Wednesday 6 April 2016

Lelaki Bona Fide (Bab 4) ~ Xenia Zidane

Hana, tahniah. Cantiknya kau hari ini. Tak sangka kejap lagi kau dah nak jadi isteri orang. Lepas ni kau dah tak boleh tau buat perangai gila-gila lagi. Kena kuranglah aktiviti berpoya-poya kau tu,” gurau Dayana bagi menghilangkan kerisauan Hana sementara menunggu majlis akad nikah sebentar nanti.
Sejak beberapa hari yang lalu dia dan Khairina  sudah bertandang di rumah Hana bagi membantu Hana untuk persiapan terakhir majlis hari ini. Majlis akad nikah , kenduri dan bersanding yang dibuat pada hari yang sama membuatkan mereka tak menang tangan dan tidak duduk diam sejak dari tadi.
“Mestilah jadi isteri orang. Takkan aku nak jadi isteri beruang.”
“Tengok! Baru saja aku cakap kau dah mula buat perangai.” Dayana mula geleng kepala melihat telatah Hana.
“Isy, aku main sajalah. Janganlah serius sangat. Kau nak bernikah atau aku yang nak bernikah ni?”
“Eh, aku bagi nasihat yang betul ni tau. Kena kurangkan aktiviti berpoya tu.”
“Itu semestinya, aku kan dah berazam nak jadi isteri solehah,” jawab Hana bersungguh-sungguh sambil menggengam tangannya seperti penyanyi kumpulan nasyid sekolah yang menyanikan lagu Sepohon Pohon Kayu Daunnya Rimbun.
Apabila dia melihat Dayana yang sudah mula bangun untuk meninggalkannya dia menyambung, “Eh, kau jangan merayap ke mana-mana tau. Kau tu pengapit aku. Kenapa aku rasa kau yang terlebih cantik hari ini Yana oii…Kau dah over shadow aku yang hendak bersanding sekejap lagi. Silap-silap orang ingat kau itu pengantin, bukannya aku. Janganlah si Lokman salah sarung cincin kat kau. Memang cantik sangatlah pula aku tengok kau hari ini.”
“Kau jangan mulut cabul sangat, kawan. Tadi baru saja kau cakap nak buang perangai gila-gila kau tu. Nanti aku tinggalkan kau sorang-sorang kat atas pelamin  tanpa pengapit baru kau tahu. Beranilah nak usik aku lebih-lebih pula.”
“Aku cakap betul, kau sangat cantik hari ni, memang padan dengan sepupu Lokman, yang jadi pengapit Lokman. Aku pernah jumpa dia, Yana. Kacak.  Memang bagai pinang dibelah dua. Kau nak tak berkenalan dengan sepupu Lokman tu? Rupanya sepupu Lokman tu satu sekolah dengan kita, tau.”
“Tak naklah, jangan sibuk nak jadi dewi cinta. Aku kalis dari panahan asmaradana,” kata Dayana sambil tangannya disilangkan.
“Yalah kalis sangat. Eh, nanti petang kau jangan nak balik awal, aku nak ambil gambar dengan kau dan Rina nanti kat atas pelamin.”
“Ya…aku faham Hana. Weh, diamlah! Kau nak menikah kena dengarlah lafaz akad nikah Lokman tu. Ini asyik kecoh dari tadi tak macam pengantin. Senyap sikit. Sekejap lagi Lokman nak masuk sarung cincin. Nanti aku duduk tepi situlah,” ujar Dayana.
“Rina mana?”
“Entah. Tadi ada kat dapur. Sibuk bantu mak kau.”
Selesai akad nikah kelihatan Lokman dan pengapitnya melangkah masuk ke dalam bilik. Dayana yang pada mulanya duduk berhampiran dengan Hana akhirnya berdiri di penjuru bilik bagi memberikan laluan kepada Lokman untuk menyarungkan cincin ke jari manis Hana bagi upacara membatalkan air sembahyang. Hana kelihatan sungguh ceria.
Sedang Dayana leka memerhatikan upacara membatalkan air sembahyang, ada sepasang mata yang tidak henti-henti memerhatikan dia sejak tadi.


Tempat : Di majlis perkahwinan Lokman dan Hana, sebagai pengapit pengantin lelaki.

Tak sia-sia datang kenduri hari ini. Gembira sungguh Azri hari ini kerana dia bertemu kembali dengan si dia yang dicari-carinya beberapa bulanyang lalu. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik pengantin dan terpandangkan wajah perempuan tersebut hatinya berbunga-bunga. Kembang semekar-mekarnya. Rasa gembira yang menerpa tak dapat digambarkan. Misi yang terbengkalai harus diteruskan, azamnya.
Majlis hari ini agak meriah diselangi dengan alunan muzik dan lagu yang silih berganti sejak dari tadi. Namun begitu kemeriahan majlis tersebut dan tugasnya sebagai pengapit tidak membataskannya daripada mengintai si dia tersebut. Dari tadi matanya tak lekang-lekang menjamah wajah itu tanpa disedari. Dia mengagak yang perempuan itu tak sedar. Tetapi kalau sedar pun lagi elok. Lagi mudah kerjanya nanti. Bukan ada niat jahat pun terhadap perempuan itu.
Dia mengambil kesempatan untuk mendekati si gadis apabila melihat si gadis mula meninggalkan meja makan pengantin dan duduk seorang diri tidak jauh dari meja pengantin.
“Awak kelihatan sungguh ayu sekali.” Entah kenapa tanpa sedar, tanpa dapat dikawal itu yang meluncur keluar dari mulutnya semasa menegur perempuan itu. Lain yang difikir lain yang terkeluar. Otak dan hati tidak senada dan sekata. Tak mahu berkerja-sama. Rasa mahu dihentak kepalanya ke dinding. Kalau tahu itu yang dicakapkannya maka tidak perlulah dia bersusah-payah menyusun ayat yang difikirkan sesuai untuk menegur gadis itu.
Bodoh!
Bongok!
“Hah? Err…terima kasih. Maaf saya minta diri dahulu.” Perempuan itu cuba mengelakkan diri lalu berpaling pergi. Mukanya merah malu dipuji sebegitu.
“Nanti! Jangan pergi dulu!” katanya cuba menghalang. Bergetar hatinya menatap wajah si perempuan. Erk? Apa aku buat ni?
“Saudari tak kenal saya?” tanya  Azri. Lembut matanya menyapa wajah polos dihadapannya. Isy…rasa berdebar-debar. Cuak gila! Tadi macam-macam ayat dah terkarang dalam kepala aku ni. Sekarang mengapa dah hilang? Mayday!!!Mayday!!! Lokman yang tak jauh daripadanya dipandang dengan pandangan ‘TOLONG AKU!’
Lokman pula dari jauh tersengih-sengih bila melihat muka Azri sudah mula pucat, cuak. Pandangan Azri itu dibalas dengan pandangan ‘cool man…cool…janganlah cuak sangat!’
“Tak. Maaf ya ,saya memang ada masalah sikit bab mengingat orang. Kita pernah berjumpa ke, sebelum ni?” kata si perempuan dengan muka kehairanan.
“Betul tak kenal saya?” soalnya kembali. Tolonglah kenal…tolonglah…jangan tak kenal. Hatinya mengharap. Malu juga nanti kalau dijawabnya tidak kenal.
“Maaf, saya betul-betul tak ingat.”
Kan dah kata dia tak ingat. Malunya! Tapi dia masih menebalkan muka. “Tak ingat Azri?”
 “Maaf, saya betul-betul tak ingat. Kita berkenalan di mana?” balas si perempuan sambil mengutumkan senyuman manis. Ikhlas.
“Betul tak kenal Azri?”
“Azri?” si perempuan itu mengerutkan dahinya, keliru agaknya.
“Ya! Azri. Azri Zafri? Kita sama-sama terlibat dalam Tinta Azizian,” jelas Azri.
“Hah?” Muka gadis itu berubah. Baru gadis itu hendak membuka mulut terdengar nama gadis itu di panggil seseorang memaklumkan pengantin perempuan memerlukan khidmat si gadis. Lalu si gadis meminta diri dan berlalu pergi.


Kalau bukan kerana Hana sumpah aku memang dah lama balik rumah ‘golek-golek’ depan tv layan filem! Kenapalah tak cuba bersungguh-sungguh pujuk Rina untuk jadi pengapit? Untuk Rina ganti dia. Kenapalah boleh termakan pujukkan Hana. Selalunya perkataan TIDAK atau TAK MAHU akan diberikan kepada sesiapa yang meminta dia jadi pengapit pengantin. Tapi dengan Hana memang terpaksa buat pengecualian sebab kawan karib yang tidak boleh ditukar ganti. Selepas ini kalau giliran Rina memang nekad akan ditolak kalau diminta jadi pengapit lagi.
Sekarang dia berada dalam situasi alasan keempat. Kenapalah susah sangat hendak katakan TIDAK kepada Hana untuk tolak dari menjadi pengapit. Bahananya sekarang aku yang tanggung. Ada juga yang kena dengan aku nanti. Dahlah tengah geram.
Sejak dari tadi pemuda yang menjadi pengapit pengantin lelaki ini tidak habis-habis mencuri pandang, memerhatikannya. Bukannya tak sedar yang dari masa Lokman menyarungkan cincin di jari Hana tadi si pemuda ini sibuk sangat memerhatikannya. Memang rasa tidak senang dan tidak selesa dengan renungan tajam yang diberikan. Rasa hendak sahaja dia mencucuk biji mata lelaki itu dengan bunga telur atau bunga pahar yang elok terletak di atas pelamin. Nasib baik majlis sudah selesai. Jadi bolehlah berehat sekejap.
Sedang Hana sibuk melayan tetamu yang hadir bersembang di meja pengantin, dia mengambil kesempatan merehatkan diri di meja kosong tidak jauh dari situ. Berehat sambil minum air. Nyaman rasa tekak apabila air buah-buahan campuran  yang sejuk itu membasahi tekaknya yang kering di waktu hari yang panas. Nikmatnya.
“Awak kelihatan sungguh ayu sekali.”
Tangan kirinya menutup mulut. Hampir tersembur air buah-buahan campuran yang diminum oleh Dayana apabila disapa oleh seseorang. Tersipu-sipu Dayana dibuatnya. Dia memandang lelaki itu yang mengambil tempat duduk di sebelah kirinya.
“Hah? Err…terima kasih. Maaf saya minta diri dahulu.” Dayana cuba mengelakkan diri lalu berpaling pergi. Mukanya merah malu dipuji sebegitu. Gila! Tak pernah orang cakap macam tu kat aku.
“Nanti! Jangan pergi dulu…” lelaki itu cuba menghalang.
Isy…dia nak apa lagi ni?
“Saudari tak kenal saya?” sambung lelaki itu. Lembut matanya menyapa wajah polos Dayana mula membuatkan Dayana rasa kurang selesa. Dia tidak suka diperhatikan begitu.
“Tak. Maaf ya, saya memang ada masalah sikit bab mengingat orang. Kita pernah berjumpa ke, sebelum ni?” kata Dayana dengan muka kehairanan dan dalam masa yang samma juga dia mengukir senyuman yang ikhlas buat lelaki itu. Sempat juga dia memerhati lelaki dihadapannya kini. Kacak. Tetapi tinggi sangatlah. Macam tinggi aku ni kat paras dagu dia saja. Sahlah aku memang pendek.
“Betul tak kenal saya?” soal lelaki lagi.
“Maaf, saya betul-betul tak ingat.”
“Tak ingat Azri?”
Mindanya cuba mencerna apa yang lelaki itu katakan. Azri, nama macam biasa dengar tetapi gagal dipastikan di mana dia biasa mendengar nama itu.
“Maaf, saya betul-betul tak ingat. Kita berkenalan di mana?” balas Dayana sambil mengutumkan senyuman manis. Senyuman itukan sedekah. Siapa dia ni? Sindrom pelupa ini memang ada sejak dari azali. Kerana cepat sangat lupakan orang yang baru dia kenal jadi dia selalu dikatakan perempuan sombong. Maaflah sebab memang aku tak ingat siapa lelaki ini!
“Betul tak kenal Azri?”
“Azri?” Dia mula mengerutkan dahi.
“Ya! Azri. Azri Zafri? Kita sama-sama terlibat dalam Tinta Azizian,” jelas lelaki itu.

 “Hah?” Dia terkejut. Muka Dayana berubah apabila mendengar nama itu. Insiden-insiden yang berlaku dahulu dengan insan bernama Azri Zafri mula menerpa. Baru sahaja Dayana hendak membuka mulut terdengar namanya dipanggil Rina, memaklumkan pengantin perempuan memerlukan khidmatnya. Dia selamat! Cepat-cepat Dayana meminta diri dan berlalu pergi tanpa berlengah lagi. 

No comments:

Post a Comment