Friday 5 December 2014

Lukis di Langit Kita (Bab 2) ~ Hananee Amir

Jam sudah ke angka 10 pagi. Hujan lebat yang mulai mencurah sejak tengah malam tadi belum menunjukkan tanda-tanda ingin reda. Melalui radio dan tv, dikhabarkan beberapa kawasan sudah mengalami banjir kilat. Kuala Lumpur dan banjir kilat, berpisah tiada. Itu belum kira jam merata-rata tempat. Sejak dari dulu dia gagal memikirkan apa kaitannya hujan dengan jammed? Sebab setiap kali hujan, setiap kali itulah jalan sesak gila. Dan sampai sekarang dia gagal mendapatkan jawapannya.
Ikram dengan Saiful pernah terperangkap dalam jam 4 jam lamanya dari Kuala Lumpur ke Kajang yang patutnya hanya mengambil masa setengah jammed, hujan dan kemalangan. Pembaziran masa. Mujur jarak café dari rumah tak sampai satu kilometer. Dan lagi, Ikram cuba menaiki motorsikal. Tak gaduh pasal jammed. Selalunya Ikram akan datang ke café kira-kira jam sembilan. Berkemas, menyediakan sebiji dua kek. Tak perlu banyak sebab sebiji dua kek tu pun kadang-kadang tak habis dijual. Kadang-kadang? Menipu lah tu. Selalu tak habis dijual. Yang tu tak tipu!
Kalau hujan, selalunya Ikram akan datang lebih awal. Sebab waktu hujan ni lah rezeki dia lebih banyak dari selalu. Kek pun selalunya habis kalau hari hujan sebab ramai datang berteduh sambil menikmati kopi atau coklat panas bersama sepotong kek sementara menunggu hujan reda. Tambahan, hari ini ada tempahan catering dari tadika berdekatan. Katering kecil-kecilan. Bolehlah buat modal untuk esok. Bolehlah buat dia senyum sampai telinga. Bolehlah nak buat ‘eksen’ sikit kat Azril dengan Huzir macam lah dapat catering 3000 pax padahal untuk taska 30 orang je. Ingat, konsepnya syukur, nanti Allah tambah rezeki. Jangan kufur nikmat!
Setakat mihun, sandwich dan beberapa biji cupcake untuk kanak-kanak. Bahan semua dia dah sediakan sejak semalam. Saiful temankan dia sampai lewat pagi sediakan barang-barang. Siang sayur, potong fishball, potong-potong daging. Mujur Saiful ada. Taklah bosan sangat walaupun dia tak bantu apa-apa. Anak tunggal kesayangan macam Saiful mana pernah buat kerja dapur. Buat kopi o pun tak lepas. Harapkan yang segera jelah semuanya. Tapi dia tak kisah. Ada teman berbual dia dah ok.
Walaupun kadang-kadang Saiful ni menyakitkan hati juga. Mana taknya. Tanya nama sayur sawi je dah dekat 800 kali. Setiap kali dia temankan Ikram buat order catering, dia akan tanya “Ni sayur apa?”. Ikram akan jawab “Sawi”. Kalau sekali dua bolehlah. NI setiap kali temankan Ikram, dia akan tanya soalan sama. Apa yang emndap sangat sampai tak ingat-ingat nama sayur sawi tu? TU belim kira dia tanya nak goreng mihun tu letak rempah apa? Gigihlah Ikram menjawab, letak bawang merah, bawang putih, ikan bilis.
Dalam hati memang rasa nak record je. Jadi senang untuk masa depan. Tekan ‘play’ je. Ingat konsep asal. Bersyukur. Bersyukur ada kawan macam tu. Ingat senang ada kawan yang sanggup temankan kita kat café sampai 2-3 pagi semata-mata untuk projek yang untungnya tak sampai RM50 ni? Ingat, berapa ramai manusia kat luar yang hidup sebatang kara, seorang kawan pun tak ada. Tu belum kira yang ada kawan waktu ketawa je, waktu menangis semua larikan diri. Lagi naya. At least Ikram adalah Saiful kawan susah senang walaupun cuma seorang!
Isi ayam, sayur, fishball semu dah dipotong dan disimpan dalam peti ais. Inti tuna untuk sandwich pun dia dah sediakan. Tinggal nak masukkan dalam roti je. Subuh nanti, Saiful kata nak datang café tolong buat sandwich. Jam dah nak ke pukul 3pagi. Saiful janji nak datang tolong lepas subuh nanti. Sungguhlah Saiful ni kawan susah senang. Padahal seposen pun Ikram tak pernah bagi sebagai upah. Kadnag-kadang je Ikram upah kopi hazelnut secawan. Itupun kadnag-kadang Saiful tolak sebab dia kata, dia ikhlas sungguh-sungguh dalam hati. Nak buat saham akhirat katanya.
“Setakat nak sumbat tuna dalam roti, aku boleh. Yang nak makan pun budak-budak je kan. Tak banyak komplen. Aku datang nanti. Rupa buruk tak apa kan asal rasanya sedap? Itupun kalau sedap. Dan kalau tak sedap, salah kau lah. Kau yang buat. Aku tukang bubuh je.” Katanya melalui telefon bersungguh-sungguh. Dia cuti 2 hari katanya. Cuti tahunan dia banyak. Katanya nak simpan untuk kahwin tapi tahun berganti tahun, jangan kata kahwin. Makwe pun dia tak ada lagi. Ikram tak membantah. Dia lagi suka kalau Saiful ada. Walaupun memikirkan nasib sandwich dia tu entah apa jadinya. Tapi betul juga kata Saiful, setakat sumbat tuna dalam roti bukan susah sangat. Boleh buat sambil pejam mata. Dah tu, mata tu Allah bagi nak pakai buat apa?
Dia boleh teruskan kerja membakar cup cake. Sementara tunggu masak, dia boleh goreng mihun. Sambil melayan pelanggan yang mungkin agak ramai hari ni. Kalau setakat nak suruh Saiful hantarkan pesanan kat meja pelanggan, dia boleh diharap. PA dia ni bagus juga. Bagus banyak banding Ikram. Maklumlah, salah satu skop kerja si Saiful ni kan “beli jiwa client!”
“Kau patut ada assistant. Senang sikit.” Katanya kelmarin. Gila cakap tak pakai otak. Meluncur laju je kat lidah. Dia orang tu pun terkuak-kuak nak teruskan hidup, nak panggil assistant? Dia nak berapa orang pulak mati kebulur sebab café Ikram yang hidup segan mati tak mahu ni?
“Nak aku bayar pakai apa? Air liur? Makan aku pun tak lepas. Jangan nak seksa hidup orang sangat lah. Lagipun bukan selalu café ni ramai orang. Aku boleh handle.” Rasa nak gelak ada, rasa nak bagi penampar pun ada. Tapi kalau dah dia tampar Saiful, siapa pulak dia nak kawan nanti. Dia bukan ada kawan ramai pun. Yang sanggup berkawan dengan dia tu pun Saiful tu lah sorang. Tu pasal kalau orang kata dia tu gila sebab tunggu café nak rebah tu, dia rasa Saiful pun gila sekali. Sebab Saiful masih sanggup kawan dengan dia dan temankan dia kat café menanti rebah tu. Saiful je tak pernah mempersoalkan apa-apa.
Tak pernah bagi cadangan apa-apa dan paling penting tak pernah kata dia gila sebab tunggu café yang tak pernah mendatangkan apa-apa untung sejak bertahun-tahun dulu tu. Sebab tu Ikram kata, Saiful pun sama gila dengan dia. Jangan sebut pasal untung. Balik modal pun hampir tak pernah. Mujur kedai tu, memang arwah ayah Ikram dah beli dulu. Untung jual kek sebiji dua setiap bulan tu pun cukup untuk bayar bil letrik je dengan air je. Modal barang-barang dapur sikit. Sabun cuci lantai pun dia beli kat Kedai 1 Malaysia je. Jimat!
“Café?” Soal Abang Huzir ketika Ikram mencapai sneakers biru tua dalam dalam almari kasut. Abang Azril dah keluar awal-awal lagi tadi. Lamunan jauhnya tadi kembali semula pada situasi sebenar.
“Mana lagi…” Jawabnya mahu tak mahu.
“Hmmm…”
“Tak kerja?” Soal Ikram balik. Selalunya Abang Huzir atau Abang Azril akan keluar awal-awal pagi. Tapi balik solat subuh tadi dia tengok Abang Huzir rehat-rehat je depan tv tengok Motivasi Pagi kat TV3 sambil makan nasi goreng sotong yang Abang Azril masak malam tadi.
“Separuh hari. Nak renew passport. Hujan pulak.” Jawab Huzir tanpa pandang Ikram. Hujan? Sejak bila hujan adalah masalah bagi mereka yang berkereta? Kereta Abang Huzir ada bumbung kot. Ke Abang Huzir dah tukar kereta yang tak ada bumbung macam kat negara mat salleh tu? Amboi! Ni Malaysia kot. Hujan karang takkan nak pakai baju hujan dalam kereta?
“Imigresen dekat je. Tak jammed pun kot ke sana.”
“Am…”
“Ha!” Ikram menoleh. Sneakers tadi diletak kembali atas rak kasut. Dia ke meja tv mencapai jam tangan lalu disarung terus ke tangan kanannya. Casio yang usianya sudah hampir 8 tahun. Arwah mak yang belikan. Masih elok. Cuma ada sedikit kesan calar pada permukaannya. Tak pernah rosak. Hanya berganti bateri beberapa kali.
“Macam mana tentang yang Abang Azril cakap semalam tu?” Serentak itu keluhan Ikram jelas kedengaran.
"Am dah malas cakap pasal ni. Dah sejuta kali kita bincang. Keputusan Am dah final. Tak nak tukar apa-apa." Sneakers biru dari rak kasut dicapai semula dengan tangan kanan. Stoking hitam digenggaman yang baru di ambil dari ampaian disarung segera dikaki. Jadi rimas. Jadi malas.
Pagi tadi bangun dari tidur, dengan mood serba indah nak masak resepi kek baru. Seorang kawan kat facebook yang kongsikan. Menarik juga. Belum pernah cuba. Green Tea Cheese Cake. Barang-barang semua dia dah beli semalam semalam. Stok kat cafe pun banyak lagi. Menu kat cafe dah lama tak bertukar. Sejak dia dengan Abang Huzir hari-hari perang dayak tentang isu nak jual cafe, otak dia susah nak fikir menu baru. Rasa melampau sangat kalau nak buat menu sate daging abang sendiri kan?
Nak Google pun tak ada semangat sedangkan dia tahu, turun naiknya White Blossom Cafe tu bergantung pada dia. Maruahnya. Pendiriannya. White Blossom Cafe tu akan jadi tanda aras yang akan membuat orang bercakap tak kira baik atau buruknya. Apatah lagi Abang Huzir dan Abang Azril. Setidaknya orang dah tak cakap dia gila. Tapi dia tak tahu nak mula dari mana sebab kiri kanan terasa seperti jalan mati. Banyak gaung. Gunung ganang. Hutan tebal. Tak ada yang mudah, semua susah-susah belaka. Siapa kata jalan menuju kejayaan itu mudah? Apatah lagi dia mengembara sendiri. Susah dan senang sendiri. Yang membawa pedang dan cangkul untuk menghalang perjalanannya itu saudara sendiri. Rasa lebih perit.
Kalau dengan Abang Azril, dia masih mampu bertahan. Bukan Abang Azril setuju sangat dengan apa yang dia buat. Cuma kadang-kadang dia rasa Abang Azril lebih bertolak ansur. Lebih berperasaan. Lebih memberi peluang. Abang Huzir banyaknya mendesak. Semua nak dengar cakap dia. Sejak arwah mama, Latifah, meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Kuasa penuh seolah-olah ada dalam tangan Abang Huzir. Veto ala Amerika saja rupanya. Mungkin sebab Abang Huzir anak sulung.
"Ingat masa depan Am." Abang Huzir meninggikan suara sambil bercekak pinggang dibelakang Ikram yang sedang duduk menyarung kasut dimuka pintu dengan hati sebal.
“Memang apa yang Am sedang buat ni bukan masa depan? Masa depan memang wajib masuk universiti? Wajib konvo pakai jubah paras buku lali? Wajib ada scroll? Wajib ada gambar dengan Naib Canselor gantung kat dinding? Kalau tak, bukan masa depan namanya?” Hatinya tiba-tiba jadi panas sedang cuaca sejuk.
Hujan mencurah lebat sejak tengah malam sampai ke subuh tadi tak membantu langsung. Gigih juga dia pakai baju hujan nak ke surau pagi tadi untuk solat subuh walaupun syaitan dan kemalasan saling bekerjasama mengulik tubuh. Lagipun pagi tadi ada kuliah subuh dari Ustaz Salleh kegemaran dia. Rugi kalau tak pergi. Ceramah dia seronok didengar. Tak bosan langsung. Disulami lawak dan jenaka. Tak perlu guna perkataan bodoh sana sini untuk tarik perhatian. Ikram perhatikan setiap kali Ustaz Salleh datang bagi ceramah, surau penuh walaupun solat subuh. Anak-anak muda yang selalunya hanya kelihatan seminggu sekali ketika solat jumaat pun akan hadir sama. Kan bagus macam tu.
“Ini zaman ilmu. Siapa yang tak ada ilmu akan ketinggalan Am. Duit peninggalan arwah mama dan papa tu cukup untuk kamu sambung pelajaran sampai ke luar negara pun. Abang cuba nak kamu sambung belajar. Habis study nanti terpulang pada kamu nak buat apa. Umur makin meningkat. Sampai bila kamu nak macam ni?” Ayat tu dia dah dengar berjuta kali. Dah penat. Nak bagi penjelasan pun dah penat dah. Tapi masalahnya Abang Huzir tak pernah penat.
“Abang Huzir cuma nak yang terbaik untuk kamu.” Kata Abang Azril beberapa hari lepas ketika dia pulang dari solat zuhur disurau. Waktu dia menyatakan rasa rimas dan penat dengan kerenah Abang Huzir.
“Sejak mama dan papa meninggal, dia jadi ketua keluarga. Kita jadi tanggungjawab dia. Dia nak yang terbaik untuk kamu. Setidaknya bila dia dah kahwin nanti, kamu dah boleh berdiri atas kaki sendiri. Ada sesuatu untuk kamu bergantung.” Sambung Abang Azril lagi.
“Kak Manisah dah ajak Abang Huzir kahwin?” Soalnya dengan dahi mencerun. Dah agak lama dia tak berjumpa dengan tunangan Abang Huzir tu. Kali terakhir rasanya raya tahun lepas. Dia dengan Abang Huzir dan Abang Azril ke rumah keluarganya kat Seri Kembangan tu. Lepas tu dah tak dengar khabar berita lagi. Nampak Abang Huzir bergayut kat telefon pun jarang.
“Dia nak putus tunang kalau Abang Huzir tak dapat cari jalan untuk kahwin sampai hujung tahun ni.” Azril menokok. Kacang Ngan Yin ditangan disua pada Ikram. Ikram menolak.
“Am dah besar. Am boleh jaga diri.” Pantas dia menolah. Dia rasa bersalah kalau Abang Huzir tak jadi kahwin sebab dia. Tak kisahlah betapa dia marahkan Abang Huzir pun selama ni. Abang Huzir masih abang kandungnya. Apatah lagi, ini bukan hanya melibatkan Abang Huzir, tapi Kak Manisah sekali. Kak Manisah tu baik orangnya. Arwah mama sayang sangat dengan Kak Manisah. Sayang, hajat mama nak bermenantukan Kak Manisah tak tercapai sewaktu dia masih hidup.
“Am pasti cukup makan dengan cafe tu?” Katalah tentang apa saja. Dia boleh terima. Dia boleh marah dan diam. Dia boleh bertahan dalam apa saja keadaan. Tapi tolonglah jangan pertikaikan White Blossom Cafe.
“Mungkin tak boleh beli kereta besar, rumah besar. Tapi nak cukup makan....masih boleh. Lagipun siapa tahu kalau nanti-nanti White Blossom Cafe boleh buat duit?” Nadanya tadi berubah.
Itu perbincangan dengan Abang Azril beberapa hari lalu. Ketika Abang Huzir ke Miri atas urusan kerja. Dan baru tiga hari Abang Huzir  tiba semula ke Kuala Lumpur, dia dah mulakan dialog sama. Masa depan. Study. Cafe. Semua sama. Ikram dah hafal dah skrip tu.
“Kenapa tak kahwin je kalau macam tu? Kerja dah ada. Rumah dah ada. Semua dah ada. Nak tunggu apa lagi.” Usia pertunangan Huzir dan Manisah dah menjangkau 5 tahun. Mereka dah bertunang, waktu kat tahun akhir universiti lagi. Rancangan awalnya bertunang setahun je. Tapi banyak hal yang menimpa. Mama sakit teruk. Abang Azril waktu tu masih di Jordan. Mahu tak mahu, Abang Huzir yang jaga mama selama bertahun jugalah terlantar kat katil hospital.
“Dia nak tunggu sampai Am boleh berdikari.”
“Ha?!”
           “Dia nak Am sambung study. Ada kerja yang boleh tanggung kehidupan Am...”
           “Masa depan cuma untuk orang yang belajar tinggi? Ada degree? Kerja pakai neck tie? Kereta mewah? Macam tu? Atau Abang Huzir dengan Abang Azril malu ada adik sekolah setakat SPM macam Am? Abang Huzir dengan Abang Azril boleh kalau tak mengaku Am adik. Am Ok." Hatinya jadi sakit.
            "Jadi apa bakery buruk tu boleh bagi kat kamu?"
            "Am pergi dulu. Assalamualaikum.” Malas nak bergaduh lagi.
Bergaduh pasal ni dah bertahun lamanya. Tak ada tanda nak berhenti. Baju hujan hitam disarung ke tubuh. Telefon bimbit berbunyi tapi dibiarkan. Malas nak ambil telefon dari dalam poket dengan baju hujan sudah disarung. Habis-habis pun Saiful yang telefon nak bagitahu dia dah sampai. Dia janji nak datang awal pagi.
Dia kan punctual orangnya. Kalau tak sebab gaduh dengan Abang Huzir tadi pun, dia dah sampai. Kesian lah Saiful kena menunggu dalam hujan sebab Saiful pun naik motor macam dia. Cuma bezanya motor Saiful tu harga puluh-puluh ribu. Lagi mahal dari harga kereta Proton Suprima Abang Huzir tu. Motor dia tu pulak dah sama tahap reput dengan White Blossom Café.
Kalau nak jual tu, entah 50 ringgit ada orang nak beli ke tak?

No comments:

Post a Comment