Wednesday 17 December 2014

Lukis di Langit Kita (Bab 3) ~ Hananee Amir

Hampir 15 minit menunggu, Najwan akhirnya muncul dengan dua cawan minuman tebu dikedua-dua belah tangan sementara fail biru muda dikepit diketiak. Beg sandang hitam berbelang putih tersangkut dibahu. Dah nampak dia senyum dari jauh dengan termengah-mengah dengan wajah putihnya merona merah dibakar mentari. Tak kisahlah Najwan, kau bertukar warna merah ke, biru ke, hijau macam incredible hulk sekalipun, tetap nampak tampan di mata Umairah. Hati kalau dah suka. Cuba kalau Ikram. Tak buat apa-apa pun dia sentiasa nampak Ikram bersalah!
            “Sorry, lambat. Isi minyak kereta. Parking pun tak ada. Saya parking jauh ni. Penat. Banyak kalori terbakar ni.” Katanya sebaik Umairah betul-betul berdiri dihadapannya. Air tebu bertukar tangan. Fail yang dikepit diketiak diletak di atas meja. Begitu juga beg sandangnya. Kemeja biru yang tersarung ditubuh sudah dibasahi peluh. Wajahnya juga basah dengan peluh. Tapi masih nampak kacak. ‘Wajah kesayangan hamba’ bak kata Umairah. Iyolah!
            “Nasib baik 15 minit. Kalau 16 minit, I dah balik dah tadi. Malas nak tunggu orang tak menghormati masa.” Dia buat-buat mencebir. Air tebu dihirup perlahan tanpa banyak soal. Konsepnya, nak merajuk ke, nak mengamuk ke, rezeki depan mata jangan tolak. Apatah lagi dapat air tebu waktu matahari tengah panas terik atas kepala. Memang rugi sangat kalau ditolak! Tekak yang rasa kering dengan cuaca panas terik tu rasa lega sangat. Kalau dapat minum ABC atau cendol masa-masa macam ni lagilah nikmat. Tapi apa nak buat. Petang ni kelas berderet sampai pukul 7. Mana ada masa nak minum cendol segala bagai.
            Melampau sangat impiannya tu. Cubalah belajar bersyukur dengan apa yang ada. Ingat orang Palestin dapat minum air tebu ni? Ukurannya orang Palestin saja.
            “Bukan selalu pun I lewat. Kali ni je kan?”
            “Hmm…. So? Macammana?”
            “Macam mana apa?” Najwan sambung minum air tebunya sambil lap peluh kat dahi dengan sapu tangan putih bercorak biru. Ada lagi speses yang bawak sapu tangan ye sekarang ni?
            “Yang kita bincang semalam.”
Najwan melabuh punggung. Minuman tebu dihirup hingga ke titisan terakhir sebelum kembali menyambung.
            “Tu I nak cerita ni. I ada dua berita gembira nak bagitahu you.” Katanya kemudian. Keningnya dijungkitkan dengan senyum manis dibibir.
            “Apa dia?” Umairah jadi tak sabar. Cawan air tepi diletak di atas meja. Dia menumpukan perhatiannya pada Najwan sang kekasih hati.
            “Satu, papa dan mama dah setuju untuk taja pengajian kita kat London hujung tahun ni. Semuanya papa taja. Dengan syarat, kita lulus with flying colours la. As usual. Tak susah sangat kan?” Ada nada riak disitu. Tapi Umairah dan Najwan ni memang selalu lulus cemerlang pun. Kiranya memang harapan universiti lah. Tu baru bercakap pasal akademik. Tak cakap lagi tentang aktiviti lain. Kelab pidato, anggota majlis tertinggi mahasiswa, kelab rugby dan lain-lain. Kiranya Najwan dan Umairah bukan sekadar mahasiswa ‘kosong’.
            “Serius?”
            “Yelah. Kita dah boleh start cari tempat pengajian tu mulai sekarang. Dan kursusnya juga. Papa kata lagi, kalau kita cemerlang kat sana nanti, ada kerja dah menanti kita kat pejabat dia. Tak payah kita susah-susah nak cari kerja.”
            “Wah! Ni dah kira kemenangan berganda ala-ala prosperity burger dah ni.” Umairah jadi begitu teruja. Mahunya tak. Itu impian dia sejak sekian lama. Najwan pulak datang bawa tuah. Dengan keluarga yang tak berkira tentang wang, lalu sudi menaja pengajiannya sekali. Kalau nak sambung belajar sendiri, terpaksa lah dia berebut nak dapatkan biasiswa atau pinjaman. Tapi demi cita-citanya dia sanggup. Tapi sekarang ni dah kira rezeki datang bergolek-golek apabila keluarga Najwan sudi taja pengajian dia juga.
            “Berita gembira nombor dua?” Umairah jungkit kening pada Najwan.
            “Hmmm…” Dia senyum mengada-ngada.
            “Cakaplah cepat.”
            “Papa setuju dengan cadangan kita nak kahwin kat London.”
            “Ya?”
            “Tapi dengan satu syarat.” Dia angkat jari telunjuk pada Umairah. Wajah Umairah yang tadinya bersinar-sinar gembira dan bertukar warnanya.
            “Tak payah lah sedih sangat. Papa dengan mama tak larang pun hubungan kita. You tahu kan?” Memang dia tahu. Sebab dah banyak kali jumpa keluarga Najwan. Keluarga Najwan pun dah banyak kali datang jumpa keluarga Umairah. Hubungan Umairah dengan Najwan tu bukan rahsia lagi pun. Cumanya bila disebut perkataan ‘syarat’ tu rasa terencat sikit. Rasa mood teruja dia dah calar sikit. Syarat apa pulak yang dia nak.
            “Apa syaratnya?”
            “Papa kata boleh kahwin, tapi tunggu semester akhir. Dan papa nak kita balik Malaysia terus lepas tu. Tak boleh long stay kat London.”
            “Tu je?”
            “Ha…. So?”
            “So what?”
            “Setuju tak?”
            “Gila tak setuju. I ok je. Dapat sambung studi dengan tajaan penuh, dapat pakej kerja lagi, dapat kahwin dengan anak penaja pulak tu. Apa yang tak setuju lagi?” Dia jungkit kening, nakal.
            “Nampak sangat you ni memang gatal nak berlakikan I kan?” Tawa nakal Najwan meledak.
            “Habis you tak miang nak berbinikan I?” Umairah balas balik. Dua merpati sejoli tu dibuai tawa lagi.
            Sejak awal perkenalan, mereka tidak dibuai cinta semata-mata. Pelajaran tetap jadi keutamaan. Walau macam mana berkepit kehulu ke hilir pun, Najwan dan Umairah masih orang yang sama naik pentas setiap semester untuk mengambil anugerah dekan. Masih orang yang sama dihantar universiti ke setiap pelusuk negara, bertanding pidato dan syarahan. Masih orang yang sama diundi sebagai wakil pelajar.
            Papa Najwan, Haji Ghani mulanya keberatan membenarkan Najwan bercinta. Takut kalau cintanya nanti akan merosakkan pelajaran. Apatah lagi, Najwan tu anak sulung dan lelaki tunggal dalam keluarga. Pendek kata, semua harapan memang terletak dibahunya. Najwan itu penanda aras bagi 3 adik perempuannya yang lain. Yang kalau gagalnya Najwan, bererti contoh kegagalan lah yang akan diberi Najwan pada adik-adiknya.
            Tapi Hj Ghani jadi tak kisah apabila hubungan cinta Najwan dan Umairah langsung tidak mengganggu pelajaran mereka. Walaupun mamanya Hajah Mariani berkali-kali mengulang.
            “Ingat, anak dara orang. Jangan dibuat macam-macam. Malu mama dengan papa nanti.” Itu pesan Hajah Mariani setiap kali nama Umairah disebut. Jujur, pertama kali membawa Umairah bertemu Hajah Mariani, wanita bertubuh gempal, berkulit putih itu sudah merestui hubungan mereka. Kesopanan Umairah. Bijak membawa diri. Jujur dan ikhlasnya Umairah  dapat dibaca oleh hati tua Hajah Mariani.
            Pada hari raya berikutnya, keluarga Najwan datang bertandang ke rumah Umairah. Berkenalan dengan keluarga Umairah. Risau hati ummi tengok Haji Ghani datang memandu Lamborgini . Sedar diri, dia hanya cikgu pencen. Harta tak ada, jauh sekali hidup mewahnya. Tak tertanding pula. Tapi apakan daya, hati anak sudah dipaut sang teruna.
            Ummi berkali-kali meminta maaf. Dengan rendah hati. Tapi sangkaannya pada Haji Ghani dan Hajah Mariani meleset. Mereka bukan seperti orang-orang kaya dalam drama tv. Yang banyak harta, dan memandang hina orang kebanyakkan seperti mereka sekeluarga.
            “Kita sama je kak. Bezanya Allah bagi kami yang disini lebih. Tapi bahagian lain, akak pulak yang lebih. Allah tu kan maha adil.” Kata Hajah Mariani sambil menepuk bahu ummi perlahan. Lega hati ummi.
            Bertahun dah hubungan Umairah dan Najwan berlangsung. Dulu, Najwan memang pernah suarakan hasrat nak bertunang dengan Umairah. Nak minta kahwin, memang dia tahu papa dan mamanya takkan setuju. Kata papa, kahwin ni tanggungjawabnya berat. Bukan papa nak melarang benda yang baik. Tapi kalau tak kena gayanya, hanya kerana satu perkara, habis musnah semua yang lain. Dia tak mahu anaknya hanya terpesona dengan cinta remaja. Najwan tak membantah, Dia sekadar mencuba. Lagipun apa yang dikatakan mama dan papanya itu memang betul.
            Haji Ghani kata lagi, kahwin ni bukan semata kerana nafsu. Itu yang orang silap. Dia tak nak anak-anaknya kahwin setahun dua lepas tu bercerai. Kata Haji Ghani, dalam keluarga dia dan keluarga Hajah Mariani, belum ada kes cerai berai. Jadi dia tak nak anak-anak dia pulak cipta rekod.
            Hajat nak bertunang pun dilarang Hajah Mariani.
            “Jangan rakus sangat. Kalau ada jodoh tak kemana. Kalau dah memang bukan jodoh kamu, bertunanglah macam mana pun. Takkan berhasil juga. Jodoh ni semua, Allah yang tentukan. Berdoa. Kalau itu yang terbaik pada kamu, insyaAllah dipermudahkan.” Bebel Hajah Mariani ketika cerita bertunang dikeluarkan Najwan. Najwan tak membantah. Dia memang jarang nak membantah. Ikut saja. Tambahan mama dan papanya memang jarang mendesak dia melakukan yang bukan-bukan.
            “Tunang je mama….” Dia cuba-cuba juga kalau mama berlembut hati. Orang tua itu memandang dia sekilas sebelum menggelengkan kepala.
            “Bertunang ni banyak dugaannya. Mama tak nak apa-apa terjadi pada kamu dengan Umairah nanti.” Cukup sampai situ dia mencuba. Kalau dah tekad kata mama tak boleh, maka tak bolehlah. Lagipun bukan dia terdesak sangat nak bertunang. Cuma kalau bertunang dia rasa secure lah sikit kononnya. Umairah tu, bukan seorang dua yang memandang. Tapi kalau dah mama tak setuju, tak payahlah nak panjangkan cerita. Nanti kecil pula hati mama. Dari mama restukan hubungan tu, karang jadi tak restu pulak. Lagi panjang ceritanya. Lagi payah perjalanannya. Jadi tak payah nak gatal sangat menduga lautan dalam kalau kail panjang sejengkal. Ada kena mengena?
            Tentang perancangannya nak sambung studi sampai ke London tu, mulanya cuma cadangan main-main saja. Sambung belajar kat Malaysia pun dia ok je. Cuma bak kata Raihana, bila lagi nak tengok negara orang. Kata Sofina pulak, kalau tak tengok negara orang, tak tahu nak bersyukur kat negara sendiri. Dia kata macam tu sebaik dia pulang bercuti dari Jakarta bersama keluarganya.
            Katanya orang di Jakarta begitu struggle nak meneruskan hidup. Ceritanya lagi, yang kaya disana, begitu kaya. Kereta hummer bersepah-sepah nampaknya. Tapi yang miskin begitu miskin. Kata Sofina, satu hari ketika baru selesai menunaikan solat asar, hujan turun dengan lebat. Sebaik keluar dari masjid, dia lihat ramai anak-anak kecil berdiri dengan payung. Hanya untuk menghantarkan mereka semua ke kereta. Demi upah yang kalau ditukar ke duit Malaysia, tak sampai 20sen pun.
            Itu belum kira pengemis jalanan yang macam semut menghurung kereta mereka dengan gitar, ukulele atau apa saja yang bertujuan mengutip sedikit sumbangan buat meneruskan kehidupan. Teringat lagu Tegar ‘Aku Yang Dulu’. Saat itu dia jadi syukur menghuni Malaysia. Benar. Banyak kurangnya sana dan sini. Tapi tentu ada sesuatu juga untuk disyukuri. Orang nak dapatkan sesuap nasi, gigih bekerja satu hari. Orang Malaysia, makan mcd pun masih tak berpuas hati.
Diri jadi rasa kufur nikmat!
            Raihana memang dari awal-awal lagi dah cadang nak sambung belajar di London. Abang sulungnya belajar disana. Dari awal lagi dia nak buat ijazah kat sana tapi ibunya tak benarkan. Ibunya hanya benarkan dia sambung master kat sana setelah tamatkan ijazah kat Malaysia. Dia membantah juga sebab abangnya dari awal dah dihantar ke London. Tapi nak tak nak kenalah dia ikut cakap ibunya sebelum ibunya bertukar fikiran lagi dan langsung tak benarkan dia sambung belajar kat London. Kenapa Umairah pilih London? Dia pun tak tahu sebabnya. Yang dia tahu, dia nak sambung belajar kat luar Malaysia. Kebetulan, Raihana pilih London, dia pun ikut sama.
            Sofina? Ikut nak, dia memang nak. Tapi tak ada kata putus lagi. Sofina ni kes lain sikit. Sebab dia dah bertunang dengan pilihan keluarga dia. Jadi apa-apa  keputusan, dia kena bincang dengan tunang dia. Alah, kalau tak sambung studi pun tak jadi apa. Bakal suami dia ni pilot. Dari keluarga kaya pulak tu. Apa nak digaduh sangat. Cuma bezanya Sofina ni pun ada jugak cita-cita nak sambung studi tapi kalau dah tunang dia melarang, dia tak boleh kata apa-apa. Orang sayang tunang lah katakana. Mahunya tak sayang dapat tunang pilot?
            “Jom.” Jam dipergelangan tangan direling. Pukul 2.30 petang.
            “Mana?” Soal Umairah dengan muka tak bersalah.
            “Solat. Kelas I pukul 3. You pun ada kelas kan?”
            “Ha …pukul 3 jugak.” Dia buat muka tak bersalah lagi. Dah 2.30 petang masih ‘bertenet’ bawah pondok depan pos office kat kolej sedangkan ada kelas pukul 3. Dia boleh selamba je?
            “Dah tahu? Yang you tanya lagi tu kenapa? Ni nak ke London ke tak? Nak kahwin dengan I ke tak?” Terkekeh ketawa Najwan mengusik. Beg disandang ke bahu. Fail biru tadi dipegang dengan tangan kanan. Dua cawan plastik kosong dah dihumban dalam tong sampah berdekatan.
            “Drop saya kat DK 2 boleh? Penatlah. Jauh. Lagipun panas.”

            “Hmmm…ok …jom. Solat dulu.”

No comments:

Post a Comment