“Macam mana nak sambung belajar kalau macam
ni? Boleh ke nak capai semua impian kalau exam
pun tak pernah lulus! Haih!”
Gerutu Zaara sambil
mengeluh dan memandang slip keputusan sijil pelajaran Malaysia (SPM) yang di
ambilnya dari sekolah pukul 10 pagi tadi. Menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Harapan dia untuk
membanggakan Salman tidak kesampaian sehinggalah hari ini. Harapan tinggal
harapan!
Telinganya sudah lali
dengan suara abah yang memarahinya setiap kali Zaara menunjukkan keputusan
peperiksaan. Setiap kali juga abah akan beri reaksi yang sama. Picit dahi
sendiri. Sorry abah!
Jangan abah suruh kahwin
sudah. Teruklah dia kalau ianya benar. Bukan Zaara tak tahu tentang ‘tunang’
masa kecil dia tu! Hmm… yang pasti
dia belum bersedia. Dia ada cita-cita yang hendak dicapai.
Masih memandang slip
tersebut dengan harapan ia akan berubah. Macam mana ni? Belajar teruk-teruk pun
macam ni jugak keputusannya. Lagi
teruk adalah. Lagi sakit hati apabila mengingatkan tawa besar Aisy tadi.
Gelak tak ingat dunia.
Hantu punya adik! Bukan nak bagi kata-kata dorongan ke apa ke? Bikin hati panas
je. Debik sebijik nanti baru dia
tahu. Tanpa sedar slip keputusan itu dikeronyok. Membayangkan rupa si adik
semasa melakukannya.
“Wei… baklah balik!” Zaara cuba menggapai kertas tersebut. Namun
disebabkan Aisy yang tinggi macam tiang bendera tu memang tak dapatlah nak
ambil balik kertas tersebut.
Cubaan gagal beberapa
kali membuatkan Zaara berputus asa. Hmm!
Malas dah! Zaara lepas satu nafas panjang. Dia akhirnya duduk di pangkin luar
rumah.
“Asal akak balik cepat sangat? Tak sempat Aisy nak tahu keputusan
akak!” Aisy sudah mula memerhatikan slip tersebut. Zaara yang pada mulanya
hendak sangat menyembunyikan perkara tersebut akhirnya hanya membiarkan Aisy
melihatnya. Lambat laun Aisy akan tahu juga.
“Gilalah kak!” itu ucapan
pertama yang keluar dari mulut Aisy. Mulutnya terbuka. Tapi tak lama kerana
selepas itu dia ketawa bersungguh-sungguh. Sakit perut! Hujung mata yang berair
segera di kesat. Dia menyerahkan semula kertas tersebut. Zaara capai dan terus
sembunyikan bawah punggung dia.
“Ya… akak tahu! Akak ni
bukannya pandai macam Aisy.” meleret jawapan Zaara. Dahlah tengah sedih. Budak
Aisy ni bantai gelak pula. Huhu!
Aisy sudah mula melabuhkan punggungnya di sisi
Zaara. Wajah Zaara muram. Aisy pula serba salah. Salah sebab ketawakan
saudaranya itu. Tapi dah nama pun Aisy. Serba salahnya itu hanya sekejap
sahaja. Dia garu kepala. Harap-harap dapat keluar idea bagaimana mahu memujuk
Zaara.
“Akak!” Aisy panggil
Zaara sambil menolak bahunya kepada bahu Zaara. Cubaan untuk memujuk. Zaara
senyap. Tidak melawan. Zaara mengesot sedikit. Menjauhkan jarak mereka berdua
yang berada di atas pangkin depan itu.
Aisy tidak putus asa.
Mahukan respons Zaara. Merapatkan jurang tersebut. Tolak lagi bahu Zaara dengan
bahunya. Beberapa kali perkara itu diulang sehingga Zaara naik bosan. Naik
rimas.
“Apa?” Zaara jeling.
Malas nak melayan. Lama-lama duk main laga bahu dan mengesot mahu terduduk atas
tanah dibuatnya Zaara nanti. Bukan kira budak Aisy ni. Sudahlah tubuh Aisy ni
lagi besar daripada dia.
“Sorry?” pinta Aisy.
Matanya dikecilkan.
“Strawberry dalam peti, bawa bersama pisang berangan, boleh jalanlah
kau punya sori. Huh! Kau tu bukannya makan saman. Nak sori-sori konon.” Zaara tahu ucapan maaf itu tidak ikhlas pun
daripada Aisy. Dah terlalu biasa.
Pantun empat kerat itu
mengundang tawa Aisy sekali lagi. Kan? Zaara dah agak dah. Perkataan maaf tu
tiada makna pun untuk dituturkan. Zaara sekadar mencemik. Terkekeh-kekeh Aisy
ketawa.
Kalau bab berbahasa,
bermadah puisi ini bagi sahajalah pada Nur Zaara Aimy binti Salman. Tapi yang
peliknya, walaupun Zaara begitu, Bahasa Melayunya tetap gagal. Kalau setakat
lulus boleh terima lagi.
Ini tidak, sudah tiga
kali dia ambil SPM, keputusannya tetap begitu juga. Daripada sekadar lulus pada
dua peperiksaan yang lalu kali ini dia dapat enam pening pula. SEMBILAN. Kus
semangat!
Tak ke bebal namanya.
Memang tak dapat nak masuk universitilah jawabnya. Syarat utama untuk
kemasukkan adalah kelulusan bahasa Melayu sekurang-kurangnya kena C6. Bercakap
hari-hari bahasa kebangsaan itu, siap boleh berpantun segala, tapi tengoklah,
tetap gagal.
Siapakah yang salah?
Salah guru yang mengajar kah atau salah ibu yang mengandung kah? Eh! Apa kes
ibu mengandung pula terbabit sama?
“Dengar ya. Aisy beli
pantun akak!” Aisy berdeham-deham terlebih dahulu. Tangan kanannya diletakkan
di hadapan mulutnya. Seperti mikrofon pula.
“Testing-testing… cubaan suara… Ha! Okey pun. Akak dengar eh!…” Aisy tarik nafas.
“Punyalah tinggi terbang
si gagak, singgah nak tengok orang bersilat, Macam mana aku tak gelak, result kau tu ‘bagus’ sangat!” Aisy
berfikir sejenak sebelum membeli pantun Zaara. Tidak kisahlah walau bagaimana
bunyinya. Janji terbalas. Dia ketawa lagi. Dia tahu Zaara pasti membalas.
“Anak itik anak puyu,
sedap dimakan dengan budu, wah, wah, wah!
Sedapnya kau mengutuk aku, debik sekali kang
baru tahu.” Zaara acu penumbuk.
Aisy tahan tangan pada
muka.
“Gagak datang
beramai-ramai, bertengek tengok orang bersilat, aku bukan gelak
mengilai-ngilai, aku tanya sebab ambik berat!”
berkerut dahi Zaara mendengar jawapan bersahaja Aisy. Eleh! Ya ke?
“Tak payahlah nak
berpantun. Asyik gagak je dari tadi.
Tak ada binatang lain ke? Berbulu telinga
akak ni dengar. Aisy punya macam mana?” soal Zaara. Malas nak
berpantun-pantun sudah.
Dia dan Aisy sama-sama
mengambil SPM. Aisy kali pertama dia kali ketiga. Kalau tak ditanya pun memang
Zaara dah tahu. Aisy lulus! Tadi terserempak dengan kawan adiknya semasa nak
balik tadi. Bertembung dekat simpang rumah. Sahabat adiknya itulah yang
memberitahunya.
“Kejap!” badan Aisy sudah
senget ke kanan. Mengambil sesuatu daripada kocek belakang seluar jeansnya
dengan tangan kiri.
“Jeng, jeng, jeng eh!… nanti dulu! Akak janji jangan koyak tau!”
Aisy tarik tangannya semula apabila Zaara hendak mengambil kertas putih itu
daripada tangan kirinya.
“Ya!” Zaara pandang atas.
Macam tak percaya pada dia pula. Takkanlah dia nak buat macam tu. Tak baikkan?
Bukannya dia tak kenal adiknya ini. Satu sekolah tahu fasal dia. Popularlah
katakan.
Akademik bagus, sukan pun
bagus. Tentulah orang sayang. Nak-nak pulak
ada rupa. Tang mana handsomenya pun dia tak tahu. Macam
kurang seposen je Zaara tengok. Belum tengok budak Aisy ni tidur lagi dengan
bantal busuk dia.
Mahu ada yang pengsan tengok peta dunia kat bantal dia. Tak ada
sarung pulak tu! Isy! Tak senonoh.
Mengingatkan perangai
adiknya ini, pasti Zaara mencemikkaan mukanya. Bukannya apa, setiap kali pun
mesti ada sahaja kiriman salam yang harus dia sampaikan apabila pulang daripada
sekolah.
Tak adalah Zaara nak dengki,
cuma dia sudah naik muak. Asyik-asyik kirim salam, bagi hadiah. Huh! Kut ada imbuhan mahu juga dia
menyampaikan. Ini jadi posmen tak bergaji. Sungguhlah Zaara tak rela.
Setiap tahun sejak daripada
tadika lagi Aisy menggondol gelaran pelajar terbaik. Tiap-tiap tahun mesti muka
dia jugalah yang naik ke pentas. Mak dan abah bukan main bangga lagi. Zaara
kalau dia naik ke pentas pula semata-mata untuk jadi emcee.
Sebab suara dia yang
lunak itu, sesuai untuk mengacara majlis. Itu cikgulah yang kata. Bukan dia
yang kata. Dah orang kata sedap dia iakan sahaja.
Setiap kali nama Aisy
atau Aryan dipanggil naik ke pentas, setiap kali itulah dia akan memandang
wajah Salman dan Zaitun. Nampak riak gembira di wajah mereka. Sedangkan dia,
tidak pernah sekali pun memberikan rasa itu kepada mereka.
Setiap kali itu juga,
Zaara akan pegang dada kiri. Rasa sedih, terkilan semua pun ada. Tidak tahu
bila dia akan memberikan sinar itu kepada mak dan abahnya. Harap-harapnya
sebelum dia menutup mata.
Zaara pernah sekali
sahaja naik atas pentas. Itu pun sebab dia menang pertandingan melukis potret.
Bangga tak terkata. Senyum tak lekang dari bibirnya yang mungil itu selama
beberapa hari.
Namun, perasaan terkilan
bertandang apabila ibu dan bapanya tidak hadir untuk majlis itu. Tak apalah!
Zaara pujuk hati sendiri. Abah cuma kata hmm
sahaja tatkala Zaara tunjuk hadiah yang dia dapat. Sebuah buku nota dan juga
peralatan melukis. Tak ada sebarang komen.
Tapi Zaara tetap tersenyum
bangga dengan pencapaiannya. Nasib baik tak riak! Lukisan tu pun masih ada
dalam simpanan Zaara. Tempat pertama tu! Tak sempat nak gantung! Tak sempat nak
gantung ke atau kau tu yang mencari alasan Zaara?
“Janji?” soal Aisy sekali
lagi.
“Tak ada maknanya aku nak
dengki dekat adik sendiri! Bak sini, akak nak tengok.” itu benar. Setiap kali
nama adiknya, Aisy Zahil dilaung naik ke pentas, dialah manusia yang paling
gembira.
Yang paling bahagia
kerana dia dilahirkan untuk menjadi kakak kepada manusia yang sangat dia
kagumi. Berbangga kerana adiknya dianugerahkan otak yang cerdas walaupun mereka
dilahirkan daripada rahim yang sama. Tak macam dia. Susah sangat nak faham
pelajaran di sekolah. Macam belajar dalam bahasa Uganda pula.
Tidak pernah sekelumit
pun dia ada rasa hasad kepada adiknya itu. Allah dah tetapkan itu bahagian
Aisy. Bahagian dia mesti ada kan? Kan Allah dah janji masa di alam rahim lagi.
Tak mungkinlah Allah nak kecewakan hamba Dia kan?
Rezeki dia macam mana,
umur dia macam mana, jodoh dia dan segala-galanya sudah ditentukan di Loh
Mahfuz lagi. Cuma mungkin rezeki dia bukan dalam bidang akademik. Dalam bidang
lain rasanya. Dia perlu bersabar.
Ya, seperti kata adiknya
juga… sabar dan solat! Itulah yang dia lakukan sekarang ini. Tidak mahu melihat
wajah duka kedua orang tuanya. Rasa itu, dia tidak pernah kongsi. Rasa itu, dia
simpan dalam buku catatan bergelar diari.
Aisy gigit bibir bawah.
Menanti reaksi kakaknya membuka lipatan keputusan peperiksaan tersebut. Mak dan
abahnya pun belum tahu lagi. Zaara orang pertama. Dia dan Zaara sangat rapat.
Kawan-kawan dia pun tak tahu. Katanya tunggu dulu.
Dia nak kongsi
kegembiraan ini dengan kakaknya. Tadi, bila tak nampak kelibat Zaara di
sekolah, dia dah tahu keputusan Zaara macam mana. Bukan nak tunggu dia pun,
balik sama-sama walhal mereka datang bersama tadi.
Dia tahu Zaara sedih.
Tapi tadi memang tak sengaja nak gelakkan Zaara. Terkeluar sendiri. Serius tak
tipu! Aisy sanggup kerat rambut dan kerat kuku! Cis!
“10A1!” terpekik Zaara di
situ. Daripada duduk dia terus berdiri. Kedua-dua pipi adiknya itu dipegang.
Aisy hanya sengih-sengih melihat Zaara yang berair mata. Kalau tak kena gaya
mahu dia juga menangis sama. Al-maklumlah jiwa sensitif. Aisy hanya mengangguk.
Tadi Bakhtiar kata Aisy
hanya lulus. Tak sangka pula adiknya lulus dengan cemerlang. Bangga ni!
Kemudian rambut pendek potongan ala tentera adiknya itu digosok berkali-kali.
Sayangnya dia pada Aisy hanya Tuhan yang tahu.
Aisy pula serba tak kena
melihat genangan airmata Zaara. Bersalah kerana mentertawakan kegagalan
kakaknya sebentar tadi. Maaf kak! Aisy tak sengaja.
Zaara kemudiannya ketawa.
Dipeluknya Aisy Zahil. Dahi Aisy dicium. Gembira sangat-sangat. Keputusan dia
yang teruk itu pun tak mampu menyembunyikan perasaan gembiranya pada si adik.
“Tahniah Aisy! Akak
tumpang gembira!” ucap Zaara setelah reda perasaan terujanya. Nampaknya impian
Aisy untuk menjadi seorang arkitek hebat bakal tercapai. Entah-entah lebih
daripada itupun Aisy boleh dapat. Sebelah kakinya sudah terjamin.
Aisy mengangguk.
“Aisy mintak maaf. Tak
sengaja nak gelak macam tu!” Aisy berubah nada suara. Kali ini ucapan itu lahir
dari hatinya.
Zaara sekadar beri
isyarat tangan. Angkat bahu. Tanda dia tidak kisah. Kena beritahu pada keluarga
dia ni. Mesti buat kenduri doa selamat! Tanda kesyukuran. Tiba-tiba Zaara
mencerlung memandang Aisy sehingga Aisy jadi pelik. Sedikit gerun dengan
pandangan tersebut.
“Dah buat sujud syukur?”
soal Zaara.
Aisy pamer reaksi muka
supaya tak kena marah. Letak satu tangan dekat belakang kepala. Belum buatlah
tu! Tukas Zaara dalam hati.
“Belum! Tak sempat lagi.”
“Dah tu yang Aisy tunggu
lagi buat apa? Pergi buat cepat. Akak pun nak buat juga ni!” ketika ini mereka
berdua sudah beriringan menaiki tangga kayu menuju ke atas rumah. Rumah mereka
yang senyap sunyi itu.
Mak dan abah belum balik
lagi. Dua-dua sedang ‘mengajar’ sekarang. ‘Anak murid’ mereka terdiri daripada
150 batang pokok getah yang terletak kira-kira dua kilometer daripada rumah.
Aryan, adik mereka yang darjah enam itu masih belum pulang lagi. Mungkin balik
selepas jam lima nanti. Katanya ada latihan badminton di sekolah.
“Eh!... tapi keputusan
akak kan!… tak kan nak buat jugak!”
Aisy bertanya. Tak sampai hati nak sebut perkataan GAGAL. Yang lulus hanya
Pendidikan Seni dan Pendidikan Agama Islam. Yang lain haih… hampas!
“Ewah-ewah! Sedapnya mulut nak mengutuk aku. Perkataan gagal tu tak
ada dalam kamus hidup aku ni tau. Kita ni patut bersyukur walau apa pun yang
mendatang. Apa yang kita dapat.
“… Jangan sampai kufur
nikmat pulak. Jangan jadi seperti
kacang lupakan kulit. Lupa pada Pencipta. Heh!
Ni kira baguslah ada dua yang lulus.” Zaara tunjuk dua jari. Menyembunyikan
rasa kecewa.
“… Okeylah ni. Buatnya
enam pening semua. Tak haru ke? Tapi tak pe,
tahun-tahun depan akak cuba lagi.” Zaara cekak pinggang. Dia tiada sebarang
kesalan.
Dia dah belajar
bersungguh-sungguh sampaikan budak Aisy ni yang dipaksanya menjadi guru
terhebatnya. GTO. Great Teacher Onizuka…
eh! Salah! GTAZ…Great Teacher Aisy
Zahil. Namun dia tidak bernasib baik. Masih gagal juga walaupun sudah
belajar dan bertapa daripada cikgu paling hebat; Aisy Zahil bin Salman.
Cuma yang dibimbangkan
bagaimana dia harus menjawab dengan mak dan abahnya. Kali pertama mungkin tidak
apa. Tapi ini sudah tiga kali. Macam mana ya? Alah! Seperti biasalah Zaara.
Macam tak faham.
Huhu! Siapalah yang tak sedih. Nasib baik bukan tujuh kali seperti
kata-kata seniman Samsudin dalam cerita Seniman
Bujang Lapok ketika menghadiri screen
test untuk bergelar pelakon.
Kesian Ahmad Nisfu. Sampai masuk hospital. Apalah nasib! Alah,
terima sahajalah Zaara. Bukannya kau tak pernah kena marah bila gagal. Dah
banyak kali pun kan. Sudah mangli.
Lepas ini maknanya dia
kena menumpukan perhatian pada perniagaannya yang baru hendak menjadi itu. Haih! Entahlah! Boleh berjaya ke tak?
Zaara pun tak tahu.
Rasa nak menitik air mata
Aisy mendengar ucapan Zaara. Saudaranya ini tidak pernah menoleh ke belakang
pun. Tidak pernah fikir yang buruk-buruk walaupun teruk kena kutuk. Kena gelak.
Pedih telinga kena sindir. Selalu berfikiran positif dan jauh dan ke depan.
Zaara terus berjalan ke hadapan.
Dia sentiasa tenang.
Sentiasa ceria. Macam tak ada masalah. Zaara selalu cakap pada dia. Allah
mengikut persangkaan hamba-hamba-Nya. Baginya, yang lepas itu sudahlah. Ambil
iktibar! Kita kena bergerak ke hadapan.
Sudah jatuh beberapa kali
pun, kena bangun semula. Jangan terus meratapi nasib. Semua yang berlaku itu
adalah proses untuk mematangkan diri. Cuma kita ni sedar atau tidak sahaja.
Ujar Zaara pada suatu ketika dahulu.
Semoga Kau memberikan
rahmat-Mu kepada kakakku ini. Berilah dia kebahagiaan Ya Allah. Biarlah
senyuman manis dibibir kakakku ini sentiasa terukir. Aisy senyum.
Lepas ni apa agaknya
rencana Zaara? Satu impian paling besar hidup dia dan ditulis dekat pintu bilik
dia tak ada lain. Dari kecik sampai dah besar. AKU JUTAWAN. Tapi bagaimana?
Mak dan abah pun, sampai
dah naik pening dengan perangai Zaara yang satu itu. Macam mana nak jadi kaya
kalau akademik pun tak pernah lulus! Tak pernah dengar Zaara melawan kata, tapi
dia pun memang maklum Zaara ni, kuat semangat.
Senyap sahaja Zaara
mendengar leteran Salman. Tidak berkutik walau sedikit pun sampailah abah suruh
dia masuk bilik. Sudah bosan mengasak telinga Zaara ini.
Walaupun tidak bersuara
tetapi kadang-kadang dia nampak tangan Zaara akan mengelap airmata yang jatuh
menitis. Dia sebagai adik akan sentiasa menjadi tulang belakang untuk Zaara
yang sedari dulu amat berminat dengan dunia perniagaan.
“… lagipun aku nak buat
untuk kau sekali. Syukur sebab dapat adik macam Aisy ni. Buatkan mak dan abah
bangga sentiasa.” Ish! Zaara mengacah hendak menampar muka Aisy. Bukan macam
aku ni. Sambung Zaara dalam hati.
Pantas Aisy mengelak.
Hadang muka dengan tangan. Dia tersengih sambil geleng kepala. Macam-macamlah Zaara
ni. Kecoh! Macam mak nenek kalau aura kepoh
dia dah datang.
Setelah selesai melakukan
sujud syukur yang tak sampai beberapa saat itu, Aisy kata dia nak menjejak mak
dan abah di kebun untuk memberitahu akan hal tersebut. Sudah tidak boleh
bersabar lagi beritahunya. Sedangkan Zaara pula sedang bercekak pinggang
sebelah tangan sambil mengacau gulai.
Bau wangi menusuk hidung.
Masakan tengah hari mereka, ikan kembung bakar. Sayur kampung; cendawan busut
dan pucuk salang masak air campur daun kunyit dan buah keras untuk menaikkan
bau dan selera.
Cendawan dan pucuk salang
tu Zaara cari semalam. Meredah hutan kecil di kebun. Adalah dua tiga ekor pacat
gigit betis dia sampai gemuk. Selamba sahaja Zaara tarik pacat-pacat tersebut.
Darah yang meleleh tu
ditampal dengan daun senduduk yang sudah dikunyah lumat. Sekejap sahaja sudah
berhenti.
Kemudian Zaara tumbuk
sambal belacan campur belimbing buluh segera dibuat. Lawan untuk dua juadah
tersebut. Mahu menambah dua tiga pinggan nasi ni. Slurp! Air liur Zaara tiba-tiba masam.
Sudah terasa lauk pauk
itu semua dalam mulutnya. Tapi dia kena tunggu. Kena sabar. Tunggu mem besar dan suaminya pulang dahulu.
Baru seronok makan ramai-ramai kan.
Sedang seronok melayan
bau yang enak itu, hidung Zaara tercium sesuatu. Kembang kempis hidungnya
menahan bau. Zaara pekup hidung. Ni mesti kerja budak bulu-bulu tu! Mana dia?
Zaara mencari. Panas hati dibuatnya.
“Toddd!!!!” panjang Zaara
menjerit. Zaara lihat kakinya. Melihat ‘hasil’ lebihan budak bulu-bulu itu yang
kini melekat pada ibu jari kaki kanannya. Terdengkut-dengkut Zaara masuk bilik
air. Segera dibuang najis dan dimop tempat tersebut.
Nanti kau! Selalu tak
buat perangai macam ni. Zaara keluar sambil capai penyapu lidi yang terletak
belakang pintu. Seketika kemudian kedengaran suara Tod berbunyi dan suara Zaara
berpadu. Mereka main kejar-kejar dalam rumah!
Zaara termenung berdiri
merenung carta impian atau vision board yang
bertampal di balik pintu. Sudah bertahun lamanya. Gambar-gambar kesukaan Zaara
yang dikumpul dan ditampalkan daripada majalah dan suratkhabar. Sudah ada yang
berwarna kuning pun. Hmm…
Dia menggaru kepalanya
yang tidak gatal. Benar-benar buntu. Masih ada masa hadapankah untuk orang
sepertinya? Bolehkah tercapai semua impian yang dia inginkan. Satu keluhan
kasar dilepaskan.
Dia tidak tahu tapi dia
percaya. Tidak selamanya awan akan mendung. Tidak selamanya bumi akan sentiasa
basah. Manalah tahu, tiba-tiba datang pelangi. Kan cantik tu?
Ketukan di muka pintu
mematikan lamunan Zaara. Dibukanya sedikit. Nampak sengihan Aisy Zahil. Apa jugaklah budak ni nak? Aku baru nak
layan jiwa.
“Hah! Nak apa?” lemah
Zaara bersuara.
“Lepak jom?” ajaknya.
“Dah malam ni Aisy. Akak
letihlah. Tak reti nak tido ke?”
“Tak boleh tidolah kak! Alah! Kita lepak kat
pangkin depan tu je.” ajak Aisy.
Memujuk. Dia tahu Zaara sedang bermuram. Manakan tidak, sudah berkali-kali
ambil SPM pun masih gagal lagi. Lepas tu kena marah pula.
“After you!” ujar Zaara. Menyuruhnya bergerak dahulu. Kemudian dia
melangkah longlai.
“Akak okey ke?” Aisy
terus bertanya sebaik sahaja punggung dilabuhkan di atas pangkin.
“Okey je! Kenapa tanya?”
“Akak sedih eh?” tebak Aisy. Sedikit sebanyak dia
juga simpati. Tadi pun mak dan abah bising apabila tahu keputusan Zaara. Teruk
kena basuh. Kakaknya seperti biasa, hanya senyap sahaja. Membisu.
“Mana ada!” Zaara
menafikan. Wajah Aisy sekilas dipandang.
“Akak senyap je masa makan malam tadi. Tengah hari
pun sama. Selalu akak tak macam tu pun!”
Zaara lepaskan satu nafas
panjang. Entahlah! Bohonglah kalau dia tidak rasa perasaan kecewa itu.
“Akak malulah Aisy! Asyik
gagal je. Mak dan abah marah.
Kawan–kawan pun kutuk. Kawan-kawan akak semuanya belajar tinggi-tinggi. Akak je yang duduk terceruk kat sini. Macam
akak tak ada masa depan pulak.”
Sedihnya hati hanya Tuhan yang tahu. Bukannya dia tidak usaha. Puas dah.
Menelaah bila ada masa terluang. Sepanjang masa.
Kismis, kacang bijak dan
air penerang hati usah cakaplah. Sudah beribu-ribu dikunyah dan bergelen-gelen
air tersebut melepasi tekaknya, namun takdir Tuhan siapa yang tahu. Entah apa
yang Allah telah aturkan untuk hambanya yang bernama Zaara ini.
“Sabarlah kak. Aisy
percaya rezeki akak ada.” Faham dengan luahan rasa Zaara yang tidak terluah.
Dia memeluk bahu Zaara. Zaara melentokkan kepala di bahu adiknya. Kedua tangannya
diletakkan diribaan. Menumpang agar beban rasa terkilan itu tidak berat sangat
untuk dipikul.
Tak guna kau belajar
Zaara. Macam tu jugaklah nasib kau.
Tak berubah. Baik kau kahwin dengan aku ajalah. Sikit lagi dapat kerja bagus.
Aku suruh mak ayah aku masuk meminang eh? Nasib baik kau ni cantik! Dia
bercerita. Teringat perbualan dia dengan kawan sekolahnya yang datang ke
gerainya petang tadi.
“Apa kak?...” tinggi
suara Aisy. Wajah saudaranya ditenung dengan perasaan marah yang mula membenih.
Terkejut Zaara dibuatnya. Lebih-lebih pula reaksi budak Aisy ni. Aku okey je pun. Daripada bersandar di bahu Aisy,
wajah adiknya itu pula ditenung. Aku sekadar berkongsi cerita sahaja. Yang dia
emosi terlebih ni kenapa?
“Itu bukan kawan-kawan
namanya kak. Ada cakap macam tu pulak!”
dah puas mengutuk, lepas tu ada hati nak kahwin dengan kakak aku ni. Kirim
salamlah! Aisy mendengus marah.
Suara Aisy mula mengendur
setelah mengambil nafas beberapa kali.
“…At least you tried sis. You never give up.” Aisy sedikit berang
apabila ada yang memperlekehkan Zaara.
Zaara tersenyum mendengar
perkataan itu. Hanya Aisy yang faham cita-citanya. Sentiasa menyokongnya
daripada belakang. Memberi tunjuk ajar. Zaara tidak pernah malu untuk mengutip
ilmu daripada adiknya yang muda itu.
Aisy selalu sahaja
memberinya buku untuk di baca. Dan dia banyak belajar daripada membaca. Harta
dia yang paling berharga sekarang ini adalah buku. Bilik dia sudah penuh dengan
buku. Kalau dia mati esok, dia nak wakafkan semua buku yang dia ada dekat perpustakaan
desa yang ada di kampung ini. Itu janjinya.
“…Mana kakak Aisy yang
bercita-cita tinggi. Nak jadi jutawan tu. Akak ingat semua orang yang kaya raya
tu semuanya mesti bijak pandai ke? Ada yang tak tahu membaca pun, school dropped out, tak sekolah. Belajar
sekerat jalan. Jangan cetekkan fikiranlah kak.” Aisy beri nasihat pada Zaara
yang senyap.
Aisy sambung lagi
kemudiannya.
“...kakak Aisy bukan macam ni.”
“Entahlah Aisy!” itu
sahaja respons Zaara.
“Ada dalam kitab ke yang
sebut kalau nak berjaya tu kena lulus SPM, masuk universiti.” Aisy berhenti
untuk melihat reaksi Zaara yang dari tadi hanya senyap.
Zaara geleng. Dia tahu
fasal itu. Memang tak pernah sebut. Yang dituntut adalah mencari ilmu. Surah
pertama yang diturunkan pun maksud dia ‘baca’.
“…universiti, kolej, itu
hanya salah satu cara nak dapatkan ilmu je
kak. Ilmu Allah ni luas. Banyak! Boleh kutip kat mana-mana. Aisy tak nak dengar
lagi akak cakap macam tu tau. Sakit hati Aisy. Janji dengan Aisy boleh?” soal
Aisy sambil tumbuk dada sendiri. Menggambarkan rasa sakit itu.
Tolonglah kak Zaara
Allah.Tolonglah dia! Kasihanilah dia. Mohon Aisy dengan matanya menghadap Zaara
yang sedang menekur memandang tanah. Jelas raut wajah yang kecewa.
“Okey… akak janji!”
akhirnya Zaara pandang pada Aisy dengan senyuman tawar.
“Akak kena kuat tau. Jangan cakap macam tu
lagi. Bila akak cakap macam tu, macam akak tak percaya pada Tuhan pulak. Dia kan pemberi rezeki.” Itu dia,
Ustaz Aisy Zahil sudah bercakap.
“Tapi macam mana Aisy?
Boleh ke? Akak ni bukannya pandai pun.” masih ada ragu-ragu dalam hati Zaara.
“Bisnes laksa akak tu.
Akak ingat tak boleh maju ke? Akak ingat tak boleh jadi jutawan walau hanya
jual benda simple tu.”
“Boleh ke?” macam tak
percaya sahaja. Bulat mata Zaara. Buat duit dengan jual laksa. Macam mustahil
sahaja.
“Fasal apa tak boleh?
Cuba sebut pada Aisy sebab apa tak boleh?” Aisy cabar Zaara. Keningnya
terangkat.
“Aaa…” mulut Zaara
terbuka hendak menjawab, tapi dia tiada jawapan. Terkatup kembali mulutnya.
Betul jugak cakap budak ni.
“Cuba akak perhatikan dan
faham dalam azan yang dilaungkan lima hari sekali semalam tu.”
Zaara renung muka Aisy.
Meminta penjelasan.
“…Haiya’Alla Solah,
Haiya’Alla Fallah. Maksudnya. Solat didahulukan baharulah boleh berjaya. Itu
janji Dia kak. Aisy tengok, akak jaga solat, jaga hak Dia sepanjang yang Aisy
tengok.” Adiknya tersenyum sewaktu menuturkan kata-kata itu. Dia nampak Zaara
boleh pergi jauh.
“…tak mustahil kak! Tak
mustahil. Bila Dia kata kun, semua
pun boleh jadi. Sekelip mata sahaja. Akak sabar sikit je lagi. Mana tahu, mungkin tinggal tiga langkah sahaja lagi untuk
akak gapai impian tu!” Aisy memberikan bahasa simbolik. Dia tahu Zaara faham
maksudnya.
“…Lagipun, akak tahu ke
takdir hidup kita ni. Tak siapa pun tahu kak. Hidup, mati, jodoh pertemuan dan
rezeki, itu semua rahsia Dia. Kita sabar dan redha sahaja dengan apa yang Dia
bagi tanpa sesalan. Kerana apa yang Dia bagi itu, menjadikan siapa diri kita
hari ini.” Aisy angkat bahu. Tanda dia sudah selesai. Panjang lebar Aisy
bersuara.
Zaara senang faham. Kalau
dia diam, maknanya dia sedang mengkumuhkan apa yang dia dengar. Sedang fikir
dengan mata hati.
Hampir menitis airmata
Zaara dibuatnya mendengar perkataan-perkataan itu. Aisy benar.
“Setiap manusia yang
Allah cipta, ada kekuatan dan bakat yang Allah beri padanya. Yang tak ada pada
orang lain. Tak ada sesuatu pun yang Dia cipta itu sia-sia tau kak.” Aisy
sambung sedikit lagi. Mendengarkan kata-kata Aisy macam tak padan dengan umur.
Matang cara dia berfikir.
“Betul ke ini adik akak
yang sedang bercakap?” Zaara bertanya. Sudah tersengih.
“Akak?!!” Ditamparnya
lengan kakaknya itu. Menyampah betul kalau Zaara main-main macam ni. Orang
tengah serius ni.
Uit…
pedihnya! Zaara gosok perlahan lengannya itu.
“Nanti akak dah kaya
jangan lupakan Aisy pulak! Bawa Aisy
dengan Aryan pergi umrah tau.”
“…lagi satu… zakat jangan
lupa! Itu rukun tahu.” mengingatkan Zaara pada perkara masa hadapan. Dia
senyum. Kaki yang tergantung itu dihayun perlahan-lahan.
“Mestilah!”Jawab Zaara.
Mula membayangkan yang seronok-seronok. Kedua beradik itu kemudiannya rancak
berborak sehingga tidak sedar hari sudah larut malam. Gelak tawa mereka berdua
mengejutkan Salman. Ayah mereka yang sedang menonton rancangan gusti.
“Apahalnya tu Zaara, Aisy!” Salman bergegas ke
pelantar apabila mendengar kedua-dua anak mereka yang tiba-tiba menjerit.
Ingatkan ada perkara kecemasan sebentar tadi. Rupa-rupanya anak-anak sendiri
sedang mengusik sesama sendiri.
“…dah pukul berapa dah
ni? Mata tu tak reti-reti nak pejam!” Salman sudah bersuara.
Zaara dan Aisy saling
berpandangan. Mencemik sebelum ketawa bersama-sama. Itupun sambil tutup mulut.
Hihi. Kalau tak nanti Salman marah lagi.
Seperti biasa, setiap
hari Zaara akan berjualan di hadapan kedai Haji Harun. Semua hasil jualan
direkodkan ke dalam buku. Ada juga buku untuk nama pelanggannya. Lelaki separuh
abad itu memberikan Zaara sedikit ruang.
Dia melihat Zaara sebagai
seorang gadis kampung yang berjiwa besar, cekal dan mempunyai matlamat hidup.
Bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib.
Dia percaya Zaara boleh
berjaya. Dan ternyata telahannya itu benar setelah lima tahun berlalu.
Segala puji bagi Allah!
TAIPANPOKER
ReplyDeleteBOSAN AKAN KEKALAHAN??
KAMI TUNGGU KEHADIRAN BOS!!!
"YOU PAY,YOU GET PAID"