Friday 19 September 2014

Yang Arif Yang Wangi (Bab 3) ~ Fizziany

MALAM TIBA jua. Restoran Rumbia. Here I come! Arif menarik nafas panjang-panjang. Restoran itu agak sarat dengan pengunjung. Gazebo yang dibina dari buluh dan atap rumbia menjadi tempat duduk bagi menikmati hidangan. Nun di tepi restoran yang menghadap arah pantai, suasana  tempat makan yang terbuka sedang dikerumuni orang. Asap menjulang ke udara dalam kesamaran malam yang cuma diterangi lampu gasolin. Lampu warna warni sarat menghiasi tiap ruang makan.
Restoran tepi pantai yang strategik! Not bad! Arif menyeluk kocek seluar bermudanya lalu melangkah masuk ke restoran. Kakinya dihala menuju ke arah sudut barbeku yang sedang berlangsung di tepi restoran.
Papp!!!  “Haa..datang pun. Ingat tak datang tadi,” bahunya ditepuk tiba-tiba dari belakang. Pantas Arif senyum.
“Datang…lambat sikit,” balas Arif.
“Haa..makan. Kira kemudian….Pinggan kat sana,” ramah pula Pak Mat melayan Arif. Arif terangguk-angguk. Naik segan pula dia dengan keramahan pemilik restoran itu. Setelah Arif mengambil pinggan dan menghampiri meja barbeku, barulah Pak Mat menghilang di sebalik pelanggannya yang lain.
Arif meneliti makanan yang terdapat di pemanggang. Ada udang, sotong, ketam, daging, ikan yang terdiri dari pelbagai variasi. Kalau disuruh dia menamakan setiap jenis makanan laut di situ, sahih bin benar dia akan mendapat markah 0 per seratus! Makanan di capai saja.
Sebaik mengambil makanan, Arif duduk di bawah gazebo yang agak kecil saiznya berbanding gazebo lain. Angin laut malam kuat menampar pipinya yang bogel. Sesekali Arif menjeling kearah orang ramai di sekelilingnya. Semuanya berpasangan. Semuanya berkawan. Berteman. Tapi aku? Arif memandang t-shirtnya sendiri. Di toleh ke kiri kanan bangku sebelahnya. Kosong!

Hmm…makanan disuap ke dalam mulut jua. Rasa menyesal pula tak ajak Kunal datang bercuti sama-sama. Kunal…pembantu peribadinya di pejabat, merangkap kawan baiknya sejak 4 tahun yang lalu. Masih teringat, Kunallah yang banyak membantunya sewaktu dia mula-mula bekerja. Jika tidak ada Kunal, pasti dia kekok dan tidak dapat mengemudi kerjanya dengan baik. Tapi, kalau diajak Kunal menemaninya, siapa pula yang akan menggantikannya membuat kerja pejabat?
Itulah…orang suruh kahwin tak nak! Ayat wajib mama segera terdengar di cuping telinga. Kalau dah kahwin, senang! Pergi mana pun, ada orang ikut! Pergi mana pun ada orang temankan! Dan, kata-kata  mama itu akan segera dibalas olehnya.
“Arif tak perlukan teman ma. Setakat ni, Arif suka jadi lone ranger! Pergi mana-mana pun sorang, tak payah tunggu perempuan bermekap, berdandan atau tak payah risaukan apa-apa…Arif free and I want to stay that way for the time being!”
Haa..apalagi, mencurut muka mamanya mendengar kata-katanya.
Arif sengih sendirian sambil mengunyah sotong bakar di dalam mulutnya. Enaknya!!Lain sungguh rasanya dengan sotong kat Kuala Lumpur. Sotong disumbat lagi ke dalam mulut. Entahlah, mungkin kerana dia anak tunggal di dalam keluarganya, dia sudah terbiasa dari kecil hidup seorang diri.
Memori zaman kecil segera menerpa ruang ingatan. Masih teringat dahulu, sewaktu ibu bapanya sibuk ke hulu ke hilir bekerja di luar, dia ditinggalkan bersama pembantu rumahnya Mak Esah dan tukang kebunnya, Pak Kadir. Tapi, meskipun ditinggalkan begitu, dia kurang bercakap dengan keduanya kecuali bila dia lapar. Di dalam bilik tidurnya, sebut saja apa yang tak ada.
Set permainan 3D, home teater, studio muzik, play station, malah meja snooker pun ada! Semua itu sudah tersedia sejak umurnya 7 tahun lagi. Jadi, separuh dari hidupnya selain dihabiskan di sekolah, adalah dihabiskan di dalam bilik tidurnya. Jika hari cuti, alamatnya seharianlah dia akan berada di dalam biliknya menghabiskan masanya dengan melayan media hiburan seperti itu. Tapi bila perutnya berkeroncong, barulah dia merangkak keluar dari bilik mencari makanan.

No comments:

Post a Comment