Thursday 10 December 2015

Balang Cinta (Bab 3) ~ Wizana Emilia

Jam keretanya menunjukkan pukul 8.15 malam. Pemanduannya diteruskan memasuki Seksyen 7, Shah Alam. Apabila Bistro Krystal Botega sudah kelihatan di hadapannya, darahnya automatik menjadi gemuruh. Jantung Firas berdegup laju. Pelbagai kemungkinan bermain di dalam kepalanya.
            `Adakah dia akan datang?’
            Sesungguhnya, hati Firas amat berbelah bagi. Separuh hatinya ingin menemui Khyra. Separuh lagi pula terasa berat. Daripada foto yang ditunjukkan oleh Shamsul kepadanya, Khyra sememangnya cantik dan manis. Perempuan yang bernama Khyra Laira itu juga dikatakan sebagai seorang yang berbudi pekerti mulia. Menurut Shamsul dan Ernieza, Khyra  bukan sahaja memiliki kecantikan luaran malah kecantikan dalaman juga.
            Namun bukan kecantikan itu yang membuatkan Firas tertawan. Entah kenapa hatinya terpikat pada senyuman manis perempuan polos itu. Senyuman itu yang mendorong dia bersetuju untuk diperkenalkan dengan adik sepupu kakak iparnya itu.
            Pada usianya yang mencecah 30 tahun, Firas sebenarnya sudah lali disoal mengenai pasangan hidup. Sebelum ini dia bukannya tidak pernah bercinta. Dia juga pernah bercinta seperti orang lain. Tapi itu semua kisah tujuh tahun yang lalu, sewaktu Firas masih bergelar siswa yang menuntut di menara gading.
Cinta pertamanya bernama Hafizah, gadis comel berasal dari Johor Bahru. Tidak pernah Firas cintakan seorang perempuan seperti mana dia cintakan Hafizah. Mereka sering meluangkan masa bersama di dalam kawasan kampus. Firas rela dijadikan tukang mengambil dan menghantar kekasihnya itu untuk ke mana-mana sahaja, menggunakan pacuan motosikal Kriss Modenasnya.
Perkenalannya dengan Hafizah adalah secara kebetulan. Ketika itu mereka sama-sama menjadi ahli jawatankuasa untuk projek Pesta Konvokesyen universiti. Berada dalam satu jawatankuasa yang sama iaitu jawatankuasa persembahan, menyatukan Firas dengan Hafizah. Segala-galanya secara kebetulan kerana Firas sendiri tidak menduga akan dapat memiliki sebuah hati selain daripada hatinya sendiri.
"Awak dah siapkan flyers untuk konsert Rabbani?" soal Firas.
"Dah," angguk Hafizah. "Tinggal nak potong sahaja."
"Okeylah. Bila boleh siap?"
"Kalau awak tolong, sekarang pun boleh siap."
"Mana flyersnya?"
"Awak nak tolong potong ke?"
"Yalah. Nak tolonglah ni. Baru cepat siap. Banyak lagi kerja lain yang nak dibuat," ujar Firas.
"Sekejap," jawab Hafizah, bangun mengambil timbunan flyers yang dicetak di atas kertas bersaiz A4.
"Banyaknya!" getusnya.
"200 keping je tu. Setiap helai ada 10 flyers. Jadi, 2000 flyers je."
"Awak pun tolonglah potong flyers ni dulu. Nanti baru sambung balik design untuk tiket konsert tu," arahnya.
"Okey. Kejap, saya cari cutter," balas gadis itu.
Takdir telah menentukan hubungan mereka melangkah ke aras yang lebih tinggi. Sesuatu yang tidak pernah diduga olehnya, berlaku dengan begitu pantas.
"Aduh!!" jerit Hafizah.
Segera Firas menoleh. Darah pekat berwarna merah mengalir dari hujung ibu jari Hafizah. Firas terpaku dan panik di situ.
"Awak! Ambilkan saya tisu!" pinta Hafizah selepas melihat Firas yang terkedu dan tidak berbuat apa-apa. Kata-kata itu membuatkan Firas tersentak. Segera dicapai beg galasnya.
"Saya tak ada tisu," jawabnya, menggeleng panik.
"Ambil dalam beg saya. Cepat sikit, sakit ni!"
Firas segera menuju ke arah beg galas Hafizah. Diambilnya sebungkus tisu dari dalam beg tersebut. Diserahkan kepada Hafizah.
"Sakit?" soal Firas dengan wajah pucat panik. Hafizah sedang mengelap ibu jari yang berdarah. Pendarahan tersebut cuba dihentikan.  
"Sakit..." gadis itu mengalirkan air mata.
Ketika itu, perasaan kasihan timbul di dalam hati Firas.
"Saya hantar awak ke pusat kesihatan ye."
"Ha’ah. Perit! Kena jahit luka ni," Hafizah bersetuju dengan wajah yang berkerut menahan kesakitan.
"Jom, naik motor saya," ajak Firas.
Hafizah menganggukkan kepala.
"Awak tolong bawakan beg saya ye." 
"Okey," balas Firas.
Itu adalah kali pertama Hafizah membonceng motosikalnya. Rupa-rupanya juga, itu juga bukan kali terakhir gadis itu membonceng motosikal miliknya. Kejadian itu menyebabkan mereka berdua semakin rapat dan akhirnya menjadi pasangan kekasih.
Firas rasa bersyukur kerana dipertemukan dengan Hafizah, pada sebuah pertemuan yang spontan. Tanpa kebetulan itu, mungkin dia masih tidak dapat merasa tentang erti sebuah cinta.
Ya, Firas bukannya mat jiwa-jiwa atau mat bunga yang pandai bermain dengan kata-kata. Dia terlalu miskin pengetahuan serta pengalaman mengenai cara-cara mengambil hati seorang perempuan. Malah, dia tidak tahu bagaimana untuk mengurat individu yang bernama perempuan pun! Seumur hidupnya, Firas tidak pernah terfikir untuk cuba mendekati seorang perempuan. Selalunya dia akan berasa malu apabila dia perlu mendekati dan berbincang dengan seorang perempuan yang bukan muhrimnya.
Mungkin sikapnya ini dipengaruhi oleh latar belakang keluarga. Firas kehilangan kasih sayang seorang ibu pada usianya 7 tahun. Tambahan pula, dia hanya memiliki seorang abang, satu-satunya saudara sedarah sedaging dengannya. Anehnya pula, abangnya, Shamsul Bahari tidak sepertinya. Abangnya itu seorang mat bunga dan mat jiwa-jiwa.
`Tuk.. tuk...’ cermin tingkap keretanya diketuk.
Firas tersentak. Punat cermin automatik ditekan. Abangnya ada di sisi kereta.  
"Tunggu apa lagi? Jomlah masuk," ajak Shamsul.
"Nak masuklah ni," balasnya.
"Jomlah Firas," kata Ernieza yang berada di sebelah Shamsul.
"Okey. Korang masuklah dulu."
"Yelah, kitorang masuk dulu. Nanti Firas masuk ye," ujar Ernieza.
Firas mengangguk dan tersenyum.
Enjin keretanya dimatikan. Dilihatnya Shamsul dan Ernieza sedang berjalan masuk ke dalam Bistro Krystal Botega. Langkahnya disusul menuruti abang dan kakak iparnya. Pada saat itu, fikirannya buntu. Firas tidak tahu apa yang harus difikirkan. Hati dan perasaannya masih berbelah bagi.
Sebaik sahaja memasuki bistro, Firas terus mendapatkan Shamsul dan Ernieza. Kerusi di sebelah Shamsul dipilih olehnya untuk duduk. Buku menu tersedia di atas meja.
"Kita nak order dulu ke? Atau nak tunggu Khyra  sampai?" soal Shamsul.
"Itu pun kalau dia datang," ucap Firas, sarkastik.
"Khyra akan datang. Akak baru je call dia. Dia kata dah nak sampai," ujar Ernieza, tersenyum.
"Order jelah dulu," balas Firas sambil membuka buku menu. "Malam ni rasanya nak makan Chicken Chop," sambungnya lagi.
"Yelah, kita order dulu. Nanti ambil masa juga order kita nak sampai," kata Shamsul.
Ernieza memanggil pelayan bistro. Mereka bertiga membuat pesanan masing-masing. Firas memilih Chicken Chop with Black Pepper Sauce sebagai menu makan malamnya. Manakala Ernieza dan Shamsul hanya memesan minuman.
"Takkan korang tak makan?" soal Firas.
"Makan. Kami order kejap lagi. Tunggu Khyra  sampai," balas Shamsul.
Beberapa minit kemudian, pelayan yang sama menghantar minuman yang dipesan. Jus kedondong untuk Ernieza, teh ais untuk Shamsul dan jus oren untuk Firas.  
"Itu dia dah sampai," ujar Ernieza.
Kata-kata itu membuatkan Firas hampir tersedak. Mujurlah di dalam mulutnya hanya ada minuman jus oren bukannya makanan pepejal. Perasaan gemuruh menguasai hatinya. Kepalanya tidak sanggup untuk menoleh ke arah Khyra. Pandangan Firas ditunduk ke bawah. Riak wajahnya cuba berlagak tenang, meski pun hatinya gundah-gulana. Malu penuh debaran menguasai perasaannya. Kalau boleh, ingin sahaja dia lari dan bersembunyi!
"Assalamualaikum Kak Ernie, Abang Sham," suara halus dan lembut itu berkumandang di telinganya. Jelas yang Khyra tidak menyebut namanya.
`Adakah dia tidak diberitahu tentang aku?’ hati Firas menyoal. Perasaannya semakin gusar.
"Waalaikumsalam, meh duduk sini," ucap kakak iparnya.
Meski pun pandangannya ditundukkan sedikit, Firas masih dapat melihat kelibat Khyra yang mengambil tempat bertentangan dengannya. Hati Firas berdebar-debar. Diangkatkan sedikit wajahnya. Oh, Khyra sememangnya cantik, malah lebih cantik daripada foto yang ditunjukkan kepadanya. Senyuman itu.. Oh, senyuman itu! Ya, senyuman Khyra juga lebih manis dan ayu. Mujurlah pandangan Khyra dihalakan ke arah lain. Dapatlah Firas, mencuri pandang menatap wajah Khyra yang ayu dan polos. Namun, gadis comel itu terus mengelak bertembung mata dengannya.
`Hmm.. Kenapa? Dia tak suka aku ke?'
"Firas," Ernieza memanggil namanya.
Firas tersentak.
"Ya, kak," sahutnya, dengan getaran pada suara.
"Kenalkan, Khyra. Dan Khyra, kenalkan Firas," ujar Ernieza.
Kali ini mata Firas dan Khyra bertemu jua. Khyra memberikan sebuah senyuman manis buatnya dan Firas juga senyum kembali. Namun, senyumannya seperti ada yang tidak kena. Terasa tidak sesempurna senyuman manis Khyra. Kepala Firas terasa pusing. Darah seolah-olah berkumpul di seluruh saraf kepalanya.
`Tenang.... Tenang,’ bisik hati Firas yang gemuruh.
"Khyra orderlah dulu. Kami baru je order tadi," kata Ernieza.
Firas mengerut dahi. Ada sesuatu yang tidak kena. Dia tahu abang dan kakak iparnya belum memesan makanan!
Khyra pula tidak membantah. Malah tidak berkata apa-apapun! Sebaliknya Khyra terus tersenyum manis dan menganggukkan kepala. Tangan halus dan putih itu membelek-belek halaman buku menu. Pelayan bistro mendekati meja mereka.
"Nak order apa ye Cik?"
"Bagi saya Chicken Chop ye," pinta Khyra.
"Gravy nak mushroom atau black pepper?"
"Beri black pepper."
"Minuman?"
"Hmmm.. Nak minum apa ye?" ucap Khyra sambil melihat senarai minuman. "Orange juice," jawab Khyra. Pelayan bistro menganggukkan kepala.
Ernieza dan Shamsul saling berpandangan. Seketika kemudian, kakak ipar dan abangnya itu sama-sama ketawa.
`Cis!' Firas menyumpah di dalam hati.
"Kenapa? Apa yang kelakar" soal Khyra, hairan.
"You all ni sehati sejiwa," jawab Ernieza.
Shamsul tersengih memandang Khyra. Hati Firas terus menyumpah.
Khyra pula mengerutkan kening, bingung memikirkan maksud kata-kata Ernieza.
Firas mendengus marah.
"Kebetulan jelah!" balas Firas dengan pipi merah menahan malu. Bagaimana pula boleh sama?! Memang kebetulan sungguh!
"Apa yang kebetulan?" soal Khyra, memandang tepat ke wajah Firas. Perasaan malu semakin kuat di dalam jiwa Firas. Dia berasa tertekan. Renungan itu membuatkan Firas lemah, tidak mampu untuk membalas kata-kata.
"Korang order benda yang sama. Chicken Chop dengan kuah black pepper dan jus oren," ujar Shamsul, tersengih meleret.
"Oh...." luah Khyra, tersenyum malu. Pandangan Khyra dialih ke bawah, menundukkan wajah ayu dan polos itu.
Firas juga menundukkan wajah, tidak sanggup rasanya untuk bertentang matanya dengan Khyra.
"Firas, Khyra ni adik sepupu akak tapi akak anggap macam adik sendiri. Yelah, Khyra  ni anak tunggal, tak ada adik-beradik. Akak pula tak ada adik perempuan," kata Ernieza.
Shamsul berpaling ke arah Khyra.
"Firas ni pula adik kandung Abang Sham. Usia kami beza tiga tahun. Firas dah 30 series tahun ni. Kami dua beradik je. Memang buddy sejak kecil lagi," Shamsul pula menyambung.
Mata Firas mencuri pandang lagi ke arah Khyra. Serentak dengan itu, Khyra  mengerling ke wajah Firas. Pandangan mereka bertembung. Oh, mata redup itu sangat cantik! Firas terpesona dengan keindahan di hadapannya. Detik seolah-olah terhenti seketika. Ketika ini, Firas tidak mampu berkata apa-apa.
Tiada kata yang mampu diucap.  
"Macam nilah. Kak Ernie dan Abang Sham dah faham sangat korang berdua ni. Kalau kami ada kat sini, sampai tengah malam pun korang jadi bisu. Jadi, kitorang nak balik dulu," ujar Ernieza.
Mata Khyra terbeliak memandang Ernieza.
"Eh kak, janganlah balik. Makanan pun tak sampai lagi," pinta Khyra.
"Akak dan Abang Sham takde pesan makanan. Malam ni malam untuk korang berdua. Enjoy okey. Jangan membisu je," jawab Ernieza, tersenyum.
Khyra  tergamam dengan wajah yang kelihatan runsing.
"Darling, shall we go?’ soal Shamsul.
Ernieza tersenyum, mengangguk. Kakak iparnya mengenyitkan mata. Nakal dan sinikal. Hati Firas menyumpah lagi.
"Take care Khyra, Firas. Kalau perlu talian kecemasan, call akak atau Abang Sham ye," ujar Ernieza.
Ketika itu, Firas seperti mahu menarik tangan abangnya supaya tidak meninggalkan dia di situ, berdua-duaan dengan perempuan yang baru dikenalinya beberapa minit sahaja tadi. Khyra juga kelihatan begitu. Riak wajah Khyra seperti mahu menangis. Rona merah jambu timbul pada kedua-dua belah pipi Khyra.
Namun, baik Firas ataupun Khyra, kedua-dua mereka hanya terdiam, memerhatikan Ernieza dan Shamsul dengan pandangan seakan tidak percaya. Sehinggalah kedua-dua insan  itu, hilang dari pandangan mata.
Ketika itu jugalah, Chicken Chop with Black Pepper Gravy tiba di meja mereka. Firas dan Khyra saling berpandangan menerima menu makan malam mereka yang serupa.
Firas tersenyum sumbing.
"Makan?" soalnya kepada Khyra.
"Ha’ah. Makan," balas Khyra, tersenyum. Wajah Khyra masih lagi kelihatan runsing. Jika tidak kerana solekan yang dioles pada wajahnya sudah tentu wajah gadis itu akan kelihatan pucat lesi.
Hati Firas berdebar-debar. Namun dicapai juga garpu dan pisau di atas meja itu untuk memulakan suapan makan malamnya. Sebilah pisau kecil pemotong itu dipegang oleh tangan kanannya, manakala garpu pula dipegang pada tangan kirinya. Perlahan-lahan dia memotong sebahagian kecil daging ayam yang bersalut tepung di dalam pinggannya.
Kebisuan terus bermaharajalela. Firas tidak tahu apa yang harus dibicarakan. Terasa hendak sahaja dia bangun dan melangkah keluar dari bistro itu. Fikirannnya buntu dan perasaannya berbaur rasa marah. Bukan sahaja marah kepada abang dan kakak iparnya tetapi marah kepada dirinya sendiri.
`Kenapa aku tidak mampu untuk berkata-kata?’ gerutu hati Firas.
Beberapa kali kemudiannya Firas cuba membuka mulut untuk bertanyakan sesuatu kepada Khyra. Namun, beberapa kali itulah juga percubaannya gagal. Seperti ada tulang yang tersekat di kerongkongnya yang menghalang dia daripada bersuara. Bukan sekali dua, namun beberapa kali pula Firas cuba untuk mengeluarkan perkataan. Namun, usahanya tetap jua gagal.  
"Ha..." ucapan kosa kata tanpa perkataan itu berjaya diluahkan. Ya, Firas akhirnya berjaya menuturkan sesuatu. Meskipun tanpa sebarang makna!  
Khyra mendongakkan wajah, memandang ke arah Firas. Berkerut kening Khyra.  
"Ya?"
Sekali lagi Firas tergamam. Bulat matanya menatap wajah Khyra. Oh, gadis itu memang cantik, polos dan lembut. Ada sesuatu yang membuatkan Firas terpaku.
"Ya? Anything?" soalan berulang dari bibir mungil Khyra itu membuatkan Firas kembali ke alam nyata. Mata Firas membuntang.
"Sedap?" soalan bodoh itu pula yang keluar dari mulut Firas.
Khyra tersenyum. Senyuman manis dan comel yang mencairkan seluruh jiwa Firas.
"Boleh tahan," ujar Khyra.
Selepas itu, detik-detik kebisuan menjadi latar kepada pertemuan mereka. Firas sudah terlalu penat untuk memulakan bicara. Hatinya terus mengeluh kerana ketidakupayaannya untuk mencipta suasana yang ceria. Khyra pula seakan sedang bermain dengan perasaan.
Firas mengeluh kesal. Dia sama sekali tidak dapat membaca reaksi Khyra. 
"Awak kerja di mana?" soal Khyra, memecahkan kebuntuan.
"Hmmm.. Kuala Langat," jawab Firas ringkas, cuba untuk mengawal perasaannya yang masih gemuruh.
"Kerja apa?"
"Jurutera," sepatah pula Firas menjawab. Dikuatkan hatinya untuk menyoal pula. "Awak?" sepatah soalan itu berjaya diluahkan.
Khyra tersenyum. Manisnya, tidak pernah berkurang.
"Secretary."
"Kat mana?"
"Cyberjaya. Magazine publisher."
"Oh.. Majalah apa?"
"Syarikat Suria Media. Ada banyak majalah." 
`Majalah? Aiseh!'
Firas buntu sekali lagi. Dia tidak tahu tentang majalah di pasaran. Kali terakhir Firas membaca majalah mungkin semasa di universiti. Itu pun majalah-majalah jenaka yang dipinjam daripada kawan-kawan rumah sewanya. Dia tidak ingat sama ada selepas itu dia pernah atau tidak membaca majalah. Bahan bacaannya selalunya berkisar kepada bahan-bahan bacaan di Internet sahaja.
"Awak kerja buat apa?" giliran Khyra pula bertanya mengenai pekerjaannya.
"Hmmm... Pantau projek-projek pembangunan."
"Bangunan?"
Angguk Firas.
"Bangunan dan macam-macam lagi. Longkang, parit dan jalan juga." 
"Hmmm.." Khyra kelihatan berfikir. Entahkan faham, entahkan tidak.
"Faham?"
"Tak faham. Tapi tak mengapa," jawab Khyra.
`Ya tak mengapa. Sebab tak penting,’ bisik hati Firas. Hatinya tersentuh sedikit. Entah kenapa dia berasa terganggu dan sedih.
"Awak tinggal di mana? Kuala Langat?" soal Khyra lagi.
Firas menggeleng.
"Tak. Tinggal di Putra Heights."
"Ulang-alik?"
"Ya."
"Tak jauh?"
"Lebih kurang setengah jam."
"Oh, tak berapa jauh. Kuala Langat bunyinya macam jauh."
"Ikut highway SKVE," jelasnya. Khyra kelihatan memikirkan kata-katanya. "Awak pula tinggal di mana?" giliran Firas menyoal.
"Saya?" soal Khyra seperti keliru.
"Yelah. Awaklah." 
"Cyberjaya."
"Dekat le nak pergi kerja."
"Ha’ah dekat je. Sepuluh minit macam tu," jawab Khyra. "Hmmm.. awak dah habis makan?"  
"Dah," jawab Firas spontan. Chicken Chopnya masih berbaki sedikit. Namun dia sudah tidak berselera untuk menghabiskan hidangan tersebut.
"Saya nak balik," ujar Khyra meminta diri.
"Okey," angguk Firas.
Khyra bangun dan bergerak ke hadapan. Firas terkedu.
`Kemana dia nak pergi?’ soal hatinya.
Langkah Khyra menuju ke kaunter bayaran. Oh, Firas mula menyedari sesuatu. Melihat situasi itu, Firas bangun untuk menghentikan langkah laju Khyra. Namun, reaksinya terlalu lambat. Khyra telah pun menghulurkan beberapa keping wang kepada juruwang bistro.
`Sepatutnya aku yang bayar. Aku memang bodoh!’ Firas menyalahkan dirinya. Rasa malu semakin membentak dalam jiwanya. Dia tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Khyra pada hari-hari yang mendatang. Di dalam hati, Firas berharap supaya Khyra tidak membayar bil yang dimakan oleh dirinya.
Situasi menjadi bertambah janggal apabila Khyra tidak menoleh ke arahnya sewaktu berjalan keluar dari bistro. Perasaan malu, kesal dan kecewa menyelubungi diri Firas. Dia mula berasa bahawa adik sepupu kakak iparnya itu tidak suka kepadanya.
"Berapa ye bil?" soal Firas di kaunter pembayaran. Juruwang wanita yang memakai skaf berwarna biru muda itu tersenyum memandangnya.
"Meja berapa ye?"
"Meja 16."
"Cik yang tadi tu dah bayar," jawab juruwang tersebut.
Berkerut dahi Firas! Peluh dingin mula timbul di dahinya.
"Termasuk yang saya punya ke?"
"Semua sekali. Termasuk minuman untuk empat orang," jelas juruwang itu merujuk kepada minuman Ernieza dan Shamsul.
"Oh..." luahan itu sahaja yang mampu dilafazkan dengan penuh kekesalan yang tidak terhingga. "Tak mengapalah," balasnya dengan senyuman pahit.
Dengan langkah lemah dan longlai, bistro itu ditinggalkan. Tidak ada sedetik masa pun yang Firas tidak menyalahkan dirinya sendiri.
Senyuman manis Khyra masih tak lekang di fikirannya. Hatinya sudah terpaut. Firas tahu yang dia sukakan Khyra. Namun, dia tidak tahu bagaimana untuk menyampaikan isi hatinya. Firas tidak tahu bagaimana untuk memaniskan kata-katanya. Dia hampir tidak pernah memuji dan jarang sekali mengambil hati orang lain. Hidupnya terlalu bosan dan kaku. Setiap hari sekadar rutin harian biasa. Justeru, Firas tidak mampu untuk menjadi seperti mat bunga atau mat jiwa-jiwa.
Hatinya terasa pilu.
Itulah juga sebabnya mengapa Hafizah meninggalkannya.
Segalanya masih segar di ingatannya. Bagaimana hatinya terluka dan disakiti. Ketika itu, Firas berada pada semester akhir di universiti. Hafizah ialah perempuan pertama yang mencuri hatinya, yang pertama dirindui dan yang pertama mengajarnya erti cinta, telah mengecewakan dia. Kekecewaan yang menyakitkan jiwanya dan dia masih lagi terperosok dalam kekecewaan yang tiada ubatnya.
Firas terluka dan diluka. Hatinya pedih dan sakit tak terkata.
Cinta pertamanya itu beralih arah apabila Hafizah mendapat galang ganti yang lebih baik. Lelaki itu bernama Daniel, pelajar jurusan Pengurusan Teknologi. Kata-kata perpisahan yang dilafazkan oleh Hafizah tidak dapat dipadamkan dari kotak fikirannya. Meski pun telah tujuh tahun berlalu, Firas masih tidak boleh lupa. Hakikatnya, Firas terlalu terluka.
"Apa yang kita nak bincang?" soal Firas.
"Saya ada perkara penting nak beritahu," jawab Hafizah.
"Tentang apa?"
"Tentang kita."
"Yelah. Tentang apa?"
"Saya nak putuskan hubungan," ujar Hafizah dengan ekspresi wajah yang serius. Ternyata teman wanitanya itu tidak bergurau.
Dahi Firas berkerut. Kata-kata Hafizah itu tidak dapat dihadamkan oleh fikirannya. Firas seolah-olah sedang bermimpi sebuah mimpi yang teramat buruk.
"Apa yang awak cakap ni?" soal Firas lagi. Dia ingin mendengar kata-kata itu diulang sekali lagi, memastikan telinganya tidak menipu.
"Firas, saya rasa hubungan kita sampai di sini sahaja," sekali lagi ungkapan perpisahan itu diucapkan oleh Hafizah.
"Tapi kenapa?!"
Bingung! Firas masih belum mampu menerima, apatah lagi untuk memahami situasi yang begitu asing baginya. Sedangkan bercinta pun dia masih lagi merangkak, inikan pula untuk menerima sebuah kekecewaan dalam percintaan.
"Jujurnya, saya dah tak ada hati pada awak," kata-kata Hafizah terus menghukumnya. Firas tidak mengerti mengapa gadis yang amat dicintai itu tiba-tiba boleh berubah hati.
`Sekiranya dia tidak ada hati padaku, hatinya pada siapa?’ 
"Takkan tiba-tiba?" Firas terus menyoal. Hatinya masih belum puas.
Hafizah menggeleng.
"Firas, kita dah kenal setahun lebih. Tapi, jiwa saya sentiasa kosong. Terlalu banyak ruang dalam hati saya yang tidak awak lengkapi."
Sekali lagi Firas kehairanan. Dia tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Hafizah. Teman wanitanya itu seolah-olah sedang berpuisi. Bersajak di siang hari. Tidakkah Hafizah tahu yang pelajar jurusan kejuruteraan sepertinya tidak pandai berpuisi bagai?!  
"Maksud?"
Hafizah mengeluh.
"Firas, kita tak ada chemistry! Saya dah cuba bertahan, tapi saya dah tak sanggup. Cukuplah sekadar di sini," kata Hafizah lagi.  
"Tapi, kita tak pernah bergaduh pun! Tak ada apa-apa salah saya pada awak! Apa yang saya tak buat untuk awak?" Firas cuba mempertahankan dirinya.
"Betul dan itu pada sudut pandangan awak. Tidak pada pandangan dan perspektif saya," Hafizah terus berkata-kata dengan puitis.
Firas mengerutkan kening. Matanya merenung tajam wajah gadis kesayangannya itu.
"Maksud?"
"Betul, yang kita tak pernah bergaduh. Sebabnya, kalau saya merajuk pun bukannya awak faham. Nak tunggu awak pujuk? Jangan haraplah! Perhubungan kita ni macam tak ada makna! Kosong, hambar, kaku dan bosan. Tak ada jiwa! Saya dah tak mahu teruskan! Cukuplah Firas," luah Hafizah dengan renungan yang kelihatan membenci dirinya.
`Apa semua ni?! Kenapa tergamak dia berkata macam tu?!’ hati Firas berbisik, kecewa.
"Awak dah ada orang lain?" Firas mula menuduh.
Hafizah menelan air liur.
"Ya, Firas. Hati saya ada pada orang lain..."
Kata-kata itu melukakan seluruh jiwa Firas. Luruh segala harapan dan kepercayaan. Runtuh segala perhubungan yang telah dibina sekian lama. Firas benar-benar kecewa. Buat pertama kalinya dia berasa cinta adalah sesuatu yang amat melukakan. Terasa sesal di lubuk hatinya kerana memberikan sepenuh cintanya kepada Hafizah.
"Dengan siapa?" hampir tidak mampu Firas meluahkan soalan itu. Namun, digagahkan jua. Hatinya terasa sebak dan pedih. Ditahan tangisnya supaya dia terus kelihatan tabah.
"Daniel."
"Exco MPP tu?"
Hafizah mengangguk.
"Ha’ah."
"Dah lama?"
"Dua minggu."
"Awak buat keputusan ni hanya selepas dua minggu kenal dengan dia?" soal Firas, seakan tidak percaya. Gelengan hampa mengiringi kata-katanya.
"Ya," Hafizah mengangguk lagi. "Meski pun hanya dua minggu tapi 14 hari ini amat bermakna buat diri saya. Hari-hari yang indah buat saya. Maafkan saya Firas. Saya nak minta diri dulu," ujar Hafizah seraya berpaling untuk pergi.
"Awak!"   
Hafizah berpaling.
"Ya? Ada apa lagi Firas?"
Hatinya terasa pedih.
"Apa kurangnya saya?" soal Firas, masih mengharapkan sesuatu. Separuh dirinya mengharapkan sebentar tadi dia sedang bermimpi. Mengharapkan pengakhiran cerita yang berbeza. Katakan padanya segalanya tadi hanyalah sebuah ilusi.
Hafizah memandang tepat ke wajahnya.
"Awak betul-betul nak tahu?"
"Ya."
"Banyak Firas. Terlalu banyak! Mungkin juga bukan salah awak.. Atau mungkin, awak tak pernah perasan atau peduli tentang itu semua. Cuma saya yang dah tak dapat nak bersabar lagi," kata-kata itu terhenti seketika sebelum di sambung semula. "Firas... Saya perlukan lelaki yang berani dan menyayangi saya sepenuh hati," jelas Hafizah.
Firas menjadi bingung dan hairan. Hafizah membuatkan dia keliru.
`Berani? Adakah aku pengecut?! Bacul?! No!
"Saya tak faham! Bukankah saya sayangkan awak?" soal Firas dengan wajah sayu dan keliru.
"Entahlah Firas. Awak tanyalah pada diri awak. Berapa kali awak pernah ucapkan sayang dan cinta kepada saya? Setahun kita bersama tapi...? Hampir tidak ada kan Firas? Ya, hampir tidak ada."
Firas mendengus.
"Benda-benda tu tak perlu diucap! Saya dah tunjukkan rasa sayang dengan menjaga awak dengan baik. Ke mana sahaja awak nak pergi, saya hantar. Awak nak saya teman, saya temankan. Semuanya saya buat untuk awak!"
Firas masih cuba mempertahankan dirinya. Sesungguhnya dia tidak bersalah. Dia cintakan Hafizah sepenuh hatinya.
Namun, wajah Hafizah menyatakan sebaliknya.  
"Itu pendapat peribadi awak. Sebabnya Firas, awak tak romantik. Jadi, awak takkan rasa bersalah pun! Awak tak tahu dan tak perasan pun.. Tidakkah awak tahu yang kata-kata cinta akan membuatkan seseorang rasa lebih dihargai? Sudahlah Firas. Tak ada gunanya kita bersoal jawab begini. It’s over Firas. It's over and I'm not turning back," Hafizah terus menghamburkan kata-kata yang cukup melukakan perasaannya. Semakin kuat Firas menahan keperitan dalam jiwanya.
"Dan dia romantik?"
"Ya, Firas. Saya rasa sangat bahagia. Kata-kata cinta yang dilafazkan menyebabkan saya rasa hidup dan bernyawa. Barulah saya sedar yang hidup saya selama ini kaku, kosong dan bosan. Saya dah buang masa setahun dengan awak. Maafkan saya sekali lagi Firas. Saya pergi dulu. Halalkanlah segala-galanya," itulah kata-kata terakhir yang keluar dari bibir Hafizah untuk dirinya. Kata-kata yang menyedarkan Firas akan kekurangan yang selama ini langsung tidak disedari.
Malam ini luka lama itu berdarah kembali.
`Adakah dia juga mahukan lelaki yang romantik?’ hati Firas berbisik pilu.
`Atau semua perempuan sama sahaja, mahukan lelaki yang pandai berkata-kata?’
`Stop it, Firas! Lupakan semua ni! Memang dah takdir aku macam ni,’ hatinya terus hampa dan kecewa. Menyesali kekurangan dirinya yang bukan sengaja dibuat-buat.
Sejujurnya, Firas mahu menjadi apa sahaja yang boleh menawan hati setiap perempuan. Namun, Firas tidak mampu. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjadi lelaki idaman wanita. Salahkah dia hanya kerana menjadi dirinya sendiri, bukannya berpura-pura menjadi orang lain.
`Mungkin perempuan tidak suka lelaki yang jujur. Mungkin perempuan lebih suka lelaki yang bermuka-muka. Asalkan pandai bermain kata-kata,’ bisik hatinya, membuat andaian demi andaian.
Malam itu berakhir dengan hatinya yang berduka dan terluka. Ironinya, senyuman manis Khyra tidak berjaya dipadamkan dari kelopak matanya. Wajah Khyra yang ayu dan polos itu berjaya mencuri hatinya. Hati Firas semakin pedih dan pilu pada setiap pejam matanya.

No comments:

Post a Comment