Tuesday 18 November 2014

Lukis di Langit Kita (Bab 1) ~ Hananee Amir

Mengenali ‘dia’, sesuatu yang tak pernah terlintas difikiran. Atau mungkin, mengetahui nama saja lebih dari memadai dan mencukupi. Mengenali dia walau dia hanya jiran depan mata tak sampai sepelaung jaraknya bagaikan mustahil sama sekali. Itu hanya sebut tentang “mengenali”. Belum lagi “memesrai”! Ada ke perkataan memesrai? Kalau ada pun perkataan tu, impactnya memang jauh sekali untuk yang namanya Umairah dan Ikram! Tak tahu di mana yang tak kena.
Tak tahu kenapa begitu sekali jadi susahnya sedangkan kalau tengok dari sudut luaran memang tak ada apa-apa yang nak dijadikan masalah pun. Itu luaran. Orang kata, yang dilihat tu tak semestinya sama dengan yang tak terpandang dek mata.
“Jiran sepakat membawa berkat.” Kata Saiful suatu petang di café. Ketika dia nampak kelibat gadis itu melalui perkarangan café dan Ikram hanya memandang dengan ekor mata dengan wajah tanpa riak dan rasa. Gadis itulah namanya Umairah. Dia tahu hubungan dingin Ikram dan Umairah. Cuma dingin tak dingin, dia tak tahu apa sebabnya. Yang pasti Umairah dan Ikram memang tak pernah mesra walaupun duduk berjiran sejak sekian lama. Tak tahu kalau ada “kes jenayah lampau” antara mereka berdua.
Tapi rasanya tidak. Nak kata Ikram suka mengacau dan menganggu gugat Umairah pun rasanya tidak. Ikram bukan macam tu orangnya. Nak suruh bercakap dengan perempuan pun payah. Pemalunya lebih pemalu dari anak gadis sunti yang menunggu dipinang. Dari mana dia dapat kekuatan nak mengacau perempuan apatah lagi perempuan tu, Umairah yang mendakwa dia ada talipinggang hitam taewando? Belum dikira yang Umairah pernah wakil negeri untuk SIlamban dan judo? Bukan main congkak atau dam haji! Itu akan jadi perkara terakhir untuk Saiful percaya, itu pun kalau ada yang memaksa dia untuk percaya!
Kalau nak kata Umairah yang jadi penyebab pun rasanya tidak. Umairah tu bukan kisah pun pasal orang. Tapi setiap kali Saiful datang rumah Ikram, Umairah akan menyapanya dengan baik. Paling tidak, melempar senyum. Tapi tidak dengan Ikram. Entah apa yang tak kena. Sampai sekarang dia masih tak faham. Berjuta kali dia dah tanya pada Ikram, Ikram tak pernah jawab dengan jawapan meyakinkan. Dan soalan itu akan kekal sebagai soalan tanpa jawapan. Misteri.
“Hmmm.” Ikram cuma balas begitu sambil tangan kiri ligat memutar turn table cake dan tangan kanan memegang spatula meratakan krim cheese ke atas red velvet tempahan pelanggan. Gaya seniman sungguh. Seniman lah sangat. Seniman ni tak kaya, tapi ada sesuatu yang wajar dicontohi darinya. Dia bukan sebarang seniman kosong jalanan.
“Dengar tak?” Ulang Saiful sekali lagi. Dia angkat muka pandang Saiful. Kosong. Seolahnya soalan dan hujah Saiful tadi tak memberi kesan apa-apa selain merenjat ‘kerja seni’ yang sedang dia lakukan itu.
Senyum tersungging dibibirnya melihat kek sudah sempurna disapu krim cheese putih. Semangkuk kecil lebihan red velvet cake yang sudah diramas ditabur ke atas kek sebagai hiasan. Nozel bunga dari dalam laci dicapai. Lebihan krim cheese warna putih tadi dimasukkan ke dalam piping bag lalu tangannya ligat melarik corak bunga. Siap. Dia terangguk-angguk melihat kek hasil seninya tadi. Senyum. Puas hati dengan kek sendiri. Kagum sendiri. Ah! nak tunggu orang kagum, memang tak lah gamaknya. Jadi, elok rasanya dia jadi kagum sendiri. Boleh gitu?
“Kau nak aku jawab macam mana? Ada banyak lagi perkara lebih penting dari aku dengan dia. Tak ada apa-apa kesan pun kan? Selama ni aku dengan dia memang tak baik pun. Hidup jalan macam biasa je. Orang lain pun hidup macam biasa je. Nak kecoh apa sangat. Cuba hidup tu jangan buang masa dengan benda-benda yang tak berfaedah dan tak membina tamadun bangsa. Kalau ye pun aku dengan dia tak patut bermasam muka, dah itu yang dia nak. Kau nak suruh aku buat apa?” Dia jawab siap dengan teori tamadun bangsa lagi. Amboi! Cerita pasal seorang perempuan, kek dan café yang tak tahu hujung pangkal ni, siap masuk tamadun bangsa? Sungguh ketiga-tiga ‘item’ tadi ada sumbangan pada tamadun bangsa? Huh!
Café lengang. Macam biasa untuk yang dah biasa dengan ‘suasana’ café ni. Hanya ada Saiful yang kalau boleh dikira pun statusnya, bukan pelanggan. Dia akan datang dan makan sepotong kek. Bersama secawan kopi panas samaada hazelnut coffee atau sekadar black coffee. Dia akan makan sepotong kek bersama secawan kopi setiap kali dia datang. Tak kira kalau dia datang 3 kali pun. Maknanya dia akan makan 3 potong kek dan 3 cawan kopi panas. Juga tanpa mengira apa rasa kek yang Ikram sediakan. Sedap tak sedap tak pernah keluar dari bibirnya walaupun dia dalam kategori “cerewet makan”.
Dia pernah komplen asam pedas kat salah satu gerai asam pedas sekitar Gombak dulu,  kerana kuahnya sangat cair dan warnanya macam kari. Dia bayar tapi tak makan pun. Dia pernah komplen roti canai keras kat Ulu Kinta, yang dia dakwa macam ‘kain lap basah’ kat satu kedai mamak, dia bayar dan tak makan jugak. Mamak tu pulang balik duit kat dia. Terus dia tak pernah singgah makan lagi kat kedai mamak tu walaupun dia berkali-kali puji anak mamak tu cantik macam Ashwarya Rai masa muda remaja.
Paling tak boleh lupa, dia beli jagung kat pakcik yang jual jagung naik motor tu. Dikatanya jagung tu rasa jagung yang bagi makan ayam. Pernah makan jagung ayam gamaknya? Yang ni dia tak pulangkan jagung tu. Sebab dia kesian dengan pakcik tua yang tolak motor tua tak kira tengah hujan atau panas terik mentari. Jagung tu dia bagi Ikram habiskan. Terpaksalah Ikram makan ‘jagung ayam’!
Dia ni memang kaki komplen tegar pasal makanan. Pasal lain-lain tak apa lagi. Tapi tak pernah kompen pasal kek Ikram padahal satu dunia komplen kek Ikram. Melampau sangat satu dunia. Kek Ikram ni setakat satu KL pun orang tak perasan. Nampak sangat “pilih bulu”. Tapi dia ni suka komplen pasal makan je. Makan yang perlu dia bayar. Kalau makan free dia tak pernah komplen.
Ada sekali tu Ikram masak kari ayam. Timbul santan-santannya entah atas sebab apa. KIranya kategori kari IKaram tu ‘rupa tiada, rasa apatah lagi’. Panjang kategori kari Ikram tu. Beria Saiful makan dengan kaya macam beriani kat restoran makanan arab. Riak muka dia memang nampak sedang menikmati makanan yang enak dan sedap.
Rujuk resipi blog ternama katanya. Itu yang jadi ‘rupa tiada, rasa apatah lagi’. Itupun Saiful makan sanpah bertambah dua tiga pinggan. Ikram siap ulang tanya dua tiga kali, sedap ke kari dia? Tak gamak nak cakap tak sedap. Tapi kalau kira jumlah pinggan yang Saiful makan pulak, macam tak percaya kari tu tak sedap. Agaknya Saiful rasa guna kaki kot. Bukan guna lidah.
Tu belum kira Ikram masak ikan bakar yang dah tukar rupa ikan rentung. Dah rupa Ikan Bakar Afrika dah! Saiful makan tanpa banyak cerita. Sebab konsepnya berbeza. Free katanya! Tak memasal ikan bakar tu dapat nama ikan bakar niger. Rasis tahu tak. Apartheid!
            “Betullah tu.” Siap sudah dia mendeko kek. Kotak kek warna merah jambu dari atas kabinet dicapai. Pantas Ikram melipatnya menjadi segi empat sebelum kek tadi dimasukkan kedalamnya. Laci paling bawah ditarik. Pisau plastik warna putih di ambil dengan tangan kiri. Tangan kanan pula mencapai selotip disudut kiri meja. Pisau tadi dilekat di atas kotak. Pantas dia menyusun pergerakan tangan kanan dan kirinya. Mujur ada dua tangan je. Kalau ada tangan banyak macam sotong, lagi banyak kerja dia boleh buat dalam satu masa gamaknya. Selesai semua tu, hujung kotak diselotip supaya kotak tak terbuka.  Stiker bertulis “White Blossom Café” dilekatkan di sudut hadapan kotak.
            “Yang mana betul?” Saiful menyoal lagi.
            “Jiran sepakat membawa berkat.” Dia tergelak kecil. Kotak dimasukkan ke dalam peti sejuk. Pelanggan yang menempahnya sudah boleh mengambilnya bila-bila masa. Dalam sebulan, cuma sekali dua dia mendapat tempahan. Itu pun dia bersyukur. Jangan jadi kufur nikmat. Bersyukur, Allah akan tambah nikmat tu nanti. Kalau tak bersyukur, ingat, balasan Allah sangat pedih! Tetiba mode Imam Muda datang. Hehehe.
            “Aku cakap pasal jiran kau tu.” Saiful menekan suara. Dia bangun membawa piring yang dah kosong dengan cawan yang dah kosong tu ke sinki. Selamba masuk dapur café macam café tu dia yang punya. Alah! Bukan siapa punya pun. Ikram. Ikram tu kan kawan baik dia. Dan macam adik beradik dah. Setakat angkat cawan piring masuk dapur apa sangat. Lebih dari tu dia penah buat.
Sebab tu, Saiful ni bukan kategori “pelanggan biasa” walaupun dia akan membayar harga setiap potong kek yang dia makan dan setiap cawan kopi yang dia minum macam ‘pelanggan biasa’. Tapi setakat bawak piring cawan ke dapur jelah. Jangan harap dia nakcuci. Yang tu dia tak pernah buat. Kat rumah pun tak pernah buat, lagilah jangan harap dia nak buat kat tempat lain. Memang tak. Bukan dia nak ebrkira. Memang dia tak pernah buat.
            “Umairah nama dia.” Kalau nak ikut hati, dia memang malas nak bercakap tentang Umairah. Atau tentang apa saja. Terutama seminggu dua ni sejak Abang Azril mula bercakap nak jual café, tempat dia cari makan tu. Yang bukan kali pertama dia cakap pun. Dah berkali-kali dah sampai Ikram dah naik jemu dengar skrip sama. Tapi dia memang cukup terganggu setiap kali isu sama diulang-ulang.
Cuma kali ni Abang Azril nampak nekad. Abang Huzir kata dah ada pembeli. Dia membantah keras, tapi kalau Abang Azril dan Abang Huzir dah sepakat. Apa dayanya menolak. Abang Azril dan Abang Huzir ada hak atas café tu. Harta peninggalan arwah ibu dan ayahnya. Dia bertahan kat café tu pun sekadar termampu. Kalau abang-abangnya masih nak jual, terpaksalah dia undur diri. Abang-abangnya pun ada hak ke atas café tu. Tak ada dalam wasiat arwah mak dan ayahnya yang mengatakan dia akan mewarisi café tu. Jadi dia tak ada pilihan. Bertahan sekadar termampu disamping ahri-hari berdoa supaya tak ada orang berminat nak beli café tua ni dan Azril serta Huzir lupakan niat dia nak jual café. Itu je usaha yang dia mampu.
            Kalau café tak ada, separuh nyawanya akan hilang. Apa lagi dia nak buat? Sejak tamat sekolah, café ini sajalah dunianya. Café ini sajalah pekerjaannya walaupun orang sekeliling termasuk abang-abangnya berkata macam-macam.
Tambah lagi, ini sajalah tempat dia menghilang rindu pada arwah ibu dan bapanya sejak sekian lama. Ini saja yang tinggal buat “kenangan mengusik jiwa” kalaupun ada. Ini saja tempat yang seolah faham gelodak jiwanya kalaupun ada. Dia menangis disini. Ketawa disini. Disindir juga disini. Semuanya disini dan dia seolah-olah sudah sebati. Dan seperti biasa, memang taka da orang yang faham. Saiful barangkali turut sama tak faham. Cuma Saiful tak pernah mempersoal, tak pernah mempertikai. Itu saja sebab dia jadi begitu selesa dengan Saiful setiap kali bercerita tentang café dan impiannya. Itupun kalau ada.
            “Oh! Tahu?” Nada Saiful separuh menyindir. Senyum sinis terukir dibibir sambil mata ditala pada akhbar ditangan. Ikram menoleh dengan pandangan tak puas hati.
            “Tahu apa? Nama dia Umairah? Dia kan pernah satu sekolah dengan kita. Nak pelik apa aku tahu nama dia. Lagipun dia dah berpuluh tahun jadi jiran aku tu.” Selesai mencuci piring dan cawan dalam sinki, dia ke meja Saiful. Meja yang Saiful akan duduk setiap kali dia singgah café. Meja paling tepi disudut dinding kaca. Senang nampak luar. Senang nak bagi ulasan tak kira siapa pun yang lalu lalang atau dalam bahasa mudahnya mengumpat. Buat dosa kering je.
            Nama dia Umairah. Jiran sebelah rumah. Orangnya kurus tinggi. Kulitnya putih bersih. Kadang-kala dia berkacamata. Tapi lebih kerap dia dengan kontek lens pelbagai warna. Warna hazel, coklat muda atau kadang-kala biru. Nampak cantik sementelah dia memang cantik. Dia gemar berpashmina. Wajah arabnya akan terserlah biar dia asalnya melayu tulen. Arwah ayahnya orang Sabak Bernam. Ibunya atau lebih mesra dipanggil Ummi itu anak jati Kuala Lumpur. Bekas pengetua sekolah.
Dia hanya tinggal berdua dengan ummi.  Umairah ada dua abang. Fadhil dan Naim. Dua-dua dah berkahwin. Dulu dia ada seorang kakak. Meninggal dua kira-kira 6 tahun lalu. Kemalangan di tempat kerja. Kematian yang penuh tragik. Kakaknya dihempap batu yang terlepas dari ikatan tren. Kepalanya hampir berkecai. Itu cerita beberapa tahun dulu. Itu cerita tentang Ikram. Itu cerita tentang sebahagian Umairah. Itu cerita tentang sebahagian “Saiful”. Dan itu cerita tentang sebahagian “White Blossom Cafe”. Yang juga dikenali sebagai ‘Café Tua’, ‘Café Hujan’, ‘Café Menanti Rebah’


Dia tak tahu kenapa dia jadi tak suka. Dan dia juga tak tahu kalau dia ada sebab untuk suka. Pada lelaki tu. Ikram. Konsepnya, dia hanya anak jiran. Isiannya? Dia tak suka tak kira atas sebab apa. Apa saja yang dilakukan Ikram akan sentiasa nampak menjengkelkan.
“Kenapa adik buat muka macam tu? Tak baik tau.” Tegur ummi ketika Umairah baru balik dari kelas. Kasut hitam  dimuat ke dalam rak kasut. Tak sangka ummi nampak gelagat dia menarik muka pada Ikram yang sedang menyiram pokok-pokok bunganya di laman. Kadang-kadang ummi memanggilnya adik. Kadang-kadang Mairah. Ikut suka ummi. Tapi selalunya memang dia dipanggil Mairah saja. Jarang-jarang dipanggil adik.
“Buat apa?” Dia pura-pura tak tahu. Buku-buku yang tadi didakap, diletakkan atas meja tv. Beg sandang hitam dicampak ke sofa. Stokin ditanggal sebelum tangannya segera mencapai remote TV. Penat. Kelas penuh dari pagi sampai petang. Harap-harap tadi kelas Prof Yunus tu cancel sebab dia demam katanya. Tapi jiwa tegar betul orang tua tu. Tepat-tepat pukul 4 dah tercongok kat dewan kuliah. Punah harapan. Hasrat nak minum-minum cendol dengan Najwan lepas habis kelas berkecai macam tu je. Sebab pukul 5 sampai pukul 7, Najwan ada kelas lain pulak untuk projek akhir tahunnya. Jadi nak tak nak, dia balik hampa. Esok awal-awal pagi sebelum mula kelas, mungkin boleh sarapan bersama. Rancangannya begitu.
“Dia tu kan jiran kita. Apa salahnya senyum. Tegur. Budi bahasa amalan kita.” Ummi menggeleng kepala. Sempat dia buat iklan macam kat dalam tv. Dia duduk di sofa berhadapan Umairah. Bukan pertama kali ummi membebel hal yang sama. Dan bukan pertama kali juga Umairah memberi reaksi yang sama. Perang Umairah-Ikram ibarat Israel-Palestin. Tak pernah nampak penghujung. Cuma bezanya belum ada yang terbunuh.
“Tegur apa? Tanya dia tengah siram bunga ke? Macam melayu selalu buat? Kan dia memang tengah siram bunga.” Jawabnya malas-malas. Haish! Dia yang gaduh dengan Ikram, tak sebulu dengan Ikram, melayu keseluruhannya jadi musuh? Melayu keseluruhannya jadi salah? Melayu tu kan terkenal dengan budi bahasanya yang indah?
“Paling tak pun, senyum. Bukan susah pun kan. Dia jiran. Esok lusa kalau susah. Dia juga kita minta tolong. Tak baik buat macam tu.” Kali ini Umairah tak menjawab. Remote diletak diatas meja. Tak ada cerita menarik kat TV. Sebelum ummi terus mengeluar ‘fatwa’ memuji-muji Ikram, dia ke dapur. Mengambil minuman sejuk dari dalam peti ais. Ada mangga muda yang dah siap dikupas. Petis dari atas kabinet dicapai. Mangga muda dengan petis memang gabungan makanan terbaik dalam dunia, nak-nak lagi masa hati tengah ‘panas’ ni.
“Abang Fadhil jadi ke balik minggu ni?” Sengaja dia tukar topik. Dia dah duduk dimeja makan dengan sepinggan mangga muda dan petis tadi. 
Dia malas nak cakap tentang lelaki tu. Lelaki tu namanya Ikram. Anak bongsu 3 beradik dari rumah jiran. Dia rasa menjengkelkan. Padahal kalau dengan Abang Huzir dan Abang Azril, Umairah ok saja. Kalau Abang Huzir yang sedang menyiram pokok tu, pasti Umairah akan tegur. Kalau Abang Azril yang sedang cuci kereta, pasti Umairah akan tegur.
Kalau ummi suruh hantar juadah ke rumah sebelah, dia akan tengok siapa yang ambil. Kalau Abang Huzir atau Abang Azril. Senyumnya akan meleret-leret. Bercerita tentang juadah yang ummi kirimkan. Kalau yang ambilnya Ikram, dia akan letakkan juadah tu atas meja batu kat laman. Terus dia tinggalkan. Kadang-kadang dia cakap juga sepatah dua. Tapi ayatnya sama saja.
“Ummi bagi.” Lebih dari tu memang tak pernah.
“Kenapa kau benci sangat dengan dia?” Soal Raihana satu ketika di kampus ketika dia buat muka bengang bercerita tentang Ikram yang dia nampak sebelum keluar dari perkarangan rumah. Dah namanya berjiran, haruslah selalu nampak kan? Raihana dah beberapa kali terserempak dengan Ikram. Pernah sekali dulu, skuter dia habis minyak waktu nak ke rumah Umairah. Ikram yang tolong belikan minyak. Raihana tak cerita tentang tu pada Umairah. Takut nanti Umairah jadi tambah marah. Ikram pulak  kenal Raihana tu sebagai ‘kawan Umairah’. Diorang ni memang saling memerhati ke macam mana?
“Mana ada aku benci? Aku tak suka je.” Ada beza?
“Memang ada beza benci dengan tak suka?” Pandangan Raihana dan Umairah bertemu. Sofina tergelak kecil lalu menyambung.
“Jangan benci sangat. Nanti jadi suka. Macam selalu kat cerita melayu tu. Kat dalam novel pun selalu macam tu.” Sengaja Sofina nak bakar line. Dia ni kan memang ratu drama melayu.
“Kau ni mudah terpengaruh lah Sofi. Tu dalam tv. Ni realiti.” Tamparan kecil mengenai bahu kanannya. Hampir terpelanting aiskrim coklat ditangan.
“Yang dalam tv tu dibuat selalunya inspirasi dari realiti lah.” Dia mempertahan hujah sambil mengelap bibirnya yang comot dengan aiskrim coklat tadi.
“Bukan yang kat luar ni buat sebab terpengaruh dengan yang dalam tv?” Balas Raihana pulak.
“Saling mempengaruhi!” Tawa kecilnya meletus.
“Tu orang tua-tua pesan. Dah banyak jadi dah.” Mulalah dia membebel macam mak nenek.
“Najwan nak letak mana?” Dia soal balik. Najwan tu boyfriend Umairah sejak tahun satu kat universiti lagi. Kenal sejak matrikulasi lagi. Handsome. Handsome gilalah kata orang-orang muda sekarang. Dulu dia part time model. Tapi sejak Umairah nak berparang dengan Qalisha, model dari Iran tu semata-mata sebab Qalisha letak tangan atas bahu Najwan waktu fotoshoot, terus Najwan pencen awal. Takut ada yang mati. Cemburu Umairah ni memang tak boleh nak jangka. Kalau Qalisha yang badan tinggi dan tegap berganda dari dia pun dia berani serang, memang Najwan patut ambil langkah berhati-hati. Dia jadi model dulu pun saja-saja nak isi masa lapang. Cari duit lebih sikit-sikit yang mungkin tak merubah ‘warna poketnya’ tapi masih boleh dikira sebagai duit.
Najwan ni baik orangnya. Berbudi bahasa, sopan santun segala macam lah. Kira tak rugilah dengan muka handsome dia tadi tu. Kalau dia ni handsome gila, bapak dia pulak kaya gila. Mak dia cantik gila. Orang Bosnia katanya. Memang keturunan dia ni semua gila-gila. Sebab tu Umairah gila kat dia. Nasiblah tak bertepuk sebelah tangan. Najwan pulak sayang gila kat Umairah. Sanggup lakukan apa saja untuk Umairah. Ha! Sekarang dah nampak? Klise gila!

Itu kisah tentang Ikram, Najwan, Umairah dan semua KEGILAAN yang akan ditemui sepanjang cerita ni.

No comments:

Post a Comment