Friday, 19 September 2014

Seruan Hati (Bab 1) ~ Azilawati Mat Angsar

2014
Pin!  Pin!!
Mendengar bunyi hon di luar, wanita yang sedang tekun membaca itu menjengukkan mukanya di sela-sela jendela kayu.  Posmen.
Dia bangun dengan malas, berlalu masuk ke dalam bilik.  Kerudung berwarna hitam disarungkan ke kepalanya sebelum daun pintu rumah papan sederhana kecil itu dibukanya.  Salam yang diberi, dijawab perlahan.
“Surat, kakak,” ujar si posmen sambil tersenyum.  “Muna binti Muhsin?”
Dia turut senyum, lantas mengangguk kecil.  Surat yang dimaksudkan bertukar tangan bilamana dia siap menandatangani dokumen penerimaan.  Ditulis nama dan nombor pengenalan diri.  Dia turut diminta untuk mencatatkan tarikh hari ini di situ.
Posmen yang menghantar surat sudah lama berlalu.  Muna masih bermenung di birai tangga.  Surat di tangan masih juga belum dibuka.  Sebentar tadi dia telah menyemak siapakah pengirimnya.  Ada senyuman tatkala melihat si penama, namun tidak pula Muna teruja untuk melihat isinya.
Kring!  Kring!!
Giliran telefon rumahnya pula menuntut perhatian.  Seperti tadi juga, Muna bangun dengan malas.  Perlahan-perlahan dia melangkah, menaiki anak tangga, masuk kembali ke dalam rumah.
“Assalamualaikum,” ucap Muna sepatah, berbahasa dengan indah.
“Munakah?  Muna??” tanya si pemanggil.  Muna dapat rasai lonjakan kegembiraan suara orang di sebelah sana, hinggakan salam yang diberikannya tidak terjawab.
Muna melihat kembali sampul surat yang masih di tangan.  Seketika, akhirnya dia tersenyum lagi.  Senyuman yang kali ini jelas memperlihatkan akan kegembiraan hatinya sendiri.
“Ya!  Kau masih tidak mahu menjawab salam aku, Kay?”
Seperti dia ada di situ, dapat Muna dengar dengan jelas gelak tawanya.  Tentu hatinya senang dapat mendengar suara Muna.  Muna tahu.  Bahkan Muna sendiri sangat-sangat rindu dan tidak menduga yang dia akan mendengar suara itu lagi.
“Kau datang ke sini... kau mesti datang!”
Jauh menungan Muna kini.  Duduk semula di birai tangga.  Melepaskan pandangannya jauh ke tengah sawah di kiri dan kanan rumah.  Juga di hadapannya.  Manakala surat yang diterima telah pun Muna buka.  Masih erat di genggamannya.
Sejurus menjawab salam daripada Muna, Kay terus menangis.  Sekurang-kurangnya, itulah yang dapat Muna dengarkan lewat gagang telefon di telinganya.
“Muna... kau sihat?  Kau apa khabar?  Lamanya, Muna...”
“Alhamdulillah.  Aku sihat, Kay.  Kau?” jawab Muna, ringkas.  Dia sendiri tidak sabar untuk mengetahui perihal temannya itu.
“Ya Allah, Muna... syukurlah... syukur alhamdulillah... terima kasih, ya Allah.  Aku sihat, Muna.  Sangat sihat apabila aku tahu kau sihat!”
“Kay...”
“Ya, Muna!  Aku betul-betul sihat.  Aku gembira... gembira sangat, Muna,” ujar Kay di sebelah sana.  Dia masih cuba menyisih sendu pada suaranya.
“Aku pun gembira dapat panggilan daripada kau, Kay... surat...”
“Kau sudah dapat surat itu, Muna?  Syukur alhamdulillah!”  Jelas terdengar suara Kay berubah nadanya.  Lega.
“Ya, Kay... baru sahaja sampai.  Aku pun belum buka lagi.”
“Bukalah, Muna... sudah bertahun aku, kami cari kau.  Bos... semuanya sebab dia tidak mahu mungkir janji, tidak mahu berhutang... aku yang menjadi mangsa,” beritahu Kay, memulakan ceritanya.
“Kalau bukan sebab dia...”
“Muna... aku tetap akan cari kau, aku rindu pada kau!  Tetapi yang ini amanah, aku juga tidak mahu mati sebelum amanah yang satu ini aku bereskan.  Kau tahu betapa aku tidak pernah lupakan kau, Muna?”
Hati Muna tersentuh.  Teringat kembali akan wajah Kay yang sedang bercakap dengannya itu.  Kay yang selalu ceria dan menghidupkan suasana.  Kay yang jujur dan tulus di sebalik segala kekurangannya.  Ya, Kay adalah satu-satunya sahabat sejati yang Muna ada.
“Cuba kau buka surat itu sekarang,” Kay bersuara memberi arahan.  Sepertinya dia boleh nampak akan sahabat di sebelah sini yang sedang mematuhi permintaannya.  Kay berjeda seketika.  Dia cuba memberi ruang masa untuk Muna membaca isi surat terkirim.
“Tetapi bukankah aku sudah berhenti... sudah lama pun, Kay?” soal Muna sejurus selepas dia menamatkan pembacaannya.
“Bos kata, kau berhenti hanya setelah keputusan dibuat.  Dia cuma belum sempat hendak beritahu.”
Muna terdiam.  Dia mahu mendengar apa yang bakal Kay perkatakan seterusnya.
“Muna... tahun itu, kau di antara yang layak untuk mendapat tiket pergi-balik dan penginapan percuma syarikat.  Hadiah kesetiaan... atau kau sudah lupa?”
“Sudah lama, Kay,” Muna mengulangi lagi kata-katanya.  Cuba untuk mengingatkan Kay bahawa soal yang mereka bicarakan itu tidak lagi penting baginya.
“Muna... dengarkan aku.  Kau masih ingat aku ini setiausaha bos, bukan?  Pagi-pagi itu bos telefon suruh aku semak satu perkara dengan kau.  Kaulah, selalu sahaja tidak mahu isi ruang destinasi... jadi bos suruh aku tanya.  Sebabnya, nama yang bertuah tahun itu sudah dimuktamadkan tetapi belum dapat diberitahu pada semua... sebab kau, Muna!  Sayangnya, pagi itu kau datang awal dengan surat berhenti kerja pula.  Aku... aku betul-betul terkejut masa itu dan aku memang tidak pernah menyangka yang kau akan buat keputusan sebegitu...”
“Maafkan aku, Kay.”  Adakah lagi kata-kata yang lebih tepat selain daripada maaf?  Sungguh Muna tidak pernah terfikir pun untuk membuatkan orang lain susah, apatah lagi sahabat sebaik Kay.
“Tidak mengapalah, Muna... aku yang seharusnya minta maaf pada kau sebab tidak sampaikan pesanan bos itu.  Itu yang aku menanar cari kau!”
Muna senyum.  Sekali lagi dia cuba membayangkan Kay di hadapannya.
“Kau tahu, Muna bagaimana kita dapat bercakap sekarang?  Minggu lepas, syarikat sibuk dengan house-keeping untuk dapatkan ISO.  Jadi waktu mengemas, aku terjumpa fail-fail lama... termasuklah fail kau.  Aku pula dengan penuh bijaksananya usulkan kepada bos untuk cari kau dengan berpandukan alamat pada kad pengenalan.  Bijak, bukan?”
Senyuman Muna bertukar menjadi ketawa kecil.  Bertahun berlalu, kenakalan dan keriangan Kay tetap utuh.  Kay sememangnya sahabat yang menyenangkan.
“Muna... kau datang, ya?” Kay menyuarakan harapannya yang menggunung.  Tujuan utama kiriman surat dan panggilan telefonnya hari ini.
“Aku tidak boleh janji, Kay,” jawab Muna, ringkas.
“Aku sudah hendak bersalin, Muna... dan aku tidak mahu bersalin lagi sebelum amanah yang satu ini aku buat!  Tolong aku, Muna... kau datang sini, ya?  Kau mesti datang.”
“Tetapi...”
“Muna... tolonglah aku.  Kalau bukan sebab waktu untuk aku melahirkan sudah dekat, bukan surat atau panggilan telefon yang kau terima...” Kay merayu lagi.  Rindu dan kasihnya benar-benar mendesak dia untuk berbuat apa sahaja yang perlu.
“Kay...”
“Tidak, Muna... aku tidak mahu dengar apa-apa lagi selain kau akan datang!”
“Tetapi, Kay... kau masih belum tanya aku lagi ke mana aku hendak pergi.”

Muna tersenyum.  Entah untuk kali yang ke berapa pagi itu.  Serasa sekian lama sudah dia tidak tersenyum begitu.  Seperti mendapat kembali nafas yang baharu.  Seakan-akan didokong oleh semangat yang penuh jitu.

No comments:

Post a Comment