KERETA MYVI PUTIH yang dipandu Mak
Su Hasanah sudah mula memasuki perkarangan rumah kayu di tepi sawah itu.
Deretan pokok bunga kertas yang berwarna warni itu mencantikkan lagi
perkarangan. Haji Ezudin tersenyum mekar kerana akhirnya berjaya menjejakkan
kaki ke rumah usang itu.
Kelihatan orang kampung mula berdiri
menyambut ketibaan haji baru di kampung mereka. Tak sabar untuk mengucapkan
tahniah. Bangga dengan anak jati itu.
Sebaik saja Haji Ezudin keluar dari kereta
mereka terus mendekati. Mereka mengucapkan tahniah dan syukur kepada Allah
kerana seorang lagi wakil kampung telah berjaya menjejakkan kaki ke Mekah dan
menjadi tetamu Allah.
Ada yang tumpang gembira. Ada pula
yang datang mengucapkah takziah atas pemergian isteri tersayang ketika
menunaikan haji. Kehilangan Mak Cik Wan Rohana amat dirasai. Arwah seorang yang
baik hati, peramah dan sentiasa taat perintah agama itu sering kali
diperkatakan ramai.
“Syukurlah Pak Haji selamat pergi
dan sampai.” Ucap Pak Nik Din sambil bersalam. Dia terus memeluk Haji Ezudin.
“Alhamdulillah. Tidak ada apa
halangan sepanjang berada di sana.” Haji Ezudin merendah diri. Dia menjawab
pertanyaan itu walaupun masih penat
dengan senyuman yang tak putus-putus. Bangga dengan sambutan orang
kampung. Semua datang bersalam kepadanya.
Ustaz Iman datang memeluknya. Marsha
dan Arai melompat-lompat kegembiraan. “Datuk sudah pulang. Datuk sudah pulang!”
Haji Ezudin betul-betul terhibur.
Semua orang gembira. Semua orang mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Seketika kemudian, Haji Ezudin
mendapat pujian daripada Pak Cik Yusof yang juga teman di surau. Rindu benar
dia kawannya itu. Geng kaki surau katakan.
“Jika diizinkan oleh Allah, saya pun
nak jadi macam Pak Haji juga.”
“Insya Allah. Doa banyak-banyak. Ada
rezeki Tabung Haji akan panggil le nanti. Sama-sama kita doakan.” Haji Ezudin
merendah diri. Semoga hajat kawan-kawan untuk menunai haji akan tercapai satu
hari nanti. Niat yang baik akan dipermudahkan Allah. Sama-sama berdoa.
“Saya pun kalau boleh nak jadi juga.
Yalah siapa yang tak nak pergi Mekah?” Abang Khairi anak kepada Pak Cik Yusof
yang berbaju Melayu hijau itu tersenyum. Dia kagum dengan Haji Ezudin yang
berjubah. Berseri-seri saja wajahnya. Diperhatikan juga kearah kedut-kedut tua
yang ada. Alangkah beruntungnya Haji Ezudin dapat menunaikan rukun Islam dalam
keadaan sihat.
“Insya Allah. Doa banyak-banyak.
Akan tiba masanya kita umat Islam yang berkemampuan dan berhajat ini akan
dipanggil juga.” Balas Haji Ezudin sambil terus melayan tetamu yang hadir.
Petang itu juga, Haji Ezudin juga
menerima ucapan tahniah dan pertanyaan bertalu-talu tentang perubahan yang
berlaku ke atas Nur Aishah. Apa tidaknya, anaknya itu satu-satu yang mengambil
keputusan untuk berpurdah dan tinggal di pondok. Makin gempak menjadi buah
mulut orang ramai.
Di saat anak muda lain sibuk dengan
aktiviti tidak bermoral di kampung, Nur Aishah telah diperkata ramai dan ramai
memuji perubahan itu. Cantiknya berpurdah dan berjubah. Sesuai dengan akhlak
yang ditonjolkan. Sesuai dengan status anak kepada seorang haji dan imam Kampung
Marak Banggu.
“Anak saya masih lagi baru. Sebagai
mana saya, yang baru saja menjadi tetamu Allah. Insya Allah lepas ni, kami
sama-sama akan mendalami ilmu agama.” Jawab Haji Ezudin ringkas sebagai
menjawab pertanyaan tetamu.
“Nampaknya tak lama lagi kita dapat
makan gulai kawah pula le.” Mak Cik Raihan tetiba muncul sambil memuji. Dia
tersengih sambil memandang kearah Nur
Aishah yang masih lagi duduk berkepit bersama Mak Su Hasanah melayan pertanyaan
tetamu.
Jiran-jiran di kampung memang datang
memuji dan mengagumi. Bahkan ada juga yang mengusik manja supaya membuka purdah
kerana ingin melihat wajahnya. Nur Aishah hanya tergelak kecil. Pandai pula
orang kampung bergurau.
Nur Aishah akui, hari itu
seolah-olah meraikan dia dan ayah pergi ke Mekah. Buat pertama kali orang
kampung melihatnya secara dekat. Ada yang menyentuh purdahnya. Ada yang memuji
jubahnya. Pendek kata apa yang dipakai hari itu menjadi buah mulut orang ramai.
Namun, pujian itu tidak membuatkan
dia meninggi diri. Dia masih merendah diri dan seperti yang dulu lagi.
Perubahan itu hanya kerana Allah. Dia ingin mencari yang lebih baik dalam hidup
ini. Itu kata Nur Aishah setiap kali soalan itu masuk ke cuping telinga. Setiap
manusia ada baik dan buruknya.
“Bila niat kita baik, perlahan-lahan, Allah pasti tolong. Alhamdulillah, Echa dah pakai niqab.
Semoga istiqamah. Begitulah
rahmatNya.”
“Betul tu Echa. Kamu orang yang
telah dibukakan pintu hati. Semoga semua
Hawa dibukakan pintu hati untuk tutup aurat dengan sempurna. Muda-muda lagi dah berpurdah. Cantik sangat. Berkenan
mak cik nak buat menantu.” Mak Cik
Raihan sekali lagi membuat lawak dalam pujian. Dia tersenyum. Kemudian
tersengih bagaikan kerang busuk.
“Redha Allah yang saya cari mak
cik,” jawab Nur Aishah perlahan tetapi ringkas. Dia tersenyum. Biar bersederhana,
husnuzon dan tawadhu' serta istiqamah.
InsyaAllah segalanya tenang dan selamat.
Mak Cik Raihan dan beberapa lagi
mengangguk. Jawapan itu bersahaja dan merendah diri. Dia tahu, Nur Aishah
seorang gadis yang lemah lembut dan pemalu. Dari kecil lagi.
Apapun pujian itu adalah motivasi.
Dia harus jaga hati dari bisikan syaitan. Sebab dia masih lagi baru melakukan
penghijrahan itu. Dugaan ke arah kebaikan seringkali diekori dengan bisikan
syaitan yang serba sedikit akan timbulkan rasa riak tanpa sedar.
“Betul le. Mak Cik tengok kamu begitu sempurna. Cantik.” Mak Cik Raihan
tetap dengan pujian menggunung.
“Echa masih seperti dulu, mak cik. Tak perlu lebih-lebih memuji. Yang
penting saya harus istikhamah. Istiqamah itu yang akan mengekalkan apa
yang kita ada. Biar tak lebih, dan
jangan pula berkurang. Kita umat wasatho.”
“Jujur mak cik kagum dengan
kata-kata kamu.” Sekali lagi Mak Cik Raihan memuji. Dia memandang Nur Aishah
yang sangat sempurna di matanya. Sesekali kata-katanya itu diselitkan perkataan
arab. Sesekali hadis.
Di tangannya pun tetap dengan
tasbih. Muda-muda lagi dah mengambil keputusan itu. Di saat anak-anak muda
kampung tak tahu hukum menutup aurat. Menjadi jahil tanpa pegangan agama yang
kukuh.
“ InsyaAllah mak cik doakan untuk kamu supaya dipelihara Allah dalam
menjadi mujaheedah yang cemerlang
dunia akhirat.”
“Amin…” Nur Aishah menjawab sepatah
kata. Sebagai memuji doa Mak Cik Raihan dan orang kampung yang masih lagi
mengangguk-angguk. Mata terus terarah kepadanya. Tanpa berkelip. Bagai seorang
artis dirasakan. Subhanallah.
“Amin, mak cik pun nak puji juga.” Tiba-tiba Mak Cik Roha
pula muncul. Dia bersalam dengan Nur Aishah. Memeluk dan mencium.
“Tertutup itu indah, dan yang sudah
tertutup itu tidak perlu dipamerkan.” Puji Mak Cik Roha menyambung kata.
Nur Aishah bangga. Dia
mengangguk-angguk. Alhamdulillah
kerana masih ada lagi yang memuji di saat ada yang membencinya. Cukup susah
untuk memahamkan orang yang tak memahami. Biarlah. Moga Allah mudahkan jalan
untuk bertemu cintaNya. Mujahadah itu
pahit kerana syurga itu manis.
“Echa, Abang Khairi kau tu masih lagi solo. Mak cik pun dah tak sabar ni.” Tetiba Mak Cik Roha berbisik ke telinga. Sekadar mengusik.
Nur Aishah diam. Dia tersenyum. Mak
Cik Roha pandai bergurau rupanya. Dia memandang kearah Abang Khairi yang sedang
bersama ayahnya. Panjang betul mereka berborak.
“Betul, masih lagi solo. Ada
peluang?” Mak Cik Roha mengangkat kening. Tangannya menunjukkan isyarat bagus.
Gedik tuanya pula datang.
Nur Aishah tersenyum. Matanya
mengecil.
“Jangan
tunggu lama-lama nanti diambil orang…” Mak Cik Roha menyanyi kecil di
telinga Nur Aishah.
Nur Aishah menahan gelak.
“Roha, kau jangan nak berbisik pula.
Apa ingat aku tak dengar apa yang kau
katakan tu? Jangan nak pasang niat yang bukan-bukan.” Mak
Cik Raihan muncul menunjukkan isyarat tangan.
“Kamu ni Raihan. Apa pula yang
bukan-bukan?” Mak Cik Roha menepis.
Nur Aishah macam hendak tergelak
bila dua mak cik di depannya mula berceloteh gembira.
“Kalau kau nak pasang angan ramai lagi yang cuba pasang angan tau. Tapi aku pasti Echa ni memilih. Kalau pakai purdah lepas tu pakai sarung tangan nanti mana boleh pegang-pegang kekasih. Nak
tunjuk muka dekat pakwe pun tak boleh tau.”
Nur Aishah lagi tergelak. Mak cik-
mak cik di depannya itu menentukan jodohnya.
“Kau ni, kalau dah sah orang
pinang dia terus tunjuk sajalah. Tak
begitu Echa?” Mak Cik Roha inginkan kepastian. Membantah kata-kata Mak Cik
Raihan.
Nur Aishah rasa kelakar pula. Orang
lain pula lebih membicarakan pasal jodohnya. Apapun dia menjawab dengan yakin.
“Kekasih kita Allah, manusia itu hanya layak dipanggil kekasih bila dah
kahwin.”
Mak Cik Raihan dan Mak Cik Roha
berpaling. Hebat sungguh jawapan itu. Dua-dua bersetuju. Fikir mereka, kalau
bertanya pada anak dara lain entah apa yang diberi jawapannya. Entah-entah masa
tu le melompat bagai beruk kena belacan. Gatal sangat nak kahwin.
Nur Aishah puas dengan jawapan itu.
Walaupun pendek. Sesungguhnya dia juga
sedang berjuang, memberi pemahaman kepada orang di sekeliling. Mereka tidak faham tapi lancang berbicara.
“Tapi cantik betul le Echa ni. Mak Cik selalu je
tengok cerita-cerita Islamik kat TV.” Mak Cik Raihan cuba bercerita. Masih lagi
hilang kagum melihat jubah cantik di badan Nur Aishah.
“Cerita apa pula kau tengok Raihan?
Kau ni macam-macam le.” Mak Cik Roha
menggelengkan kepala. Dah buang tebiat rasanya kawannya itu.
“Ada le satu drama tu. Drama
ala-ala Islamik le.” Mak Cik Raihan
cuba mengingati.
“Alah kau tak perlu nak ingat cerita Islamik kat TV le. Sebab cerita tu membuatkan
buruk semua yang bertudung labuh dan berpurdah ni. Merosakkan lagi pemikiran
orang yang tak faham. Cerita tu sekadar
komersial semata-mata. Sebab tu dapat
sambutan. Tapi mereka tak fahami
konsep dan nilai sebenar di sebalik apa yang mereka ingin sampaikan. Dah le pelakon dari asal kalau kat luar tak bertudung pun. Kalau nak
tanya betul-betul, contoh ada di depan mata kita ni. Tanyalah Nur Aishah.” Mak Cik Roha memandang Nur Aishah. Sekali
lagi Nur Aishah terkena.
“Saya masih lagi belajar tentang
pemakaian purdah ini mak cik. Tapi kalau ditanya saya tentang aurat dan kenapa
saya berpurdah ni saya akan jawab macam ni.”
Nur Aishah mengaku jujur.
“Macam mana?” Mak Cik Roha dan Mak
Cik Raihan bertanya serentak. Mak cik yang lain juga memasang telinga.
“EH, KAU TENGOK le kat sana tu. Ayah dia dah balik.” Nurin tiba-tiba
memberhentikan motor sebaik saja melihat rumah Haji Ezudin penuh dengan orang
kampung.
“Dah balik ke? Mesti dah bergelar
haji?” Ain yang duduk di belakang motor berkata seakan menyindir. Matanya terus
fokus ke perkarangan rumah yang dipenuhi dengan kereta dan motor. Diperhati
bagaikan pencuri.
“Kau ni pun satu, kalau nak tanya
pun agak-agak le. Jangan cakap macam orang tak sekolah!” Tempelak Nurin. Nadanya
ditinggikan. Mungkin kata-kata itu menyindir seseorang baru saja balik
menunaikan haji.
Ain menepis marah. “Eh, kau ni apa
hal? Aku tanya soalan betul le.”
“Soalan kau tu aku rasa lebih kepada
buruk sangka. Dah orang tu pergi ke Mekah menunaikan rukun Islam tu sah-sah le
dia balik dengan bergelar haji atau hajah. Kau ni buat-buat tak faham le
pulak.” Nurin memuncungkan mulut. Geram juga dengan perangai Ain yang tetap tak
faham. Jenis otak udang. Lembu lagi pandai.
“Kau ni bercakap memang main sedap saja.
Nak tunjuk pandai. Apa kau ingat orang pergi Mekah ni boleh berubah dengan elok
ke? Sempurna ke dia? Tambah-tambah dalam usia senja ni baru jejakkan kaki ke
Mekah. Nak buat ibadah tu belum tentu sempurna le. Entah-entah sakit lutut
sakit pinggang. Duduk saja dalam hotel. Lepas tu balik cakap kat orang kampung dapat tengok Kaabah depan mata.” Ain
tetap dengan hasad dengki. Tetap menepis apa yang keluar dari mulut kawannya
itu.
“Dah le malas aku nak layan kau ni.
Jom le pergi ucap tahniah. Orang balik haji katakan. Entah-entah boleh dapat
buah kurma free. Atau setidak-tidaknya air zam zam. Buat basuh hati kau yang
hitam…”
Ain mencelah. “Kau jangan nak
kenakan aku. Kau ingat aku pelahap sangat ke?”
Nurin sedikit cuak. Marah benar Ain.
“Kau ni pun satu. Nak pergi kat sana konon.
Tudung kat kepala kau ni mana?” Ain pula menyindir kawannya. Tangannya
diangkat. Telunjuk jarinya dipanjangkan. Dicucuk kepala Nurin dengan hujung
jari.
Nurin tersengih-sengih saja. Ain
menjeling tajam.
“Si purdah tu mesti ada.” Nurin cuba meneka
dan melihat sekali lagi. Saja dia mengalih topik. Dia tahu Ain dan mula mencuka.
Bagaikan lahar gunung berapi yang akan meletup bila-bila masa saja. Hatinya
mendidih.
“Dia berlakon baik saja tu. Apa dia
ingat dia dah jadi anak pak haji sekarang dia baik? Apa dia dah bertudung litup
dan nampak biji mata tu dah yakin jadi penghuni syurga?” Masih Ain tidak
berpuas hati. Dahinya berkerut. Memang pantang kalau disentuh bab musuhnya itu.
Nurin diam. Ya juga kata Ain. Syurga
dan pahala bukan sekadar bertudung litup. Banyak lagi amalan yang perlu dibuat.
Bukankah setiap hari seseorang manusia tu wajib meminta ampun dan maaf daripada
Allah. Setiap hari manusia tidak lekang dari
dosa.
“Entah-entah dia berniqob
dan berjubah bagai tu semata-mata nak bergaya di facebook.”
“Hahaha! Nurin
tergelak. Kasar benar bunyi dengki Ain.Lawak pun ada. Teringat dia gadis-gadis bergaya kat facebook. Macam-macam ragam. Siap dengan air muka sekali. Buruk
benar.
“Betulkan kata
aku?” Ain menyoal.
“Ya lah. Ya lah.” Nurin terpaksa mengaku.
Apapun dia akui, kat facebook sendiri pun macam-macam ragam manusia. Yang tak bertudung tak usah kira le kalau
bergambar. Yang bertudung bahkan berjubah sekali pun tetap nak dikongsi
bersama. Sekarang ni pun kalau orang tu tak ada facebook pun rasa janggal sekali. Dari kanak-kanak sampai orang tua
sibuk memperkatakan tentang facebook.
Ain menyambung
lagi, “Kalau pakai purdah lagi timbulkan fitnah, cakap-cakap belakang, baiklah tak yah pakai. Bukan wajib pun!” Ain
memuncungkan mulutnya. Lagaknya bagai dia sedang memarahi depan-depan Nur
Aishah. Musuh lamanya.
Nurin mencelah. “Betul tu. Mak aku ada juga cakap. Nabi tunjuk
kat asma muka dengan tapak tangan je yang tak yah tutup.”
“Yalah. Buat apa nak penat-penat dengan semua itu. Kalau
kau nak tahu, aku penah tengok, awek
cun, pakai purdah cantik punya, tapi baju ketat, 'perhiasan' kat dada
tertayang. Apahal la manusia nih ada otak tapi tak reti nak guna.
Entah-entah tak lama lagi Echa pun
macam tu le.” Tempelak Ain dengan perasaan yang penuh benci sekali. Tapi
pandangan matanya tetap terarah ke perkarangan rumah Haji Ezudin yang ternyata
tidak putus-putus dikunjungi tetamu.
“Bila dah pakai purdah, pakai terus. Jangan kejap pakai kejap tak.” Sambung Ain sekali lagi.
Terkebil-kebil mata Nurin melihat
Ain yang masih lagi menunjukkan muka marah. Dia memegang rambutnya yang merah.
“Betul le. Tapi kan ingat orang
pakai purdah ni baik ke? Ada pendapat
mengatakan yang pakai purdah ni mudah terjebak dengan ajaran sesat. Atau pun
meninggalkan keduniaan terus.” Ain menabur fitnah lagi.
Nurin terangguk-angguk. Bernas
kata-kata itu.
“Cuma aku nak tanya. Zaman sekarang ni, relevan
ke pakai purdah? Sebab aku rasa tak
pun. Tak de sebab nak pakai purdah.
Tutup aurat je dah la.” Ain tetap
mencari kesalahan.
“Hahaha! Ain kau ni kalau mengenakan orang memang nombor
satu. Tutup aurat kau maksudkan? Kau sendiri hari ni tengok le.” Nurin
memegang rambut Ain.
“Kau pun sama kan. Nak kata orang le pulak!” Ain cepat-cepat membalas dengan memegang
rambut Nurin yang panjang mengurai itu.
Mereka main tarik rambut seketika.
“Jom le pergi lawat. Jom balik ambil
tudung.” Nurin mengalah akhirnya.
Dia mengajak. Dia tertarik untuk ke
rumah Haji Ezudin. Nak melihat situasi. Maklumlah lepas ni makin ramai le orang
menghormati Haji Ezudin. Silap-silap surau makin penuh. Maklumlah Haji Ezudin
dapat menyambung balik khidmatnya sebagai imam di surau. Apatah lagi sekarang
telah bergelar haji. Lagilah saham meninggi. Lagi ramai pengikut.
“Tak payah. Gi lawat orang balik
haji ni orang tua-tua saja tau. Biar mak ayah aku yang pergi. Jangan harap le
aku nak tengok perempuan tu.” Ain memuncungkan mulutnya. Dipegang-pegang
rambutnya yang sekali-sekala ditiup angin petang. Marah benar dengan pelawaan
itu.
“Balik sekarang!” Ain meninggikan
suara sekali lagi. Dahinya berkerut.
“Nanti le.” Nurin menolak.
“Kau jangan nak cari pasal ngan aku.
Kalau kau tak nak balik mari sini motor ni. Aku bawa. Kau duduk le
sorang-sorang. Silap hari bulan Pak Haji tu ambil kau buat isteri. Maklumlah
orang baru kematian isteri.” Kata Ain sambil ketawa dengan kuat.
“Eh, kau ni jangan bacul sangat. Tak
baik cakap orang macam tu. Sekurang-kurang isteri dia tu mati kat Mekah tau.
Tempat suci. Entah-entah kau yang mengata ni mati kat longkang. Mati
terkangkang!” Tuduh Nurin sambil tergelak besar.
“Kalau aku mati terkangkang, kau pula
apa kurangnya? Mati tertonggeng dalam parit!” Ain membalas tak puas hati. Dia
tergelak besar. Riuh jadinya.
“Eleh! Paku dulang paku serpih.
Mengata orang kau yang lebih.” Nurin membidas.
“Hoi! Dah le. Mari balik. Makin
layan kau ni makin mereng otak aku ni.” Ain memang marah. Dia terus menolak
Nurin.
Nurin terpaksa akur. Dia
menghidupkan suis motor lalu terus memecut laju. Memang dia tahu, Ain pantang
kalau memuji musuhnya lebih-lebih. Darahnya naik dengan tiba-tiba. Dia boleh
jadi macam gajah naik minyak. Marahnya begitu panjang.
SEBAIK SAJA semua tetamu menuruni anak tangga
malam itu, Haji Ezudin menutup daun pintu. Perlahan-lahan.
“Alhamdulillah.
Semua dah selesai. Ayah sangat
penat.” Haji Ezudin melepaskan punggung ke atas kerusi empuk. Dia menyandar
membetulkan pinggang yang sakit. Penat sungguh melayan tetamu.
“Alhamdulillah,
ayah. Semua telah selamat. Tak sangka ramai sungguh orang kampung. Ramai
kawan-kawan ayah datang.” Nur Aishah muncul lalu duduk di tepi ayahnya. Penuh
sopan sekali.
“Aik, dah buka mulut pula?” Haji Ezudin sedikit terkejut. Wajah anaknya
dapat diperhatikan. Sebiji dilihatnya sebelum ke Mekah.
Nur Aishah yang bertutup dari tadi
kini membuka mulutnya.”Ayah ni, pelik le
pulak?”
Haji Ezudin tergelak. Saja nak bergurau.
“Pertama kali melihat wajahmu sejak
balik dari Mekah ni. Tadi, memang kamu tak buka langsung.”
“Ayah ni saja nak usik Echa.”
Nur Aishah berkata malu.
“Tak adalah. Ayah gurau saja. Dah lama tak bergurau dengan anak ayah ni. Rindu benar.”
Nur Aishah malu-malu diusik ayahnya.
Memang hari ini dia sangat penat. Penat melayan tetamu tetapi dia bangga. Ramai
sungguh tetamu ayah sampai ke luar. Kalau boleh dia mahu mencari sahabat
seramai itu. Jika panjang umur, dia berhajat untuk ke Mekah juga. Bergelar
hajah. Baru lengkap Islamnya.
“Oh ya. Ayah ada belikan
kamu sesuatu?” Haji Ezudin saja mengalih topik. Dia bingkas bangun lalu masuk
ke dalam bilik. Nur Aishah melihat saja.
Seketika kemudian, Haji Ezudin
muncul dengan memegang sesuatu di dalam beg. Dia duduk betul-betul di hadapan
Nur Aishah.
Mak Su Hasanah muncul dari
dapur.“Untuk Echa saja je, bang.
Untuk saya yang jaga budak ni macam
mana? Takkan tak ada ‘gaji’?”
Haji Ezudin tergelak apabila adiknya
menanyakan soalan itu.
Nur Aishah juga begitu. Namun dia
tak sabar apakah hadiah yang akan diberikan oleh ayah. Sememangnya dia nak
sangat mendapat hadiah dari kota suci itu.
Nur Aishah memerhati anak buahnya.
Marsha dan Arai tertidur keletihan. Tak mahu dikejutkan. Hadiah dari Mekah esok
pun boleh bagi.
“Ni
untuk adik abang yang setia menjaga dan menjadi bibik kepada Echa.” Haji Ezudin
berkata lalu menghulurkan sesuatu.
Mak Su Hasanah mengambil dan
menariknya. Perlahan-lahan. Teruja sungguh dia. Bagaikan mendapat hadiah hari
jadi. Hadiah ulang tahun perkahwinan.
“Cantiknya!” Dia kagum. Sehelai
tudung labuh hitam betul-betul menarik perhatiannya. Dia terus membelek-belek
berulang kali. Memuji tak putus-putus. Dia menciumnya.
“Terima kasih, abang.” ucapnya penuh
ikhlas.
“Yang ni pula untuk suami dan
anak-anak kamu.” Haji Ezudin menghulurkan lagi hadiah dari Mekah. Walaupun
suami adiknya itu tak ada malam itu kerana terpaksa memenuhi undangan menjadi
penceramah, dia tetap berpuas hati menghulurkan hadiah itu.
“Anak-anak saya dah tidur, bang.”
“Tak apalah. Bagi esok saja.”
Nur Aishah memerhati sekali lagi
Marsha dan Arai. Lena benar mereka. Letih melayan tetamu. Lagi pun ramai
kawan-kawan datang tadi.
“Ni
pula untuk Echa.” Seketika kemudian Haji Ezudin menghulurkan sesuatu yang ternyata
menarik minat anaknya.
“Terima kasih ayah. Alhamdulillah.” Puji Nur Aishah sambil
mengambil pemberian ikhlas itu. Perlahan-lahan.
Dia membuka. Sehelai tudung labuh
juga.
“Ya Allah, ayah. Cantik sekali. Alhamdulillah. Tak sabar nak pakai kat
pondok nanti.” Ucap Nur Aishah sambil terus menciumnya berulang kali. Hatinya
betul-betul puas. Diangkatnya tudung labuh itu. Diciumnya berulang kali. Bau
kedai.
“Tapi ayah nak minta maaf.”
Nur Aishah memandang ayahnya. Dia
terus bertanya, “kenapa ayah berkata begitu? Maaf untuk apa? Pelik benar
bunyinya.”
Mak Su Hasanah yang sedang membelek
tudung tadi juga memandang abangnya. Penuh tanda tanya.
“Maaf, ayah tak tahu Echa memerlukan
secebis kain untuk menutup mukamu.”
“Ya Allah, ayah. Terima kasih
memahami. Apapun esok Esca ke kedai. Echa akan jahit secepis kain itu.” Nur
Aishah menarik nafas panjang. Ingatkan apa tadi.
“Apakah kau betul-betul bersedia
untuk tidak menanggalkannya?” Soal Haji Ezudin sekali lagi.
“Insya Allah, ayah. Echa yakin
dengan pilihan Echa.” Yakin Nur Aishah menjawab. Soalan yang telah diduganya.
“Echa seorang yang tabah Abang Long.
Mak Su sendiri pun tak berniqab. Hanya bertudung labuh. Tak sampai seru
katakan.” Mak Su Hasanah mencelah. Tergelak kecil dia. Dia faham akan perasaan
Nur Aishah. Gadis yang belajar nak berniqab.
“Echa, ni ada lagi.” Haji Ezudin
menghulurkan satu bungkusan lagi. Dihulurkan kepada anaknya.
“Terima kasih, ayah.” Ucap Nur
Aishah sambil mencapai bungkusan yang dihulurkan itu. Teruja dia mendapat
hadiah yang banyak dari ayah sendiri.
“Ni, pemberian arwah ibumu…”
Perlahan saja bunyinya.
“Ya Allah…” Nur Aishah seakan
menggigil bila saat ini nama ibunya disebut. Dia dapat merasakan, hadiah itu
ibunya yang berikan. Dia tak mampu berkata apa. Hatinya berdebar-debar. Mukanya
berubah.
Dalam hati yang sayu itu, dia
membuka terketar-ketar. Dia menariknya.
“Ya Allah, mak…” Nur Aishah terus
memeluk sehelai purdah hitam. Memang dia sangat-sangat terkejut. Ingatkan
tudung labuh sebagaimana yang diberikan oleh ayah. Tetapi sehelai purdah yang
sangat cantik. Buatan dari Mekah.
“Mak…” Sekali lagi namanya
memanggal. Serentak itu jugalah airmatanya tumpah jatuh ke pipi.
Mak Su Hasanah datang lalu memeluk.
Apa tidaknya, bahu Nur Aishah mula bergerak sambil memeluk purdah itu. Dia
menangis kerana sangat-sangat terharu.
“Tak elok menangis sayang…”pujuk Haji Ezudin
apabila tangisan Nur Aishah itu seakan tak dapat ditahan. Semakin ditahan
semakin kuat.
“Echa, jangan le macam ni. Hargailah
yang arwah bagi…” Mak Su Hasanah juga memujuk. Tapi semakin dipujuk, hati gadis
itu juga semakin cair. Dia turut menangis. Mukanya merah. Mereka berpelukan.
Haji Ezudin cuba menguatkan
semangat. Hilang kata-kata saat itu. Kalau arwah isterinya masih ada tentu
airmata Nur Aishah juga tidak tumpah. Tapi dia tidak mampu menghalang. Dia
redha takdir Ilahi.
Selang dua minit Nur Aishah
meluahkan segala. “Ayah, Mak Su. Mak seakan tahu bahawa Echa memerlukannya…”
Haji Ezudin hanya terdiam. Dia pun
tak sangka. Arwah isterinya seakan tahu bahawa suatu hari nanti anak kesayangannya
itu akan berpurdah. Sebab itulah sebelum kematian, dia dah belikan untuk
anaknya itu. Patutlah dia beria-ia mengajak ke kedai ketika menunaikan haji.
“Mak, Echa sayangkan mak. Mak tahu
sangat bahawa Echa memerlukan. Rupanya kejutan yang akan Echa berikan, mak
sudah dapat membacanya…” Nur Aishah tidak dapat meneruskan kata-kata.
Mak Su Hasanah terus menyapu airmata
yang menuruni pipi. Dia memujuk agar bersabar menerima ketentuan Ilahi.
“Sabar Echa. Percaya pada Qada dan
Qadar dari Allah.” Pujuk Haji Ezudin sekali lagi sambil memandang purdah di
tangan anaknya.
Kemudian Nur Aishah mencelah.
“Hadiah dari mak ini menguatkan semangat untuk Echa terus memakainya sehingga
akhir hayat ini...”
“Echa, jangan cakap yang bukan-bukan.” Pujuk
Mak Su Hasanah sekali lagi.
Nur Aishah diam. Entah kenapa dia
terlalu ikutkan kata hati. Dia cuba menahan tapi memang tak boleh. Apatah lagi
setiap kali matanya memandang purdah hitam di atas riba.
Mak Su Hasanah memandang Haji Ezudin
yang sedikit pun tidak menitiskan airmata. Sesungguhnya hati lelaki itu sudah
kebal. Redha menerima sebuah kematian.
“Selagi Echa berniqab, selagi itulah
Echa merasakan arwah mak masih ada dan turut bergembira….”
“Dah le
tu Echa. Ayah tahu Echa seorang yang tabah. Tak perlu menangis. Menangislah semata
kerana Allah. Ayah bangga saat pertama kali
melihat Echa berpurdah kat lapangan terbang tadi. Tak sangka Echa boleh berubah
seperti ini.” Pandai Haji Ezudin memujuk.
“Mak Su sendiri pun terkejut bila
Echa mengambil keputusan yang diredhai Allah. Berani melakukan perubahan. Mak
Su sendiri pun belum tergerak hati untuk semua ini. Hanya bertudung labuh saja.
Tapi Echa ada kekuatan. Menjadikan purdah pakaian harian.”
“Mak Su kau tu banyak syaitan lagi
dalam tubuh.” Haji Ezudin mencelah. Sekadar membuat lawak.
Mak Su Hasanah ketawa kuat. Hilang
kesedihan mendengar kata-kata itu. Memang abangnya pandai membuat lawak mega.
Nur Aishah juga sedikit terhibur. Dia
cuba tersenyum dan ketawa. Perlahan-lahan. Dia seorang gadis yang berjiwa
kental.
“Entah-entah Echa nak menetap di negara Islam seperti Mesir, Syria dan Jordan?”
“Ayah ni.”
Haji Ezudin tak puas-puas mengenakan
anaknya malam itu. Perkara berkaitan purdah lebih banyak dibicarakan. Semakin
banyak dibicarakan semakin dia mengerti hakikat wanita memakai purdah.
Berdasarkan dalil-dalil yang anaknya
berikan, Haji Ezudin kagum bahawa pemikiran anaknya yang baru menjadi penghuni
pondok Pasir Tumbuh itu lebih kepada keislaman semata-mata. Memang menarik
minatnya untuk membicarakan sehingga hal dan pengalaman ke Mekah hanya sedikit
diperkatakan.
Nur Aishah menambah. “Segala yang baik datangnya dari Allah, yang kurang
itu dari kelemahan diri sendiri.
“Semoga anakku tidak menyesal untuk
memilih jalan untuk berpurdah. “Detik Haji Ezudin lagi sebelum mengerahkan anak
dan adiknya masuk tidur kerana hari sudah lewat malam.
MALAM ITU JUGA, entah kenapa Nur
Aishah tak dapat melelapkan mata. Ketika rindu ini bertandang. Dia semakin
gelisah. Tapi malam ini dia hanya ditemani sepi bulan.
Dia bangun semula lalu membuka
almari. Dipandangnya sekali lagi purdah pemberian arwah emak yang tersangkut
indah bersama deretan purdahnya yang lain. Memang purdah itu agak istimewa.
“Mak…” Dia menyebut lagi lalu
mengambil purdah itu dan memeluknya berulang kali. Kerinduan pada emaknya
datang bertandang.
Dia sudah ingkar janji kepada ayah
agar jangan melayan perasaan. Tapi malam itu perasaannya hanya Allah saja yang
tahu. Kerinduan itu kian bertambah tenatnya.
Kisah jubah membuatkan dia
mengelamun jauh. Kenangan bersama emak ketika mengunjungi Bazar Tok Guru sebelum ke Mekah masuk ke dalam fikiran.
“Mak dapat merasakan bahawa satu hari nanti
Echa akan berpurdah.”
“Mak ni, Echa
masih belum ke tahap tu. Tudung labuh boleh le.”
“Echa kan dah
tamat pengajian. Lagipun niat baik tak elok ditunggu.” Lembut Mak Cik Wan
Rohana berkata sambil tangannya membelek purdah.
Nur Aishah diam.
“Echa, Hidayah Allah tidak mengenal sesiapa. Terbuka
pintu hati untuk berpurdah hanya Allah saja yang tahu. Echa kena pakai purdah
untuk menjaga diri yang nakal ni.” Mak
Cik Wan Rohana mencubit pipi Nur Aishah.
“Mak ni.” Nur
Aishah malu-malu.
“Kalaulah ada
sesetengah orang berpurdah kerana ingin menyembunyikan wajahnya yang sangat
cantik sehingga dibimbangi mendatangkan fitnah itu mungkin Echa. Kerana mak
sendiri pun dah penat nak menolak pinangan orang. Nak layan pertanyaan orang.”
“Mak biarlah
orang. Echa masih tercari-cari ruang untuk meningkatkan darjat di sisi Allah.”
“Nanti cepat-cepat
dapat jodoh tau. Lepas mak balik haji nanti terus Echa kahwin. Mesti dapat laki
sebaik Echa. Kalau berpurdah dapat lelaki solehah. ”
Nur Aishah dan
emaknya tergelak. Mak Cik Wan Rohana mencubit sekali lagi pipi anaknya.
Nur Aishah memegang pipi. “Ya Allah.
Aku berangan rupanya.” Nur Aishah tersedar saat tangannya menyentuh pipi.
Kehangatan airmata masih lagi terasa.
Dia memandang jubah baru itu
lalu berkata. “Mak, barulah Echa mengerti. Apatah lagi setelah
emak pergi. Jauh di sudut hatinya Echa bermujahadah dengan berpurdah
semata-mata mengharapkan keredhaan Tuhannya. Menjaga diri dari segala macam
kejahatan yang bakal dilakukannya. Bimbang terlalai olehnya untuk menjaga
muamalat dalam pergaulan. Bimbang ditipu
hawa nafsu sendiri yang sering dipertonton di khalayak ramai.” Nur Aishah
meluah kata sekali lagi. Bibirnya bergerak-gerak. Pipinya yang panas dek kerana
airmata yang sejak dari tadi mengelir dibiarkan saja.
Sekali lagi dia memegang dan
mengusap lembut jubah itu. Perlahan-lahan seolah-olah membelai emaknya.
Rindunya dia dengan belaian itu.
“Memang benar. Pakaian yang baik itu akan menjaga si pemakainya. Echa nekad untuk membuktikan, Inilah pakaian yang melambangkan kemuliaan dan darjat yang tinggi seorang wanita, mak…”
“Memang benar. Pakaian yang baik itu akan menjaga si pemakainya. Echa nekad untuk membuktikan, Inilah pakaian yang melambangkan kemuliaan dan darjat yang tinggi seorang wanita, mak…”
Dia kemudian mencapai tasbih yang
juga dihadiahkan oleh ayah kepadanya. Digenggam lembut dengan jejari yang
halus. Sekali-sekala cuba memegang pipi dan menyapu birai matanya. Dia cuba
bertahan untuk tidak menangis.
Namun apakah daya, semakin ditahan
semakin kuat airmata terutama apabila mengenangkan, bagaimana untuk dia
meneruskan hari esok tanpa ada emak yang sentiasa memberi semangat kepadanya
selama ini.
Dia diam seketika. Cuba lari dari
mengingati dan melayan perasaan kepada emak. Dia cuba mengenangkan Allah
Subhanahu wa Ta’ala.
“Insya Allah mak. Selagi hayat dikandung badan
Echa tak akan melupakan secebis kain yang melindung wajah ini. Purdah ini tanda
ingatan Echa kepada mak. Kerana Echa yakin, Allah bersama Echa sepanjang masa.
Amin.”
No comments:
Post a Comment