Tuesday 5 April 2016

Nota ~ Jodoh Sambal Hitam (Bab 2) ~ Ijazati Habib

Tanam seroja tumbuh melata,
Tumbuh ditepi perigi buta,
Bijaklah cinta pilih permata,
Bila tak kenal maka tak cinta.
Zacharia memarkir motorsikal Kawasaki miliknya di anjung. Dia kemudiannya menanggalkan topi keledar hitam dan jaket kulit yang tersarung ditubuh.
"Ada orang baru pindah ke, ummi?" Zacharia bertanya sambil tunduk salam cium tangan ummi. Tadi Zacharia melihat halaman rumah sebelah terang-benderang dengan cahaya lampu dari anjung.
"Haah..." Puan Zulinah menjawab.
"Pasangan baru kahwin?" Zacharia bertanya lagi.
"Eh, tak lah... Bujang." Puan Zulinah pantas mengambil jaket kulit milik Zacharia. Anak bujangnya ini bukan boleh harap. Nanti ditinggalkan saja jaketnya itu merata-rata. Esok mengadu tak ingat di mana letak jaketnya.
"Oh, perempuan?" Zacharia meneka setelah melihat kereta yang terparkir adalah Suzuki Swift berwarna merah. Entah. Pada Zacharia kereta model itu sangat sinonim dengan perempuan.
"Haah..."
"Dia duduk seorang aje ke, ummi?"
"Tadi ummi jumpa dia seorang aje. Memang dia duduk menyewa seorang ajelah agaknya," Puan Zulinah mengulas.
"Dia menyewa seorang? Banyak duit dia. Dia kerja apa, ummi?" Zacharia bertanya lagi.
"Entahlah. Ummi tak tanya pula dia kerja apa. Cuma dia cakap pejabat dia dekat Medan Klebang Prima." Puan Zulinah sekadar menjelaskan apa yang dia tahu.
"Pekebun kut, ummi..." Zacharia berseloroh. Bukan apa, balik tadi Zacharia rasa lain. Bila dipandang halaman rumah sebelah, baru dia faham. Jiran baharunya ni dah siap tanam tiga batang pokok belimbing buluh setinggi lelaki dewasa.
"Pandai-pandai aje kamu ni, Zach! Kan ummi kata tadi dia kerja pejabat. Pejabat dia di Medan Klebang Prima sana tu hah."
"Gurau ajelah ummi..." Eh, ummi aku ni! Bukan main bela lagi jiran baharu tu.
"Ummi tengok dia tu rajin budaknya. Dia baru pindah pagi tadi. Masa ummi balik dari rumah Abang Ran, dia tengah bersihkan tanah tepi anjung tu. Lepas tu dia tanam pokok belimbing buluh dan pokok cili api. Ada lori dari nurseri hantar pokok tu. Seronok pula ummi tengok dia bercucuk tanam. Ummi rasa macam nak ikut juga budak tu. Tanam pokok herba dekat laman tu. Apa orang kata, edible garden?" Puan Zulinah berceloteh panjang.
"Haah. Edible garden. Ummi cakap dia tu budak? Iya ke dia budak lagi? Bukan andartu?" Zacharia menjerit kuat tatkala lengannya dicubit ummi.
"Biasa ya?" Puan Zulinah bercekak pinggang. Mulut anak terunanya ni, tak ada insurans betul! Sesuka hati mengata orang andartu.
"Apa ni ummi?" Zacharia berkerut. Sakit kut!
"Kamu tu lah Zach... Apalah panggil budak tu andartu. Ummi tengok dia tu nampak lagi muda dari kamu yang bujang terlajak ni..." Puan Zulinah membebel panjang.
"Zach mana bujang terlajak lagi ummi. Normal aje lelaki umur tiga puluh belum kahwin." Zacharia mempertahankan diri. Habislah... Ummi dah nak mulakan ceramah fasal jodoh.
"Zach kena ingat tau. Bukan sampai bila-bila ummi ni buka mata. Nanti kalau ummi dah tak ada, siapa nak jaga makan pakai Zach?" Puan Zulinah sudah puas menasihati Zach. Tapi anak terunanya ini ambil endah tak endah sahaja. Asyik sibuk dengan kerja.
"Tak apalah ummi. Baju boleh hantar dobi. Makan boleh beli."
"Ummi jodohkan dengan budak sebelah ni, nak?" Puan Zulinah mengutarakan idea.
"No... no... Please, ummi. Jangan nak mula. Karang naik takut budak sebelah ni. Elok-elok baru duduk menyewa terus pindah." Cepat-cepat Zacharia menghalang. Ummi ni bukan boleh kira. Karang tak fasal-fasal antara Zacharia dengan budak sebelah ni jadi janggal.
"Okey. Ummi tak buatlah..." Puan Zulinah gelak melihat reaksi Zacharia. Takutlah tu...
"Ummi masak apa hari ni?" Zacharia bertanya sambil melangkah menuju ke dapur.
"Tengoklah apa yang ada bawah tudung saji tu." Puan Zulinah memuncungkan bibir ke arah tudung saji di atas meja. Dia melangkah ke arah sinki. Mahu menjerang air.
"Wah, sayur kubis panjang lemak putih! Sedap ni..." Tiba-tiba air liur Zacharia terasa kecur.
"Bukan ummi masak tau. Budak sebelah masak. Ummi goreng ikan masin tu aje. Nak ummi tambahkan lauk? Telur dadar ke?"
"Tak apalah, ummi. Zack makan nasi lauk sayur lemak putih, ikan masin dan ini..." Zach mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya.
"Herm... ummi dah agak dah."
"Ummi, kalau makan nasi dengan sayur lemak putih campur dengan sambal hitam ni, memang ummph la ummi..." Zacharia mencapai sudu dan membuka penutup balang berisi sambal hitam Pahang.
"Ya, ummi tahu. Ummi pun pernah rasa sambal hitam tu. Sedap. Tapi tak adalah macam kamu ni. Kemaruk nak makan hari-hari. Kahwin ajelah dengan orang yang buat sambal tu." Puan Zulinah memberikan cadangan.
"Ummi ni kan, sikit-sikit kahwin. Tak nak lah. Sah-sah yang tukang buat sambal hitam ni kategori mak-mak orang. Tak pun bini-bini orang." Zach menegah. Dia kemudiannya menyenduk nasi ke dalam pinggan dan menadah tangan membaca doa.
"Mana kamu tahu?"
"Ummi, ni sambal hitam Pahang. Makanan tradisional warisan. Zach tak rasa ada anak-anak dara reti masak benda ni." Zacharia menyangkal sambil menambah kuah sayur lemak putih ke atas nasi.
"Iyalah tu. Sedap tak budak sebelah ni masak?" Puan Zulinah menjongketkan kening. Sengaja menyakat sebab tengok Zacharia beberapa kali menambah lauk sayur lemak tu tanpa dia sedar.
"Bolehlah... Sedap sebab makan dengan sambal hitam ni..." Zacharia jawab acuh tak acuh. Ummi mulalah tu nak mengusik orang.
Puan Zulinah senyum sinis. Kemudian dia menggeleng kepala.
"Ummi, bunyi apa tu?" Suapan Zacharia terhenti. Terdengar bunyi seperti cakaran di luar rumah.
"Entah..."
Zacharia tak senang duduk. Terus angkat punggung dari kerusi meja makan. Tangan pun tidak dibasuh. Zacharia membuka tombol pintu menggunakan tangan kiri. Bunyi cakaran semakin kuat.
"What?" Zacharia menjerit kuat. Darah panas terasa meresap dalam tubuh. Kalah kepedasan sambal hitam yang dimakannya tadi.
"Kenapa ni Zach?" Puan Zulinah turut sama terkocoh-kocoh menghala ke arah anjung apabila terdengar suara kuat Zach.
"Ummi, sejak bila wujud kucing belang-belang tu? Haram punya kucing. Dicakarnya tempat duduk motor Zach!" Zacharia bengang. Habis bercalar tempat duduk motorsikalnya. Tak ada tempat lain ke kau nak mencakar hah, kucing? Pergilah cakar pasu ummi ke, pagar besi tu ke, tak pun pokok belimbing jiran sebelah. Yang pergi cakar tempat duduk motor aku tu dah kenapa?
"Herm... Mahmodlah tu..." Puan Zulinah tergelak kecil kemudiannya masuk kembali ke dalam rumah.
Zacharia terpinga-pinga seorang diri di anjung. Siapa Mahmod?
Ah, lantaklah siapa Mahmod! Zacharia ada perhitungan yang lebih penting ni. Zacharia capai kunci pagar rumah yang tersangkut di tepi pintu. Selipar di kaki disarungkan. Ke mana lagi. Rumah sebelahlah! Kucing tu tak wujud sebelum ni. Ni mesti kucing dia!
Ting tong.
Zacharia cekak pinggang.
Ting tong.
Seketika kemudian kedengaran bunyi pintu utama rumah dibuka. Terpancul satu tubuh yang lengkap bertudung.
"Oh, ini rupanya jiran baharu aku!" desis hati Zacharia.
"Ada apa ya Encik?" Ariana menyapa. Jaraknya sedikit jauh dari pagar rumah. Bukan apa. Takut ni orang jahat ke, peragut ke. Sekurang-kurangnya Ariana ada 'benteng pertahanan'.
"Assalamualaikum." Marah-marah juga. Kita ni orang Melayu. Adab kena jaga. Eh, kau Melayu ke Zacharia? Melayu separuh.
"Waalaikumussalam."
"Aku nak cakap sikit ni. Kau jaga kucing kau tu elok-elok. Suka hati dia cakar seat motor aku!" Zacharia terus melahar.
"Saya minta maaf encik. Tapi dia tu kucing. Dia bukan tahu apa-apa. Cuma lepas ni saya akan lebih berjaga-jaga." Ariana tarik nafas panjang sebelum berkata. Ikut hati Ariana, dia pun nak meletus juga. Suka hati aje sound aku fasal kucing. Eleh, tu kucing kut! Bukan dia faham apa itu seat motor.
"Maaf tu maaf juga. Tapi kalau lain kali jadi lagi, aku rasa aku tak boleh maafkan." Eh, perempuan ni! Dalam minta maaf tu membebel lagi dekat aku. Bukan main lagi kau ya? Getus Zacharia dalam hati.
"Berapa ganti rugi yang encik nak?" Ariana berpeluk tubuh. Angin malam agak sejuk, tapi hatinya ni rasa panas.
"Aku tak nak duit. Aku cuma nak lain kali kucing kau tak buat hal lagi. Aku tau kucing tu tak ada otak. Tapi kau tu ada otak. Pandai-pandai sikit guna otak tu untuk kawal kucing kau macam mana!" Zacharia naik angin. Ewah! Ganti rugi? Aku tau kau banyak duit. Sebab tu kau mampu duduk menyewa rumah teres seroang diri. Kau mampu ada kereta sendiri. Tapi kau ingat semua benda boleh diselesaikan dengan duit? Ethic, miss! Ethic!
"Apa fasal main otak-otak pula?" Ariana bengang. Eh, lelaki ni! Nak marah kucing aku tu marah aje lah. Tak payah nak sabit dengan otak aku. Dasar miring!
"Betullah aku cakap. Ada otak tu guna!" Zacharia tak nak kalah. Geram betul dengan perempuan ni. Tak padan ketot, kuat melawan.
"Ya, saya ada otak. Saya guna otak saya. Kucing saya pun ada otak cuma otak dia tak boleh berfikir. Tapi saya takut saiz otak encik ni lagi kecil dari otak kucing saya!" Kau nak main otak-otak sangat kan? Kau nak complaint fasal kucing aku cakar  tempat duduk motor kau? Okey, fine! Ariana dah minta maaf. Tapi apa fasal nak ungkit-ungkit fasal otak Ariana tiba-tiba ni? Ni namanya memang dasar cari gaduh!
"Eh, makcik! Kau ni kan..."
"Zach... Apa ni gaduh-gaduh ni?" Puan Zulinah kelam-kabut keluar apabila terdengar bunyi kecoh.
"Kucing dia ni ummi!" Zacharia menghalakan jari telunjuknya kepada tuan punya kucing, yang ketot...
"Alah. Bukan hari-hari kucing dia cakar motor Zach." Puan Zulinah memujuk.
Zacharia terbuntang mata. Apa dia, ummi? Bukan hari-hari?
"Acik, saya minta maaf fasal kucing saya..." Ariana bersuara lembut.
Zacharia jeling. Pandai pula kau cakap lembut-lembut ya, Makcik Ketot? Dengan aku bukan main nyaring lagi. Hipokrit!
"Tak apa, Ariana. Acik tahu benda ni tak dijangka. Sudahlah tu, Zach. Janganlah kecoh-kecoh di luar ni. Malu kalau orang tengok..." suara Puan Zulinah sedikit berbisik. Bukan apa, takut  jiran-jiran  terdengar  heboh  pula.
"Tapi ummi..." Zacharia tak puas hati. Ummi ni mesti dah terpedaya dengan Makcik Ketot ni. Ummi belum kenal lagi dia macam mana, ummi. Ada ke tadi dia cakap fasal nak bayar duit. Wah, sikit-sikit selesai guna duit!
"Sudahlah Zach. Ariana, Acik masuk dulu ya?" Puan Zulinah menarik lengan anak terunanya. Si Zacharia ni lagi dibiarkan lagi kecoh. Faham benar anak terunanya ini pantang diusik, barannya bukan main lagi melahar.
Ariana angguk kepala. Dipandang Acik yang sedang mengheret anak terunanya masuk rumah. Haha. Rasa macam nak tergelak. Dah besar panjang tapi nak gaduh macam budak-budak. Apa nama dia Acik sebut tadi? Zek? Zack? Nama betul dia apa? Entah-entah Zakaria... Ariana melangkah masuk ke rumah dengan gelak yang ditahan.
"Sampai hati Zach. Malu ummi dengan Ariana..." Puan Zulinah meluah rasa sebaik sahaja masuk ke dalam rumah.
"Dia tu ummi!" Zacharia mencebik. Ummi ni kan, bela sangat Makcik Ketot sebelah ni. Ummi ni mesti terpedaya la tu tengok luaran dia.
"Ummi tengok budak tu baik aje. Dia minta maaf kan tadi? Lagipun Mahmod tu bukan faham apa-apa." Puan Zulinah memberikan nasihat sambil cuba memujuk hati anaknya yang sedang berbara.
"Siapa Mahmod?" Zacharia kerut dahi. Dah dua kali nama Mahmod tu keluar dari mulut ummi rasanya.
"Kucing oren belang-belang dia tu lah..."
"Hah?" Zacharia gelak sinis. Gila punya makcik ketot. Ada ke patut bagi nama Mahmod pada kucing. Psiko! Betullah agaknya dia andartu. Desperate. Tak ada teman hidup, kucing tu pun dia pergi taruk nama orang. Kuat melawan macam tu, siapa nak buat bini?
"Nak ke mana tu?" Ummi bertanya.
"Sambung makan, ummi. Ni, tangan ni dah kering dah dek kerana perempuan sebelah ni." Zacharia menunjukkan tangan kanannya yang terdapat nasi menempel.
"Ariana pula salah. Zach tu yang pergi serang dia tak basuh tangan dulu. Tak menyempat-nyempat." Puan Zulinah masih seperti tadi. Menyebelahi Ariana.
Zacharia diam. Cakap karang kena balik. Ummi ni kan, Zach ni anak dia kut. Bukan Makcik Ketot sebelah tuan kucing bernama Mahmod tu anak dia. Tak puas hati betul.

Kau tunggu ya Makcik Ketot. Aku tak habis lagi dengan kau ni...

No comments:

Post a Comment