Wednesday 17 December 2014

Belum Aku Temu (Bab 3) ~ Amri Ramli

Bau pisang goreng membuatkan perut Fez berbunyi. Baru saja lepas minum petang di rumah Mak Teh. Entah kenapa masih terasa lapar.

Fez memandang ke arah penjual pisang goreng dan isterinya di seberang jalan, sibuk melayan karenah pelanggan. Tingkap keretanya dibuka sedikit. Biar angin masuk. Matanya beralih kepada sekumpulan kanak-kanak yang bermain riang di padang sekolah, tidak berapa jauh dari gerai goreng pisang.

Sekejap-sekejap Fez memandang ke telefon bimbitnya untuk melihat waktu. Baru sahaja 5 minit berlalu sejak dia menelefon ayahnya, tapi terasa seperti lama sudah dia menunggu. Ya, kalau menunggu orang memang terasa lama. Tetapi kalau sedang menonton televisyen, menghadap komputer atau menulis blog, masa berlalu seperti air sungai yang deras.

Apalah malangnya nasib Fez hari ini. Sudahlah berhadapan dengan situasi “tidak selesa”, tiba-tiba pula tayar keretanya pancit. Mahu diganti tayar tersebut, tapi jek pula rosak. Tak boleh pakai.

Boleh  saja kalau dia mahu pinjam dari sesiapa yang berhenti membeli pisang goreng, tapi... terasa segan pula. Tak apalah, ayah pun bukannya buat apa petang-petang macam ni; lagipun dalam 10 minit saja dari rumah ayah ke sini, fikir Fez.

Telefon Fez bergetar. Ada mesej baru sampai.

“Weh, tolong replace aku untuk kelab esok. Bini aku outstation, aku kena jaga anak,” mesej dari rakan sejawatnya. Fez mencari kalau-kalau ada alasan yang boleh diberi. Malas pula hendak ke sekolah hujung-hujung minggu macam ini.

Tiada.

Tak apalah, tolong saja seikhlas hati, nanti kalau dia susah, orang tolong balik, fikir Fez sebelum dia bertanya pada diri sendiri, “kalau dah tolong dan mengharapkan balasan, ikhlas ke?”

Telefon bimbit Fez bergetar lagi. Mesej baru.

“Akak tengah gelak sambil guling-guling. So, kamu setuju ke?”

Fez senyum tawar membaca mesej Amy. Dia membalas,

“Setuju?? Kena serang hendap macam tu, bara ni.. Tapi saya pura-pura la senyum..”

Fez kembali geram dengan Mak Teh. Kata Mak Teh, dia jemput datang ke rumahnya kerna dia masak pulut lemak dengan sambal udang. Salah satu kegemaran Fez. Dulu-dulu, Mak Teh selalu masak bila Fez datang bermain dengan sepupu-sepupunya. Kini, bila semua sudah besar panjang, memang jarang benar Fez pergi ke rumah Mak Teh.

Fez sudah terliur pun apabila mendengar pulut lemak yang dijanjikan. Ada setimbun buku-buku pelajar yang perlu disemak, tapi sukar untuk Fez menolak pelawaan tersebut.

Gembira sahaja bila Fez melangkah masuk ke rumah Mak Teh tadi. Pulut dan sambal udang sudah pun tersedia di ruang tamu. Pak Teh sedang membaca surat khabar, dengan cermin matanya terletak di hujung hidung.

“Ha.. dah sampai pun hang”, Mak Teh menegur.

“Mak Teh, apa habaq?” Fez menyapa, “buat susah ja masak pulut udang kat Fez”. Tangan Pak Teh disalam dan dicium. Fez tanpa segan silu terus duduk di atas kerusi rotan, betul-betul di depan makanan.

“Mak Teh hang tu... dah anak-anak semua pakat-pakat ada kerja, tak balik minggu ni, dia tak tau nak masak kat sapa aih,” Pak Teh berseloroh, “ha, makan-makan”.

Fez tidak perlu dijemput. Tangannya sudah pun mencapai senduk di atas meja. Ketika pulut dicedok dari dalam mangkuk, seorang gadis yang kelihatan sebaya dengannya keluar dari dapur sambil menatang sedulang air. Gadis itu tersenyum kepada Fez.

“Sapa ni Mak Teh?” Fez tanya selamba. Sambal udang dikaut ke dalam pinggannya.

“Ha, ni Sofea, anak menakan Pak Teh hang. Dia la ni kerja kat hospital nu. Saja mai dok dengan Mak Teh dalam dua tiga hari,” terang Mak Teh panjang lebar.

“Ooh,” Fez membalas pendek sambil lahap menyuap pulut ke dalam mulut, “Hm.. sedapnya pulut ni”. Fez sedikit keanak-anakan. Sofea tersenyum melihat.

“Fez,” sambung Mak Teh, “Mak Teh tau hang tu tak dak sapa-sapa lagi. Ni Mak Teh nak pekenai hang dengan Sofea ni”. Sofea sedikit tunduk.

“Ergh,” Fez sedikit tercekik. Pulut di dalam mulutnya belum habis ditelan. Terkejut Fez mendengar Mak Teh begitu berdepan. Mak Teh, mengalahkan orang putih, cakap straight to the point, fikir Fez. Dadanya dipegang sedikit sambil pulut tadi cuba ditelan.

“Mak Teh hang ni, cakap macam tu, mengkelan budak ni ha..” Pak Teh mencelah. Mak Teh sekadar ketawa.

“Betul tu Pak Teh. Ni malu ni. Habis tak dak selera dah,” kata Fez di dalam hati. Tidak mahu pula dia bertindak tidak sopan. Fez menelan pulut yang tidak dikunyah. Air teh yang terhidang di sebelah diteguk. Panas. Lidah Fez terasa seperti dicelur.

Otak Fez ligat berfikir. Apa yang perlu dikata? Pada waktu-waktu sebegini seperti semua yang dikata tidak akan kena belaka.

Matanya melirik sedikit kepada Sofea sambil cawan diletak di atas meja. Cantik. Bukan tidak menarik, tetapi entah Sofea ini ada ciri-ciri wanita yang dia minati atau tidak. Ramai juga gadis-gadis cantik yang pernah dikenali, tetapi ada saja yang tidak kena. Terngiang pula kata-kata emaknya, “hang tu yang memilih”. Amy pun pernah bercakap sebegitu. Juga rakan-rakannya di universiti dulu.

“Sofea kerja apa di hospital?” Fez memaniskan mulut. Rasanya kalau Mak Teh tidak bercakap macam itu, Fez masih lagi akan bertanya soalan yang sama. Tapi, tidaklah dia rasa segan sebegini.

Sambil melirik ayu Sofea menjawab, “Sofea jadi pembantu makmal bahagian patologi.”

“Ooh,” sahut Fez panjang, berpura-pura tahu. Entah apa maksud patologi agaknya. Tak salahkan kalau cikgu Geografi sepertinya tidak tahu istilah-istilah perubatan? Kursus Masters yang dia ambil di Bristol dulu pun berkaitan sains alam sekitar seperti seismologi dan geofizik.

“Dah berapa lama kerja kat situ?” tanya Fez lagi.

“6 bulan”, jawab Sofea.

Fez hilang idea untuk meneruskan perbualan. Pulut dengan sambal udang kegemarannya tiba-tiba terasa tawar. Namun, dia masih lagi memaksa dirinya menghabiskan apa yang ada di dalam pinggan. Sekurang-kurangnya bila dia makan, dia tidak perlu bersuara.

“Pak Teh nak keluar sat na. Nak pi bagi ayam makan,” beritahu Pak Teh. Fez mengangguk. Mak Teh bercakap sesuatu kepada Sofea, tetapi Fez tidak berapa endah.

Mak Teh bertanya Fez tentang emaknya dan kerja. Fez menjawab sambil Sofea memerhati sambil tersenyum. Tiba-tiba Mak Teh berdiri, “Mak Teh nak pi boh pulut dengan sambal dalam bekal. Bagi hang bawa balik kat mak hang.”

Okay, okay,” kata Fez. Dia cuba mengisi kesunyian dengan berbual dengan Sofea.

“Sofea asal mana?”

“Kepala Batas.”

“Kepala Batas kat Alor Star ke, Pulau Pinang?”

“Pulau Pinang.”

Satu soalan ditanya, satu soalan dijawab. Fez makin rasa janggal. Kalau nak dilihat pada rupa paras, sudah dikira lawa, tapi... Fez mula bermain-main dengan fikirannya.

“Sofea selalu buat apa time time free?” tanya Fez. Apalah soalan? Fez tertanya pada dirinya sendiri. Tak apalah, lebih baik dari soalan “apa lagu kegemaran Sofea?” yang dia sebenarnya mahu tanya sebelum itu.

“Selalunya petang-petang Sofea main badminton dengan budak serumah,” jawab Sofea dengan suaranya yang lembut.

Badminton? Hm.. bila kali terakhir dia pegang raket badminton, Fez tidak tahu. Entah berapa lama dia tidak bersukan pun dia tidak ingat.

5 minit berikutnya dihabiskan dengan soalan-soalan tipikal bagi orang yang baru berjumpa. Fez masih terasa janggal berbual dengan Sofea. Satu kesimpulan yang Fez buat tentang Sofea:- Sofea memang sesuai dijadikan calon isteri. Ada potensi jadi isteri solehah, tetapi Fez rasa mereka tidak sekufu. Alasan yang Fez selalu beri apabila hati tidak berkenan.

Mak Teh akhirnya muncul dengan beberapa bekas makanan di dalam beg plastik.

“Eh, tak tambah ke Fez?” tanya Mak Teh apabila dia melihat pinggan Fez sudah pun tidak terisi.

Takpa Mak Teh, nak kena balik cepat ni, ada kerja nak kena buat,” jawab Fez sambil berdiri, mahu bersalaman dengan ibu saudaranya itu.

“Laa... orang nak suruh duduk duduk dulu. Sembang-sembang. Kenal-kenal,” kata Mak Teh sambil menghulurkan beg plastik kepada Fez. “Tak dan hang nak kenal dengan Sofea pun.”

“Nak kena balik buat kerja,” ulang Fez. “Lain kali ya Mak Teh,” Fez tersenyum, memaniskan mulut di depan orang tua. Dia menganggukkan kepala sedikit kepada Sofea dan beransur keluar.

Keretanya dipandu pantas keluar dari perkarangan rumah Mak Teh. Sambil kepalanya dihantuk ke tempat sandar, Fez merungut sendirian. Kalau hendak diperkenalkan pun, janganlah cakap depan-depan begitu. Beritahulah dia terlebih dahulu. Fez tahu dia punya ego dalam hal-hal sebegini.

Walau bagaimanapun dia tahu yang Mak Teh sudah cukup kenal dengan perangainya. Jika sudah tahu lebih awal, sudah tentu dia mengelak dari datang ke rumah Mak Teh tadi.

Muka Fez masih lagi mencuka ketika memandu melepasi padang sekolah sebelum dia terdengar bunyi benda meletup. Tayar keretanya pancit.


“Ah, malangnya hari ni!”, keluh Fez sambil memberhentikan kereta tidak jauh dari gerai pisang goreng.

No comments:

Post a Comment