Wednesday 2 December 2015

Balang Cinta (Bab 1) ~ Wizana Emilia

Khyra Laira. Dia seorang setiausaha peribadi di Suria Media Sdn. Bhd. Rambutnya panjang mengurai paras dada dan sedikit berombak pada hujungnya. Khyra memiliki sepasang mata yang cantik, redup dan sayu. Tubuhnya kurus, pada ketinggian sederhana iaitu 156 sentimeter. Raut wajahnya ayu dan runcing. Hidungnya kecil, tidak terlalu mancung dan tidak pula kelihatan pesek. Bibirnya kecil dan nipis, namun tetap mengukir senyuman yang manis.
            Usianya 25 tahun. Tiga tahun yang lalu Khyra berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bertugas di pejabat yang mana dia bertugas sekarang. Sudah menjadi rutin harian Khyra untuk menyemak dan mengemas kini jadual, menguruskan surat-menyurat serta memastikan urusan seharian majikannya berjalan lancar.
Jam di pergelangan tangan kirinya menunjukkan pukul 9.00 pagi. Mata Khyra memandang ke arah pintu kaca pejabat Pengarah Urusan Suria Media. Majikannya itu masih belum sampai. Lazimnya, Dato’ Iskandar Abdullah akan masuk ke pejabat awal iaitu sekitar pukul 8.45 pagi. Namun pagi ini kelibat majikannya itu masih belum kelihatan.
Hati Khyra menjadi risau. Jadual di komputernya menunjukkan yang Dato’ Iskandar akan mempengerusikan mesyuarat pukul 9.30 pagi ini. Diperiksanya telefon bimbit, namun tiada mesej masuk dari majikannya.
"Khyra, Dato’ dah sampai?" soalan itu mengejutkannya. Eksekutif jualan, Rosni  tersenyum di hadapannya.
"Belum lagi Cik Rosni," dia menjawab. Kepalanya digelengkan sedikit. Hati Khyra semakin gusar.
"Selalunya Dato’ masuk awal kan?" soal Rosni lagi.
"Ha’ah," dia mengangguk. "Lambat pula Dato’ hari ni. Hmm.. Kejap lagi sampailah tu," ujarnya, menyedapkan hati.
"Tak mengapalah kalau begitu. Saya tunggu Dato’ di bilik mesyuarat saja," balas Rosni.
"Okey, nanti saya beritahu Dato’," balas Khyra.
`Manalah pula dia ni?’ soal Khyra  di dalam hati.
Jarinya pantas menaip mesej menerusi aplikasi Whatapps. Mesej itu dihantar kepada Halim, pemandu peribadi Dato’ Iskandar.

- Ada di mana?
Mesejnya dibalas.
+ Dah nak sampai.

Sepuluh minit kemudian, majikannya yang berusia pertengahan 50-an itu melangkah masuk. Berdetap-detup bunyi tapak sepatu kulit `loafer’ jenama Giorgio Armani. Seperti kebiasaannya juga, Dato’ Iskandar kelihatan amat tampan pada matanya. Raut wajah majikannya itu, sentiasa manis, bersih dan gembira.
`Dato' Iskandar..' hati Khyra berbisik.  
Ya, majikannya itu amat dikagumi olehnya. Dato' Iskandar amat menitikberatkan penampilan. Ditubuh majikannya itu, tersarung kemeja kapas Emporio Armani berwarna kelabu, yang dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam.
"Assalamualaikum, Dato’," sapa Khyra, lembut.
"Walaikumsalam," Dato’ Iskandar menjawab dengan senyuman manis di bibir. "Mesyuarat pagi ni pukul 9.30 kan?" soal majikannya itu.
"Iya, Dato’. Cik Rosni dah tunggu Dato’ di bilik mesyuarat," jawab Khyra, tersenyum. Matanya tidak berkedip merenung wajah lelaki yang menyentuh perasaannya itu. Sama sekali Khyra tidak jemu menatap wajah yang kacak dan macho tersebut.
"Ada masa lagi lima minit," kata Dato’ Iskandar sambil melihat jam pada telefon bimbitnya. "Khyra , hari ni tolong hantar sekotak coklat Patchi untuk Datin Nurin. Awak beli coklat eksklusif `emotion design’. Pilih dark chocolate with pistachio croquant."
"Mesejnya Dato’?"
"I love you with all my heart and my soul," ucap Dato’ Iskandar dengan senyuman manis dan renungan menggodanya. Sekali lagi Khyra terpesona dengan aura lelaki itu. "Hmm.. Dapat tak?"
Khyra tersentak.
"Da.. dapat Dato’," balas Khyra, tersengih.
"Dan Khyra, tolong buatkan saya kopi."
"Baik, Dato’," pantas Khyra mengangguk dan bangun dari kerusinya. Dato’ Iskandar pula melangkah masuk ke dalam pejabat.
Di pantri pejabatnya itu, Khyra mengambil sebiji cawan dari rak pinggan. Dikoyaknya sepaket uncang kopi 3 dalam 1 dan diletakkan serbuk campuran kopi berkenaan ke dalam cawan. Dengan berhati-hati, ditekan butang pada termos dan dituang air panas ke dalam cawan. Kemudian, dikacau-kacau perlahan minuman berkenaan menggunakan sudu, sehingga kopi tersebut kelihatan sebati.
`Kan bagus kalau aku dapat suami macam Dato’ Iskandar. Hmmm... Penyayang dan romantik,’ hati Khyra berbisik.
Sebuah perasaan yang indah terbit dalam sanubarinya. Matanya dipejam seketika. Wajah Dato' Iskandar hadir pada kelopak matanya. Bibir Khyra terus mengukir senyum, sambil tangannya menatang dulang kecil yang berisi secawan kopi.
Begitulah Khyra. Setiap hari, dia amat gembira hadir ke pejabat. Dirinya berangan-angan bertemu dengan seorang lelaki seperti majikannya. Namun Khyra tidak terlalu berharap. Lelaki idamannya tidak perlu sekacak Dato’ Iskandar, memadai sedap matanya memandang. Juga bukan lelaki kaya yang dicari, tetapi lelaki romantik yang mampu menjadikan hari-harinya indah dan berbunga-bunga. Lelaki romantik yang mampu menerbitkan rindu di hatinya.
Matanya dipejam sekali lagi. Kali ini, bibirnya masih tidak henti tersenyum. Perasaan indah tadi masih belum reda.
`Kalaulah....' hati Khyra terus berbisik.

**************************
           
"Hello Khyra ."
            "Ya, Kak Ernie."
            "Jangan lupa tau malam ni."
            "Ya, saya ingat."
            "Dan jangan lambat."
            "Iya... Jangan bimbang."
            "Akak kena bimbang!" keluh Ernieza.
            Khyra menggumam. Nafasnya dilepaskan perlahan.
            "Saya akan datang, kak. Don’t worry."
            "Jangan cakap je tau! Jangan jadi macam hari tu. Kesianlah kat akak dan Abang Sham," Ernieza mengingatkannya.
            Khyra menggigit bibir. Perasaan bersalah bermain di dalam jiwa. Memang wajar Ernieza meraguinya.
            "Kan saya dah minta maaf? Malam nanti saya akan datang. Jangan bimbang, kak," tegas Khyra.
            "Okey. Jangan hampakan akak. Jumpa pukul 8.00 malam nanti."
            Khyra mengeluh apabila panggilan tersebut ditamatkan. Dia tahu Ernieza dan Shamsul berniat baik terhadap dirinya. Mereka tidak mahu Khyra sunyi dan bersendiri. Sekurang-kurangnya dia punya teman yang dapat menjaganya di kala susah dan senang.
            Namun Khyra  tetap berasa berat hati dan bimbang. Hatinya serba-salah memikirkan padanan-padanan yang cuba diatur oleh kakak sepupunya itu.
            `Bagaimana kalau aku tak berkenan?’ bisik hatinya, gusar.
            Jari-jemarinya memicit-micit kepalanya yang terasa sedikit pusing. Khyra benar-benar benci berhadapan dengan situasi serba-salah sebegini. Ya, dia teramat benci!
            Situasi serba-salah inilah yang menyebabkan Khyra tidak muncul pada temu janji makan malam lima hari yang lalu. Sudah puas dipujuk dan dikuatkan hatinya, namun fikiran dan tubuhnya enggan untuk pergi. Akhirnya, Khyra tidak bergerak daripada posisi asalnya. Malam diteruskan dengan duduk termenung di atas sofa di rumah sewanya sepanjang malam. Lebih teruk lagi, Khyra membiarkan telefon bimbitnya berbunyi tidak henti-henti.
            `Aku kena pergi juga!’ kata hatinya, nekad.  
            Ya, kali ini dia harus pergi. Tidak sanggup rasanya untuk Khyra mendengar luahan kehampaan dan leteran daripada Ernieza. Tambahan pula, jejaka yang hendak diperkenalkan padanya adalah adik kandung kepada Shamsul, suami kakak sepupunya itu. Oh, Khyra tidak mahu mengecewakan Ernieza atau pun Shamsul! Kedua-dua insan tersebut amat mengambil berat tentang dirinya. Mana mungkin Khyra sampai hati untuk menghampakan Ernieza dan Shamsul untuk kali yang kedua!
            Digenggam erat buku limanya.
            `Kali ini mesti!' hati Khyra terus bertekad dan bulat.
Fikirannya menerawang sebentar mengingati pertemuannya dengan kakak sepupunya pada petang semalam. Meski pun kata-kata bebelan yang diterima amat pedih menusuk hati, namun dia tahu yang dia wajar menerima bebelan tersebut. Yang bersalah adalah dirinya sendiri.
"Sampai hati Khyra  buat akak macam ni," keluh Ernieza, hampa.
"Saya minta maaf kak. Saya tak tahu kenapa saya tak sanggup nak pergi," luah Khyra, jujur.
"Ini bukan soal akak sahaja, Khyra! Bayangkan muka Abang Sham dan Firas masa tu?! Lepas tu, kalau Khyra  beritahu takpelah juga. Ini tidak... akak call pun, Khyra  tak jawab," Ernieza terus meluahkan rasa kecewa.
Wajah Khyra ditundukkan. Berbaur perasaan malu dan kesal. Dia sendiri pun tidak faham bagaimana dia boleh bertindak sedemikian. Batasan sudah dilangkau olehnya tanpa mengira perasaan orang lain.
`Oh...' hati Khyra terdetik penuh kesal. Terasa pedih dan menusuk di kalbu.   
"Saya tahu kak. Saya minta maaf. Saya pun tak tahu kenapa saya buat macam tu."
"Khyra tahu kan yang akak buat semua ni untuk Khyra juga?" soal Ernieza.
Khyra mengangguk perlahan.
"Tahu kak."
"Jadi sampai bila Khyra nak elakkan diri? Kali ni Abang Sham nak kenalkan dengan adik dia sendiri. Bukannya orang yang baru dia kenal! Tapi adik dia, Firas! Sekarang ni bila dah jadi macam ni, akak pun jadi serba-salah. Macam akak pula je yang bersungguh-sungguh. Sedangkan Khyra macam tak suka dengan Firas," bebel Ernieza.
"Bukan sebab saya tak suka kak..." Khyra menafi.
Ernieza menggeleng.
"Habis tu? Masalahnya, kalau suka, kenapa Khyra tak datang? You didn't show up! Kenapa biar kami macam orang bodoh? Tak baik tau Khyra buat macam ni," nada kesal dan marah terus menjadi latar suara Ernieza. Ekspresi kecewa amat jelas pada wajah kakak sepupunya itu.
Wajah Khyra menjadi panas. Kehampaan Ernieza membuatkan Khyra hampir menangis. Kekesalan menyentuh jiwa.
"Itu sebabnya saya minta maaf. Saya tak sengaja, kak. Serius, saya tak sengaja! Entahlah kak," ucap Khyra penuh emosi.
"Habis tu, sekarang ni macam mana?"
Wajah Khyra berkerut.
"Apa yang macam mana kak?"
"Yelah. Nak kenal ke tak?" Ernieza menyoal, tegas.
"Saya ada peluang lagi ke?" Khyra pula menyoal, sangsi.
Ernieza mengeluh, berat. Kening kakak sepupunya itu berkerut. Mata Khyra direnung tajam. Renungan yang membuatkan Khyra berasa sungguh kurang selesa.
"Boleh. Tapi, pastikan kali ini Khyra mesti pergi! Jangan pula tak muncul!" nada tegas dan penuh amaran itu keluar dari mulut Ernieza. Mata kakak sepupunya itu buntang memandang Khyra.
Kali ini Khyra pula melepaskan keluhan yang berat.
"Okey," balasnya.
"Okey je? Khyra kena janji dengan akak," pinta Ernieza.
Khyra mendengus.
"Okey, saya janji," ucapnya, tidak mahu berdolak-dalik.
"Betul ni?"
"Betul! Kali ni saya janji, saya akan pergi," janji dilafazkan.
"Kalau begitu, kita jumpa Sabtu malam."
"Hujung minggu ni?"
"Ha’ah, this coming Saturday."
"Pukul berapa?"
"8.30 malam di Bistro Krystal Botega."
"Okey."
"Ingat Khyra. Jangan tak datang pula," pesan Ernieza sekali lagi.
"Datang," angguknya. Air liurnya ditelan pahit. "Kan saya dah janji dengan akak tadi," ekspresi wajah penuh jaminan ditunjukkan kepada Ernieza.
"Bagus," ujar kakak sepupunya.
Ya, Khyra sudah berjanji dan kali ini dia akan menepati janji. Ernieza terlalu baik untuk dihampakan. Tambahan pula, salah Khyra juga kerana bersetuju untuk diperkenalkan dengan Firas Rizqy. Bukan Abang Sham atau Ernieza yang memaksa tetapi Khyra yang menyatakan persetujuannya.
Matanya dipejam rapat. Sebuah kegusaran timbul dengan tiba-tiba.
`Bagaimana kalau dia tak penyayang dan tak romantik?’ bisik hati Khyra, bimbang. `Bagaimana kalau dia bukan yang aku impikan?!'
Bibirnya diketap. Kebimbangan itu melatari perasaannya. Namun, Khyra tidak punya jawapan. Dia tidak tahu tentang Firas Rizqy. Malah sebelum ini dia tidak pernah ingin tahu tentang Firas Rizqy.
Saat ini Khyra mula menyalahkan dirinya sendiri. Mengapa selama ini dia tidak pernah bertanya tentang lelaki bernama Firas Rizqy itu kepada Ernieza. Mengapa?!
Mengapa begitu berat mulutnya untuk mengetahui latar belakang lelaki itu?! Bukankah lebih mudah untuk dia membuat keputusan sekiranya dia tahu serba sedikit tentang Firas Rizqy.
Jari-jemari Khyra mula menarik-narik rambut di kepala. Semakin sakit terasa tarikan rambutnya semakin dia berasa lega. Matanya memandang ke arah gaun labuh merah jambu pastel yang tergantung di dalam almari pakaian. Gaun itu akan dipakainya malam ini.
`Bagaimana pula kalau aku yang tak menepati ciri-ciri yang dia mahu?’ hati Khyra terus bermonolog, resah.
Detik demi detik berlalu dengan pantas. Peluh mula muncul di dahi dan di atas permukaan kulit hidungnya. Perasaannya bercampur-baur. Separuh jiwanya enggan bertemu dengan jejaka bernama Firas Rizqy itu. Separuh jiwanya lagi berperang untuk mengenali lelaki itu.
`Dia kan adik Abang Sham? Bermakna kemungkinan dia juga seperti abangnya. Bukan ke Kak Ernie selalu puji Abang Sham? Abang Sham kan romantik dan penyayang?’ getus hati Khyra.
Mengingati kemungkinan itu, bibirnya mengukir senyum. Khyra bingkas bangun dari baringan di katil. Tangannya mencapai tuala tebal berwarna putih dari ampaian di tepi almari pakaian. Langkahnya positifnya digerakkan menuju ke bilik mandi.

`Ini peluang terbaik untuk aku dapat suami romantik macam Dato’ Iskandar,’ bisik hati Khyra lagi, riang dan berharap. Senyuman di bibir berterusan sambil tangannya menolak pintu bilik mandi.        

No comments:

Post a Comment