Monday 22 December 2014

Belum Aku Temu (Bab 4) ~ Amri Ramli

“Sorry Fez, akak lambat sikit,” Amy terkocoh-kocoh ke meja tempat Fez duduk.

“Tak apa akak. Tak lewatlah..” kata Fez sambil mengerling pada jam dekat pintu masuk restoran, “... baru lewat sepuluh minit.” Fez tersenyum.

Riak wajah Amy menampakkan rasa bersalahnya. Fez tahu Amy memang orang yang ambil berat tentang ketepatan waktu. Jarang sekali dia akan datang lewat kalau dia berjanji.

Amy duduk sambil meletakkan beg tangannya di kerusi sebelah.

“Akak lambat sedikit sebab bawa sekali...” Amy menoleh ke belakang mencari seseorang. Muncul bayang yang tidak janggal buat Fez.

“Leeya!” Fez sedikit teruja apabila dia ternampak seorang gadis genit melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Gadis itu melangkah laju sambil melambaikan kedua-dua belah tangannya sebaik sahaja dia melihat Fez.

“Fez!!” Leeya menjerit dari jauh. Dia melangkah pantas ke meja.

“Macam mana boleh sampai Sungai Petani ni?” tanya Fez setelah gadis yang bernama Leeya itu duduk.

“Tadi waktu akak kat Pulau Pinang..”

“Aku jumpa Kak Amy kat sana,” Leeya memotong kata-kata Amy. “Saja aku datang sini sebab Kak Amy cakap dia nak jumpa kau.”

Seorang pelayan datang mendapatkan pesanan.

“Kopi ais,” pinta Amy, “makan tak yah.

“Air milo ais,” Leeya pantas membuat pesanan sambil tangannya menyelak-nyelak menu makanan.

“Saya pun sama,” Fez mencelah, memberitahu pelayan. “Makan nanti saya order.”

“Ala Fez... kau selalu tiru aku,” kata Leeya sedikit manja. Dia beralih kepada pelayan, “roti tisu satu ya.”

“Lama betul aku tak jumpa kau,” kata Fez.

Ha ah, aku busy gila dengan show baru,” Leeya mula bercerita, “sekarang ni pun aku ada shooting kat Padang Kota. Malam ni dan esok aku free, tu sebab aku boleh datang sini nak jumpa.”

“Leeya ni... dah rindu sangat dengan kamu,” kata Amy sambil tersengih.

“Ya ya,” Leeya menganggukkan kepalanya, “aku rindu sangat kat kau.” Mukanya dikerutkan seperti budak kecil.


Fez tersenyum. “Tak habis-habis lagi perangai lama kau? Bila nak berhenti menggedik ni?”

“Fez!!!” jerit Leeya sedikit marah. Pelanggan berdekatan meja mereka sedikit memandang. Agak kuat juga suara Leeya sebentar tadi. Memang betul tak hilang lagi perangai lama, kata Fez di dalam hati.

Mereka bertiga belajar di universiti yang sama dahulu. Ketika Fez berada di tahun terakhir, Leeya berada di tahun pertama. Ketiga-tiga mereka kenal antara satu sama lain dalam satu program baktisiswa. Leeya baru sahaja menamatkan pengajiannya dan sekarang bekerja di stesen televisyen sebagai seorang wartawan penyiaran.

“Kamu berdua ni cukup padanlah,” kata Amy apabila melihat Leeya mengangkat telefon bimbitnya seperti mahu membaling kepada Fez. “Kamu kahwin sajalah dengan Leeya ni kalau bidadari yang kamu tunggu tu tak jatuh dari langit.” Amy ketawa melihat Fez mencebik. “Ke kamu nak si Sofea tu?” Amy ketawa lebih kuat.

“Siapa Sofea?” Leeya pantas menyoal, ingin tahu.

“Kak Amy ni..” Fez masam. Panjang lebar pula Fez bercerita tentang peristiwa di rumah Mak Teh tempoh hari.

“Leeya, aku taknaklah orang carikan untuk aku. Aku nak cari sendiri,” beritahu Fez.

“Fez, kamu ni memilih sangat ... nanti dapat perempuan tua baru tau. Bukannya akak tak tau kamu tu selalu menyanyi kat dapur,” Amy berseloroh.

“Eh, benda tu apply kat orang perempuan je lah,” bidas Fez. “Kalau Kak Amy sendiri pun, sanggup ke kahwin dengan lelaki muda?”

I muda lagi okay!” jawab Amy. Ni dah ada Leeya, Kak Amy pun dah menggedik sekali, fikir Fez.

“Lagipun Kak Amy dah ada Rael,” Leeya menyampuk. “Kan Kak Amy kan?”

“Ya,” Amy gembira mendengar Leeya menyebelahi dirinya. “Lagipun lelaki muda ni tak matang. Tak sanggup akak!”

“Akak jangan cakap macam tu, dapat betul nanti baru tau,” Fez bernada serius.

Ha ah,” Leeya bersetuju. “Sekali akak kahwin lelaki 22, 23 tahun, penat akak nak mengajar dia nanti. Oh, terima kasih,” Leeya tiba-tiba menyapa pelayan yang menghantar pesanannya.

Wah, Leeya dah berpaling tadah, fikir Amy. “Kamu tengoklah Fez ni, Leeya. Umur dah 25 tahun...” mata Amy memandang Fez dari atas ke bawah, “... tapi perangai macam budak-budak lagi. Inikan pula kalau lagi muda dari dia.”

“Akak, saya dah cukup matanglah,” kata Fez sambil tersenyum lebar. Fez sendiri pun tidak berapa yakin dengan kata-katanya.

Tiba-tiba raut wajah Fez berubah. Dia kelihatan seperti terkejut.

“Kenapa Fez?”, tanya Amy apabila dia perasan akan Fez yang kaget. “What”s wrong?”

Fez tidak menjawab. Matanya tertumpu akan seorang gadis di kaunter. Amy dan Leeya turut menoleh.

“Anis,” kata Fez perlahan. Amy dan Leeya beralih kepada Fez, mahu tahu lebih lanjut.

“Siapa?” tanya Amy.

“Yang saya crush dulu tu waktu second year tu,” kata Fez.

“Ooh, yang ko minat tapi tak berani nak tegur dulu tu?” bisik Leeya tetapi suaranya masih seperti menjerit.

Kelihatan Anis menutup beg tangannya setelah menyimpan duit baki. Dia melangkah keluar dari restoran itu sendirian.

“Weh, apa lagi. Pergi la tegur perempuan tu!” suruh Leeya.

“Eh, jangan! Kamu nak takutkan dia ke?” Amy membantah. Dia tidak faham rasional untuk Fez berbuat sedemikian.

“Pergi Fez, pergi..” Leeya terus memujuk. Amy tidak dia endahkan.

Fez masih terkesima. Jantungnya terasa seperti berhenti seketika apabila Anis muncul di depan mata setelah sekian lama. Dia mahu benar menegur Anis. Dia sudah berubah. Tidak lagi malu seperti dulu. Dia sudah lebih berani berbanding 3 tahun lalu. Tapi apa yang hendak dikata?

Pergi tegur? Atau tidak? Dia tidak tahu hendak mengikut kata Amy atau Leeya sambil dia tahu dia tidak punya banyak masa untuk membuat keputusan. Fez bangun. Amy memandangnya dan mukanya sudah cukup untuk membuatkan Fez tahu yang dia menjerit “jangan”. Tapi Leeya di sebelah seperti gadis sorak yang melompat-lompat gembira memberikan sokongan.

What have I got to lose? Fikir Fez dan dia meluru keluar mencari Anis yang tidak berapa jauh di hadapan.

Go Fez, go!” Leeya memberikan semangat dari belakang. Amy menggeleng-gelengkan kepala. Budak muda... macam ni lah contoh terbaik bagi perangai budak yang tak matang, fikirnya.

Leeya memandang-mandang ke arah pintu kalau-kalau dia dapat lihat Fez dan Anis.

Tiada.

Telefon bimbit Amy berbunyi.

“Rael ke?” Leeya menyibuk. Roti tisu dihadapannya dicubit.
“Tak tak,” kata Amy sambil menekan-nekan butang di telefon bimbitnya. “Ini mesej dari student akak.”

“Wah, malam-malam macam ni?” Leeya terasa pelik. Matanya masih lagi merayau ke arah luar restoran kalau-kalau dapat lihat Fez di mana-mana.

“Dia tanya fasal kursus elektif yang sesuai untuk semester ni,” terang Amy. “Akak ajar kelas tutorial dia semester lepas.”

“Lelaki ke perempuan?” tanya Leeya, ingin tahu. Amy mula perasan yang Leeya mahu mengenakannya lagi. Topik perempuan tua dengan lelaki muda masih belum tamat nampaknya.

“Lelaki,” jawab Amy. Dia sudah lihat memek muka Leeya yang mula berubah. Tersengih seperti mahu berkata sesuatu yang sinis. “Salah ke kalau dia setakat nak advice dari akak?”

Leeya mula ketawa. “Tak salah akak... Tapi kalau sampai time-time macam ni... he he he,” Leeya terus ketawa. “Dia minat kat akak tu.”

Amy masam. Dia malas hendak melayan telahan rambang budak-budak “bawah umur” seperti Leeya. Mudah sangat untuk buat kesimpulan sebegitu rupa. Lagipun, pelajar-pelajarnya hampir 10 tahun muda daripadanya dan dia sudah rasa mereka itu seperti adiknya sendiri.


Kalau orang sekadar mahu bertanya, tidak perlulah bersangka sebegitu rupa. Amy yakin akan hal itu. Namun dia belum tahu yang keyakinannya itu akan diuji.

No comments:

Post a Comment