Friday 5 December 2014

Belum Aku Temu ( Bab 2) ~ Amri Ramli

“Tut tut”, telefon bimbit Amy berbunyi. Ada mesej baru sampai. Amy berhenti menaip, tangannya mencapai telefon bimbit di sebelah mug. Dia membaca mesej tersebut.

Bebutang di telefon ditekan. Amy menaip sesuatu. Kemudian dia letakkan kembali telefon tersebut di sebelah mug berisi kopi. Hm.. wanginya bau kopi. Bagi Amy, kopi sudah cukup. Tak perlu pewangi yang mahal-mahal. Tak perlu juga potpuri. Buat apa lilin-lilin wangi yang menyumbang kepada pemanasan global. Lebih baik kopi. Wangi, juga boleh diminum.

Air kopi di sebelah diteguk. Sudah kurang panasnya kerana dia leka menyiapkan kerjanya.

“Tut tut”, telefonnya berbunyi lagi. Mesej dari kekasih hati, Rael.

“Buat apa tu?”

Amy tertanya sendiri, kalau dah tahu dia di universiti, buat apa lagi? Buat kerjalah. Tapi tangan Amy pantas membalas,

“Baca jurnal. Sekejap lagi nak baca buku stats untuk prepare tutorial”.

Kadangkala Amy rasa pelik. Perlukah bermesej-mesej setiap satu dua minit untuk tahu apa yang dia buat? Biasa saja harinya. Kalau di fakulti, tentulah dia tengah dalam bilik siswazah kalau tidak di kelas tutorial. Sama ada tengah buat programming, atau sedang tersangkut dalam programming, atau curi-curi masuk Facebook. Semuanya sama saja. Tiada yang menarik pun untuk ditanya soalan yang sama setiap hari.

Itu tidak termasuk waktu dia sedang tekun menyiapkan kerja yang diberi penyelianya, dan tidak perasan ada mesej masuk. Mulalah Rael mahu merajuk-rajuk manja kerana lambat membalas.

Tiba-tiba Amy teringat perbualannya dengan Fez tempoh hari fasal hal ini ketika makan tengah hari di kedai mamak di depan universiti.

“Kak Amy yang pelik sebenarnya.”

“Kenapa?” Amy sedikit masam. Tiba-tiba dikatakan dia pelik, apa hal? “Akak ni jenis praktikal Fez. Benda common sense, takkanlah setiap benda akak buat, dia nak tahu?”

“Er.. memang tak perlu pun,” jawab Fez. Amy masih menunggu, dia tahu yang Fez belum lagi habis dengan ayatnya. Mesti ada “tapi”.

“Tapi..,” sambung Fez.

Ha.. kan betul!

“Tapi biasalah orang bercinta. Nak tahu lebih-lebih. Ambil berat. Care kata orang..” kata Fez sambil tersengih.

All.. the.. time!”, Amy tidak puas hati. “Ni jap gi, kamu tunggulah. Adalah mesej tu dari dia”.

“Itulah yang saya cakap akak ni pelik,” ulang Fez. “Biasanya perempuan ni yang suka ambil berat ini dan itu. Tapi akak ni terbalik kes!” Fez ketawa.

Amy sedikit geram. “Wah wah. Kamu kata akak ni macam lelakilah?”

“Ada lah sikit kot. Otak akak tu … fikir macam lelaki sikit”, sambil jari telunjuk Fez dihayunkan ke arah kepala Amy dan kepalanya.

“Hm…”, Amy berdengus, separa bersetuju. “Habis, nak buat macam mana. Dah memang akak macam ni?”

“Balas jer la..”

“Tak ikhlasnya! Nanti kalau dah kahwin…”

Fez tertawa lagi. “Kalau dah kahwin, akak dah kat depan mata dia! Takyah dah dia nak bermesej-mesej. Dia nak tau apa akak buat, dia pergi tengok jer!”

“Wah wah,” Amy tersenyum sedikit. “Cakap macam dah ada experience!”

Experience orang lain akak! Saya observant. Hehe” Fez terus ketawa.

No comments:

Post a Comment