Monday 18 April 2016

Vignette (Bab 3) ~ Syud

Jun 2013

Pagi itu, (seperti biasa) mama membebel lagi.
Perkara ini sudah jadi rutin bagi dirinya. Dia celik mata sahaja suara mama lah yang dia dengar dulu. Mama memang handal bab-bab membebel ni. Semua benda dalam rumah ini boleh aje jadi topik. Benda hidup ke, benda tak hidup ke, semua tak terlepas daripada bebelan mama.
Dan hari ini topik mama adalah….
“Ini Along la ni. Cat dah merajuk sebab Along tak bela dia elok-elok. Kan lari dah dia.”
Kucingnya yang hilang sejak petang semalam. Cat pula topik mama pagi ini. Padahal Cat selalu sahaja lari dari rumah sebelum ni, tapi yang pastinya kucingnya itu pasti akan balik juga. Nanti dia lapar, dia akan balik juga. Mama juga yang cakap macam tu dulu.
Lagipun Cat tu mama yang beria nak bela. Memang dia yang jumpa Cat dalam enam bulan yang lepas – masa tu Cat masih lagi anak kucing. Dia sedang buka pagar rumah – rutinnya setiap pagi – dan mendapati ada anak kucing di hadapan pagar itu. Basah kuyup pula, sebab sebelum Subuh hujan. Bila dia beritahu mama, mama terus suruh dia bawa anak kucing itu masuk ke dalam rumah.
Dan bila dia pulang dari pejabat malamnya, dia tengok anak kucing itu dah sedap duduk atas sofa. Mama beritahu yang dia kesian pada anak kucing itu, dan mama ambil keputusan untuk bela sahaja. Elok bela kucing, mama kata. Dia pun angguk sahaja.
Cuma… mama suka nak cakap Cat itu sebagai kucingnya. Sikit-sikit kucing Along. Kalau orang tanya, mama memang akan cakap;
“Oh, tu kucing Along.”
Mungkin sebab dia yang jumpa Cat, jadinya mama anggap Cat tu adalah kucingnya. Walhal, wataknya setakat itu sahaja – orang yang jumpa Cat. Sedangkan nama Cat pun bukan dia yang beri.
Okey, mungkin dia yang tak sengaja menamakan Cat sebagai… Cat.
“Kucing ni nak letak nama apa?”
“Mama la letak nama.”
“Kan Along yang jumpa. Ni mama bagi penghargaan. Cepat! Fikir nama untuk kucing ni.”
“Letak aje la nama apa-apa… Cat ke… apa ke.”
Dia tak sangka yang mama mengambil serius cadangannya itu. Bila Farha tahu, adiknya itu bantai gelak. Langsung tak ada nilai estetika, kata Farha.
Semalam mama membebel fasal salah satu pasu bunga yang tergolek. Mungkin dilanggar Cat. Masalahnya mama tak sebut pun nama Cat, sebaliknya nama dia juga yang mama sebut.
Dan hari ini Cat hilang, nama dia juga yang mama sebut!
“Along…-“
“Mama, Cat hilang bukan sebab Along tak kahwin lagi ma.”
“Mama bukan nak sebut fasal tu! Paranoid.” Mama menyindir, lengkap dengan senyum sinis sekali.
Dia diam sahaja. Malas nak membalas kata-kata mama. Kalau dia balas pun, dia yang bakal lambat. Jadinya, baik diam sahaja.
“Cat ni kurang kasih sayang agaknya. Asyik nak lari dari rumah aje.”
“Biar la mama… dia kan kucing. Suka hati dia la nak pergi mana.” Firdaus menyahut malas. Dia membuka pintu kereta. Lepas tu dia hulur tangan pada mama, untuk bersalam.
“Bila Along terbang lagi?”
Firdaus ketawa. “Sejak bila Along jadi Superman?”
“Perasan la tu. Bila Along pergi Singapore lagi? Ke pergi mana pulak lepas ni?”
“Singapore je. Entah la. Rasanya bulan depan kut. Bos Along tengah plan next lockdown. Sama ada pergi Singapore atau pergi jumpa dia.”
“Pergi Vienna?”
“Ha ye la.”
Mama menggeleng. “Kamu ni tua dalam kapal terbang aje nanti. Ingat dah kerja tempat baru kurang la sikit sibuk dia tu... rupa-rupanya lagi teruk.”
Firdaus hanya ketawa. Dia tahu mama kurang senang dengan kerjanya yang asyik ke sana ke mari ini. Dulu semasa di Accenture, dia asyik pulang lewat dan hujung minggu pun dia masuk ofis. Tempat baru ni (bukannya baru sangat pun, dia di Bristol Technology sejak Februari tahun ni), tak ada lah pulang lewat tapi asyik terbang ke sana ke mari. Nak buat macam mana, memang dah skop kerjanya macam ini. Dia menerima tawaran kerja ini yang terang-terang menyatakan: travel requirement: 30% - 40%.
Entah kenapa dia lebih suka macam ni. Padanya kerjanya sekarang ni kurang sikit tertekan daripada kerja di tempat lama dulu. Walaupun dia banyak menghabiskan masanya ke sana ke mari, tapi dia rasa dia lebih tenang.
Betul lah kata orang, bila banyak benda yang nak kena fikir, benda-benda lain yang tak ada kena mengena akan hilang perlahan-lahan.

---------------------

Dia baru mahu mematikan enjin bila telefonnya yang elok terletak di kerusi penumpang di sebelah berbunyi. Siapa pulak yang telefon pagi-pagi nih?
Nama di skrin dilihat sekilas sebelum dia menekan butang hijau.
“Ha.”
Hanya suara orang tergelak membalas ‘sapaannya’ itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
“Cik Yam baru lepas membebel ke apa? Stress je suara kau.”
Dia tarik nafas. Kemudian dia baru tersedar yang dia belum menanggalkan tali pinggang keledar. “Kau tau la mama aku tu macam mana...” dengan nada separuh bersemangat dia menyambung. Tangannya yang bebas menanggalkan tali pinggang keledar.
Dia dengar Usamah ketawa membalas kata-katanya.
“Ni kenapa telefon pagi-pagi ni?” Firdaus menyoal apabila Usamah tak cakap apa-apa.
“Aku baru sampai KLIA ni.”
“Ha. Kau baru balik dari mana?”
“Kau lunch pukul berapa? 12 kan?” Usamah terus bertanya, langsung tak menjawab soalannya. Firdaus tersenyum sendiri. Sepupunya yang seorang ni memang. Benda-benda yang dia rasa tak payah nak jawab, dia memang tak jawab.
“Ha.”
“Okey. Nanti aku telefon lagi la nak confirm kan. Eh, Ilham dah balik kan?”
“Dah. Minggu lepas.”
“Dia dah mula kerja ke?”
“Aku rasa belum. Minggu lepas, dia jet lag. Minggu ni aku rasa biology clock dia dah okey. Kau telefon la dia.”
“Hish. Aku jugak.”
Terus dia ketawa. “Dah kau yang suggest kan. Kau la arrange.” Enjin kereta dimatikan selepas dia mematikan radio dan suis penghawa dingin. “Dah. Jumpa nanti.”
Dia terus mematikan talian sebelum sempat Usamah membalas kata-katanya. Dia dah lama tak jumpa Usamah. Rasanya kali terakhir dia bertemu muka dengan Usamah... bila ya? Tahuna lepas? Sepanjang dia berulang-alik ke Singapura dia langsung tak sempat nak jumpa Usamah, walhal Usamah sekadar di seberang tambak sahaja pun.
Elok dia keluar awal hari ni – sebelum jalan mula sesak. Begitupun lambat juga dia sampai – dalam pukul 7.45 pagi. Dia memang berniat nak datang awal hari ni sebab petang nanti dia nak ke Puchong, ada customer nak datang buat validation. Dia tak adalah terlibat pun, cuma Steve ingatkan agar ada wakil dari IT stand by kalau-kalau ada masalah nanti. Lagipun orang yang ada akses admin pada sistem kualiti tu hanya dia dan Zack sahaja. Maka selalunya dia atau Zack la yang kena jadi penunggu setia.
Satu lagi sebab dia nak datang awal – dia nak baca e-mel yang setambun dalam inbox. Dia baru pulang dari Singapura selepas ‘bertapa’ (bak kata Izzat) di Seattle hampir tiga minggu – langsung tak sempat nak tengok e-mel yang tak letak tanda high important. Ralf – ketuanya ada menyebut fasal team building dalam e-melnya semalam, tapi dia tak tau apa yang Ralf maksudkan.
Kad akses dikenakan pada reader, dan penghalang kaca itu terbuka untuk memberi laluan padanya.  Sebab masih lagi awal, tak ramai orang yang sedang menunggu lif. Dia angguk pada Fei yang spontan tersenyum bila perasan akannya.
Elok dia berjalan melepasi halangan kaca itu, dia dengar bunyi dentingan yang menandakan pintu lif terbuka.
“Firdaus!”
Satu suara memanggil, pada waktu yang sama dia mahu mempercepat langkahnya untuk masuk ke dalam lif. Terus tak jadi dia nak ikut masuk ke dalam lif yang sudah separuh penuh itu,
“You nak masuk ke?” soal Fei, sebelah kakinya di luar lif. Sebelah tangannya pula menahan pintu lif – sambil menunggu jawapan daripada Firdaus.
Firdaus menggeleng. “Go ahead. I tunggu next one.”
“Okey!”
Lif yang separa penuh itu tertutup pintunya, dan Firdaus teringat sesuatu yang dia belum buat. Terus dia seluk poket mencari telefon. Dia lupa nak telefon mama untuk memberitahu dia dah sampai pejabat.
“Oi. Sombongnya.”
Firdaus tak terus menjawab sebab dia masih lagi menyeluk poket jeans untuk mengeluarkan telefon. Khairul yang sudah berdiri di sebelahnya dipandang sekilas. “Sorry la. Kepala aku ada satu aje. Banyak tempat nak kena toleh.” Telefon di tangan sekadar di pandang kosong. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
“Eh, tahniah. Sorry sebab tak dapat nak datang.”
Khairul sengih. “Thanks. Azue kata majlis nanti kalau kau tak datang dia kejar kau dengan lesung.”
Terus terbayang Azue yang kecil molek tu lari bawak lesung. Tunang Khairul itu memang baik dengannya – walhal mereka hanya pernah dua kali berjumpa. Mungkin sebab perwatakan Azue yang peramah itu, agaknya.
Dia sebenarnya memang dah berjanji nak datang, cuma saat-saat akhir dia kena terbang ke Singapura pula. Iya aje Azue ni. Padahal masa dia tak jadi datang dulu dia dah telefon Khairul, dan Khairul kata Azue tak kisah. Lagipun majlis bertunang sahaja – nanti dah kenduri kahwin wajib datang.
Jemarinya mencari nombor telefon rumah mama, tapi dia terhenti.
Eh. Tapi pagi-pagi macam ni mama mana ada kat rumah. Mama selalu keluar ke pasar atau ada kelas mengaji.
Kejap nanti la.
“Pagi!” satu lagi suara menegur. Kali ini Firdaus menoleh, dan sekadar mengangguk pada Zack yang sedang melangkah menghampiri mereka berdua.
“Akhirnya kau wujud juga. Lepas hilang beberapa lama.” Zack menepuk bahunya menggunakan surat khabar.
“Mana ada aku hilang.” Firdaus membalas. “Aku ada aje. Kan meeting setiap dua minggu aku tak pernah miss.”
“Hilang la. Orang e-mel tak balas, MSN tak online, Lync asyik away aje. Kau hilang dari radar macam tu aje.” Khairul pula menyibuk. Sempat dia menarik The Star yang dipegang Zack, membaca tajuk utama hari ini. Tekun Khairul meneliti berita yang tercatat pada dada akhbar percuma itu.
“Kau reply work related emel aje. Yang tak work related semua kau ignore eh?” Zack menekan butang lif walaupun butang lif itu sudah sedia menyala. Firdaus mengerutkan dahinya, tanda kurang senang. Zack sekadar tersengih.
“Lambat.” Zack menutur sepatah.
“Sabar.” Firdaus membalas, juga sepatah.
Telefon di tangan kembali digenggam. Memang betul pun kata Zack, dia hanya membalas emel yang berkaitan kerja sahaja. Yang tak berkaitan kerja macam newsletter ke... organization announcement ke dia biarkan sahaja.
Rasanya ada dalam dua ratus emel yang masih belum di baca dalam inbox Outlook dia.
“Ada apa-apa terjadi ke sepanjang aku tak ada? Meja aku ada lagi kan kat situ?”
Zack tak terus menjawab. “Sebenarnya... aku pun baru balik dua hari lepas. Hari ni aku baru masuk ofis ni hah. Cuba tanya Khairul. Dia tak pergi mana-mana melainkan cuti dua hari minggu lepas.”
“Hah?” Khairul angkat muka. Kemudian dia menggeleng. “Tak ada apalah. Macam tu aje. Oh ha-“
Khairul tak sempat nak habiskan ayatnya, sebab pintu lif sudah terbuka. Mereka yang memang berdri di hadapan lif terus sahaja masuk. Cepat-cepat Firdaus menekan butang 21 dan terus bersandar pada dinding lif.
Sekejap sahaja lif yang agak kosong ini dipenuhi manusia. Firdaus lihat sekilas jam di pergelangan tangannya. Patutlah, sudah tepat  jam lapan pagi. Waktu orang berpusu-pusu, berebut-rebut nak masuk pejabat.
Dia menunduk, membelek field boot Timberland miliknya yang sudah lusuh. Bila nak beli kasut baru ni? Dia sayang sangat pada but ini. Sudah serata dunia dia bawa but ni. Cukup empat musim pun rasanya. Dia ada dua pasang but Timberland, kedua-duanya dia beli semasa dia ada kerja di US tapi satu ini yang selalu dia pakai. Lagi satu tu high cut... takkan nak pakai kat KL yang panas ni. Pergi negara sejuk elok la. High cut boot tu jadi tempat tidur Cat semasa Cat masih lagi anak kucing. Sekarang ni tak muat dah Cat nak masuk dalam tu, sebab Cat dah jadi kucing obese. Mama la, sayang sangat dengan Cat tu. Sampai gemuk Cat dibuatnya.
Dia menepuk poket jeans, dan terasa telefonnya. Terus dia membuat nota pada diri sendiri – sampai atas nanti telefon mama. Harus.
Lif mula berhenti, menandakan mereka sudah sampai ke tingkat 18 sekurang-kurangnya. Firdaus mengerling ke arah pintu, untuk memastikan mereka tidak terlepas tingkat 21.
Tingkat 19. Tingkat 21 lepas ni.
“Siapa yang pergi jadi pak pacak petang ni? Kau ke Zack?” Khairul tiba-tiba bersuara.
“Tak. Aku dah pergi bulan lepas. Kali ni turn Firdaus.”
Sekali lagi lif berdenting, menandakan mereka sudah tiba ke tingkat 21. Rupa-rupanya seramai-ramai umat manusia tadi, semua turun kat tingkat 19. Hanya tinggal mereka bertiga dalam lif.
“Eh korang nak naik atas ke?” soal Firdaus apabila perasan hanya dia sahaja yang melangkah merapati pintu lif yang sudah terbuka.
“Ha. Nak jumpa orang finance kejap.” Zack memberitahu. Mendengarkan itu Firdaus sekadar mengangguk.
“Okey. Jalan dulu.”
Firdaus mengenakan kad aksesnya pada reader di tepi pintu kaca, dan pintu itu ditolak. Dia belok kanan, menuju ke tempat duduknya. Terasa janggal pula menjejakkan kaki ke ofis selepas empat bulan menumpang ofis orang.
Tiba di mejanya, dia terus meletakkan akses kad dan juga telefon bimbit di atas meja. Beg komputer bimbit yang digalas juga diletakkan di atas beg. Zip ditarik, dan komputer bimbitnya dikeluarkan.
Partition tempat mejanya terletak ini Zack gelar sebagai bat cave sebab tersangatlah strategik... sebab membelakangkan dinding. Zack kata dia boleh sesedap rasa tengok movie sebab orang tak akan nampak apa dia buat. Suka hati aje. Macam la dia ada masa nak tengok movie segala.
Hari ni dia tak ada apa nak dibuat, cuma dia kena baca emel-emel yang dia tak baca sebelum ni. Sehari untuk dua ratus emel... okey kut.
Telefon bimbitnya dicapai, dan dia terus menuju ke pantri.
Buat kopi. Dan juga telefon mama.

-------------------------------------

Pensel-pensel kayu yang digenggam tadi diletakkan di dalam balang pensel di tepi komputer riba yang sudah sedia dihidupkan. Seketika dia tenung pensel-pensel itu, sebelum mengukir senyum puas hati. Panggillah dia old fashion, dia tak kisah – dia suka pensel kayu. Dia rasa macam ada kepuasan tiap kali dia asah pensel-pensel itu... sampai la pensel-pensel ini tajam kembali. Fei kata dia pelik, Afra kata dia tak sukakan teknologi, Lynn kata dia terlalu banyak masa dan Dina pula sekadar menggeleng.
Masa dia mula-mula bekerja di sini, itulah yang mereka berempat kata padanya. Tapi selepas hampir enam bulan, tabiat Jiji yang satu itu dah jadi sesuatu yang normal. Mereka berempat akhirnya menerima kenyataan bahawa Nurul Najiha memang suka asah pensel. Sampaikan masa hari lahirnya bulan lepas, Lynn bagi dia mesin asah pensel.
Sebatang pensel dicapai, sambil dia duduk. Sekeping kertas bersaiz A4 ditarik keluar daripada dalam tray, dan dia menggerakkan tetikus. Jam di penjuru kanan skrin komputernya dilihat sekilas.
Baru jam 8.05 pagi. Awal lagi. Fei dan Afra dah sampai tadi, manakala Lynn dan Dina belum lagi. Dina selalunya masuk selepas pukul sembilan, manakala Lynn selalunya sampai jam 8.30 pagi. Selepas Dina sampai, mereka akan turun sama-sama cari sarapan. 9.45 pagi mereka kembali ke pejabat dan kembali sambung buat kerja. Itu adalah rutin mereka berlima setiap hari. Rutin yang tak terganggu melainkan ada di antara mereka ada meeting/call pagi-pagi.
Begitupun dia mengaku yang kerjanya sekarang menjadikan dia kurang sibuk daripada dulu. Sekarang ni dia rasa dia banyak uruskan orang dan barang, dulu dia banyak tercatuk di hadapan komputer riba. Sekarang ni dia banyak berjalan ke sana ke mari – dan dia suka sebab dia boleh bersenam. Tak payah la Wir nak membebel yang dia kurang bersenam dah.
Matanya membaca satu persatu e-mel dalam inbox. Atau lebih tepat lagi, membaca tajuk e-mel. Kira ada berapa e-mel bertanda High Importance, dan kira berapa e-mel yang kena follow up. Tadi dia periksa e-mel melalui telefon, rasanya tak ada e-mel yang memerlukan dia balas dalam kadar segera.
Lepas tu dia catat apa yang dia perlu buat hari ini, dan selesai mencatat, dia akan bangun dan pergi buat kopi.
“Morning Ji!” Afra menyapa sebaik sahaja dia keluar dari bilik pejabat. Tadi dia nampak Afra masuk kocoh-kocoh, tak sempat cakap good morning pun.
“Morning Afra. Busy ke hari ni? I nampak you macam kena kejar dengan hantu aje tadi.”
Afra terus ketawa. “Tak la. I sakit perut. And tadi I bangun lambat jadinya I tak sempat pakai make up.” Pouch alat soleknya yang berwarna hitam itu diletak atas meja. “You tau la kan. I kalau tak pakai eyeliner nanti I rasa I macam sakit.”
Jiji ketawa, dan kemudian dia menjengilkan matanya. “Alasan. Cuba jadi au naturale sehari.”
Kata-katanya sekadar dibalas dengan Afra menjelir lidah kepadanya. Jiji sambung ketawa, dan terus menyambung langkah menuju ke pantri.
Pintu kabinet dibuka, dan matanya mencari mug putih miliknya. Dia mengeluh bila nampak mug miliknya terletak di baris belakang. Mujur la ketinggiannya membolehkan dia sampai untuk capai mug itu. Itupun kena bertinjit. Dia rasa siapa yang design pantri ni ada dendam kesumat pada orang yang tak cukup tinggi.
Suara orang ketawa di luar pintu pantri membuatkan dia tertoleh. Dia lihat Zulkarnain (orang panggil Zack) dan Khairul sedang bergelak ketawa dengan Fei. Two stooges (Fei yang gelarkan mereka berdua ini two stooges, sebab ke mana-mana sahaja pasti berdua) ini selalu sahaja naik atas. Uruskan claim mereka yang tak berkesudahan.
Meminjam kata-kata Fei;
“Dia orang berdua ni kan, kalau ada kat KL aje mesti menyusahkan hidup I.”
Jiji pun baru sahaja dikenalkan kepada mereka berdua, itupun sebab team building. Team mereka – solution architect adalah team yang orangnya tak lekat dalam pejabat. Setahu Jiji, melalui carta organisasi yang dia dah hafal – ada 4 orang solution architect dalam pejabat ini, atau lebih tepat lagi di Asia.
Tapi yang dia pernah terjumpa, cuma mereka berdua ni la. Lagi seorang tu – Izzat – pernah la dia bertegur sapa. Izzat tu peramah orangnya, dan suka menyibuk tak tentu fasal. Cuma seorang lagi tu dia tak pernah jumpa. Lagipun mereka tu duduk di tingkat 21, dan dia di tingkat 22.
Di North Tower ini, Bristol Technology mengambil dua tingkat. Tingkat 21 ada bahagian IT, infrastruktur dan juga korporat dan juga bahagian kejuruteraan. Tingkat 22 ni pula ada bahagian kewangan, HR dan juga separuh lagi bahagian kejuruteraan.
Fasal team building ni pun, dia sampai kena emel bos kedua mereka yang ada di Althofen sebab umat empat orang tu jenis yang tak membalas emel. Akhirnya Susan suruh dia emel sahaja bos mereka, atas sebab “Ralf is very helpful. Maybe he knows where these missing guys are.”
Tepat sekali. Sekali sahaja dia emel, Ralf yang baik itu terus balas lengkap dengan jadual empat lelaki itu. Senang terus kerjanya. Ralf juga ada memberitahunya (dengan nada bergurau) untuk memastikan yang keempat-empat anak buahnya itu turut serta dalam acara team building, tidak boleh tidak.
Haruslah. KPI aku tu.
Dengan pertolongan Ralf, berjaya juga dia mengatasi masalah utamanya ini. Minggu lepas Zack dan Khairul sudah memberitahu yang mereka akan akan turut serta. Lagi dua orang, Izzat dan Hans akan turut serta, cuma mereka tak sempat nak balas emel (menurut kata Ralf). Ralf kata mungkin mereka duduk di hotel yang tak ada wi-fi agaknya.
Elok la tu. Ceruk mana diorang berdua ni pergi gamaknya.
Mujur mereka ini ada mailing list, jadi tak payah dia susah-susah nak cari nama seorang demi seorang. Minggu lepas juga Khairul dan Zack masuk ofis, dan mereka berdua turut menyatakan yang angka empat itu takkan berubah.
“Semua join, Jiji.” Beritahu Zack semasa dia pertama kali berjumpa dengan two stooges itu. Zack dah mengikut memanggilnya Jiji, macam mana semua orang panggil dia Jiji.
“Jiji! Mana kopi untuk I?” tegur Zack sebaik sahaja dia meletakkan mugnya yang masih lagi berasap nipis ke atas meja. Jiji mencebik main-main.
“Buat sendiri la. Eh bukan korang berdua suka lepak kat World Coffee bawah tu ke? Nasi lemak sedap la... apa la... kan ke mahal situ.”
“Ala, sesekali.” Khairul menyibuk. “Apa salahnya kan.”
“Jiji, hari ni nak breakfast tak?” Fei pula bersuara. “Kita tunggu Dina macam biasa kan? I macam terlebih lapar la hari ni....”
“You nak sarap dulu ke? Kalau nak jom la. I teman. Nanti Dina boleh pergi dengan Afra... Lynn sekali.” Cadang Jiji. Dia tahu Fei memang cepat lapar. Pagi-pagi macam ni selalunya dia yang sibuk ajak semua orang pergi sarapan.
“Jom la ikut kitorang breakfast.” Pelawa Zack. “Jom Fei. Jom Jiji.”
Jiji kerut dahi. “World Coffee? Ala I dah buat kopi.”
“Bawak aje mug you tu turun bawah.”
“Ada pulak!”
“Eh boleh la. Asalkan you order makan.” Zack terus mengajak. “Diorang tak kisah.”
“Hmm.” Jiji mengangguk ke arah Fei. “Nak sekarang ke nanti? I tak kisah.”
“Tunggu Dina aje la. Tak best la pulak sarapan tak cukup korum.”
Jiji mahu menjawab, namun telefon yang dia pegang berbunyi. Ada mesej masuk. Dia jeling skrin. Bukan mesej, tapi e-mel.
Cepat sahaja dia membuka e-mel tersebut. Sekadar membaca sekali lalu.
Tapi apa yang dia baca membuatkan dia terus membaca keseluruhan e-mel itu.

From: Firdaus Hadi Mohd Hisham
To: Nurul Najiha Kamarulzaman
Cc: ## Solution Architect MY-ASIA
Re: Team Building – attendance confirmation

Dahinya dikerutkan, siapa pulak ni? Tapi beberapa milisaat lepas tu otaknya mencerna maklumat – ini adalah salah seorang daripada team Zack... dan Khairul.
Matanya laju membaca isi kandungan e-mel yang hanya sebaris itu dan ditulis dalam bahasa Inggeris itu.

I’m not attending. I have promised a duty of being best man at my friend’s wedding.

Dia tidak dapat menahan diri daripada terjerit kecil sebaik sahaja dia selesai membaca e-mel itu.
“INI ANAK SIAPA PULAK YANG TAK JADI DATANG NI?????”

-----------------------------------------------

Selesai dia membalas e-mel terakhir, dia terus meluruskan tangannya yang terasa lenguh. Mug di sisi komputer dicapai, namun dia mengeluh bila mendapati mug itu sudah kosong. Tak perasan pula dia dah meneguk kopi yang dia buat setengah jam tadi hingga ke titisan terakhir.
Lehernya dipanjangkan. Mana Khairul dengan Zack ni? Lamanya pergi jumpa orang finance.
Jual minyak la ni. Bukan dia tak tahu finance tu orangnya manis-manis, cantik-cantik belaka. Dia tahu yang team membernya memang banyak berurusan dengan finance sebab mereka kerap travel ke sana ke mari. Macam dia ni... hari ni patutnya dia dah hantar resit-resit untuk dia claim pada Dina, tapi dia tak hantar lagi. Dina sudah menghantar e-mel peringatan padanya agar hantar cepat sikit sebab dua hari lagi cut-off date. Malam tadi dia bersengkang mata lekatkan segala resit pada kertas A4 sampai mama tegur kenapa dia tak tidur lagi. Ada ke patut mama kata dia jet lag.
Macam la Singapura tu letak duduknya dekat Budapest, sampai dia nak kena jet lag.
Beg komputer ribanya yang dia letak di bawah meja dicapai. Sebab Khairul dengan Zack tak turun-turun lagi, baik dia naik atas kejap. Zip beg itu ditarik, dan seberkas kertas A4 yang bertampal dengan segala macam resit dikeluarkan.
“Weh, kau nak pergi sarap ke?” satu suara menegur. Dia tak terus menoleh sebab sedang sibuk membetulkan hujung kertas yang sedikit terlipat.
“Ha? Tak, nak pergi hantar benda ni pada Dina kejap.” Firdaus mengunjuk kertas di tangan pada Izzat yang baru sampai. “Nanti aku turun kita pergi sama la. Zack dengan Khairul pun kat atas. Kau tunggu eh.”
Izzat sekadar mengangguk. Firdaus mencapai kad akses, dan telefonnya sebelum cepat dia melangkah keluar daripada kubikelnya.
Tapi sebelum dia berpaling, matanya menangkap sesuatu nun di hujung mejanya ini. Dia tertoleh sekilas.
“Izzat.” Dia memanggil, sambil matanya merenung tiga pokok kaktus yang kecil – disusun elok di hujung meja. Dia pun tak pasti kenapa dia tak perasan kewujudan kaktus-kaktus itu tadi.
“Ha.”
“Kenapa atas meja aku ada pokok kaktus?”
Izzat berdiri, dan menjengah ke arah meja Firdaus. Matanya menurut pandangan Firdaus yang sedang merenung tiga pokok kaktus itu dengan dahi berkerut-kerut. Serius sahaja, macam lah kaktus-kaktus itu ada buat salah dengannya.
“Oh... ni.” Akhirnya Izzat menuturkan selepas dia menyedari dari mana datangnya kaktus-kaktus ini. Minggu lepas, Najiha – konsultan HR yang baru tu ada buat pertandingan meja cantik. Sehari sebelum hari terakhir pertandingan tu Najiha ada turun bawah. Nak ambil markah agaknya.
“Izzat, meja ni ada orang?” soal Najiha sambil mengunjuk pada meja Firdaus. Tadi dia tanya fasal meja Zack.
“Ada.”
“Kosongnya.”
Izzat dengar Najiha menggumam. Siap geleng-geleng kepala. Dia suka Najiha – dia rasa Najiha ni lebih mengambil berat akan kebajikan staf daripada HR yang dulu tu. Lepas tu selalu sahaja tersenyum, dan juga ketawa. Kita tengok dia pun rasa gembira sahaja.
“Ni apa?” soalan Firdaus membuat lamunannya cepat-cepat pergi. Izzat sengih. “Berangan pulak. Aku tanya sepatah sempat kau berangan eh?”
Sengih lagi. Izzat garu dahi sambil menunjuk ke arah kaktus itu.
“Aku rasa Najiha yang letak. Minggu lepas ada pertandingan meja paling kemas ke paling cantik entah. Lepas tu dia kata tak aci la kalau korang berdua tak ada dalam ofis sebab tak sempat nak kemas meja. Dia belikan la kaktus letas atas meja kau... dengan Zack.” Panjang lebar Izzat menerangkan.
Memang betul pun, tengah hari selepas Najiha buat lawatan mengejut tu, Najiha datang dan meletakkan sesuatu atas meja Zack dan Firdaus. Izzat tak ambil pusing dia letak apa – tapi rasanya kaktus-kaktus ini la.
Firdaus memanjangkan leher, untuk menjengah atas meja Zack. Ada satu pokok ala-ala bonsai di situ – berbunga kuning.
“Kenapa Zack dapat pokok bunga aku dapat pokok kaktus?” dia terus-terusan menyoal. Kemudian dia teringat sesuatu.
Nama yang disebut Izzat tadi.
“Najiha tu siapa?”
Dia lihat Izzat tepuk dahi. “Kau ni dah berapa bulan tak masuk ofis sini? Najiha tu HR yang baru... gantikan Naomi yang seksi tu.”
Firdaus kerut dahi. “Oh. Aku tak pernah jumpa dia eh?”
“Tak la kut. Kau tak kenal dia.” Selamba Izzat menjawab.
Firdaus menggaru kening yang tidak gatal. Kemudian dia baru teringat akan e-mel-emel yang dia baca dan balas mana yang patut tadi – mungkin ada dari Najiha yang Izzat duk sebut-sebut ni. Dia main balas sahaja – tak tengok siapa pengirimnya. Ada lah dua tiga e-mel yang macam tu tadi.
Lagipun dia jarang ada urusan dengan HR. Urusannya dengan HR selalunya tak memerlukan dia jumpa face to face dengan HR consultant – urusannya selalu berkaitan dengan travel request. Dia submit travel request, mereka approve, dan advise itinerary. Lepas tu dia akan pilih mana itinerary yang sesuai, dan submit lagi. Itu sahaja.
Lain dengan finance, dia memang selalu jumpa budak-budak finance sebab claim. Dia tahu, bilik pejabat wakil HR tu dalam bilik kewangan itu juga tapi dia tak pernah la menjengah dan bersembang.
Dia pun... bukan reti nak bersembang. Dengan Naomi yang Izzat sebut tadi tu pun dia rasa dia pernah jumpa dalam lima kali kut. Tak tahu pulak ada orang baru. Dan dia rasa dia tak pernah pun ternampak wajah yang dia tak pernah nampak sebelum ni – sebab dia adalah orang yang boleh ingat semua orang yang dia pernah jumpa.
Ingat muka sajalah, nama tak ingat pun. Kadang-kadang sahaja ingatannya lengkap berpakej – ingat sekali nama kepada tuan punya wajah.

“Okey lah, aku nak ke atas dulu. Kalau budak berdua tu turun, suruh dia tunggu aku.” Firdaus memesan sebelum melangkah meninggalkan kubikelnya. Izzat sekadar angkat tangan tanda faham.

3 comments:

  1. bab 4 pelissssss...hihiiiii...

    ReplyDelete
  2. Ha'ah...bab 4 please cik penulis....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh dapatkan terus naskhah cetak di Jemari Seni.

      Delete