Monday, 29 September 2014

Seruan Hati (Bab 2) ~ Azilawati Mat Angsar

1995
Muna mengambil duduk di gigi tangga.  Manakala ibunya pula melabuhkan punggungnya di bibir pintu.  Di situlah biasanya mereka dua beranak akan duduk apabila Khalidah hendak mendandan rambut Muna atau Muna sendiri meminta rambutnya ditocang.
“Muna suka tidak?” Khalidah berhenti seketika untuk bertanya kepada anaknya setelah beberapa kali rambut Muna disisirnya.
“Kalau emak dan ayah suka, Muna pun suka.”  Ringkas sahaja jawapan yang diberikan Muna kepada emaknya.
“Tidak bolehlah begitu, sayang.  Emak dan ayah hendak Muna buat apa yang Muna suka... bukan ikut apa yang kami mahu,” Khalidah membalas.  Lebih untuk mengingatkan dirinya sendiri bahawa Muna kini sudah semakin besar.
Usia Muna telah pun menjangkau tiga belas tahun, sudah layak digelar remaja.  Malahan, baru pagi tadi mereka sekeluarga telah sama-sama pergi ke sekolah mengambil hadiah kecemerlangan yang Muna perolehi untuk UPSR-nya.
“Yalah, emak.  Bukankah selalu emak dan ayah ingatkan Muna bahawa anak yang baik adalah anak yang taat dan patuh kepada kedua-dua orang tuanya?  Emak tidak sukakah Muna jadi anak yang baik itu?”
Muna tersenyum, seronok apabila jawabnya itu berbalas dengan tamparan lembut emak di pipinya.  Jari-jari Khalidah segera diraih.  Muna cium tangan ibunya.  “Muna sayang emak... Muna pun sayang pada ayah.  Apa yang emak dan ayah hendak, itulah juga yang Muna mahukan.”
Dipandangnya seketika wajah Khalidah setelah Muna palingkan muka dan juga tubuhnya ke belakang.  Selepas itu dia tersenyum.  Muna cium pipi Khalidah, kiri dan kanan.
“Muna ingat, emak... cerita emak pasal Muna. Lima belas tahun emak dan ayah tunggu Muna, jadi sekarang biarlah Muna gembirakan emak dan ayah selama yang Muna ada!”
“Nanti Muna letih,” kata Khalidah, mengingatkan.
“Dahulu... semasa emak dan ayah tunggu Muna, emak dan ayah rasa letihkah?”
Khalidah terpempan dengan jawapan itu.  Jelas butir bicaranya, bijak Muna menyusun kata.  Terkenang Khalidah akan kehandalan Muhsin suatu ketika dahulu dalam berbahasa.  Teringat dia zaman-zaman mereka bersama-sama main bangsawan.  Aduhai, telah jauh sebenarnya mereka tinggalkan masa lalu.
“Emak...”
Panggilan Muna mematikan kenangan.  Khalidah segera menjawab.
“Kalau Muna tiada, bagaimana dengan emak dan ayah nanti?”
“Muna bukan mahu pergi tinggalkan kami terus, bukan?”
“Yalah, emak... walaupun KL itu tidaklah sejauh mana dari kampung kita ini, tetapi emak dan ayah perlu tunggu bas untuk ke pekan.  Selepas itu, emak dan ayah perlu tunggu satu lagi bas, barulah sampai ke sana.  Muna pun sama... agaknyalah!”
Tergelak Muna apabila menyedari apa yang dikatakan kepada ibunya itu.  Dia sendiri belum pernah lagi sampai ke Kuala Lumpur.  Entahkan betul apa yang dicakapkan itu, entahkan tidak.  Namun yang pasti, kata-katanya itu membuatkan Khalidah turut tertawa riang.
“Muna mahu ke sana dahulu sebelum buat keputusan?” soal Khalidah sambil memberi cadangan.
“Maksud emak?  Oh, emak takut nanti Muna lari balik ke mari, ya?”
“Bukanlah begitu, sayang.  Nanti, kita boleh sama-sama tengok jauh atau tidaknya KL itu.  Mahu?”
Muna cepat-cepat menggeleng.  Sungguh dia tidak pernah terfikir pun untuk berbuat demikian.  Bagi Muna, sejauh mana pun dia pergi, tempatnya tetap di rumah ini.  Di kampung ini.  Tempat dia dilahirkan setelah sekian lama hidup Muhsin dan Khalidah hanya berdua sahaja, tanpa cahaya mata.  Muna pasti akan selalu pulang.  Mengenangkan kisah-kisah hidup emak dan ayah sebelum kelahirannya membuatkan Muna berat hati untuk pergi.  Sejujurnya Muna lebih suka sekiranya dia tidak perlu untuk membuat pilihan.
Sewaktu keputusan UPSR diumumkan dahulu, dialah orang yang paling gembira.  Akan tetapi semasa guru kelasnya memaklumkan bahawa permohonan masuk ke sekolah berasrama penuh telah pun keluar, Muna mulai bimbang.  Muna sering berdoa agar dia tidak terpilih untuk ke mana-mana.  Biarlah dia di sini, di kampung sahaja bersama-sama emak dan ayahnya.
“Emak tidak risaukan Muna nanti?”  Tidak semena-mena soalan itu terpancul di bibir mungilnya.  Itu adalah sebenarnya suara hati Muna sendiri.
“Mestilah emak risau, Muna.  Bukankah Muna tidak pernah sekali pun duduk jauh dari kami?  Namun, inilah namanya pengorbanan, sayang.  Lagi pun, bukankah Biyah ada dengan Muna nanti?  Bolehlah kamu berdua saling menjaga antara satu sama lain, sama-sama ingat-mengingatkan... tegur-menegur... malah kalau hendak balik pun, boleh balik bersama-sama.”
Jawapan panjang Khalidah itu Muna tekuni.  Akankah sama meskipun Biyah ada kalau hidupnya jauh daripada kedua-dua orang tuanya?  Mungkinkah dapat Muna hidup dengan gembira dan bahagia seperti sekarang ini tanpa ibu bapanya di samping?  Sedangkan Biyah juga masih mentah, sama seperti dirinya.  Bahkan kalau hendak dibandingkan di antara mereka berdua, Biyah lebih lagi manjanya!
“Alah... nanti apabila kalian sudah belajar di sana, emak percaya, Biyah mesti berubah.  Akan hilang sifat budak-budak dia... manja dia.  Muna pun, pasti akan jadi lebih matang nanti.”
“Biyah hendak berubah, emak?  Hai... Muna kawan dengan dia sejak kecil lagi, emak.  Dia itu manjanya tidak akan hilang!” Muna segera menepis telahan ibunya.  Dia ketawa.
“Hish!  Tidak baik Muna cakap begitu.  Semua orang akan berubah... cuma cepat dan lambatnya sahaja.  Mudah-mudahan Muna emak ini pun akan berubah jadi lebih baik lagi daripada sekarang... nakal!”
“Hah!  Panjang umurnya si Biyah itu, emak...” Muna berkata separuh berbisik kepada Khalidah.  Dia tersenyum sambil melihat di kejauhan Biyah mengayuh basikalnya laju menuju ke rumahnya.  “Janganlah Rais ada sama!”
Sekali lagi Muna menerima tamparan daripada ibunya.  Kali ini lebih kuat lagi.  Biar Muna tahu yang Khalidah kurang senang dengan kenakalannya itu.  Semenjak dari dahulu lagi, Muna suka benar mengusik dan menyakat kawan-kawannya.  Terutama sekali setelah Muna memberitahunya bahawa Biyah dan Rais bercinta.
Aduhai, betapa Khalidah sedar bahawa anak-anak zaman sekarang sebenarnya lebih cepat pandai dalam soal perasaan.  Jauh benar bezanya dengan zaman kecilnya dahulu.
“Assalamualaikum!  Muna!!”
Sebaik sahaja menongkat basikal, Biyah gesit mendapatkan mereka berdua.  Tangan Khalidah disalaminya dengan penuh santun seraya bertanya khabar.
“Alhamdulillah, Biyah... Mak Dah sihat.  Sudah besar kamu ya, Biyah?  Sudah semakin cantik.”
“Hehe... Mak Dah ini, malulah Biyah.  Memanglah Biyah sudah besar, Mak Dah... Biyah bukankah sudah masuk sekolah menengah?  Mak Dah lupa... Biyah ini sebaya dengan anak Mak Dah?” sempat lagi Biyah hendak mengusik Khalidah.  Begitulah dia dan juga kawan-kawan Muna yang lain apabila dengan ibu Muna yang lebih mesra mereka panggil Mak Dah.
“Bukan Mak Dah lupa, Biyah... tetapi kamu itu sudah semakin liat hendak ke mari.  Kalau dahulu, boleh dikatakan setiap hari Mak Dah tengok muka kamu... sekarang ini, bayang pun susah hendak Mak Dah nampak.”
“Memanglah, Mak Dah... kalau orangnya tiada, bagaimana hendak ada bayangnya?”
“Sudah-sudahlah itu, Biyah... kau hendak apa datang ini?” Muna bersuara sudahnya.
Sekejap tadi, Muna senang menjadi penonton menyaksikan kemesraan di antara ibunya dengan Biyah.  Namun Muna tahu, sekiranya dia tidak segera tamatkan, akan menjadi-jadi pula nanti sandiwara mereka berdua.  Bukannya Muna tidak biasa, Biyah yang sangat berminat untuk menjadi seorang pelakon itu begitu seronok kalau dapat berjumpa dengan ibunya, bekas pelakon bangsawan zaman 60-an.
“Alahai, Mak Dah... si cantik Mak Dah ini sudah dikehendaki pula.  Lain kali sahajalah kita bersembang lagi ya, Mak Dah?  Hmm... hampir terlupa pula Biyah yang cantik ini, sekejap lagi kawan-kawan yang lain akan datang juga, Mak Dah... boleh, bukan?” sambil bertanya, Biyah membuat aksi kononnya tersipu malu.
“Baguslah.  Biar Mak Dah gorengkan cempedak yang baru pagi tadi Ayah Sin kamu ambil.  Makan panas-panas, ramai-ramai sambil pekena secawan kopi pekat... pasti lazat... bukan begitu, si cantik manis?”
“Emak jangan dilayan sangat si Biyah itu, emak.”
“Tidak mengapalah, Muna... ayah kamu pun sekejap lagi akan balik,” tutur Khalidah.  Dia memberi isyarat kepada Muna agar jangan melayan Biyah begitu.  “Kalian berbual dahulu, biar emak ke dapur.”
Biyah dapat rasakan kasih sayang di antara Muna dan ibunya sewaktu mereka saling bertemu pandang dan tersenyum.  Manisnya.  Mengapalah Biyah tidak dapat merasai yang sama apabila bersama dengan ibunya sendiri?  Terbetik rasa iri hati.  Bertuahnya Muna.  Anak manja, anak tunggal yang disayangi kedua-dua orang tuanya.
“Kau sudah buat keputusankah, Muna?  Entah bagaimanalah boleh ada dua buah sekolah yang minat dengan kau ini?  Hmm... aku takut-takut mereka tersilaplah, Muna,” tanpa menunggu lagi Biyah terus bertanya.  Dia merapati Muna.  Biyah jadi tidak sabar untuk tahu pilihan temannya itu.  Dalam diam Biyah berharap agar Muna memilih sekolah yang sama dengannya.  Bolehlah nanti Muna menjaganya.
“Kau kata tadi, budak-budak itu hendak datang juga... betulkah, Biyah?”
Kalau Biyah tidak tahu menunggu untuk bertanya, Muna pula tidak tahu untuk menjawabnya.  Dibalasi soalan Biyah dengan soalan juga.
Biyah garu kepala sambil membuat muka.  Dia menjeling ke arah Muna.
Reaksi tersebut membuatkan Muna tersenyum.  Teringat bagaimana ibunya mendakwa Biyah sudah matang dan dewasa.  Terdengar lagi ibunya memuji Biyah yang bertambah cantik.  Mengekek ketawa Muna jadinya dek kerana tidak boleh lupa, Biyah yang sangat-sangat manja itu.  Antara mereka berlima, dialah yang paling rapat dengan Biyah.  Justeru Muna lebih tahu siapa Biyah yang sebenarnya.
“Kau kenapa, ketawa seorang-seorang?  Mesti cemburu sebab emak kau kata aku makin cantik itu... bukan?”
“Eh, tidak kuasalah aku, Cik Biyah sayang...”
“Elleh, Muna... kau percayalah cakap aku, bila kau bercinta kau akan jadi lebih cantik.  Tengok buktinya... tidak perlu pergi jauh-jauh, yang di hadapan mata ini, hah!  Masakan emak kau hendak berkata bohong atau sekadar berbahasa dengan aku, Muna?” tungkas Biyah dengan penuh perasaan.  Masih seronok hendak bermain wayang lagi.  Cepat pula Mak Dah hendak pergi.
“Tengok itu siapa yang datang...”
“Hah?!  Alahai, gemala sakti, pujaan hati adinda... cepatnya kekanda sampai,” ucapan spontan Biyah itu disampaikan dengan penuh penghayatan.  Matanya dikedip-kedipkan sambil tersenyum-senyum simpul.  Malu-malu.
Muna yang masih duduk di atas tangga menahan gelak.  Yang kemudiannya pecah apabila melihat reaksi Biyah.
Biyah memusingkan tubuhnya perlahan-lahan.  Wajahnya yang tertunduk ayu, Biyah angkat.  “Ayah Sin?!!”
Sebagaimana Muna, Muhsin turut tergelak senang melihat keletah Biyah.  Patutlah kalau isterinya, Khalidah sangat menyenangi gadis manis ini.  Kalau disuruh berlakon, Biyahlah bintang.  Semua orang pasti akan angkat tangan, enggan untuk menandingi kehebatan Biyah.
“Malulah Biyah, Ayah Sin.”
“Kenapa hendak malu?  Semua orang pun tahu, Biyah pandai berlakon...” Muhsin berhenti seketika.  Dirautnya wajah dua orang gadis di hadapannya itu dengan pandangan kasihnya.  Lantas menyambung, “... tetapi ayah harap, belajar tetap yang utama... jangan diabaikan, ya?  Sudahlah... kamu berdua duduk-duduklah dahulu, ayah hendak ke dapur.  Sedap baunya itu, barangkali emak kamu sedang menggoreng cempedak, ya Muna?”
Muna angguk.  Dia masih belum berhenti ketawa.  Lalu dihantarnya si ayah dengan pandangan matanya sahaja.
“Kau ini jahatlah, Muna.  Sampai dengan ayah kau pun, hendak kau kenakan aku!”
“Kaulah itu, Biyah... selalu sangat tidak menyempat.  Bercakap dengan kita, tetapi hati itu ke Rais sahaja.”
Biyah tidak terus membalas.  Sebaliknya dia melangkah menaiki anak-anak tangga, melintasi Muna lalu masuk ke ruang sederhana yang kemas teratur.  Ruang tamu rumah Muna.
Selalunya di situlah mereka berlima akan sama-sama mengulangkaji pelajaran.  Mereka sudah tidak asing lagi dengan keluarga Muna.  Rais, Johan dan Nora seperti juga dirinya, sangat senang ketika berada di rumah tersebut.  Senang diterima dan dirai dengan begitu baik dan mesra oleh Muhsin dan Khalidah.  Seolah-olah mereka telah menjadi satu keluarga.

Biyah labuhkan punggung di atas kerusi rotan.  “Muna... kita mesti rindu saat-saat ini nanti... bukan?”

No comments:

Post a Comment