Wednesday 13 April 2016

Vignette (Bab 1) ~ Syud

Mei 2012

“Wir, aku malu nak jalan sebelah kau.”
“Pergi jalan satu meter lambat.”
“Satu saat lambat la. Kau nak cakap fasal three second rule kan?”
Dia tahu Wir mahu ketawa, tapi sebab apa yang baru terjadi tadi, Wir mungkin lupa macam mana nak gelak. Dia juga tahu yang Wir nak lari dari tempat ni secepat mungkin.
Juga, keadaan di mana Jiji meletak kereta sungguhla jauh nun di sana sangat tak membantu.
“Wir, he’s not following us la. Jangan la jalan macam lipas kudung baru dapat kaki.”
“Tadi kau kata kau malu nak jalan sebelah aku!”
“Gurau je la!” Jiji memotong pantas. Tangannya meraba mencari kunci kereta di dalam beg. “Lagipun aku dah minta maaf on behalf of kau tadi. Dah la. Dia bukan tau nama kau siapa pun. Chill beb, chill.”
Alarm ditekan.
Serentak itu tiba-tiba sahaja Wir menjerit halus, menyebabkan Jiji hampir sahaja menjerit kembali. Mujur juga tak ramai orang di tempat dia letak kereta ini, kalau tak mesti orang ingat ada apa-apa yang berlaku.
“Boleh tak kau jangan jerit tiba-tiba macam ni!!”
“Arghhhhhhh!!!” sekali lagi Wir menjerit kecil, sambil menarik pintu kereta. “Aku nak pergi terjun dalam Niagara Falls sekarang jugak!”
Kali ini Jiji hanya mampu ketawa. Dia turut masuk dalam kereta, dan terus menghidupkan enjin. Sempat juga dia lihat kiri kanan, kalau-kalau lelaki di kafe tadi mengikut jejak mereka berdua – tapi nampaknya tak ada pun. Risau juga dia kalau dikejar. Mana la tau kena saman malu ke... dia pun terbabit sama nanti.
Apa orang kata tu? Accomplice? Rakan subahat?
“Cuba bertenang Wir.”
“Aku nak bertenang la ni.”
“Tarik nafas dalam-dalam. Ingat Allah.” Jiji bersuara tenang, gaya berdiplomasinya yang jarang-jarang berjaya.
Wir diam tak menjawab.
Jiji menghidupkan suis penghawa dingin. Selepas dia turunkan Wir di hadapan Little White Cafe tadi, Jiji ke kedai stesen minyak sebab nak beli roti. Dah berapa kali dia keluar dan asyik lupa nak beli roti.
Masuk-masuk dalam kafe kegemaran mereka berdua tadi, dia nampak satu pemandangan yang dia langsung tak sangka – Wir sedang bercekak pinggang memarahi seorang lelaki yang sedang duduk – dan lelaki itu terkebil-kebil tengok Wir.
“Kenapa kau suggest kita datang sini, Ji?” Wir bersuara tiba-tiba selepas senyap beberapa minit. “Tak pasal-pasal mat tu kena. Tak apa lah, nanti kalau aku jumpa dia aku mintak maaf.”
“Lain kali tanya nama ke... nombor telefon ke.” Jiji mencelah.
Wir jeling, dan Jiji sengih. Lepas tu buat muka suci.
“Bila masa kau nak suruh aku mintak nombor telefon dia? Lepas marah dia tak tentu pasal tadi? Eh dah lah aku tak nak ingat.”
“Aku datang jemput kau ni sebab tadi malam kau telefon aku dan cakap dengan suara yang sedih – Ji, abang Haikal hantar kad jemputan huwaaaa cerita aku dah jadi macam Surat Ungu untuk Nuha – “
“Shh!” Wir menyiku pinggang Jiji. Dia menunjuk kepada tingkap kereta yang Jiji memang buka separuh – sebab baru hidupkan enjin. Nak bagi udara panas keluar.
“Cakap tu kalau kuat lagi tak boleh? Dan bila masa pulak aku ada sebut ‘huwaaaa’ tu? Mana ada?”
“Ala bukan ada orang pun. Eh cakap la. Betul ke abang Haikal kau tu nak kahwin dah? Senyap sunyi tak ada khabar berita tup-tup keluar berita macam ni... apakah?”
Wir tak menjawab, sebaliknya kelam kabut memberi isyarat agar Jiji naikkan tingkap kereta. Lepas tu dia siap membongkok, seolah-olah bersembunyi. Jiji ikutkan sahaja – naikkan tingkap kereta, dan sempat dia menebar pandang.
Oh. Rupa-rupanya lelaki yang Wir marah tadi. Jiji lihat lelaki itu sedang bercakap dalam telefon, dan menghampiri sebuah Waja yang diparkir selang tiga buah kereta daripada keretanya ini.
“Dia dah blah ke?” Wir menyoal, tapi masih lagi membongkok.
“Sekejap. Okey. Dah.”
Cepat Wir menegakkan badan. “Phew.”
“Bukan kau patut keluar dan minta maaf ke?” soal Jiji sambil mengenakan gear, dan mula memandu pergi dari situ. Tapi Wir sekadar mendiamkan diri.
Dia tahu yang Wir agak sedih hari ni – abang Haikal, childhood crush Wir, berkahwin hari ni. Sepatutnya Wir balik ke Melaka, tapi dia dapat cari alasan yang sebenarnya bukan la alasan pun – untuk tak hadir ke majlis resepsi abang Haikal. Kemujuran yang baik malam ni Wir akan berangkat ke San Jose atas sebab kerja, jadi dia ada alasan yang kukuh untuk tak hadir.
Tapi begitulah... dia ingat selama ni Wir hanya main-main bila bercerita tentang abang Haikal, tapi rupa-rupanya Wir serius. Bila Wir memberitahunya tentang hal ini semalam, ketara lain benar suara Wir.
Berbalik kepada kes di kafe tadi, dia tak tahu hujung pangkal kenapa Wir boleh naik angin macam tu sekali. Bila nampak depan mata, dia terus cepat-cepat tarik Wir dan tak henti-henti minta maaf pada lelaki berkaca mata itu. Kesian dia.
“Wir, apa mat tu dah buat kat kau yang kau marah sangat tu?”
“Dia tengok aku.”
“Lepas tu?”
“Dia duk tengok aku. Aku pun annoyed la.”
Jiji diam. Dia cuba memahami apa yang berlaku. “Itu aje?”
“It is rude to stare, Ji.”
Jiji tekan brek, kerana lampu isyarat bertukar merah. “He stared at you... dan kau jadi batshit crazy dan marah dia?”
Tak menjawab pula Wir.
“Wir, entah-entah mat tu tengah fikir entah apa. You know... blankly stare at random people. Macam kau selalu buat tu.”
Jiji tak dengar pun Wir menjawab, diam sahaja sahabatnya yang seorang ini. Mungkin sedang menyesali apa dia buat tadi – dan Jiji tahu yang Wir memang macam tu. Panas baran tapi cepat sahaja menyesal kalau dah termarah orang. Wir mungkin antara orang yang cepat sahaja meminta maaf kalau dia tahu memang salah dia.
“Tak apa Wir... aku faham.”
Wir diam lagi.
“Malam ni kau nak aku hantar ke?”
“Tak apa... ada driver datang ambil aku. Kau ni macam tak biasa aje.”
Akhirnya keluar juga suara Wir. Jiji ketawa sendiri. “Dah la, jangan sedih-sedih lagi. Be happy!”
“Kau ingat aku ni macam kau ke yang 24 jam happy?”
Jiji ketawa lagi. “Dah tu aku kena lah jadi happy sebab kalau tak aku tak happy. Kalau kau brainwashed diri kau tiap-tiap hari, kau pun boleh jadi happy macam aku, tau?”
Wir mencebik. Jiji memandang lurus ke hadapan – dengan bibirnya bersisa senyum.
Tapi Wir, orang paling gembira dalam dunia ni pun... akan rasa sedih juga kadang-kadang. Cuma mungkin, dia hanya tahu tersenyum dan ketawa.
Mungkin dia tak pandai nak menangis, siapa tahu kan?
“Wahai Chempaka, janganlah susah hati. Tak ada jodoh kut.” Jiji bersuara akhirnya. Dia memang fail dalam bab pujuk memujuk ni. Dia cuma tahu buat lawak sahaja.
“Aaaaaaaa Jiji apa pulak tak ada jodohnya?”
“Kau dengan abang Haikal la.”
“Aku tengah fikir pasal mat tadi tu la. Kesian dia kau tau. Mesti tak habis cappucino yang dia tengah minum tu. Nasib baik tak tersedak.”
Tergelak Jiji mendengar kata-kata Wir. “Tak apalah Wir. Kalau ada umur kau terserempak dengan dia, nanti kau minta maaf la.”
Wir sudah menekup wajah. “Aku malu dengan diri sendiri. Kalau aku jumpa dia lagi, aku cuma akan diingatkan dengan kebodohan diri sendiri maka...!”
Jiji  tak memotong. Dia diam sahaja. Lagipun nada Wir yang dramatik itu membayangkan Wir nak sambung lagi ayatnya.
“... aku tak nak la jumpa dia lagi. Malu weh.”
Jiji sekadar ketawa. “What are the odds kau akan jumpa dia lagi? Kenal pun tidak....”
“Kau nak sewakan bilik untuk aku tak?”
“Hah? Kau nak duduk dengan aku ke?”
“Aku nak lari. Apparently abang Haikal will stay there after kahwin dan aku tak nak menambah luka di hati jadi apa kata kau jadi tuan rumah aku buat sementara waktu ni?”
Jiji terdiam. Mulutnya sedikit ternganga mendengar ayat yang ditutur Wir. “Betul ni?”
“Betul.”
“Okey. Esok kau tolong aku basuh rumah. Kalau kau tolong esok, kau tak payah bayar deposit.”

------------------------------------

Selepas mematikan enjin, dia tak terus keluar dari kereta. Dia... termenung,
Dia selalu menegur Farha sebab adiknya – satu-satunya adik beradik perempuan yang dia ada – suka termenung. Tapi Farha sebenarnya suka berangan. Mama selalu kata, Farha berangan cipta resipi kek cawan dan muffin. Sebab tu sekarang dia buka bisnes kecil-kecilan buat kek cawan dan muffin di Kuala Terengganu – bosan katanya duduk di rumah. Farha di sana sebab ikut suaminya yang bertugas di hospital Kuala Terengganu.
Berbalik kepada kes termenung. Dia bukan termenung saja-saja, dia termenung sebab mesej pesanan ringkas dari Farha juga. Mesej yang membuat dia rasa tak ada mood nak buat apa-apa hari ini walau kerja setambun banyaknya.

Along. Mama kata kak Sufiy hantar kad

Matanya waktu itu sedikit terbuka lebih luas dari biasa, diiringi dengan detak jantungnya yang berpalu lebih pantas dari biasa. Tak sempat dia membalas SMS Farha, dia dipanggil masuk weekly meeting.
Keluar dari mesyuarat tingkap (di sini, memang meeting mingguan itu di tepi tingkap sahaja sebab ketuanya malas nak book meeting room) dia buru-buru capai telefon dan mendapati Farha sudah hantar lima SMS berasingan kepadanya.

Along? Yuuu huuu takkan dah pengsan sebab terkejut

Mayday mayday. Where’s my along. Fainted of broken heart kah?

Along. Jangan takutkan kita boleh tak? Jawab la please. Don’t tell me tengah menangis dalam toilet

Mana orang tua ni. LOL I’m joking BUT ANSWER THIS PLEASE

ALONG. ALONGGGGGGG (baca dalam nada menjerit)

... Dan ada tiga panggilan tak berjawab. Dia tarik nafas. Sesungguhnya tidak boleh lari daripada Farha dan soalan-soalannya. Farha adalah mama 2.0 – cuma belum evolve sepenuhnya lagi.
Telefon itu dicapai, dan dia menghampiri satu bilik mesyuarat yang memang kosong sebab aircond rosak. Memang tak adalah orang nak guna.
Pintu kaca itu ditolak sambil dia mencari nama Farha.
“Along, assalamualaikum! Masih sedar lagi? Kenapa mesej Fa Along tak balas? Sikiiiit lagi Fa nak telefon mama tanya Along masuk hospital ke apa.”
Dia baru sahaja nak buka mulut kata helo dan beri salam tapi seperti biasa, Farha lebih pantas daripadanya. Tidak tahu mahu ketawa atau marah – akhirnya dia memilih untuk menarik nafas berat.
“Along ada meeting la tadi.”
“Oh.”
“Apa yang khabar dahsyatnya sampai hantar SMS bertalu-talu ni?”
Kedengaran Farha berdecit. Firdaus macam boleh bayangkan yang Farha sedang buat mata juling. Atau ala-ala rolling eyes tapi tak pernahnya nak jadi tu.
“Baca tak SMS yang mula-mula tadi? Mama kata kak Sufiy hantar kad.”
Dan sekali lagi, hatinya ngilu mendengar nama itu disebut. Tapi dia cepat-cepat berdeham dan buat-buat terbatuk.
“Fa nak pergi ke?”
“Mama macam nak pergi. Fa pun nak pergi... tapi Fa jauh kat sini kan. Hanif kata boleh aje kalau Fa nak teman mama tapi... entah la yek.”
“Bila Fa?”
“Bulan tujuh. Tengah-tengah bulan rasanya.”
“Oooo.”
“Mama tak cakap ke?”
“Tak pulak.”
“Mesti mama teringat tragedi along bertumbuk dengan Fakhrul fasal kak Sufiy.” Selamba sahaja Farha menuturkan. “I am still siding with you on that matter. Fakhrul patut kena tumbuk pun. Hadi aje duk atas pagar.”
“Fa...” Firdaus memotong pantas. “Bukan bertumbuk. Along yang tumbuk dia. Fakhrul tak balas pun.”
“Fakhrul knew better la. Along kan ada belajar taekwondo. Dia orang suruh belajar taekwondo pergi main snuker. Siapa akan menang?”
Firdaus diam tak menjawab. Dia tak mahu ingat sebenarnya, sebab dia rasa dia tak nak ingat apa-apa kejadian di mana dia hilang sabar. Adik beradiknya, juga mama dan ayah tahu dia adalah sarang tebuan yang tak patut dijolok. Abah kata dia adalah air yang tenang.
Dan mama akan sambung – jangan disangka tiada buaya.
“So... Along okey la ni? Tak sedih?”
“Kenapa pulak?” Firdaus tanya kembali, buat-buat tak faham.
“Kak Sufiy.”
“Fa, Along pernah cakap dengan dia sekali aje kut.”
“But I know.”
“You know, you don’t know, doesn’t matter.”
“Haih. Susah la cakap dengan dia ni.”
“Ada jumpa Hadi tak?”
“Ada. Ada sehari tu dia off, dia datang makan. Lepas tu pergi Redang. Hadi tu berjemur sakan macam mana pun tak gelap. Jealous Fa.”
Firdaus tergelak. “Eh, dah la, Along nak kena pergi site ni. Kalau pergi kenduri tu nanti and nak beli hadiah beritahu la. Along nak chip in. Bye, assalamualaikum.”

Lepas tu dia terus matikan talian. Tak mahu dengar celoteh Farha yang pasti akan membuat hatinya bertambah pedih. Walaupun pedih tu tak adalah teruk pun – mungkin macam rasa hujung jari terhiris pisau – tapi kalau sembang lama-lama dengan Farha ibarat seperti luka halus itu dititiskan air limau.
Jadi bertambah pedih.
Dan sekarang ni pun, dia malas nak masuk dalam rumah. Dia mahu ke rumahnya di Bangi yang kini disewakan kepada Hadi dan kawan-kawannya, tapi malas la pula hendak ke sana. Hadi kata dia tak ada di rumah. Berjalan sahaja adiknya tu walaupun hari ni dia cuti.
Akhirnya dia membuka juga pintu kereta.
Tak ada kaitan, hatinya bertegas.
Anggap sahaja semua ini tak ada kaitan dengannya. Moga-moga dia boleh terlupa perkara ni... macam tu sahaja.

Anggap sahaja apa yang dia pernah rasa itu, satu benda yang tak patut. Unfortunate, dan juga inconvenient.

No comments:

Post a Comment