Tuesday 13 October 2015

Dona Karan Penang (Bab 5) ~ Fatihah Pauzihal

Kak Jah mundar mandir di dalam bilik yang dikongsi bersama Zurin dan Rohaida. Dia risaukan Farah. Kebanyakan kawan-kawannya sudah mula bercerita tentang Farah. Dia tidak suka mendengar cerita-cerita agak negatif sebegitu. Baginya adik-adik yang menyewa bersama-samanya di apartmen Desa Universiti adalah ibarat adik-adiknya sendiri. Sebagai ketua yang dilantik secara tidak rasmi oleh penghuni apartmen 8-9-8  itu, dia rasa bertanggungjawab.
                Dia teringatkan kata-kata abang Syuk Auw yang kononnya, Farah berbaik dengan Rezal sebab nak duit Rezal saja. Mariam Tan pun ada bercerita yang Farah kononnya marah-marah dekat Rezal di Kafe kotak depan orang ramai. Siap bercerita, Rezal menangis lagi. Rohaida pula beritahu yang dia pernah nampak Farah naik kereta perodua kembara yang Rezal baru beli. Ish, pening dia memikirkan tentang ini. Setahu dia, Farah bukan berperangai sebegitu.
                Mulanya dia tidak percaya. Ye lah, masa Farah bercinta-cinta dengan Jandur dulu, paling banyak pun sekali seminggu je dia keluar. Itu pun berteman. Kalau tersalah lambat sikit, dia pasti menelefon rumah. Adab-adab di jaganya dengan baik. Walaupun budak tu berpewatakan agak kasar sedikit, tapi dia tahu menjaga batas susila. Biasanya dia payah nak melayan lelaki. Kenapa dia jadi macam tu ya? Kalaulah semua tu fitnah, takkanlah semua orang dengki dan cemburu dengannya? Kenapa? Motif apa? Dia tu serba sederhana. Bukan anak orang kaya pun. Bukan cantik sangat pun. Bukan baik sangat pun. Ish....
                “Assalamualaikum!” Pintu bilik tempat kak Jah berjalan mundar mandir di kuak sedikit.
                “Waalaikumussalam. Ha, Farah, masuklah,” Farah senyum dan berjalan masuk ke bilik. Kak Jah kemudiannya duduk bersila di atas tikar mengkuang milik Zurin. Farah turut bersila.
                “Ada apa ni kak Jah?” Kak Jah menarik nafas panjang, kemudian dia senyum. Dia menarik tangan Farah dan menepuk-nepuk perlahan belakang tangan Farah dengan tapak tangan. Dia perlu penuh hikmah agar tiada salah faham dan terguris rasa.
                “Farah dah makan?” Farah mengangguk.
Bukan ke mereka makan bersama tadi? Giliran Bali dan Zurin yang masak hari ini. Hari minggu memang mereka akan bergilir memasak.   
                “Farah sihat?” Farah angguk lagi.
Apa kena dengan kak Jah ni. Pantas Farah menarik tangan dari pegangan kak Jah dan melekapkan tangannya ke dahi kak Jah. Tak panas pun. Tak demam ni, tapi buang tabiat ke apa kak Jah ni?
                Kak Jah ketawa kecil dengan kelakuan Farah itu.
                “Akak ni nak kata demam, tidak. Period ke? Atau terkena simptom pra-haid” Kak Jah gelak lagi.
                “Tak.. akak nak tanya sikit ni. Tapi, Farah jangan ambil hati pulak ye?” Farah angguk.
                “Farah sedih lagi pasal Jandur tu?” Farah geleng kepala.
Memang pada luarannya dia sudah tidak merasa apa-apa perasaan lagi pada ‘Jantan Durjana’ tu, tapi hakikatnya, tak tahulah. Rasanya, kalaulah Jandur tu duda anak 4, mungkin dia akan berfikir juga walaupun sedikit untuk menerimanya. Tapi Jandur tu sudah sah sah suami orang, jadi dia memang tidak akan berkompromi. Biarlah dia kecewa pun, yang penting dia bukan peruntuh rumahtangga orang lain!
                “Farah dah ada pengganti?” Farah geleng sekali lagi.
                “Tak mainlah cinta-cintan ni kak. Cukuplah tersilap langkah sekali. Malas arr nak layan!” Tiba-tiba dia nampak Jandur senyum. Ish... pergi jauh-jauh...
                “Tak adalah... kawan lelaki yang Farah selalu jumpa tu?” Farah mengerutkan dahinya tanda dia sedang berfikir.
                “Sape? Roswadi si Gajah Gila tu? Abang Basri? Shamir? La, dia orang tu kan satu kuliah. Shamir tu sedara saya kak,”
Farah gelak kecil sendirian. Dia teringatkan rahsia Roswadi, rakan sekuliahnya yang pecah berderai kelmarin. Kononnya menggunakan nama ‘Gajah Gila’ semasa berchatting dalam laman sembang MIRC, sebab nak mengorat salah seorang rakan sekuliah mereka juga. Akhirnya tembelang pecah dan Farahlah yang tukang pecahkan rahsia itu bila dia menyamar sebab nak menolong sahabatnya itu. Farah menarik balik gelak ketawanya apabila dia melihat wajah Kak Jah yang serius. Wanita itu menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Wajahnya masih tidak puas hati.
                “ Rezal ke kak?” Farah nampak wajah Kak Jah berubah sebaik sahaja dia menyebut nama Rezal.
“Dia tu tak betul kak... Rasanya penyakit keturunan kot..” Farah menyambung ayat bila memandang wajah ingin tahu dan tidak puas hati kak Jah.
“Tak baik dik cakap macam tu,” Farah tutup mulut. Memang kadang-kadang mulut dia celupar tapi dia  tak bermaksud pun untuk menghina Rezal.
“Farah suka dekat dia?” Farah buka mata seluasnya. Pantas dia mengelengkan kepala.
“Farah rasa, Rezal tu salah faham kak.” Kak Jah diam. Dia mahu mendengar dari mulut Farah sendiri adakah benar apa yang dia dengar dari sahabat-sahabatnya yang lain.
“Dia tu kawan tak sengaja je kak,” Kak Jah kerutkan dahi kemudian dia senyum kecil apabila Farah sudah mula bercerita tentang lelaki skima anak orang kaya yang dia langsung tidak ada hati kepadanya itu!           
“Macam ni lah Farah. Bukan kak Jah larang Farah nak kawan dengan sesiapa pun. Tapi, Farah kena hati-hati. Kita tak tahu, mungkin ada orang yang tak suka kita berkawan dengan orang tu atau mungkin orang dah salah anggap? ” Farah angguk beberapa kali.
                “Farah kena hati-hati dik. Yang lepas tu lepaslah. Jangan pula kita nak balas dendam atas apa yang orang lain lakukan kepada orang lain!”
Walaupun kurang mengerti bicara dari Kak Jah namun Farah mengangguk kecil. Tanda dia menghormati gadis itu yang sudah dianggap sebagai kakaknya dan ketua di rumah yang mereka kongsi bersama itu.
                “Dah lah... pergilah Farah nak tengok tv ke, nak tidur ke. Ingat pesan akak ye dik?” Kak Jah menggosok perlahan rambut Farah yang lurus itu sambil tersenyum.
                Farah bangun dari bersila dan berjalan keluar dari bilik itu. Telinganya masih terngiang-ngiang lagi kata-kata kak Jah.
                “Farah kena hati-hati dik. Yang lepas tu lepaslah. Jangan pula kita nak balas dendam atas apa yang orang lain lakukan kepada orang lain!” Aku nak balas dendam kat siapa?
**************************************************************************

                Farah melunjurkan kakinya ke depan. Dia duduk di atas batu di Visi Rock, di atas bukit, berhampiran dengan bangunan Hal Ehwal Pelajar. Dari Visi Rock dapat di lihat mercu tanda Pulau Pinang dengan jelas iaitu KOMTAR. Jambatan Pulau Pinang juga jelas kelihatan. Sesekali menenangkan diri di situ, hilang sedikit rasa resah.
                “Jahatkah aku?” Farah bermonolog sendiri. 
                “Aku nak balas dendam ke?”
Farah memintal-mintal hujung tudung bawal warna biru tua yang dipakainya. Dia teringatkan kata-kata kak Jah beberapa hari yang lepas.
Dia bangun, berjalan di balik batuan yang tersusun. Langit mendung tapi tidak menunjukkan tanda-tanda hendak hujan. Pukul 6.30 petang, sepatutnya dia sudah berada di rumah tapi entah kenapa, sebaik sahaja selesai solat Asar di bilik sahabat sekuliahnya, Afida, di Desasiswa Bakti tadi, dia melencongkan motosikalnya ke sini.
                “Masihkah aku kecewa?” Dia pun tidak pasti dengan perasaannya sendiri. Kecewa memanglah kecewa. Siapa yang tak kecewa bila harapan sudah di beri dan di terima. Jiwa yang kosong sudah terisi. Kasih mula menggamit sedikit demi sedikit. Tunas kasih sudah mula bercambah. Malah bunga-bunga cinta.... bunga-bunga cinta? Uwek!.... apa yang aku jiwangkan ni?
                Tiba-tiba saja Farah mengelengkan kepala beberapa kali, laju.  Kemudian dia mendongak ke langit, menyedut udara yang masih lagi segar dan bersih kerana kehijauan yang sentiasa di jaga di kawasan ini. Dia bangun dan berdiri di atas batu.
                Tiada sesiapa pun di sini waktu ini. Mungkin sebab cuti yang diberikan kerajaan bersambung dengan hari minggu bermula esok, jadi ramai yang sudah pulang ke kampung sehabis kuliah. Begitulah kebiasaannya. Kalau tidak, masih ada lagi pengunjung yang sedang berjiwang karat di atas kawasan Visi Rock ni. Dulu, ramai juga pasangan yang memadu asmara di sini. Tapi sejak kawalan keselamatan di ketatkan, dan sudah ramai pasangan-pasangan yang di tangkap, sudah tak nampak lagi couple-couple berdua di sini. Kalau nak berdating pun, pasti membawa beberapa orang teman lain. Dia pun pernah sekali datang ke sini dengan Jandur. Masa tu ada Fini, Zurin dan Bali sama. Mereka berkelah makan pizza. Seronok juga mengenangkan saat itu.
                “Farah!” hampir terlompat, dia sudah mula terhuyung hayang di atas batu yang dia berdiri. Ada satu tangan memegang bahunya sebelum sempat dia jatuh. Pantas di tepisnya tangan itu dan dia menjauh sedikit.
                “Rezal? Kau buat apa kat sini?”
Rezal yang memakai jeans biru dan baju t berkolar tersengih di hadapannya kini. Entah bila mamat ni memerhatikannya, dia pun tak pasti.
                “Sebenarnya... saya ikut awak dari tadi lagi. Saya perhatikan awak. Saya rindulah kat awak....” Apa? Rezal mula menghampirinya.
                “Satu hari saya tak nampak muka awak. Saya dah tak tahan menanggung rindu ni,”
Ya Allah, Farah rasa seperti semua nasi goreng yang dimakan di kafetaria Desasiswa Bakti tadi  mahu terhambur keluar. Dia memang alergi dengan mamat sorang ni. Dengan cermin mata bingkai hitam tebalnya itu, rambut yang di sikat rapi dan berminyak, baju berkolar yang di butangkan sepenuhnya. Ya Tuhan... kenapa dia rasa macam perutnya memulas-mulas?
                “Rezal, baik kau pergi, kalau tak...” Rezal sengih meleret. Dia semakin mendekat. Tak tahulah kenapa lelaki itu menjadi seberani itu. Biasanya dia tak melawan, ikut saja setiap kata-kata Farah.
                “Rezal, baik kau pergi dari sini... nanti aku...”
                “Nanti apa? Awak nak buat apa? Orang tak ada ni Farah, kita berdua saja ni...” Entah kenapa Farah rasa seram sejuk. Sudahlah tak nampak pun kenderaan melalui kawasan ni. Rezal semakin mendekat. Tanpa berfikir panjang lagi, Farah memberikan satu hayunan pancung yang dipelajarinya dalam seni silat gayung, ke dada lelaki itu sebelum sempat tangan lelaki itu memegang lengannya. Bukan itu saja, dia turut melompat dari batu, kemudian memberikan satu tumbukan padu di wajah lelaki itu, hingga lelaki itu jatuh terlentang ke belakang. Sebelum dia hilang kewarasan, dan dia hilang rasa simpati, takut-takut masuk ICU si mamat skima ni, terus dia berlari pantas menuju ke motosikalnya.
                Beberapa kali dia menghentak pedal motosikal namun enjin tak dapat di hidupkan. Dia terpaling-paling ke belakang. Dadanya berombak kencang tatkala dia ternampak Rezal terhincut-hincut kian menghampirinya. Di sudut bibir lelaki itu ada darah.
                “Farah.... tunggu!”
Hormon adrenalin yang dirembeskan oleh kalenjar endokrin yang dikenali sebagai kalenjar adrenal  dalam badannya mula mengalir bila kelibat Rezal tinggal beberapa kaki sahaja. Lelaki itu senyum sambil meludah air ludah yang bercampur darah ke tanah. Farah terbayangkan filem yang pernah ditontonnya satu waktu dulu. Begitulah caranya seorang perogol bersiri mendekati mangsanya. Nampak baik, pendiam dan skema, tetapi sebenarnya seorang psikopat. Separa sedar, Farah menolak motosikalnya dengan kaki  ke tengah jalan yang agak curam. Entah mengapa, dia begitu takut tika ini...
                “Farah... tunggu,”
                “Farah!!!”

                “Gedegang!” Farah sudah tercampak ke jalan berturap tar!

No comments:

Post a Comment