Wednesday, 10 September 2014

Tasbih buat Aisyah (Bab 1) ~ Ahmad Safarman

SEBENARNYA untuk menjadi insan yang bertaqwa adalah suatu yang perit dan payah. Bukan hanya dengan ucapan dan amalan semata-mata. Meskipun lidah tidak henti-henti berzikir dan ibadah yang begitu sempurna dan tertib, namun belum pasti ia benar-benar mulia di sisi Allah s.w.t.
Pemilik hati kecil yang bernama Nur Aishah berdetik. Memang, kalau boleh dia mahu menjadi yang terbaik. Menjadi insan yang mulia di sisi Allah. Meletakkan dirinya di jannah. Menjadi seorang perempuan lindungan Kaabah.
Di bawah tudung labuh hitam itu jejari masih lagi bergerak-gerak. Mulutnya beristighfar menyebut nama Allah. Cahaya ketenangannya selama ini hanyalah sebutanSubhanallah wa Bihamdihi, Subhanallahil ‘Azim,  Astaghfirullah.
Dia cuba mengukuhkan semangatnya. Harap hatinya juga seteguh batu karang di lautan sepi.Memang diakui. Sejak akhir-akhir ini banyak masalah dan badai yang melanda. Namun, semua itu telah mendekatkan diri dengan Allah. Selagi ada masalah, selagi itulah kasih dan cinta kepada Allah datang.
Dia terus melayan perasaan. Dalam debar menanti wajah insan yang akan hadir sekejap lagi. Yang cukup-cukup dirindui. Rindunya ibarat punguk yang sedang merindukan bulan. Kemarau yang rindukan hujan. Mentari yang rindukan rembulan.
Jika dihitung pada bilangan masa. Cukuplah sebulan lebih berpisah. Nur Aishah sudah tidak sanggup lagi untuk kali kedua. Mahu dipeluknya wajah itu. Tak sabar untuk berikan satu kejutan. Biar diri faham, bahawa wanita lebih baik dan unggul dari lelaki dalam soal cinta. Cinta mampu melunakkan besi, menghancurkan batu, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan. Inilah dasyatnya cinta.
 “Echa, sekejap lagi kapal terbang akan tiba. Berdoalah kepada Allah. Semoga semuanya selamat.”
Teguran Mak Su Hasanah mengejutkan lamunan Nur Aishah yang sejak dari tadi asyik termenung. Teguran itu membuatkan dia mula menggerakkan kepala dan kembali kepada alam yang nyata.
Dia cuba menyapu birai mata. Tak sedar air mata itu sudah lama mengalir. Dia tertunduk lalu berkata, “Astarfirullah…”
Sedarlah dia. Untuk kesekian kalinya dia berangan dan termenung jauh. Melontar jauh pandangan ke hujung dunia. Terima kasih kepada Mak Su Hasanah, yang telah menghentikan lamunan dari terus pergi jauh.
“Sabarlah, sayang. Mak Su pun tak sabar nak jumpa. Bahkan bukan Mak Su saja. Semua orang sedang menanti  insan tersayang muncul di depan mata sekejap lagi.” Nasihat Mak Su Hasanah bagaikan satu semangat. Kata-kata yang keluar dari mulutnya bagaikan satu hikmah. Diakui, Mak Su seorang penanti yang setia.
Mata Nur Aishah kemudian terarah memandang segenap sudut ruang perkarangan Lapangan Terbang Sultan Yahya, Pengkalan Chepa. Sedarlah dia berada di satu lapangan terbang yang jika disingkap sejarah  di dalam tahun 2005, lapangan terbang ini menampung 635 397 penumpang, dengan 8 765 gerakan pesawat.
Subhanallah. Besarnya kuasa Allah.” Nur Aishah memuji.
Dipandang pula ke sebelah kiri. Ramainya orang ketika itu. Bising sejak dari tadi. Tetapi apabila anganan Nur Aishah pergi jauh, menjadikan landasan itu tiada orang. Sunyi dan sepi. Seolah-olah dunia tiada penghuni.
Nur Aishah tahu. Ramainya orang di situ kerana mempunyai harapan yang satu. Sama-sama menanti insan yang tersayang pulang kepangkuan. Ada kecil, besar, tua dan muda. Ada muka-muka Melayu, Cina, India dan ramai lagi. Bahkan pelancong asing juga memenuhi setiap terminal yang dibina sebagai kemudahan pelancong-pelancong yang meningkat di negeri Kelantan.
Bila semua pandangan matanya puas menembusi ke segenap penjuru lapangan terbang yang tersergam indah itu, dia kemudian memandang semula kearah Mak Su Hasanah. Ternyata emak saudaranya itu cantik sekali bertudung labuh biru laut. Raut wajahnya begitu lembut. Senyumannya manis. Itulah satu-satunya wanita yang amat rapat dengan dirinya. Yang cukup-cukup memahami. Dia amat bangga dengan keperibadian yang ditunjukkan.
Kali ini Mak Su Hasanah diam. Entah apa yang difikirkan. Nur Aishah membiarkan saja. Mungkin Mak Su Hasanah menanti insan tersayang yang akan muncul di depan mata nanti. Begitu tak sabar. Ibarat seorang isteri yang setia menanti kepulangan nelayan sampai ke pelabuhan. Menanti bangau yang hinggap di belakang kerbau.
“Ah, biarkan Mak Su Hasanah fikir apa saja. Bahkan dia berhak. Bukan seperti diri aku. Kalau berfikir lamunan itu seakan tidak mahu terhenti. Makin dilayan makin lagha.”
Genggaman tasbih terus erat. Hatinya sekali lagi beristighfar. Menyebut-nyebut nama Allah. Untuk beberapa ketika. “Subhanallah. Alhamdulillah…”
Dia menyentuh jubah dengan hujung  tangan. Mengusap-usap lembut. Tetiba ruang fikirannya kembali menerjah. Dia mengingati kata-kata bermakna Mak Su Hasanah  satu ketika dulu.        
“Echa, tahu tak. Selepas seorang demi seorang sahabat-sahabat  menyingkatkan tudung-tudung mereka bahkan memake-upkan wajah-wajah mereka dengan pelbagai rasional dan alasan. Mak Su merasakan akan bertambah sepi di dunia yang serba mencapah pelbagai tahap kemajuan ini.  Mak Su sangka akan semakin tersisih dalam masyarakat Islam sendiri.  Namun Allah memberi keterangan yang nyata.”
Indahnya kata-kata itu. Kalau boleh dia juga mahu menjadi sehebat Mak Su Hasanah yang sentiasa sabar dalam menepis ombak dan badai kehidupan.   Sentiasa mengasihi Allah. Sentiasa mengingati dosa-dosa.
 “Sayang, nampak kapal terbang tu. Mari kita ke sana!” Mak Su Hasanah sedikit meninggikan suara. Tetiba saja jari telunjuknya menunjuk kearah langit. Dia mendongakkan kepala.  Perkarangan lapangan terbang itu jadi kecoh seketika.
Nur Aishah berdebar-debar dan teruja. Dia mendongakkan kepala kearah langit biru. Jelas kedengaran kapal terbang yang akan turun tidak berapa lama lagi. Nur Aishah juga memanjangkan leher. Bagaikan bangau.
Bahkan bukan dia keseorangan. Kebanyakan penghuni lapangan terbang petang itu semua melihat dan mendongak ke langit. Kanak-kanak melompat-lompat. Ibarat mendapat hadiah kapal terbang permainan.
“Ya Allah. Semoga semuanya selamat. Alhamdulillah.” Ucap Mak Su Hasanah sekali lagi. Tangannya diletakkan di mulut.
Tetiba Nur Aishah merasakan tangannya ditarik. Tangan lembut pemilik Mak Su Hasanah memegang lembut tangannya yang masih lagi dengan dunia angan yang tak berkesudahan.
“Nak ke mana?” Soal Nur Aishah. Bagaikan orang yang tak tahu apa-apa. Malu pula dengan soalan itu yang dibuat endah tak endah oleh Mak Su Hasanah.
Mak Su Hasanah tidak berkata. Hanya menarik tangan anak saudaranya penuh lembut. Nur Aishah bagaikan lembut dicucuk hidung. Mengikut saja ke satu tempat. Menaiki anak tangga tingkat satu. Perlahan-lahan. Sehinggalah betul-betul berhadapan dengan KFC.
Di satu penjuru berdindingkan cermin kaca dapat diperhatikan. Ternyata, bunyi kapal terbang yang akan mendarat tidak berapa lama lagi membuatkan keadaan di perkarangan lapangan terbang yang pernah menjadi landasan Tentera Udara Diraja British dan juga tempat pendaratan pertama orang Jepun di Malaya semasa pendudukan Jepun pada 1941 itu agak kecoh sedikit.
Pastinya golongan kanak-kanak yang paling gembira. Ada yang menjerit-jerit kali ini. Apa tidaknya dapat melihat kapal terbang secara jelas di depan mata. Masing-masing memanjangkan leher lagak seekor zirafah di bumi Africa. Kedua-dua tangan terlekat di dinding kaca bagaikan cicak.
“Ya Allah, aku bersyukur padamu. Aku sangat rindukanmu. Ya Allah, cepat pertemukan aku dengannya.”
Setitis air mata Nur Aishah jatuh. “Ya Allah. Akhirnya orang yang aku cintai selamat sampai.  Ya Allah.  Syukur kerana kamu masih lagi memanjangkan umurnya. Satu nama yang cukup aku rindui.”
“Kita ke depan pula.” Baru saja nak melayan perasaan Mak Su Hasanah kali kedua menarik tangannya. Menuruni anak tangga. Tergesa-gesa.
Nur Aishah masih lagi bersikap lembu dicucuk hidung. Ikut saja cakap wanita yang cukup-cukup ceria petang itu. Kelakar pun ada. Macam budak kecil yang main lari-lari pula.
Perkarangan dan segenap penjuru lapangan terbang itu sekali lagi menjadi kecoh. Apa tidaknya, semua menanti dan meluah rasa. Menanti wajah-wajah yang dicintai. Ya, wajah-wajah yang tiba dari menunaikan fardu haji. Yang sudah pun bergelar haji dan hajah.
 Nur Aishah memuji. “Alhamdulillah segala puji dan puja bagi Allah yang telah mengurniakan dengan nikmat yang paling agung kepada bakal haji.”
“Echa, tengok sana!” Suara Mak Su Hasanah sedikit meninggi. Memang seronok benar. Tergambar keceriaan di wajahnya. Dia seakan melompat-lompat.
Dalam ratusan manusia itu, Nur Aishah fokus kepada satu wajah yang cukup-cukup dirindui. Lengkap dengan kopiah dan jubah yang sedang mencarinya dengan tak sabar.
“Orang yang paling kucintai. Ayah…” Dia langsung tak terkata untuk menggambarkan kegembiraan ketika buat pertama kali menatap wajah ayah yang sudahpun selamat bergelar haji. Jantungnya bagaikan terhenti. Air di dalam tempayan penuh dek hujan. Terasa dunia ini milik dia seorang. Hatinya yang ibarat dunia tiada penghuni selama ini kini seolah-olah semua manusia yang dicintai datang kearahnya.
Sekali lagi airmatanya menitik. “Syukur padamu Ya Allah.” Hati perempuan yang lemah itu memanjatkan kesyukuran di dalam kegembiraan.
Mak Su Hasanah melambai-lambai tangan. Memanggil-manggil nama. Tersengih-sengih. Kuat pula suaranya hari ini. Mungkin kerana terlalu teruja.
“Abang Long. Sini!” Tangannya melambai-lambai. Bergerak-gerak. Bola matanya memerhati.
Alhamdulillah…” ucap Nur Aishah sambil membiarkan Mak Su Hasanah bergerak beberapa langkah ke depan. Meninggalkan dirinya di belakang bagaikan patung cendana.
Kelibat ayah makin dekat. Nasib baik mata ayah tidak lagi rabun. Dari jauh lagi ayah sudah pun tersenyum. Menggambarkan kegembiraan yang sukar untuk diucapkan. Menggambarkan kepuasan dapat mengerjakan haji dengan baik. Menjadi tetamu Allah. Wajah sujud syukur itu jelas terpancar.
Assalamualaikum. Abang Long apa khabar?” Soal Mak Su Hasanah lalu terus memeluk dan mencium. Mukanya tergambar kepuasan. Ada sinar di wajahnya.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.” Ayat pertama yang keluar dari mulut Haji Ezudin sebaik saja melangkah kaki ke tanah tumpah darah. Tergambar seribu keikhlasan dalam pertuturannya. Lembut dan berhalus.
Mak Su Hasanah mengangguk kegembiraan. Berkali-kali. Tangannya sudah memegang tangan abangnya. Pada saat itulah dia menangis tanda kesyukuran. Airmata kegembiraan mengalir laju.
Alhamdulillah. Semua berjalan dengan lancar. Abang selamat menjadi tetamu Allah.” Haji Ezudin berkata lalu mencapai bahu adiknya. Berulang-kali mengucapkan syukur. Dipertemukan semua dengan insan tersayang.
“Adik sangat rindu akan Abang Long.” Jujur saja Mak Su Hasanah mengakui. Ringkas bunyinya. Tapi ada keikhlasan.
Tak perlu nak sedih. Abang sudah selamat kembali.” Seperti biasa Haji Ezudin memujuk adiknya. Dia tak mahu adiknya itu terus menumpahkan airmata. Lumrah kehidupan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap perpisahan jua adanya pertemuan. Sekarang, sudah ditakdirkan Allah. Mereka bertemu kembali.
“Mana Echa?” Haji Ezudin terpinga-pinga kemudiannya. Terlupa seketika. Matanya melilau ke sana sini. Tak sabar untuk menatap wajah anak kesayangan pula.
“Di depan abanglah.” jawab Mak Su Hasanah sambil mengesat air matanya dengan hujung jari. Dia cuba tersenyum. Kelakar juga soalan itu. Dipandang raut wajah abangnya. Gundah gulana mencari anaknya. Bagaikan kucing kehilangan anak lagaknya.
“Mana?”  Suara yang lembut tadi bertukar nada.
Mak Su Hasanah tergelak kecil apabila mendengar soalan itu. Apa tidaknya wajah Haji Ezudin makin berkerut. Memang, dalam ratusan manusia itu dia tidak dapat mengecam anak sendiri. Ratusan manusia di perkarangan lapangan terbang itu masih lagi kecoh dengan peluk cium.
“Di depan mata?” jawab Mak Su Hasanah perlahan.
Sekali lagi Haji Ezudin terpinga-pinga. Bola matanya bergerak sekali lagi. Kerisauan jelas bertandang.
Mak Su Hasanah menarik tangan abangnya lalu melangkah beberapa langkah. Membawa menuju kearah seorang wanita yang berdiri di celah-celah ratusan manusia.
“Ayah…” Dengan tiba-tiba Nur Aishah yang berdiri dari tadi datang meluru lalu memeluk Haji Ezudin.
Haji Ezudin terkejut. Mulutnya sedikit terlopong. Hatinya berdegup kencang.

“Ya Allah. Allahu Akbar!” Haji Ezudin bertanya lalu mengucap syukur. Apakah benar yang memeluknya itu anaknya Nur Aishah? Anak dara yang bertudung labuh yang ditinggal sebulan lebih itu telah berubah. Dia bukan sekadar bertudung labuh bahkan lebih dari itu. Dia telah melakukan satu penghijrahan iaitu berpurdah.
“Ayah sangat bersyukur, nak. Patutlah ayah tak cam kamu. Hanya nampak mata sahaja.” Haji Ezudin membalas di saat Nur Aishah masih lagi memeluknya.
“Satu kejutan buat ayah agar kegembiraan itu berganda-ganda. ” Hati Nur Aishah berdetik lagi
“Inilah kejutan yang saya janjikan untuk ayah. Saya berniqab, ayah. Restuilah saya…” Nur Aishah menangis di dalam jubah. Dia terus erat memeluk ayahnya. Pelukan seorang anak kepada ayah yang telah lama terpisah jauh.
Haji Ezudin rasa syukur. Jika di Mekah dia melihat ramai berpurdah dan berburqa, tetapi tak sangka ada dalam keluarganya kini juga berpurdah. Semasa di Mekah dia begitu teruja melihat perempuan mengenakan pakaian sunah para isteri nabi itu.
Nur Aishah memandang ayahnya. Wajah yang berseri itu mula menampakkan kedut-kedut. Tapi bola matanya tetap bercahaya.
“Kamu telah dipilih oleh Sang Pencipta.” Perlahan saja Haji Ezudin meluah perasaan. Hanya memandang ke dalam anak mata Nur Aishah.
“Ayah…” Nur Aishah berkata perlahan. Peluk Nur Aishah sekali lagi. Dia begitu terasa dengan kata-kata dan pujian itu.
Tapi saat itu juga ada lagi satu perasaan yang bermain dalam fikirannya. Bukan soal purdah. Tetapi tak dapat dia gambarkan. Terkenang saatnya. Semasa menghantar ayah dan ibu ke Mekah. Dua pergi. Tapi kepulangan kali ini ayah seorang.
Haji Ezudin meleraikan pelukan itu. Memandang anaknya. Tak puas dibuatnya. Tidak mahu dilepaskan.
“Ya, nak. Semua telah selamat. Tak perlu nak sedih…” Haji Ezudin memujuk sekali lagi. Mungkin kerana memahami akan isi hati anaknya itu.
Nur Aishah tertunduk. Semua kerinduan dilepaskan. Kegembiraan dan kesedihan jelas bersatu.
Mak Su Hasanah berdiri tak terkata. Dia membiarkan Nur Aishah melepaskan semua kerinduan yang ditanggung selama ini. Menumpahkan airmata kegembiraan sepuas-puasnya.
“Ya Allah. Hadiah apa yang kau nak tunjukkan kepadaku? Terima kasih Echa kerana buat ayah sangat-bersyukur.”
Sekali lagi Haji Ezudin memuji. Semangat sekali bunyi kali ini. Dia ternyata masih lagi mengagumi apa yang disaksikan. Anaknya begitu cantik dan sempurna di matanya.
“Echa, dalam keadaan masyarakat hari ini yang sangat rapuh. Satu-satunya cara yang terbaik untuk mengislahkan diri ialah hijrah. Seperti hijrah nabi dari kota Makkah Mukarramah ke Madinatul Munawarrah. Dalam hijrah, tersembunyi pelbagai manfaat yan tidak terhingga.”
Nur Aishah hanya mengangguk. Benar kata-kata ayah. Kata-kata itu masih lagi tidak berubah. Tetap seperti sebelum menunaikan haji. Penuh dengan ilmu dan pengajaran.
Alhamdulillah… Ayah bangga dengan kamu. Tabahkan hatimu nak. Seteguh batu karang di lautan. Ayah tahu engkau insan terpilih.”
Nur Aishah mengangguk. Matanya mengecil. Diperhatikan juga bola mata ayahnya.  Bergerak-gerak.
Haji Ezudin memerhati ke atas dan ke bawah. Macam tidak percaya itu adalah anak yang dibelanya selama ini. Dulu bertudung labuh kini telah berpurdah. Alhamdulillah.
 “Ayah tak marah? Pelik tak? ” Nur Aishah kemudian bertanya. Nada suara berubah. Perlahan saya inginkan jawapan.
“Ayah bersyukur sayang. Wanita menutup aurat itu sudah cukup bagus dari mendedahkan auratnya.”
“Ayah tak rasa pelik?” soal Nur Aishah sekali lagi. Inginkan kepastian yang mendalam sekali lagi dalam diri ayahnya.
 “ Apa yang peliknya? Bagaimana pula bagi mereka yang berpakaian seksi tu? Tak de pula yang nak mengata sebaliknya dipuji-puji lagi. Itu yang baru betul pelik. Yang baik dipandang serong yang jahat itu pula diagung-agungkan..”
Mak Su Hasanah tersenyum. Memang itulah jawapan yang tepat. Dia menganggukkan kepala. “Betul.”
“Ayah merestui. Echa gembira…”
Nur Aishah cuba bertenang. Tapi dia tak terdaya. Dia melepaskan semua airmata. Airmata kerinduan dan kegembiraan sekali lagi. Jawapan ayah membakar semangatnya untuk menjadikan secebis kain itu pakaiannya. Dia terus menghadap muka ayah yang dirindui.
Hatinya berdetik. “Tahukah apa kerasaan aku ketika ini? Alangkah hebatnya ar-rahman dan ar rahim mu ya Allah. Aku tersedar akan kesilapan yang telah aku lakukan. Subhanallah…”
“Tak perlu nak sedih sayang…” Haji Ezudin mencelah. Tahu benar akan perasaan anaknya. Memang sikap angannya sukar ditepis.
Kemudian Haji Ezudin memujuk. Entah kenapa Nur Aishah terlalu sensitif kini. Mungkin gembira kerana sudah lama tidak berjumpa. Sebab itulah airmatanya seakan murah saja. Sehingga purdah yang menutup wajahnya juga makin basah.
“Echa, yang tertutup itu indah. Percayalah.” Haji Ezudin memegang bahu anaknya kali ni apabila berbicara. Diperhatikan lagi. Hanya bola mata saja bertentang.
Mak Su Hasanah tersenyum. Sememangnya satu ketika dulu dia pernah ditanyakan tentang jawapan itu. Ketika ramai bertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang dia terima, “ Yang tertutup itu indah!”
“Betul ayah suka dengan perubahan ini?” Nur Aishah bertanya sekali lagi. Masakan tidak. Dia betul-betul nak kepastian. Maklum sajalah, selama ini dia dikutuk hanya semata-mata memakai secebis kain di muka.
“Ya. Suka. Suka sangat-sangat.” Haji Ezudin mencubit pipi anaknya. Kali ini lain pula dirasakan. Apa tidaknya, cubitan itu beralas.
“Apakah jawapan ayah itu ikhlas atau terpaksa?” Nur Aishah cuba korek lagi hati ayahnya. Lagi dalam.
“Echa,  jawapan ini telah dijelaskan dalam surah al-Ahzab ayat 59 maksud dan tafsirannya.”
Nur Aishah diam. Dia gembira dan puas. Ayahnya memberi jawapan yang tepat. Sememangnya dia juga tahu akan tentang ayat itu.
“Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘Hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.” Laju Haji Ezudin melafazkan firman Allah.
Nur Aishah mengangguk.
“Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya?” soal ayah.
Nur Aishah akui.  Memang dia pernah perhatikan kulit bukunya yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit buku yang tidak bersampul.  Dia pernah perhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap.  Dia perhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah. Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan membariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan hati yang sakit.
“Tak apalah Echa. Tak perlu nak risau dengan perubahan ini. Tudung labuh dan purdah itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.” Mak Su Hasanah mencelah sambil memegang pinggang anak saudaranya itu.
Nur Aishah tahu ayahnya sedaya upaya memujuk. Tapi pujukan itu tak mampu menahan airmata yang keluar. Memang, kalau boleh dia nak rasa hangatnya pelukan seorang ayah yang baru balik dari Mekah. Tapi, dalam masa yang sama dia juga nak merasakan hangatnya ibu yang tercinta bergelar hajah. Tapi, semua itu tidak kesampaian. Allah lebih sayangkan ibu.
“Ayah, Echa redha atas apa yang tertulis. Kita tak usah sedih.” Nur Aishah memandang wajah ayahnya. Dia cuba memujuk. Walaupun dia sendiri masih lagi terkilan. Walaupun selama ini dia menangis kerana derita.
Bahkan dia amat terkilan. Masih lagi terkilan. Dia mahu bagi kejutan kepada emak. Tapi emak telah membuat ‘kejutan’ terlebih dahulu.
“Echa, hari ini kita kena buang kebesaran makhkluk yang ada dalam hati kita dan kita kena masukkan kebesaran Allah S.W.T. Hari ini kita belum yakin lagi pada Allah. Kita masih ingat yang bagi kenyang ialah nasi. Yang bagi kenyang adalah Allah. Bukan sebab kita makan atau apa.”
Nasihat Haji Ezudin sangat menyentuh anaknya. Bahkan sejak balik dari Mekah, kata-kata ayah penuh dengan ilmu.
“Betul ayah.” Nur Aishah mengangguk jujur.
“Kita kena tanam keyakinan jitu terhadap kekuasan Allah. Petik suis lampu kena yakin bukan kita yang ada kuasa hidupkan lampu. Allah yang membuatnya.”
“Betul.” Mak Su Hasanah mengiakannya.
Terhenti nafas Nur Aishah seketika. Betapa katanya itu meresap masuk ke seluruh anggota tubuh. Menyelinap melalui urat saraf. Terus di hati yang buram ini bersinar dengan cahaya keinsafan dan keimanan.
“Betul tu, Echa. Tak perlu nak sedih. Mak Su masih ada. Betul kata ayah tu. Ingat pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim. Mengharungi dugaan hidup. Jika sesuatu itu secara fitrah dan syariat memang ada hujjah di sisiNya, tiada siapa yang dapat menghapuskan amalan tersebut dari kalangan wanita yang mahu memilih purdah sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepadaNya.” Mak Su Hasanah sekali lagi mencelah.
Ramai manusia sibuk setiap hari membersihkan dan mencantikkan diri yang lahir. Tapi anggota batinnya dibiarkan kotor dan berdaki. Padahal rosaknya kehidupan di dunia berpunca daripada kekotoran batin. Sudahlah mari kita balik.” Haji Ezudin mengajak. Dia tak mahu anaknya itu terus menangis meratap sesuatu yang tak bisa diputarkan kembali.
Putaran masa sangat pantas dirasakan. Kata-kata tadi belum puas diutarakan. Apapun, Haji Ezudin terpaksa menamatkan semua. Apa yang penting, dia telah wujud di depan anak dan adiknya. Semua sudah selamat. Dengan izin Allah.
Dia memerhati ke segenap penjuru. Perkarangan lapangan terbang itu semakin lengang. Semua berlalu sambil mengangkat beg masing-masing. Semua menunjukkan muka puas.
Haji Ezudin mencapai tangan Nur Aishah. Menarik dengan lembut. Nur Aishah berpegangan tangan meninggalkan perkarangan lapangan terbang itu. Mak Su Hasanah pula menuruti dari belakang.
Nur Aishah juga melangkah dan melangkah. Fikirannya tetap melayan di saat tangannya erat memegang tangan ayah. Saat itu dia merasakan hangatnya tangan tua ayah. Saat itu dia teringatkan tangan tua emaknya. Penuh dengan urat-urat. Saat itu dia tiba-tiba teringatkan arwah emak. Teringat kata-kata emak.
“Echa nampak cantik. Ramai puji. Nanti senang dapat jodoh yang solehah.”
“Mak ni. Jodoh itu rahsia Allah.”
“Tak apa. Kalau tak tahu nak pilih. Istiharah itu adalah jalan terbaik.”
“Mak, lepas mak balik dari Mekah nanti, Echa nak bagi satu kejutan.”
“Apa dia?”
“Nanti, mak balik dari menunaikan rukun Islam kelima itu akan Echa khabarkan.”
Nur Aishah sebak. Tak sanggup lagi dia mengingati kata-kata itu. Sekali lagi memeluk ayahnya sebaik saja memasuki kereta.
“Echa. Apa perlu sedih lagi? Ayah ada ni…”
Ayah memeluk Nur Aishah. Bersaksikan lapangan terbang itu ayah memandang wajah Nur Aishah. Hanya nampak matanya yang merah. Dari tadi menangis tak henti-henti.
“Echa anak ayah. Kalau kau cari ketenangan, akan kau temui dalam Islam,” balas Haji Ezudin.
Nur Aishah terus merebahkan kepalanya di bahu ayah. Lagi airmata mengalir laju. Kenapa sejak akhir-akhir ini kata-kata ayah bagaikan satu semangat. Kata-kata yang penuh bermakna sehingga mampu membuatkan airmatanya jatuh tak henti.
Tangan Haji Ezudin menyentuh kepala anaknya. Belas sungguh pada anak yatim itu. Sekali lagi dia cuba memberi nasihat. Tanpa menghiraukan hatinya juga sedih dan terkejut atas pemergian isteri tersayang ke rahmatullah.
Apapun, dia tetap menuturkan kata. Bab arwah tidak harus dibicarakan buat masa ini. Dia lebih membicarakan tentang kejutan anaknya itu. Tentang kejutan berpurdah.
Nur Aishah diam. Membiarkan ayahnya berkata apa saja. Soal aurat, soal purdah dan sebagainya. Soal purdah sudah hilang. Saat itu dia terkenangkan ibu sekali lagi. Kalau ibunya melihat dia memakai purdah hari ini pasti kegembiraan itu bersatu.
Dia tak tahu apa yang bersarang dalam otaknya itu. Pada saat itu, dia hanya ingatkan arwah ibu. Tetapi, pandai ayah mengambil alih perasaan. Soal berpurdah menjadi topik utama. Ayahnya terus membicarakan soal hijab sedangkan dalam kepala Nur Aishah, semakin ayahnya membicarakan soal pakaiannya, semakin ingatan itu tetap kepada arwah ibunya. Tentang hajatnya juga tidak kesampaian.
Mak Su Hasanah terus memandu perlahan-lahan meninggalkan lapangan terbang yang telah menjadi saksi antara kesedihan, kegembiraan dan airmata seorang insan yang baru saja berjibab dan mencari redha Allah. Membiarkan anak-beranak yang baru saja bertemu itu terus meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini.
“Semoga hari esok lebih bermakna. Buat Echa yang telah memilih sesuatu yang tertutup. Berjubah.” bisik hati Mak Su Hasanah. Doa yang terbaik buat keluarganya. Sentiasa dilindungi Allah. 

No comments:

Post a Comment