Tuesday, 15 April 2014

Semusim di Divonne (Uno - 1): Ika Madera

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Sungguh jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan

SETIAP kali kapal terbang menembus kepulan awan, mulutnya terkumat kamit membaca doa, menenangkan hatinya. Jarang melancong, sesekali belayar hingga berbelas jam semuanya menggerunkan. Bila kapal terbang mereng ke kanan, dia pejam mata. Tak mahu melihat apa yang ada di bawah sana. Bila ia melereng ke kiri, mata yang terpejam dibuka sebelah sahaja.
Terfikir dalam mindanya, bagaimanalah agaknya kapal terbang ini menuju ke destinasinya. Bukannya seperti memandu kereta, boleh lihat di hadapan lorong yang betul ataupun tidak. Kalau kapal terbang ini berlanggar dengan yang lain bagaimana? Aduh! Cepatlah sampai dah tak sanggup menahan degup jantung yang kencang sejak awal penerbangan. Haih..kalau bukan kerana kasih sayang, memang dia tak sanggup terbang jauh-jauh!
Bila tidak terasa kapal terbang mereng atau melalui saat ‘turbulence’ seperti kata juruterbangnya, dia sibuk memerhatikan orang-orang di sekelilingnya.  Mungkin bukan musim bercuti, kapal terbang yang besar ini tidak sampai separuh diisi dengan penumpang. Ada yang mengambil tempat duduk yang mempunyai empat kerusi, lalu dapat membaringkan diri. Sudah pasti lebih selesa buat orang itu dari tidur dalam posisi duduk. Di tempat duduknya, selang satu kerusi ada seorang lelaki yang sedang tidur berdengkur-dengkur. Rasa mahu mencubit-cubit sahaja lelaki yang menganggu konsentrasinya menonton filem. Walau telinga dicucuk dengan earphones,  dengkurannya yang kuat masih kedengaran.
Dia cuba melelapkan mata, tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum mendarat di London dan bertukar pada kapal terbang yang lain menuju ke destinasinya. Mata yang dipejam celik kembali bila mengingati, kalau dia tertidur dan berdengkur seperti lelaki itu, malunya! Lebih malu kalau badan yang sudah penat, tidur mati dan air liur juga turut meleleh. Alahai! Tahanlah wahai mata! Nanti sampai sana, kita tidur puas-puas!



Genève Aéroport.

Huruf-huruf besar yang tersusun rapi kelihatan dengan jelas sebelum kapal terbang British Airways mendarat. Kedua-dua jarinya menutup telinganya kerana bila kapal terbang mendarat, telinganya rasa seperti nak meletup! Semakin dekat pemandangan tar lapangan terbang, tidak sabar rasanya untuk keluar dan menghirup udara segar.
Seumur hidupnya yang sudah mencecah 27 tahun, ini adalah kali ketiga dia menaiki kapal terbang.Pertama kali ketika menunaikan umrah, kedua dari Singapura ke London untuk menukar kapal terbang lain untuk ke Geneva. Bolehlah kira sudah tiga kali naik kapal terbang bukan?
Hatinya tidak sabar untuk menemui mereka yang sangat dirindui. Pembetulan, dia hanya merindui seorang sahaja yang satu lagi itu, watak sampingan yang harus diterima dalam hidupnya. Siapa pun yang menjadi pilihan kakaknya, dia terima. Apa sahaja yang membahagiakan kakaknya, dia redha.
Aliah dan Jeremy, berkenalan ketika sama-sama bersesak di dalam  MRT  seperti di dalam tin sardine. Jeremy bersungguh-sungguh berbual dengan Aliah seolah-olah kawan lama. Aliah yang terpinga-pinga melayankan sahaja agar Jeremy tidak malu kalau orang keliling melihatnya seperti orang gila pula berbual seorang diri sahaja. Bila Aliah menceritakan pada Mira, berkenalan dengan Jeremy, Mira sangka ianya berakhir bila masing-masing turun di perhentian masing-masing. Rupanya, perkenalan dalam MRT melarat hingga dua hati itu terpaut. Jodoh itu bila tidak dicari, timbul dimana-mana sahaja dan taktik Jeremy, mengurat perempuan seperti sudah lama berkenalan, sah berjaya untuk dirinya. Kalau Mira yang terkena begitu, harus dia buat bodoh sahaja! Siapa yang nak jatuh cinta dengan orang gila?
Turun dari kapal terbang, mahu sahaja dia berlari terus keluar dari situ. Yang dirindui sudah semakin dekat. Jantungnya berdebar-debar macam mahu berjumpa buah hati pula! Bila dekat dengan pemeriksaan kastam, debaran jantungnya semakin rancak. Perasaan bercampur baur antara takut, tak sabar dan semakin takut bila fikir fasal pegawai yang bertugas! Takut disoal macam-macam, takut dihantar balik tanpa sempat berjumpa dengan kakaknya. Ah!!
Di hadapan pegawai imigresen, tangan kanan diletakkan pada dadanya. Shhh! Seolah-olah jantung yang berdebar itu akan mendengar arahannya. Pasportnya dibelek seketika sebelum dicop lalu dihulurkan kembali pada tuan punya paspot itu. Matanya merenung muka pegawai imigiresen di hadapannya. Cubalah senyum! Mungkin juga, pegawai ini sudah penat senyum. Kalau senyum lama-lama, mesti muka akan jadi tegang. Tak fasal-fasal dia cuba senyum, senyum hingga pipinya rasa tegang. Hah! Baru sekejap, pipi tegang, bertahun-tahun tersenyum di sebalik kaunter ini? Haruslah muka tegang!
“Welcome to Geneva!” ucap si pegawai tanpa senyuman, ayat yang sudah beribu, mungkin juga berjuta kali di sebut selama bertahun-tahun dalam pekerjaan itu. Paspot diambil lalu mengucapkan terima kasih. Dia tidak bergerak dari situ hingga memastikan paspot sudah dicop dengan betul.
Alhamdulillah! Lepas satu bahagian, kini yang kedua pula. Pemeriksaan bagasi. Debaran jantung belum berkurangan, kini rasa risau yang lain pula. Adakah dia membawa apa-apa makanan yang boleh dirampas? Seorang kawannya pernah bercerita ketika di pemeriksaan imigresen Australia, epal yang dibawa turun dari kapal terbang dirampas! Tidak boleh dibawa masuk. Di Geneva ini macam mana pula?
Dalam bagasinya itu ada pelbagai rempah, udang kering, ikan bilis, keropok ikan, lada kering dan juga beberapa botol cili sos yang kakak pesan.Dalam hati dia membaca doa banyak-banyak, janganlah apa-apa dirampas. Semua dibawa untuk kemudahan kakaknya juga.Duduk di perantauan bukannya mudah untuk dapat benda-benda kering yang dibawanya itu. Ada juga kerepek pedas, pisang dan tempe, kegemaran kakak! Aduh! Sudah sampai sini baru terfikir apa yang boleh dibawa masuk ke negeri orang. Sebelum ini, tak terfikir mahu bertanya pada si kakak pun! Yang dia tahu, semuanya mahu dibawa untuk menggembirakan kakaknya yang sudah dua tahun tidak pulang ke Singapura.
Kalau melihat wajahnya ketika itu, pucat lesi seperti seseorang yang benar-benar membawa sesuatu yang haram! Menarik bagasinya dari ‘conveyor belt’, dengan pantas dia mengatur langkah untuk keluar dari situ. Sebaik sahaja matanya menangkap kelibat abang iparnya, dia tersenyum lebar. Hilang segala rasa yang menganggunya selama berpuluh-puluh jam yang lalu. Kini, dia sudah boleh menarik nafas dengan lega.


“KAKAK!”
Mira menjerit sebaik sahaja ternampak kakaknya yang nampak kecil sahaja di antara orang ramai di balai ketibaan. Orang Eropah kebanyakannya tinggi lampai termasuklah suami Aliah. Kedua tangannya mendakap Aliah, dipeluk dengan erat berlatar belakangkan lagu Spoon yang terngiang-ngiang di telinga Mira. Rinduuu…rinduuu…serindu-rindunya! Hish! Jiwang betul! Boleh pula lagu itu yang terngiang-ngiang di telinganya.
“Hi baby..” ucap Aliah, selepas Mira melepaskannya dari dakapan.
Gelaran dari kecil melekat dengan Mira walau sudah tua bangka. Gelagat manjanya? Dengan Aliah sahajalah tempat dia bermanja selepas pemergian kedua orang tua mereka. Bila Aliah juga sudah jauh, bermanja melalui Skype sahaja!
“Dah tua masih nak panggil baby!” tegur abang iparnya yang sedang berdiri di belakang Aliah.
“Kakak, sejak bila dia pandai cakap bahasa Melayu?”
“Sejak I kahwin kakak you!” balas Jeremy dengan gembira. Padanya, bahasa Melayu tidaklah susah mana untuk dipelajari, lebih senang dari bahasa Perancis yang dipelajari ketika di universiti dahulu.
Mira mencebik bibir, menjeling mata, tidak diendahkan oleh Jeremy. Mengusik Mira menyeronokkan! Seorang tidak pernah ada adik beradik lelaki, seorang lagi anak tunggal yang keseronokan ada adik untuk didera!
“Besarnya perut kakak! Kembar ke?”
“Taklah..satu saja.”
“Kalau kembar, best!” Besar harapan Mira, sebesar perut Aliah.
“How to have two? Satu baby kecik, satu lagi baby tua.”
Mata Mira mengecik,geram dengan abang iparnya yang dari tadi senyum menyeringai sahaja di depannya. Baru mahu membuka mulut membidas kata-kata Jeremy, Mira terkejut merasai tendangan dari perut kakaknya. Tanpa sedar, tangannya masih lagi di perut Aliah yang sedang sarat menunggu hari.
“MasyaAllah! Aktifnya!”
Aliah hanya tersenyum, lewat ini bayi di dalam perutnya selalu sahaja bergerak-gerak. Bila mendengar suara-suara di sekelilingnya, pergerakannya semakin aktif. Seolah-olah dia juga turut faham!  Tika ini, mungkin dia juga turut merasakan kegembiraan Aliah menyambut kedatangan Mira.
“Marilah kita balik, sampai bila nak tunggu sini?” soal Jeremy lalu menarik bagasi Mira menuju arah pintu keluar dari lapangan terbang itu. Lengan Mira dan Aliah berpautan, pipi Aliah dicium adiknya, tersenyum-senyum Mira melihat reaksi kakaknya. Biarlah kakaknya terkejut, mungkin rindunya tak sama sepertimana Mira merindui dia. Biarpun hampir setiap hari bertentang mata dengan menggunakan Skype, tak sama bila sudah ada di depan mata. Di depan komputer tidak boleh peluk, cium, di depan mata, nak bawa lari pun boleh!
“Kenapa senyum-senyum sendiri ni?” soal Aliah, pelik, lucu sangat ke melihat Jeremy memasukkan bagasi Mira dalam kereta?
“Tengah fikir macam mana nak kidnap kakak!”
“She is mine!” ujar Jeremy, matanya mengenyit pada Mira yang sedang membuat muka merajuk.
“Dia bukan milik awaklah, Tuhan pinjamkan kita semua dekat dunia ni tau?” laju sahaja mulutnya menjawab. Manusia selalu lupa, mereka rasa milik mereka termasuklah anak, suami, isteri, boyfriend, girlfriend. Segala-mala dalam dunia ini hanya pinjaman, sampai masa semuanya diambil kembali. Kerana rasa memiliki, itulah sampai ada kes-kes pembunuhan yang tidak berhati perut. Bunuh kekasih kerana tiada siapa yang boleh memiliki dia kecuali kita. Lupa, lupa, lupa siapa pemilik kita sebenarnya.
Kalau dibawa Aliah lari, jauh dari Jeremy, baru dia tahu rasa rindu itu macam mana. Biar Jeremy belajar bagaimana terseksanya berjauhan dari orang-orang yang tersayang. Hanya Aliah keluarganya, bila berkahwin dengan Jeremy dan pindah jauh beribu-ribu batu, hanya Tuhan yang tahu perasaannya!


DI DALAM kereta, semuanya senyap sepanjang perjalanan pulang ke Dijon. Divonne les Bains,pekan yang terletak tidak jauh dari Geneva, dikenali kerana spanya. Dikatakan di pekan ini juga, meriah dengan pelancong dari pelbagai negara kerana kasinonya. Hisy, bila Mira baca fakta ini di Wikipedia, Mira geleng kepala. Dekat tempat terceruk pun ada kasino, dimana-mana sahaja ada yang mahu mengaut keuntungan. Mengikut kata kakanya, Dijon meriah pada musim panas dengan pelancong-pelancong ini juga. Mira harap pada musim luruh ini, tak adalah semeriah begitu, Mira mahu bercuti dengan tenang. Apatah lagi bila kakak kata, kebanyakan dari pengunjung kasino di situ adalah orang-orang Arab. Amboi, bukan main si pak-pak arab ni semua. Kalau nak habiskan duit yang berkepuk-kepuk tuh, apa kata bersedekah atas nama amal jariah. Tak perlu cari jauh-jauh,Palestine, Syria, benua Afrika, semua itu memerlukan bantuan setiap masa. Lebih afdhal rasanya dari menabur duit atas meja kasino.
 Bila Mira melihat pandangan di luar, langit biru, rumput menghijau, bukit-bakau yang berwarna merah jingga kelihatan dari jauh. Musim luruh yang sangat cantik.Bila difikirkan kembali, kalau Aliah tidak berkahwin dengan Jeremy, entah bilalah Mira akan menjejakkan kaki ke negara yang ada empat musim.
“Kak..kalau umi ada ni..mesti dia suka tengok pemandangan segar macam ni kan?”
“Dia akan kata..bagus untuk mata!”
Di belakang tempat duduk Aliah, Mira mengangguk setuju, itulah yang umi akan katakan. Dari asyik mengadap tv, komputer, lebih baik tengok pemandangan yang segar. Mata tak mudah rosak. Budak-budak sekarang asyik tengok komputer,tengok tv dekat-dekat, kecik lagi sudah pakai kaca mata. Kalaulah umi masih hidup, mungkin geleng kepala tengok budak masa kini, dengan iphone, tablet, segala macam gadget! Tiba-tiba Mira terfikir pula bagaimana statistic berkenaan budak-budak berkaca mata masa sekarang dengan dulu. Mungkin sudah berganda angkanya.
Walaupun mendarat di Geneva, salah sebuah bandar Switzerland yang terkenal sebagai pangkalan pelbagai organisasi antarabangsa, destinasi mereka adalah Dijon, Perancis. Menurut kata Aliah, Dijon dan Geneva seperti Singapura dan Johor Bahru. Kalau kedua negara itu dipisahkan dengan jambatan tambak Johor-Singapura, Dijon dan Geneva hanya ada sebuah ‘guard post’!
Bila kereta Jeremy meluncur laju melepasi ‘guard post’ dimana ada bendera kedua-dua negara, Mira menjadi panic.
“Tak payah chop paspot ke?”
“Careful Aliah, we have an alien now.” Laju sahaja mulut Jeremy tapi bukannya menjawab soalan Mira.
“Ei! Alien apa pula ni?!” Mira jadi risau pula bila mendengar perkataan ‘alien’, pendatang haram ke? Hisy! Kita baru jejak kaki kat negara orang, baru nak rasa teruja dah terbit rasa sakit jiwa. Sakit jiwa dengan Jeremy kaki pengusik nombor satu!
“Illegal alien!” Jeremy menoleh ke belakang, “You can’t leave Dijon now..illegal person! Alien!”
Mira menepuk dahi, beristighfar panjang. Sakit kepala ada abang ipar yang suka sangat menyakat! Boleh pula dia ketawakan Mira.  Kalau Dijon dan Geneva adalah dibawah negara yang berlainan, kenapa tak ada pemeriksaan kastam pula?
“Jangan risau. Hujung minggu sahaja mereka jaga ‘guardpost’.” Akhirnya, Aliah bersuara juga.
“Boleh plak macam tuh?” Tak puas hati betul dengan jawapan kakaknya itu. Kalau seberang tambak ke Johor tak ada chop passport, ada yang kena tahan sebab memasuki satu negara sebagai pendatang haram. Tak ke haru?
 “So on weekends, make sure you don’t get caught for being illegal!” usik Jeremy lagi. Tak cukup-cukup dari tadi untuk menaikkan darah si Mira.
“Kenapalah tak kahwin dengan orang normal saja dari si mat saleh ting tong ni?” gumam Mira perlahan. Geram!
“Not Saleh. Nama saya Abdullah Jeremy. Not Saleh.”
Mira membuat gaya mahu mengcekik Jeremy dengan kedua tangannya, geram betul dengan si loyar buruk ni! Mentang-mentang Mira masih jetlag, belum ada tenaga untuk membidas segala lawak tak lakunya itu, menjadi-jadi betul!
“Krisis identity betul. Nama Islam tapikan…”
Mira mengetap bibir, terus berdiam diri. Sudah berjanji pada dirinya sendiri, tidak mahu membebel-bebel fasal Aliah dan Jeremy fasal agama. Hal itu merisaukan Mira, entah bagaimana Aliah membimbing Jeremy. Kalau bulan Ramadhan pun tak berpuasa, macam mana pula hal solat dan lain-lain lagi? Islam bukan sekadar menukar nama sahaja tetapi cara kehidupan, kepercayaan dan apa sahaja yang dituntut dalam agama ini. Islam, bukan hanya untuk sahkan satu perhubungan semata.
Suasana di dalam kereta kembali senyap. Aliah dan Mira melayan perasaan masing-masing. Jeremy? Jeremy senang hati menyanyi-nyanyi mengikut lagu yang sedang berkumandang di radio. Sesekali, tangannya menggamit tangan Aliah dengan erat. Aliah, nyawa pada Jeremy, buah hati si Mira.



"WELCOME to Chemin de la Baronne! Nice house huh?”
Kening kiri Mira terangkat, matanya mengerling pada Jeremy dengan tangan menunjukkan rumah ala-ala jurujual rumah itu. Dari luar nampak hampir sama sahaja bentuk rumah-rumah di kawasan ini. Seperti kotak segi empat, yang berbeza ada rumah yang dua atau yang tiga tingkat. Bumbung-bumbung rumah sahaja yang nampak sama. Bumbung segitiga, Mira bayangkan, adakah ruang loteng seperti dalam novel-novel yang dibacanya? Attic room, kalau dibaca dalam novel inggeris. Menoleh ke kanan, Mira melihat setiap rumah dipisahkan dengan lelaman yang luas, tidak seperti di Singapura, rumah teres rapat-rapat. Yang ada ruang luas, boleh mencecah hingga juta-juta harganya.
Berhadapan dengan rumah Aliah, sebuah rumah yang temboknya penuh dengan rimbunan daun berwarna warni. Sedap mata memandang, membuat Mira teruja melihat rumah itu. Rumah itu terpisah dengan kawasan yang berbukit sedikit dengan rumah Aliah. Yang menarik perhatian Mira, rumah itu sahaja yang daun tingkapnya diperbuat dari kayu seperti rumah di kampung. Bila dilihat kembali rumah-rumah yang lain, daun tingkap berbentuk empat segi dan ditolak ke atas untuk dibuka.
Mira mengikut jejak tapak dari tempat berdirinya ke depan rumah Aliah. Menapak atas batu-batu kecil yang memenuhi ruang masuk perkarangan rumah itu, Mira terfikir kenapa tidak disimenkan sahaja? Sakit tapak kakinya memijak batu-batu kecil berwarna keperang-perangan dan kelabu.
Peliknya rumah ini, pintu masuk rumah ini terletak di belakang rumah. Rumah yang lain-lain, Mira perasan tadi pintu masuk berhadapan dengan jalan raya. Rumah ini pula, pintu masuknya menghadap bukit-bakau di belakang rumah. Sekali lagi, Mira mengagumi pemandangan indah musim luruh, seperti dalam perjalanan tadi, sepertimana yang dia biasa tonton dalam filem-filem barat.
Autumn, cantikkan?” soal Aliah yang sedang berdiri di depan pintu rumah itu.
“Selama ni..Mira tengok dekat televisyen sahaja. Bila depan mata, SubhanaAllah, lagi cantik!”
“Dalam negeri empat musim ni, kakak lebih suka autumn. Warna-warni musim ini, tak sama seperti musim yang lain.”
Spring mestilah lagi cantik dengan bunga-bunga warna-warnikan?”
“Itu bunga-bunga. Autumn, warna merah jingga keemas-emasan ini..lainlah..entah, kakak tak tahu macam mana terangkan..it is just beautiful..masuklah, tengok bilik Mira. Rehat. Mesti penatkan?”
Sebelum melangkah masuk ke dalam rumah, Mira memberi salam seperti orang berbisik sahaja. Beri salam kuat-kuat, nanti ada yang sensitif!
“Bilik kakak ada dekat atas ni, sebelah dapur tuh..”
Aliah hanya menunjukkan sahaja lokasi biliknya sebelum menapak menuruni tangga ke tingkat bawah. Pelik reka bentuk rumah ini, pintu masuk menghadap gunung, bila masuk ke rumah pula, perlu turun kembali untuk ke bilik-bilik yang lain. Bukankah lebih mudah kalau ruang tamu di tingkat bawah, dari laman rumah masuk ke ruang tamu dahulu. Tak adalah terpusing-pusing, turun naik, naik turun. Hilanglah segala lemak-lemak yang degil dekat badan!
Mengekori sahaja Aliah dari tadi, Aliah menunjukkan di tingkat bawah ada tiga lagi bilik tidur, dimana bilik tidur Mira bersebelahan dengan pintu ke ruang garaj.
“Ni..bilik Mira..I hope it is ok?’
“Wahh..macam bilik hotel!” usik Mira.
Di sebelah kiri pintu masuk bilik itu, ada kamar mandi. Senanglah, fikir Mira. Kalau kamar mandi di luar bilik, jenuh juga kalau nak keluar masuk bertudung. Di dalam bilik, mudah sikit. Ke dalam sedikit, ada katil bujang, ditepinya ada meja kecil dengan sebuah table lamp.
“Alamak!”
“Kenapa?”
“Kakak, sliding door ni..kalau malam-malam tidur macam mana?”
Tadi Mira langsung tak perasan pintu gelangsar yang di dalam bilik itu. Pemandangan bilik itu, rumah jiran di depan sana. Takkanlah dua puluh empat jam nak bertudung dekat sini? Aduhai! Masak! Mira melihat Aliah menekan suis di tembok,
“Mira tekan suis ni, automatic ada metal based sliding door yang akan turun.”
Mira memerhatikan sebuah pintu besi pula turun menutupi pintu gelangsar tadi dari dalam bilik.
“Dekat sini,Mira akan tengok malam nanti, semua rumah akan turunkan sliding door besi ni.” Aliah menerangkan lagi tentang fungsi pintu besi itu. Kalau di bahagian atas, setiap tingkap rumah juga ada fungsi yang sama.
“This is so cool! Tak payah pakai langsir!” teruja Mira seketika, perbezaan antara cara mereka di pulau Singa dan orang perancis.
“Bila nak naikkan balik, Mira kena tekan suis ni sekali lagi.”
Bila pintu besi dinaikkan kembali, cahaya kembali menerangi bilik tidur itu.
“She should always keep that door down.”
Jeremy meletakkan bagasi Mira di tepi katil.
“Why?” soal Aliah. Rimaslah kalau bilik itu bergelap sahaja sepanjang masa. Soalan Aliah tidak diendahkan, pantas sahaja dia keluar dari bilik dan dari bunyi tapak kasutnya, Mira dapat mengagak dia sudah naik ke tingkat atas. Bagus! Aman damai sedikit dari segala adengan loyar buruk si Jeremy.
“Mira rehat dulu. Nanti naik atas ok?”
Mira mengangguk. Bila mendengar bunyi pintu sudah ditutup, Mira melabuhkan punggung di katil. Tudung yang berlilit dibuka,baru terasa lega sedikit, dapat memberi kepalanya untuk ‘bernafas’. Sesaat mata Mira dipejam, bila celik kembali Mira menjerit terkejut melihat seorang lelaki yang sedang melambai dari luar. Ya Rabbi! Macam manalah dia boleh terlupa dalam beberapa saat sahaja untuk turunkan pintu besi itu sebelum membuka tudung? Kelam kabut tudung dibalut keliling kepala.
Kedengaran pula derap tapak kaki bergegas menuruni tangga dari tingkat atas. Pintu biliknya terus dibuka, lalu Jeremy bertanya dengan nada panik,
“What happened?”
“Who is that?!” jerit Nira, jari menunjukkan pada seorang lelaki yang sedang berdiri di luar sana.
Jeremy ketawa besar, jari jemari lelaki di luar rumah itu pula menunjukkan tanda ‘peace’ pada Jeremy.
 “Well…I did say keep the sliding door down right?”


+Dah sampai?
-Sudah..
+Selamat bercuti panjang!
-Terima kasih Isam..



MONT BLANC.
Gunung tertinggi di Eropah kata Jeremy. Mira mengangguk sahaja mendengar Jeremy bercerita dari ruang makan rumah dua tingkat itu. Mira sukakan konsep rumah yang banyak tingkap ini. Tingkap di ruang makan dari hujung ke hujung, bila berdiri dihadapannya seumpama melihat potret Mont Blanc. Dengan pemandangan memukau tatkala matahari sedang terbenam, langit berwarna ungu dan jingga, Mira mengagumi ciptaan Illahi. SubhanAllah!
 “Beautiful isn’t she?”
Mira menggangguk. Cantik. Memang segala ciptaan Illahi, begitu bukan? Kita sahaja yang nampak cacat celanya. Sedangkan Dia, mencipta setiap sesuatu itu sebenarnya sempurna. Hanya kita yang tidak menyedarinya, ada sahaja ynag ingin diperkatakan. Lebih-lebih lagi kalau membanding-bandingkan rupa manusia, hidung tak mancung, mata sepet,dahi jendul, gigi berlapis, kulit gelap sangatlah, haih! Ada sajakan?
Di meja makan, Mira menguis-nguis lasagna yang terhidang di depan mata. Berat betul mulut mahu bertanya pada Jeremy tapi takut pula kalau tersalah cakap seperti dalam kereta siang tadi.
“It’s halal meat.”
Mata Mira mengerling pada Jeremy, dah boleh baca apa yang ada di fikiran Mira ke?
“I know how particular you are. Bought it at Carrefour.”
“They sell halal meat?” Pelik. Kata kakak, susah untuk dapatkan makanan halal di sini , apatah lagi daging segar?
“Just halal mince meat. Very weird.” Mira meluahkan rasa ketidak percayaannya. Kalau ada, kenapa kakak kata susah? “Are you sure it’s really halal?” soal Mira lagi. Macam tak percaya dengan jawapan Jeremy.
“Yup. I saw an arab woman buying it, I asked and she showed me the halal label on it.”
“Ooo…Thanks, I appreciate it.”
Yakin dengan jawapan Jeremy, laju sahaja Mira menyuap lasagna ke mulut. Lapar! Santapan tengah hari tadi Jeremy membuat ‘corgette quiche’. Corgette ni..macam adik beradik timun juga cuma nama sahaja hebat sikit. Kurus sikit juga dari timun yang selalunya lebih berisi. Hah..kan..manusia kan? Timun pun boleh dibanding-bandingkan! Jeremy pun satu, macam tak tahu adik iparnya ni ‘a species of carnivour’, jenis makan daging sahaja! Sayur-sayur ini semua dia kurang suka tapi ditelan jugalah tadi bila perut dah berkeroncong.



MIRA menghendap Aliah  yang sedang leka menonton televisyen dibiliknya. Kasihan pula melihat Aliah bersandarkan beberapa buah bantal, mesti lebih selesa. Mukanya juga nampak penat, mungkin betullah kata Jeremy tadi, kakaknya lagi berehat tapi..misi memujuk harus diteruskan!
“Pssttt pssstttt!”
“Hey baby..” Aliah menggamit Mira untuk masuk ke dalam biliknya. Tak larat untuk bangun dari kedudukan yang selesa ketika itu.
Tanpa meminta izin, Mira sama-sama menyelit di sebelah Aliah, sama-sama berselubung separuh badan dengan selimut. Rupanya, walau siang tadi boleh tahan panasnya, bila malam terasa sejuk! Begini rupanya hidup di dunia sebelah sini ya? Kepalanya dilentokkan pada bahu Aliah.
“Kakak, penat ya?”
“Hmm…semakin dekat harinya, semakin terasa penat. Malas nak berjalan sangat.”
“Kalau umi ada, mesti riuh nak sambut cucu. Cucu sulung!” Mira menunjukkan jari telunjuknya, tanda nombor satu sebelum memusingkan badannya lalu memeluk Aliah dengan erat.
 “Mesti umi sibuk siapkan segala keperluan. Siapkan minyak busuk untuk baby!” Mira sambung membebel lagi.
“Minyak sawan..”
“Minyak sawan ke apa ke, tak sedap baunya, busuk! Mira bawakan minyak telon saja. Lagi sedap baunya!”
“Tapi..kalau umi ada..Mira nak suruh pakai minyak telon juga ke?”  Aliah melihat pada adiknya, dari dulu lagi kalau umi buat minyak sawan untuk sesiapa, akan dipicit hidungnya agak tak terhidu bau busuk minyak itu. Mengada! Sedangkan dulu sewaktu dia bayi, umi pakaikan minyak yang sama juga.
“Aih..kalau umi ada, kenalah pakai minyak busuk tuh! Tapi lepas tuh kita bubuh banyak-banyak bedak wangi!”
“I miss her..” Luahan rasa rindu dari Aliah membuat Mira diam untuk seketika. Rasa rindu itu selalu ada, walau sudah dua tahun umi pergi. Adakala, Mira terfikir, adakah rasa rindu itu akan hilang?
“Mira pun..tapi kakak ada Jeremy. Mira..tiada siapa.” Perlahan sahaja suara Mira, kalau Aliah rasa rindu pada umi, Mira lagilah. Hidup keseorangan, rasa rindu pada umi, pada Aliah, berganda-ganda rasanya!
Aliah mencubit pipi Mira, harus, mesti nak buat kakaknya rasa bersalah meninggalkan Mira sebatang kara tapi Mira yang tak mahu mengikutnya ke sini. Tak mahu tinggalkan saudara mara, mahupun kawan-kawannya. Tak mahu membina hidup baru, sudah selesa dengan apa yang ada di sana. Tak mahu meninggalkan rumah yang banyak kenangan dengan umi. Mira bukan seperti Aliah, yang mahu lari jauh-jauh dari segala kenangan. Jeremy seumpama tiket buat Aliah, membawa diri sejauh mungkin. Satu-satunya doa yang mungkin Tuhan makbulkan sebelum Aliah melupakanNya.
Kalau Tuhan yang tentukan segala aturan hidup kita, kenapa Dia izinkan perkara sebegini berlaku? Kenapa ada yang sanggup melupakan Tuhan? Kenapa ada yang sanggup hidup mengikut suka hati mereka. Kenapa tidak dapat dielakkan apa yang tidak bagus untuk mereka? Ah Mira! Kalau hidup ini semuanya lurus tanpa dugaan, tidaklah kita tahu belajar apa-apa dari kehidupan ini. Bukankah kata orang,life is the school of hard knocks? Doa saja Aliah taubat sebelum terlewat. Agar Jeremy juga dibimbing dengan betul tentang agama ini. Bukan setakat gelaran seorang muslim tetapi satu hapa pun tak tahu.
“Mira pindah sini sajalah.”
“Taknaklah, hati Mira hanya di Singapura lagipun tak sanggup nak tinggal dekat ceruk dunia ni lama-lama.”
“Aman tau dekat sini tak ada makcik-makcik kepo! Mira tengok jiran-jiran dekat sini, bila malam, semua rumah nampak gelap sebab sudah tertutup rapat. Sama juga macam sifat mereka, tak jaga tepi kain orang, semua cerita disebalik pintu saja.” Aliah seberapa boleh mahu menggunakan peluang yang ada ini untuk memujuk Mira berpindah ke Dijon bersama mereka. Lagipun, hanya mereka dua beradik di dunia ini. Baik, buruk, dia tetap mahukan Mira dekat dengannya.
“Eleh..kat sana pun..jiran semua tutup pintu Kak. Bukan macam orang dulu-dulu, kenal jiran semua. Orang-orang sekarang macam tinggal dalam kotak. Jiran sebelah rumah pun tak tahu nama apatah lagi nak jaga hal ehwal orang lain?”
“Hmm…talking about neighbours..dengar cerita ada orang menjerit siang tadi. Sesi berkenalan dengan jiran baru ya?” Soalan Aliah membuat Mira bangun dan duduk bersila di sebelah kakaknya itu.
“Seriusly! Tiba-tiba saja muncul depan mata! Kalaulah malam-malam dia menjelma macam gitu, harus Mira jerit kuat lagi!”
“Takkanlah siang buta pun Mira takut dengan hantu?” Melihat gaya adiknya bercerita, membuat Aliah tertawa, hantu apa yang ada siang-siang buta?
“Ish! Kalau malam-malam, haruslah Mira jerit sebab takut nampak hantu tapi tadi…”
“Tadi kenapa?”
“Sebab Mira tak pakai tudung. Mira lupa nak turunkan ‘sliding door’ tuh.”
“Alah Mira, tak ada siapa tahu kalau Mira tak pakai tudung kat sini pun.” Aliah menggeleng kepala, tak pakai tudung pun jadi isu. Dekat Dijon ni, tiada siapa akan peduli nak pakai apa pun. Ikut suka hati asalkan jangan berpurdah. Entah apa yang orang Perancis takutkan sangat dengan orang yang berpurdah. Boleh kena saman kalau pakai purdah! Negeri yang pelik tapi di sini, Aliah senang dengan kehidupannya buat masa ini.
“Tapi Tuhan tahukan?”
Aliah tidak mengendahkan soalan Mira. Tangannya mencapai alat kawalan jauh yang terletak di tepinya lalu saluran televisyen bertukar ganti lagi. Mira menghela nafas panjang, masa untuk beredar. “Mira nak tidur dululah. Penat. Esok Mira siapkan sarapan okay?”
Soalan Mira hanya disambut dengan anggukan Aliah. Seperti biasa, pipi Aliah dikucup sebelum ditinggalkan.
“I love you kakak.”
“Love you too baby..”
“Are you guys done with this lovey dovey thing? Can I have my wife back?” Jeremy bercekak pinggang di depan pintu bilik, menonton aksi manja kedua beradik itu.
“Yalah, ambiklah bini awak ni balik. Dah dia rampas kakak kita mengada-ngadalah pula nak bini dia balik kan kak? Bawa lari karang, baru dia tahu!” Mira berleter-leter sambil menurunkan dirinya dari katil Aliah.
“What did she say?” Raut muka Jeremy berkerut, bila Mira cakap laju-laju begitu, langsung dia tak faham sepatah pun!
“ I said, saleh, stop being a thief.” Jawab Mira dengan senang hati.
“Told you my name is not saleh and theft of what?”
“Of my sister.” Mira menjelir lidah lagi pada Jeremy sebelum meninggalkan bilik kakaknya.
“Asyik jelir lidah tuh, kena potong nanti.”
Mendengar teguran Aliah, Mira tersenyum. Dulu, kecik-kecik, kalau bergaduh, mesti Mira menjelir lidah pada Aliah. Aliah memang tidak akan pedulikan jeliran Mira tapi umi selalu berleter, asyik jelir-jelir lidah, Tuhan marah! Nanti Tuhan potong lidah dekat akhirat!

Mira tak mahulah kena potong lidah! Tapi..kalau jelir lidah dekat si muslim celup tuh, Tuhan terima kot? 

No comments:

Post a Comment