila. Tak setara langsung dengan Honda buruk reput dia tu.
            “Jom, aku bawak kau jalan-jalan. Sambil aku belanja tosai.” Saiful bagi cadangan.
            “Cool jugak tu. Jap, aku salin baju.” Waktu tu, Abang Huzir dah pun masuk kedalam rumah membiarkan mereka berdua berbual. Dua kotak kosong dengan peket oreo yang dah kosong juga tu dihumban dalam tong sampah.
            “Baju tu pun ok kot.”
            “Jubah ni?” Ikram pandang jubbah yang tersarung ditubuhnya sebelum kembali menala pandang pada Saiful.
            “Ha… jubah pun baju. Apa kau ingat jubah tak boleh naik Ducati?”
            “Jubah aku ni ada sehelai je. Koyak nanti, aku nak mengemis kat siapa pulak mintak belikan jubah? Aku kena jual kek 4 tahun baru boleh beli jubah ni kau tahu tak? Dengan prestasi café aku tu.” Saiful tak dapat menahan gelak dengar ayat Ikram. Ikram pun gelakkan diri dia sendiri.
            “Yelah, yelah. Dah cepat. Aku dah lapar ni.”

            “ok…ok ….”

No comments:

Post a Comment