“KAYA raya cikgu! Nanti saya boleh tolong ramai orang! Boleh sedekah banyak-banyak!”
jawab kanak-kanak perempuan itu apabila ditanya mengenai cita-citanya.
Bersemangat sungguh dia bercerita.
Senyumannya
lebar. Namun, jawapannya itu mengundang tawa daripada rakan-rakan sekelasnya.
Kanak-kanak itu segera menunduk.
Ada
air jernih yang mula bergenang. Bibirnya dikemam. Salah ke kalau dia ada
cita-cita besar seperti itu? Walaupun selalu dapat nombor akhir sekali daripada
tiga puluh lima murid dalam kelas tersebut, tak salahkan ada cita-cita besar
seperti itu?
Guru
wanita yang bertanya itu, terpaksa meninggikan suaranya untuk meredakan hingar
bingar tersebut.
“Sudah!
Sudah! Cikgu bukan suruh kamu semua ketawakan dia!” Dia menghampiri kanak-kanak
itu. Lantas dipeluk kemas dan berbisik di telinganya.
“Satu
cita-cita yang baik! Cikgu doakan kamu berjaya. Teruskan usaha. Cikgu bangga
ada anak murid macam kamu.”
Kanak-kanak
itu mula tersenyum.
Air
matanya yang bergenar di tubir mata segera diseka.
“BABAH, kahwin tu apa? Kenapa kena kahwin?”
Emir Eshan bertanya pada babahnya yang sedang duduk berehat selepas kenduri
kahwin yang dihadiri mereka sebentar tadi. Bulat matanya mengharapkan jawapan.
Encik
Raphael geleng kepala. Soalan lagi? Aduhai anakku Eshan. Satu nafas dilepaskan.
Sampaikan dia sendiri tak tahu nak jawab apa.
Eshan
memang suka bertanya sejak dari kecil lagi. Soalan-soalan Eshan biasanya
berbentuk soalan yang kadang-kadang dia sendiri pun tak pernah nak terfikir.
Anaknya yang seorang ini berlainan benar dengan si abang.
“Nanti
babah cerita ya! Sekarang ni babah penat.” Mengusap rambut lebat anak tengahnya
ini. Tinggallah Eshan di situ termangu-mangu tanpa jawapan. Dia menggaru
kepalanya menandakan ada soalan yang mengganggu benaknya.
Berkerut
dahinya. Pelik juga dengan babahnya, kerana sebelum ini, cepat sahaja babahnya
itu menjawab.
Dia
sarung selipar dan berlari mendapatkan Karl Benjamin yang sedang bermain dengan
lastik. Mahu bertanya pada abangnya pula.
“Kahwin
tu macam mama dan babah!” terang Ben selamba. Dia tak tengok wajah adiknya itu
pun apabila menjawab. Tidak melihat reaksi Eshan yang sedang merenungnya dengan
muka ingin tahu yang menebal.
Kemudian
dia seluk poket seluar pendeknya yang kembung dengan batu-batu kecil yang
dikutip di halaman rumah. Seluarnya juga sudah senget melorot ke kanan menahan
berat batu tersebut. Kemudian dia ambil seketul batu.
“…
Dah jangan bisinglah, nanti burung tu terbang!” marahnya pula. Terganggu
konsentrasinya sebentar tadi. Ben terkenyit-kenyit mata menenang pada sasaran. Seekor burung pipit uban menjadi mangsa Ben
kali ini.
“Sakitlah
dia nanti! Janganlah!” marah Eshan. Lengan abangnya itu ditarik-tarik. Tanda
tidak suka dengan perbuatan Ben.
Tempoh
hari, Ben lastik ayam babah, habis berkeriuk satu reban. Nasib baik tak patah
kaki ayam-ayam tu. Babah rotan, senyaplah sekejap. Tapi selepas beberapa hari, Ben
pergi lastik biawak pula.
Kasihan,
separuh mati, biawak tu Ben kerjakan. Susup-sasap binatang itu lari
menyelamatkan diri. Dan kali ini, dia perlu hentikan sifat menganiaya binatang abangnya
ini.
“Ha!...
kan dah terbang dah burung tu.” Tempik Ben. Matanya dikecilkan. Nampak ada api
di sebalik sinaran mata tersebut.
Eshan
sengih sahaja kerana dapat menggagalkan rancangan Ben dan kemudian dia terus
berlari mengejek abangnya itu. Hujung lidah dijelir.
“Yeay! Yeay! Tak kena!”
Ben
mengejar daripada belakang. Berguling-guling mereka di atas rumput carpet apabila Ben dapat menjatuhkan
adiknya itu.
Kemudian
terdengar tawa besar kedua-duanya. Main geletek-geletek pula mereka. Sekejap
sahaja sudah dilupakan pertengkaran kecil mereka sebentar tadi.
Seketika
kemudian, terdengar guruh di langit. Ben dan Eshan berpandangan di antara satu
sama lain. Senyuman nakal terukir. Mereka sudah mengangguk. Hujan turun dengan
lebatnya sedangkan dua beradik tadi masih berlari-lari di halaman rumah.
Bermain air.
Beberapa
hari kemudian.
“HAH?...
Kau buat apa ni Merah?” Ben bercekak pinggang. Habislah aku. Getusnya.
Kesal
dengan tindakan adiknya itu. Lagi haru kalau babah tahu. Silap-silap dia kena
rotan. Yalah! Idea itu datangnya daripada dia. Pandai sangat suruh budak Eshan
ni buat.
“Salah
ya bang?” Eshan renung Ben sambil garu kepala. Pamer muka bersalahnya. Hari tu
dia juga yang suruh buat! Kenapa nak marah pulak?
Gerutu Eshan dalam hati. Dia tidak faham.
Ben
jeling dengan perasaan tidak puas hati.
Habislah!
Berbiratlah punggung dia selepas ini. Perlahan punggungnya di usap.
“APA nak jadilah dengan anak aku yang seorang ini!” keluh Salman apabila melihat
laporan kemajuan prestasi akademi Nur Zaara Aimy.
Semuanya
pun merah. Dahinya dipegang. Sakit kepala tiba-tiba menyerang. Berdenyut rasa
dahi. Kemudian direnungnya pula anaknya yang sedang tunduk itu.
“Zaara
buat apa di sekolah ni? Belajar ke tidak?” terasa masa menghantar dan menjemput
Zaara dari sekolah seperti satu perbuatan yang sia-sia. Terasa sangat masa itu
dibuang.
Tidak
ada satu pun yang dapat dibanggakan dengan anak sulungnya ini. Tempat tercorot
di dalam kelas. Saban tahun. Sejak bermulanya persekolahan. Dia mengeluh.
Mujur
juga hanya ada satu kelas, kalau ada banyak kelas? Bagaimana? Agaknya Zaara
berada di dalam kelas terakhir dan tempat terakhir juga. Sesak nafasnya melihat
warna tersebut. Tak pernahnya warna biru! Allah! Sakit hatinya hanya Tuhan sahaja
yang tahu.
Tiba-tiba
dia melihat masa depan Zaara yang kelam. Terbayang jelas di matanya. Gelap!
Hitam pekat seperti malam yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Suara-suara
halus mula memainkan peranan. Mula cucuk jarum.
“Belajar
abah!” jawab Zaara takut-takut. Malu pun ada juga. Jika hendak dibandingkan
dengan Aisy, adiknya yang tengah, nyata dia jauh ketinggalan. Tercorot.
Sedihnya.
“Ni
belajar apa namanya, kalau semua pun merah?” tengking Salman.
“…
Penat abah cari duit siang malam, tapi ini yang Zaara bagi pada abah dengan
mak. Cubalah jadi contoh pada adik-adik Zaara. Tak malu ke, pada Aisy? Pada
Aryan.”
Tinggi
suara Salman pada Zaara yang tunduk merenung lantai. Kakinya menguis lantai.
Bergenang
air mata Zaara apabila Salman cakap begitu. Kenapa nak tengking-tengking? Tak
boleh kah cakap elok-elok? Sedihnya. Zaara angkat kepala dan merenung pada
ibunya pula. Mengharapkan bantuan.
Gagal
mendapatkan bantuan Zaitun, Zaara bersuara. Nampaknya dia sendiri sahaja
membela diri seperti seorang pesalah. “Zaara minta maaf abah. Zaara dah cuba!”
tersekat-sekat sahaja suaranya.
Memang
betul dia dah cuba sehabis baik, tapi dia tetap juga gagal. Nak buat macam
mana. Dia tak tipu!
Dia
juga ada perasaan malu apabila diejek oleh kawan-kawan sebaya. Ada juga rasa
sedih setiap kali berhadapan dengan abah.
“Abah
tak tahulah apa nak jadi dengan kamu ni Zaara. Ikut kamulah. Coraklah masa
depan kamu sendiri.”
Buku
laporan kemajuan itu dihempas kuat ke atas meja. Sudah tebal berinci-inci
mukanya ke sekolah, berhadapan dengan guru kelas Zaara, semata-mata untuk
mengesahkan laporan tersebut serta menadah telinga dengan teguran guru anaknya
itu. Begitulah saban tahun.
“…
Penat abah hantar ke sekolah, tak ada satu pun yang lekat di kepala kamu ni!
Apalah nasib aku dapat anak macam kamu ni? Kalau macam ni, baik tak payah
sekolah. Duduk sahaja rumah. Tolong abah menoreh.”
Terduduk
Salman dibuatnya. Ikutkan hati mahu sahaja dia menunjal dahi anaknya itu. Tapi
Salman memilih untuk tidak berbuat demikian. Rambutnya yang mula menipis itu disauk.
Kecewa teramat.
Apa
lagi yang patut dilakukan dengan anaknya ini? Tiada apa yang boleh dibanggakan
pun. Satu pun tiada. Tak ada langsung. Hendak dipukul, dirotan, rasanya sudah
puas. Melolong budak Zaara ini menangis minta ampun.
Nak
kata Zaara degil, dia mendengar kata. Nak kata dia malas, rajin budak ini baca
buku. Setiap masa. Tapi kenapa keputusan peperiksaan anaknya ini sentiasa
mengecewakan? Sentiasa menyesakkan dadanya.
“Abang!”
tegur Zaitun apabila suara Salman kedengaran begitu tegas pada Zaara yang sudah
menikus begitu. Kesian melihat Zaara yang mengelap airmatanya dengan belakang
tangan. Bukan dia tidak nampak perasaan Zaara yang sedang sedih itu.
Sudah
banyak kali suaminya itu kecewa, tapi inilah kali pertama kata-kata seperti itu
dikeluarkan daripada mulutnya. Apalah yang Zaara tahu, dia hanya kanak-kanak
berusia sembilan tahun.
“…
Zaara! Pergi masuk bilik. Solat! Kemudian makan dan pergi mengaji!” suruh
Zaitun lembut. Nanti tak fasal sahaja anak tunggal perempuannya ini berbirat
tangan kena rotan. Mujur juga Zaara boleh membaca dan mengaji Al-Quran dengan
baik. Cuma, itulah, Zaara sahaja tidak pernah bernasib baik apabila berkenaan
dengan pelajaran akademik.
Mendengar
suara ibunya, Zaara bangun. Dia menghampiri abahnya. Lalu tangan Salman diraih.
“Zaara
minta maaf abah. Zaara janji, Zaara akan buat abah dan mak bangga satu hari
nanti.” Dia tunduk mengucup jemari kasar abahnya yang bertungkus lumus siang
malam bekerja untuk menyara mereka sekeluarga.
Salman
tidak memandang wajah polos Zaara yang mengharapkan pujukan darinya. Yang
mengharapkan kata-kata semangat. Melihatkan perlakuan abahnya itu, Zaara segera
beredar, perlahan langkahnya menuju ke bilik. Dia tahu, dia dah lukakan hati
abah.
Dalam
usianya yang masih hijau itu, dia sudah belajar erti kecewa. Erti terluka
melihat wajah insan yang dia sayang. Hatinya terluka kerana dia tidak dapat
memberikan apa yang mak dan ayahnya harapkan. Zaara dah cuba abah! Zaara dah
cuba! Hatinya meraung pedih.
Sekali
lagi Zaara memandang kedua ibu bapanya. Dilihatnya Zaitun sudah mengurut dada
Salman yang berombak menahan marah. Memujuk abahnya itu. Kasihan abah!
Zaara
tak bodoh abah! Zaara tak bodoh! Cuma tak berapa nak pandai. Dia bertekad untuk
menjadikan abah bangga dengannya. Dia akan cuba lagi tahun hadapan. Dia akan
cuba dapatkan tempat pertama nanti. Dia akan kotakan janji-janjinya.
Biar
mak dan abah tersenyum bangga apabila namanya dipanggil untuk menerima hadiah
di atas pentas nanti. Tunggu sahaja waktu itu. Zaara memasang tekad.
Zaara
tersenyum. Dia mengambil pen dan buku kecilnya. Bulat-bulat tulisannya mencoretkan
sesuatu di dalamnya. Buatkan mak dan abah tersenyum tulisnya selepas
mencatatkan azam-azamnya. Diciumnya buku tersebut sebelum disimpan di bawah
katil.
No comments:
Post a Comment