Friday, 19 September 2014

Sampaikan Salamku (Bab 1) ~ Reza al-Razi

DI satu sudut sana, ada yang sedang tersenyum gembira. Di sebelah sini pula, kelihatan sekumpulan pelajar tengah kencang bersembang entah apa. Di sudut yang lain pula, terlihat kelibat manusia yang sedang bermuram durja. Pelbagai reaksi. Aneka ragam. Terhimpun menjadi pelbagai ceritera. 
“Azlan, Liyana!”  
            Ketika kaki baru hendak mendaki tangga, kedengaran satu suara menyapa dari arah belakang. Serentak tuan pemilik nama berpaling ke arah tuan punya suara.
            "Dah ambik result ke?" Tuan punya suara bersuara lagi. Dia sedang tercegat berdiri sambil menayang senyum simpul gaya orang baru menang hadiah sebuah kereta Ferrari.
            “Lah, kau ke Aidil! Belum lagi. Baru nak pergi ambil ni,” jawab Azlan sambil turut melirik senyum nipis. Liyana di sebelah hanya tayang muka tanpa perasaan.
“Kau ambil berdua je ke dengan Liya?” Sekilas Aidil menjeling ke arah gadis di hadapannya itu
“Berdua ajelah. Kenapa? Kau jealous ke?” Azlan menjongketkan keningnya dua kali. Beberapa detik kemudian, dia meledakkan tawa pendek tatkala melihatkan wajah Aidil yang serba tak kena.
“Mana ada jealous. Tak adalah hai. Aku okey je. Kau orang kan sepupu.” Aidil cuba mengawal nada suara. Mulut kata lain tapi hati kata lain. Tipulah kalau kata tak jealous melihatkan gadis pujaan hati rapat dengan lelaki lain. Sepupu tak sepupu. Asalkan namanya lelaki, jealous tetap jealous!
“Eh, dekat tangan kau tu result kan? Berapa kau dapat?” Azlan bertanya tatkala matanya terpandang sehelai kertas berwarna putih di tangan Aidil.
            “Ada la sikit.” Aidil menjawab pendek. Acuh tak acuh. Matanya tertunak tepat ke wajah Liyana. Rasa macam dah bertahun tak melihat wajah manis itu walhal baru sahaja beberapa bulan mereka berpisah sejak habis peperiksaan SPM dahulu.
            “Sikit tu berapa? Yang kau pandang Liyana macam tu apa hal?" Pandangan Azlan silih berganti antara wajah Aidil dan wajah Liyana.
            Liyana yang hanya diam sejak tadi turut perasan dengan pandangan Aidil yang semacam tu. Mamat ni yang pandang-pandang aku macam tu dah kenapa? Aku tahu la aku cun! Tapi tak payahlah nak pandang aku gaya macam tak pernah tengok orang. Sekali aku dah tumbuk muka dia, baru dia tahu!
            “Mana ada aku pandang Liya. Kau ni pun.” Cepat-cepat Aidil melarikan pandangannya. Malu pula rasanya ditegur sebegitu rupa.
            "Kau dapat berapa?" Azlan mengulang kembali soalan yang tak berjawab itu. Isu Aidil memandang Liyana tidak lagi diambil pusing.
            “10A je.” Aidil menutur selamba.
            Bulat mata Azlan memandang Aidil. “Kau biar betul? Pakai bomoh ke apa sampai dapat 10A? Tipulah! Meh sini aku tengok!”
            Aidil mengoyak ketawa. “Memang dunia nak terbaliklah kalau aku dapat result yang gempak macam tu. Aku dapat 4A je.”
            "4A?" Lagi sekali mata Azlan bulat memandang Aidil. 4A pun macam tak masuk akal jugak! 4A tu dah kira terlalu hebat kalau ikut standard budak-budak bermasalah macam Aidil. Ponteng kelas, tidur dalam kelas, tak siap kerja rumah. Senaraikan apa sahaja. Semuanya pernah dibuat oleh budak Aidil tu. Senang cerita, dialah ketua budak-budak bermasalah dekat sekolah ni.
            "Iyelah 4A. Ingat aku bodoh sangat ke apa? Tengok sendirilah!" Aidil lalu menghulurkan slip keputusan peperiksaan SPMnya kepada Azlan.
            Slip keputusan SPM Aidil bertukar tangan. Hampir terbuntang biji mata Azlan tatkala melihat keputusan SPM Aidil. Berkali-kali dia membaca nama yang tertera di slip keputusan itu.
            MOHD AIDIL ZIKRI B. ROSMAN
            Memang dia punyalah ni! “Perghh, sekarang baru aku percaya! Wah, kira pandai jugaklah kau ni kan! Ponteng-ponteng kelas pun dapat 4A jugak. Aku ingatkan C pun kau takkan rasa.” Azlan meledakkan tawanya.
            “Woi, cakap baik-baik sikit ek! Aku ni nampak je macam ni. Tapi kalau dah memang keturunan pandai-pandai tu, ponteng-ponteng pun tetap pandai jugak.” Aidil tertawa di hujung kata.
            “Iyelah. Pandailah sangat kan. Dahlah, lagi lama melayan kau dekat sini makin lambat pulak kita orang nak ambil result. Okeylah, kita orang gerak dulu.” Azlan meminta diri sambil matanya menjeling ke arah Liyana di sebelah yang dah berwajah masam.
            “Okey, nanti dah dapat bagi tahu aku tau. Bye bye Liya. Good Luck tau! Abang pergi dulu ye.” Aidil mengenyitkan mata ke arah Liyana sebelum berlalu pergi dari situ.
            Liyana tarik muka meluat. Aku fikir sini ramai orang je! Kalau tak, dah lama aku bagi penumbuk sebijik dekat muka kau tu. Baru kau kenal siapa Liyana yang sebenarnya. Suka hati atuk nenek kau je nak menggatal dengan aku. Dasar buaya darat tak sekolah! Liyana dah menyumpah seranah dalam hati.
            Azlan dan Liyana meneruskan langkah mendaki tangga untuk ke pejabat sekolah yang terletak di tingkat atas.
“Yang kau pergi layan orang gila tu lama-lama kenapa?” Liyana akhirnya bersuara.
             “Hai, marah ke?” Azlan menghembur ketawa pendek. “Liya, aku rasa satu hari nanti jodoh kau memang dengan dialah." Dia ketawa lagi. "Liya, kau ni sikit pun tak ada perasaan ke dekat dia?”
            “Kau nampak ni?” Liyana menayang penumbuk sebiji ke wajah Azlan.
            Azlan hanya ketawa melihat reaksi Liyana. Garang betullah minah ni!


Usik-mengusik ketika zaman remaja, itu perisa hidup namanya.

No comments:

Post a Comment