Monday 11 April 2016

Nota ~ Lunch Box (Bab 2) ~ Nisyah

Februari 2010
Pekan Port Dickson

SAAT kakinya menyentuh jalan tar, terlerai semua rasa yang mengikatnya. Angin yang membawa bau masin laut bagaikan mengucapkan selamat datang padanya. Enjin bas yang tadi menderam sudah diam. Pemandunya juga sedang menuju ke pondok untuk melepaskan lelah setelah menempuh satu perjalanan yang jauh.
 Dalia memerhati sekeliling. Tempat itu begitu asing. Arah dan tuju pun dia tidak tahu lagi. Dia menarik nafas sedalam-dalam yang termampu paru-paru dan melepaskan perlahan-lahan. Dia menaruh harapan pada pekan itu. Sudah penat dia menjadi pelarian selama bertahun-tahun. Moga di situ pengakhirannya. Moga dia dapat membina apa yang dia impikan selama ini.
Membimbit beg yang terisi keperluan asas, Dalia menyusuri deretan kedai-kedai di sekitar. Matanya melilau mencari iklan jawatan kosong. Itu yang utama harus dilakukan. Akhirnya kaki berhenti di hadapan sebuah kedai buku.
“Tauke…” sapanya pada seorang lelaki cina separuh umur di kaunter.
“Ya, apa gua boleh bantu ?”
“Saya lihat…err..di luar ada tanda mahu cari pekerja.”
Lelaki cina itu memerhati atas bawah. Kemudian matanya berhenti lama pada wajah Dalia.
Dalia mengenggam erat jari-jemarinya. Dia mengusir rasa takut. Rasa itu tidak boleh mengawal dirinya semula seperti sebelum ini.
“SPM ada ? Boleh baca, tulis, kira ?” tanya lelaki itu.
Dalia mengangguk, sedaya upaya dia cuba amankan tangan yang terketar-ketar kala mahu keluarkan fail yang terisi sijil-sijilnya. Lelaki cina itu memandang dengan tiada keyakinan. Namun bila Dalia menghulurkan fail disambut juga. Satu persatu di teliti. Sekejap-sekejap dia mengangkat muka melihat Dalia. Keputusan SPM-nya tiga tahun lalu cemerlang, komen dari guru kelas juga positif. Mr. Lee buka cermin mata, dia renung Dalia sebentar. Apa salahnya dia cuba mengambil gadis dihadapannya bekerja di situ. Pembantunya dahulu nampak meyakinkan semasa sesi temuduga tapi hanya bertahan empat bulan. Berhenti pun tidak bagitahu. Budak di hadapannya walau nampak takut-takut, firasatnya kuat memberi kata positif.
“Esok kamu boleh mula kerja…”
Dalia terus angkat muka. Matanya terbeliak macam tidak percaya tapi apabila dia lihat taukeh kedai buku itu mengangguk dua kali, hatinya melonjak dengan gembira diiringi rasa yang sangat bersyukur.
“Saya boleh mula kerja hari ni tauke…” sanggah Dalia, tuturnya yang tergagap-gagap tadi jadi teratur tiba-tiba.
Pemilik kedai itu berfikir sejenak dan Dalia mengharapkan satu persetujuan.
“Boleh, tapi gaji kira esok.”
Dalia mengangguk laju tanda setuju. Gelagatnya pula jelas teragak-agak hendak menanyakan sesuatu membuatkan lelaki itu pula yang bertanya dengan hanya menjuihkan dagunya.
“Boleh saya tahu nama tauke ?”
“Haiya, kamu panggil gua tauke serupa cina dekat pasar. Orang sini panggil gua Mr. Lee, jadi kamu pun panggil sama lor.” Katanya disambung dengan ketawa kecil.
Dalia turut tersenyum. Di tempatnya dulu semua orang cina yang sudah separuh usia dia panggil tauke.
“Kamu mari sini ada saudara ke ?”
Dalia geleng.
“Apa pasal mari manyak jauh ? Perlis sana tak ada kerja ka ?”
Dalia diam. Dia tidak ada jawapan untuk soalan itu. Dua tahun sudah dia tinggalkan kampung halaman, menjadi musafir yang berkelana untuk sebuah kehidupan. Kalau tanya hatinya, tidak boleh dinafikan betapa besar kerinduan yang bertampuk di hati. Tapi apakan daya, keadaan telah memaksa dia tinggalkan semuanya. Dia sudah lelah berlari, dia mahu suatu tempat yang selamat, satu daerah yang tidak ada seorang pun mengenalinya. Dia yakin dengan percaturan yang Allah telah tetapkan kala akalnya mengajak dia datng ke situ.
“Di sini kamu tinggal mana ?” Mr. Lee menukar soalan lain.
“Err…err..saya baru sampai sini dan Mr. Lee orang pertama saya jumpa. Mr. Lee..,” Dia musykil samada tauke kedai buku itu boleh menolongnya. Dahi tiba-tiba berkerut mengenangkan satu lagi masalah dalam benaknya.
Lelaki itu memandang Dalia menanti apa yang bakal di keluarkan dari bibir kering itu.
“Boleh tolong saya dapatkan bilik ?” Suara Dalia menjadi tergagap-gagap semula.
Lelaki keturunan Baba dan Nyonya itu menggaru belakang kepalanya. Ketika itu masuk seorang budak sekolah dan dia terus menghala ke rak buku-buku rujukan SPM.
“Kamu banyak pelik lah….bilik mau tanya, gaji tak mau tahu…” Mr. Lee membetulkan kaca mata yang melurut di batang hidungnya.
“Gaji gua kasi RM750 satu bulan, bilik ada satu di atas, gua sewa sama kamu RM100. Jadi bersih gua bagi kamu RM650.”
Syukur Alhamdulillah, itu yang keluar dari bibirnya. Kasihnya Allah pada dia. Dia semakin yakin keputusannya itu adalah yang paling tepat.
“Orang melayu gua banyak suka. Suka doa, harap nanti gua punya kedai makin laku.”
Dalia senyum separuh.
Mr. Lee memberitahu apa yang harus Dalia lakukan. Banyak juga kerja yang perlu dia buat. Mengemas buku di rak-rak dan memastikan tiada secalit habuk, mengemop lantai setiap hari sebelum kedai di buka jam 10. Manakala sebelum kedai ditutup jam 10 malam dia harus mengira stok untuk penutupan harian.


JAM 5 petang dia minta izin untuk naik sekejap ke bilik yang sudah di tunjuk Mr. Lee tadi. Di tingkat atas kedai itu ada dua buah bilik. Bilik belakang dan ruang kosong yang luas dijadikan stor menempatkan stok-stok buku dan alat tulis. Sebuah bilik di hadapan pula memang sengaja dikosongkan oleh Mr. Lee. Bilik itu memang diberi sewa pada pekerja yang memerlukan. Ianya tidak besar tetapi dalam keadaan yang baik. Cuma bau kepam menyengat hidung dek kerana tingkapnya sudah lama tidak di buka. Bilik itu kosong dan ada sebuah pintu untuk ke bilik air. Apa yang paling menarik tentang bilik itu adalah ianya menghadap ke laut. Walau jaraknya tidaklah dekat namun Dalia masih dapat melihat air yang membiru. Biru air laut yang tenang cukup mendamaikan hatinya.
Dia bersihkan satu ruang di sudut kanan bilik itu sebelum menghamparkan sejadah. Kompas dikeluarkan untuk melihat arah kiblat. Usai solat asar dengan menjamakkan zohor, dia menadah tangan menyatakan betapa dia bersyukur dengan kurnia yang telah diberi padanya. Yang pasti, harinya bermula dengan sangat baik.


SELEPAS seminggu memerhatikan cara Dalia bekerja, Mr. Lee berasa senang hati meninggalkan kedai itu padanya. Bolehlah dia menjalankan urusan-urusan lain.
“Kamu tulis dalam buku resit ni. Dalam ini kotak ada duit untuk baki. Itu cash register jangan usik.”
“Mr. Lee mau pergi mana ?” tanya Dalia. Risau pula dia kalau nanti ramai orang di kedai dan dia tidak boleh mengendalikannya.
“Gua ada kerja mahu uruskan. Mulai hari ni setiap jam 12 gua keluar. Gua percaya sama kamu.” Ayat terakhir Mr. Lee buat Dalia mengerti amanah sudah diamanatkan padanya.
Sebaik Mr. Lee pergi dan dia rasa janggal pula tinggal sendirian sahaja di kedai. Walau baru seminggu dia berada di situ, rasa takut dijejaki semakin reda. Namun Dalia tetapi sahaja berhati-hati. Pergerakkannya juga dibataskan hanya pada deretan kedai buku Mr. Lee dan deretan hadapan yang ada pasaraya.
Sambil-sambil membersihkan habuk, sambil dia membaca satu dua muka dari buku-buku kegemarannya. Paling dia suka karya-karya Din Zaki. Buku-buku yang dia curi-curi baca akan dia buka sedikit sahaja. Takut rosak. Pernah sekali Mr. Lee menangkap dia ralit membaca, lelaki itu cuma berdeham panjang. 
“Kamu mau baca boleh, tapi baik-baik aaa, jangan sampai buku rosak.” Amaran Mr. Lee pada hari kedua dia bekerja menjadikan dia sangat berhati-hati. 

No comments:

Post a Comment