Berbelas-belas tahun
kemudian.
“Cepatlah Merah!...
tolong aku ni.” Jerit Ben. Kepalanya sudah buntu memikirkan. Asyik salah sahaja
daripada tadi.
“Kau ni faham perkataan
S.A.B.A.R tak? Kau tak nampak aku baru keluar daripada mana?” bidas Eshan. Siap
eja lagi perkataan itu, supaya abang dia yang tak reti nak sabar ini faham akan
maksud lima huruf tersebut.
“Lambat sangat! Selalu tu
bukan cepat je kau sudahkan ‘bisnes’
kau tu!”
Eshan kerut muka. Amboi
sejak bila pula Ben ambil masa dia masuk bilik kecik itu. Sudahlah
memekik-mekik begitu bagaikan kena rasuk sahaja lagaknya.
Ben senyum. Dia menunggu
sehingga Eshan duduk dengan selesa.
“Kau nak aku tolong apa
ni Ben?”
“Ni ha. Tolong kirakan!”
Segera Eshan beristighfar
panjang. “Astagfirullah al azim. Menjerit macam nak terkeluar anak tekak, suruh
aku keluar semata-mata nak suruh aku kira benda ni!” minta tolong main paksa-paksa
pula. Isy! Tak kuasa.
Aduh! Sungguhlah…kalau
tidak dikenang yang Karl Benjamin ini abang sudah lama diseligi abangnya ini.
Macam tak ada kalkulator! Dia tahu tak alat itu direka untuk memudahkan manusia
mengira?
“Kalkulator mana?”
“Tinggal dekat ofis. Nak
balik cepat tadi. Benda penting ni!” Selamba Ben jawab.
“Handphone kau kan ada kalkulator? Boleh pakai kan?” tegur Eshan.
Perutnya masih lagi memulas-mulas. Nak kata dia salah makan, dia puasa hari
ini. Sahur pun tak sempat nak makan
tadi.
“Susah nak tekan, jari
aku besar. Lagi pun dah habis bateri!” Ben tunjuk telefon. Belum sempat nak
cas.
“Nah! Pakai aku punya.”
Eshan hulur telefon dia. Malas pula rasanya hendak mengambil kalkulator
miliknya dari dalam bilik. Macam sudah tak ada tenaga hendak bergerak. Dia
pejam mata.
“La! Kan aku dah cakap
tadi, susah nak tekan. Lagipun banyak ni nak kira. Tolonglah!” rayu Ben lagi.
Berkerut mukanya mendengar
alasan si abang. “Kira manuallah! Pakai kertas!” cadang Eshan lagi. Betul-betul
tak ada daya nak melayan kerenah Ben yang kadang kala menguji keimanannya
sebagai seorang adik. Manja tak bertempat. Kalah dia yang adik ini.
“Kertas penuh dah ni!
Tengok!...” ulas Ben sambil buat muka paling sedih. Kertas yang digunakan untuk
mengira sudah penuh dengan entah apa-apa nombor. Padahal Eshan sudah dapat baca
air muka abangnya itu.
Taktik hendak membodek.
Faham sangat dah Eshan dengan perangai abangnya yang seorang ini.
“Pergilah ambil dalam
bilik!” arah Eshan pula. Apa yang susahnya. Ambil kertas sahaja pun.
“Malas!” sepatah kata.
Ben betul-betul malas nak bergerak. Macam longlai sahaja kakinya hendak bangun.
Kut kalau dia merangkak agaknya dah sampai dah dia dia bilik Eshan.
Pinjam mesin kira adiknya
itu atau pun ambil kertas. Tapi untuk saat ini, dia sangat malas. Jadi bila dah
malas inilah jadinya. Terlekat sahaja punggung itu di atas lantai.
Huh! Mendengarkan jawapan
Ben membuatkan darah menyirap naik ke kepala. Kalau begitu punya alasan memang
tak dapat tolong dah. Memang tak ada ubat untuknya. Jawabnya sekarang, memang
Ben nak kena.
Sabar Eshan! Sabar! Kau
tu tengah puasa. Nanti tak fasal-fasal pahala puasa kau tak dapat, batal puasa,
dosa pulak kau pikul sebab marah
abang kau ni. Kau kan tengah nak didik jiwa supaya lebih sabar. Eshan pegang
dada. Menenangkan diri sendiri. Mula memaniskan wajah.
“Habis, panggil aku boleh
selesaikan masalah kaulah ni bang?” entah apalah yang Ben mahu dia kira. Dia
geleng kepala. Lembut sahaja suaranya menegur Ben walaupun tahap geram sudah
sampai skala 11 daripada 10, Eshan tetap juga melayan abangnya itu. Masih juga
bersabar. Juga dia masih boleh tersenyum.
Ben mengangguk seperti
burung belatuk. Siap sengih-sengih nampak gigi dia. Eshan kalau dia mengira,
main congak sahaja. Mesin kira tu pun tak perlu sebenarnya. Keperluan untuk
orang yang berdekatan dengan diri dia aja sebenarnya.
Otak adiknya ini cepat
sahaja melakukan kira-kira yang Ben memang cukup ‘rajin’ nak buat. Tengok angka
seperti tengok kain baju dia yang berlonggok banyak itu. Menyampah! Tak suka.
Tapi kalau tengok angka dalam akaun, yang itu tak perlu cakap banyak suka pula
dia.
“Mari sini!” Eshan tarik
komputer abangnya. Melihat sesuatu. Dia lepas satu nafas berupa keluhan sebelum
merenung abangnya ini. Lagi sekali, kepalanya digelengkan. Penat sangat agaknya
Ben, sampai sudah tidak boleh berfikir.
Bulat terus mata Ben,
apabila melihat Eshan berbuat sesuatu pada paparan skrin komputernya.
“Boleh kira guna ini kan?
Kau cuma perlu masukkan nombor-nombor tu kat dalam ni!” arah Eshan sambil
menolak semula kerja abangnya. Telunjuknya diluruskan.
Ben hanya tergelak.
“Abang lupalah Merah! Penat sangat ni.” Ben mengetuk kepalanya sendiri. Boleh
pula dia terlupa ada perisian dalam komputer ribanya yang membolehkan dia
mengira tanpa mengunakan kalkulator.
“Yalah tu lupa!” tukas
Eshan. Dia menyandar kepala pada kerusi. Perutnya masih terasa tidak selesa.
“Nasib baik kau ada!
Kalau tak masaklah abang kau ni nak menjawab.” Dia terus memasukkan nombor
tersebut. Gembira. Proposal tender itu perlu disiapkan segera.
“Hmm…!” jawab Eshan
perlahan. Sebelah tangan diletakkan di atas dahi dan sebelah lagi diletakkan di
atas perut. Matanya dipejamkan.
“Kau dah asar ke belum
Ben?” soal Eshan dalam keadaan mata terpejam itu.
“Belum!” Laju sahaja Ben
menjawab. Mata sekejap-sekejap tengok antara komputer dan kertas kerjanya. Jari
jemarinya lincah memasukkan nombor.
“Patutlah buat kerja tak
nampak jalan. Perintah Allah suka buat lambat-lambat. Memang macam tulah!
Cukup-cukuplah subuh sahaja kita selalu terlajak Ben!” tegur Eshan perlahan. Namun
masih pejam mata.
Terus badan Ben tegak.
Menoleh sekejap pada adiknya yang sudah terlentok pada kerusi. Kemudian melihat
jam pada komputer. Sudah pukul 6.15 petang. Dia garu kepala.
Betullah tu! Agaknya tadi
‘orang atas’ bagi peringatan. Patutlah kira asyik salah sahaja daripada tadi. Thanks Merah!
Dia bangun. Tak kan
hendak kena tegur dua kali kut daripada Eshan. Malu weh! Dia kan abang. Sudah selalu benar adiknya menegur. Telinga pun
sudah naik tebal.
“By the way, jumlah dia RM315,200 Ben.” Eshan sudah membetulkan
baringnya. Muka berkerut sedikit. Tahan sakit. Mahu merehatkan mata sekejap.
Ben menjawab. “Yalah tu!”
tidak percaya. Sekejap sangat Eshan tengok nombor-nombor tu tadi. Tidak pernah
nak percaya dengan kepantasan Eshan mengira.
“Tak percaya sudah!”
jawab Eshan kembali. Ada rasa kurang senang di situ. Dia menguap. Lantas
mulutnya ditutup.
Sekembalinya Ben daripada
bilik, dilihatnya tangan Eshan sudah tergantung keluar daripada badan melepasi
kerusi tempat dia berbaring. Adiknya sudah terlena. Dia perasan Eshan agak
tidak bermaya. Bibirnya sedikit kering dan pucat.
Puasakah penyebabnya?
Tapi tak juga rasanya. Sebab Eshan memang rajin puasa pun. Isnin khamis. Kalau
datang angin rajin dia, puasa selang sehari. Puasa nabi Daud.
Kalau Eshan puasa pun dia
masih lasak berkebun. Pergi gim. Tak penat. Tapi mungkin juga sebab dia keluar
masuk tandas banyak kali agaknya. Eh? Baru Ben teringat, hari ini hari Jumaat.
Tak kerja ke adik dia ni?
Puasa apa pula dia? Ben angkat bahu. Biarlah dia rehat sekejap. Putusnya
kemudian. Dibetulkannya tangan Eshan dan terus menyambung semula kira-kiranya.
Beberapa ketika kemudian,
dia kembali merenung Eshan yang sudah tidur mengiringkan badan menghadap ke
arahnya. Dia geleng kepala. Sekali lagi dia melihat jumlah yang tertera. Sama.
Dia tertanya-tanya. Bagaimana jawapan Eshan boleh sama dengan jawapan dirinya.
Kadang-kadang dia rasa
Eshan ni spesis pelik. Macam alien. Adik lelaki dia ni, suka sangat dengan
angka. Kemaruk betul dengan nombor. Jadi sesuai sangatlah kursus yang dia ambil
masa di universiti dulu. Kemudian bekerja pula sebagai akauntan. Memang elok
sangatlah tu.
Tapi, kesukaan Eshan
terhadap nombor sama sekali tidak dapat menerangkan bagaimana Eshan boleh
mengira dengan pantas.
“Merah!” Ben menggoncang
bahu Eshan.
“Hmm…” Eshan masih pejam
mata. Namun sudah mengeliatkan badannya. Matanya memandang Ben yang sedang
tunduk memandangnya.
“Bangun!... Abang belanja
Merah buka puasa hari ini. Dekat pukul tujuh dah ni! Dekat-dekat maghrib boleh pulak lena.” Sempat menyindir adiknya.
Sudah meleret senyuman di
bibir Eshan.
“Puasa apa hari ni?” soal
Ben ingin tahu.
“Nazar!” sepatah sahaja
Eshan jawab.
“Sebab apa?”
“Adalah!” Eshan berahsia.
Dia sengih.
“Dahlah! Tak nak bagitahu
sudah. Tu… pergi cuci muka dulu. Sememeh
je aku tengok!” ujar Ben sambil
mengemaskan kertas-kertas yang berselerakan di atas meja.
“Kau nak belanja ya. Ni
yang buat aku sayang kat kau ni Ben!” tutur Eshan. Pipi Ben sempat pula
dikucupnya.
“Oi… apa ni?” Ben menepis
badan Eshan. Main cium-cium pula. Tinggi suaranya dengan tingkah adiknya itu.
Terkejut sebenarnya. Pipinya dilap-lap dengan tapak tangan.
Eshan hanya tertawa
sebelum hilang daripada pandangan abangnya itu.
Terkedu Ben di situ
sebelum dia berkata perlahan. Tidak didengari oleh Eshan pun. “Ya!... aku pun
sayang kau jugak. Kau kan adik aku.
Aku nak sayang siapa lagi kat sini. Mak dan abah kat kampung. Ning pula jauh
dari mata.”
Hatinya tenang. Setiap
kali Eshan mengucapkannya, setiap kali itulah dia rasa macam air dingin
dicurahkan pada hatinya.
“Ben…aku nak makan laksa
tau!” jerit Eshan dari dalam bilik air.
“Yalah.
Tapi cepatlah sikit!” jeritnya juga. Sekali lagi dia terkejut. Bertuah betullah
ada adik yang suka bagi jantung dia berdegup deras. Pendiam apa macam ni?
Sempat dia bersungut kecil. Ben pegang dada.
No comments:
Post a Comment