Wednesday 16 December 2015

Balang Cinta (Bab 4) ~ Wizana Emilia

Ernieza sudah tidak sabar menunggu suaminya pulang. Hatinya meronta-ronta ingin tahu perkembangan terkini. Sepanjang hari dia menantikan panggilan daripada Khyra, namun adik sepupunya itu tidak menghubunginya. Ernieza mahu menghubungi Khyra, namun hatinya menyuruh dia bersabar. Dia tidak mahu kelihatan mendesak. Biarlah adik sepupunya itu diberi masa secukupnya untuk berfikir dan membuat keputusan.
            Dia dan Shamsul benar-benar mahukan Firas dan Khyra disatukan. Firas adalah satu-satunya saudara seibu dan sebapa, suaminya. Ernieza pula tidak memiliki adik-beradik perempuan. Justeru, Khyra  sudah dianggap seperti adik perempuannya sendiri.
Sejak dari kecil lagi, Ernieza dan Khyra sering bermain dan meluangkan masa bersama-sama. Mereka sering bertukar-tukar rahsia dan isi hati di antara satu sama lain. Khyra merupakan anak tunggal dan Ernieza pula, anak sulung yang punya sepasang adik kembar lelaki.
            Meski pun mereka berdua akrab sejak kecil, perwatakan dirinya dengan Khyra amat berbeza. Ernieza seorang yang lincah, periang dan petah bercakap. Adik sepupunya itu pula mempunyai sifat berlawanan. Khyra seorang yang pemalu dan pendiam. Khyra hanya bercakap apabila perlu. 
            Menurut Shamsul, Firas juga seorang yang pendiam. Tambahan pula kepada individu yang kurang dikenali. Adik iparnya itu lebih suka membisu dan menjadi pendengar, daripada memberikan pendapat. Mungkin disebabkan perwatakan Firas yang pendiam, anti-sosial dan suka menyendiri, Firas masih belum bertemu jodoh. Sedangkan adik iparnya itu lengkap pakej untuk dinobatkan sebagai jejaka idaman Malaya. Firas bertubuh kurus tinggi, berwajah tampan dan berkulit cerah.
            Ernieza pernah bertanya kepada suaminya, mengapa Firas masih belum berkahwin. Malah, dia tidak pernah mendengar adik iparnya dikaitkan dengan mana-mana perempuan pun. Menurut Shamsul, semasa menuntut di IPT, Firas pernah ada teman wanita. Namun perhubungan tersebut tidak panjang. Firas dikecewakan.  
            `Kreek.. Kruuk..
            Bunyi anak kunci dimasukkan ke dalam lubang kunci dan dipulas ke kiri. Pemegang pintu itu kemudiannya ditekan ke bawah. Pintu masuk utama ke rumah Semi D dua tingkat itu ditolak. Ernieza berasa teruja, wajahnya mengukir senyuman.
            "Eh, awal you balik?" tegur Shamsul sebaik sahaja melangkah masuk.
            "Baru juga sampai. Dalam 30 minit," jawab Ernieza. "Macam mana you? Apa kata Firas?" soalan itu terus dihamburkan dengan nada yang kurang sabar.
            Suaminya tersenyum.
            "Dah agak dah. Mesti you tak sabar nak tahu. Tunggulah sekejap.  I tukar baju dulu ye, darling. Nanti I cerita," ujar Shamsul.
            "Okey. I memang dah tak sabar-sabar nak tahu. You tukarlah baju dulu. I bawakan you air," kata Ernieza.
            "Any juice with iced, please. Dahaga betul. Kejap ye, darl," Shamsul meminta diri.
Suaminya kesayangannya itu ke bilik untuk menukar pakaian. Ernieza pula ke dapur untuk mengambil minuman untuk Shamsul. Selepas menuang jus guava dan beberapa kiub ais ke dalam gelas kaca, dia menunggu Shamsul di sofa di ruang tamu. Suaminya  muncul beberapa minit kemudian dengan wajah yang kelihatan basah dan nampak segar.
            "Ceritalah sayang," pinta Ernieza.
            Shamsul tersenyum dan duduk di sebelahnya.
            "Darl, you lapar tak?"
            "Tak berapa lapar. Kalau nak keluar makan, kita keluar lewat sikitlah," jawab Ernieza.
            "I pun sama. Tadi I dah makan mi goreng dengan Firas. Haih, dua hari berturut-turut I makan mi goreng kat gerai seberang jalan kat office dia," rungut Shamsul.
            Ernieza tersengih.
            "Nak buat macam mana kan? Kita terpaksa all out. So, macam mana sayang? Apa kata Firas?" soal Ernieza dengan mata yang bersinar. Hatinya sudah tidak sabar-sabar lagi. Ernieza ingin sekali tahu apa yang berlaku!  
            "Firas kata Khyra tak suka dia."
            Mata Ernieza membuntang.
            "Khyra cakap macam tu ke?"
            Shamsul mengangguk dengan sengihan sinis.
            "I pun tanya soalan yang sama. Entahlah... Firas kata, Khyra tak cakap apa-apa. Tapi katanya dia tahu yang Khyra tak suka dia." 
            "Macam mana dia tahu kalau Khyra tak kata apa-apa?" soal Ernieza, curiga.
            "Entah," Shamsul menjungkitkan bahu. "I pun hairan. Tapi Firas kata dia yakin yang Khyra tak suka dia," sambung suaminya lagi.
            Ernieza mengeluh.
            "Entah-entah dorang membisu je semalam. Lepas tu buat andaian sesuka hati," kekesalan itu diluahkan.  
            "Yang tu mungkin. Memang susah kalau dua-dua pemalu dan pendiam. Tambah lagi, si Firas tu memang keras kepala dan hati batu," ujar Shamsul.  
            "Sama je dengan Khyra. Kuat berangan tapi pendiam. Lebih suka pendam perasaan. Haih, susah betullah dorang ni," rungut Ernieza.
            "Darl, Firas kata Khyra yang bayar bil makan semalam," ujar Shamsul.
            Terbeliak mata Ernieza. Kata-kata Shamsul mengejutkannya.
            "What?! Kenapa Firas biarkan? Biar betul?!" 
            "Bengong kan? My bro memang sengal, darl! I pun tak terkata masa dia cerita kat I. Memang super sengal! Ada ke patut, first date biarkan awek yang belanja. Tapi Firas kata, dia tak sengaja. Khyra laju sangat pergi kaunter dan terus bayar."
            Ernieza menggeleng kesal.
            "This is a bad news. Really a bad news! Khyra dah lah suka lelaki romantik! Ish, payah-payah," hatinya berasa susah. Impian Ernieza semakin kabur. Hatinya berasa geram dan hampa.  
            "Darl, I dah cakap dari awal. Firas memang tak romantik langsung. Hati batu gitu. Tapi you nak sangat kenalkan dengan Khyra," Shamsul mengingatkannya.
            "I tahu tu sayang. Tapi, Firas tu handsome. Engineer pulak tu! Rugi kalau dapat kat orang lain. Dah lah Khyra tu tak reti nak approach orang. Adik sepupu I tu mana pernah bercinta!" 
            Shamsul tersengih.
            "Habis macam mana? You dah tanya Khyra belum?" 
            "Belum," Ernieza semakin hilang keyakinan.
            "Tanyalah. Call her."
            "Entahlah. Macam takde mood."
            "Relakslah darl," pujuk Shamsul. Jari-jemari Shamsul menyentuh tangannya. Digenggam tangan Ernieza penuh mesra. "Okeylah, I ada sedikit berita baik. Hopefully you boleh senyum sikit."
            "Apa?"
            "Walau pun I rasa malam tadi adalah dating disaster untuk mereka berdua, tapi ada yang positifnya."
            "I tak nampak pun the positive side," keluh Ernieza.
            "Ada darling."
            "Apa?"
            "I tanya pada Firas, dia suka tak dengan Khyra?"
            "Apa Firas jawab?"
            "Lama dia berfikir tau, darl," suaminya tersengih.
            "Okey, then?"
            "Dan dia jawab `entah’."
            "Tak positif pun," Ernieza terus mengeluh.
            "Positiflah tu! Si hati batu tu, kalau tak suka dia direct cakap tak suka. Ini... Dia siap berfikir panjang sebelum jawab! Lepas tu pula jawab macam tak berapa pasti. Maksudnya, Firas memang suka kat Khyra!" jelas Shamsul teruja.
            "Ye ke?" Ernieza masih meragui kata-kata suaminya. Keningnya berkerut dan terjungkit.
            Shamsul tersenyum sumbing dan mengangguk.
            "100 peratus, I yakin." 
            "Hmmm... Masih ada harapanlah ni?"
            "Iya. Dengan syarat Khyra pun suka Firas. Baru kita boleh fikir langkah seterusnya. Eh, sengal betullah Firas ni, ada ke kita pulak yang kena fikir untuk dorang," ujar Shamsul, ketawa kecil.
            "Memang macam tulah sayang. Harapkan dorang, memang tak jalanlah. Kalau macam tu, I call Khyra. I tanya dengan dia. Ke lebih baik I jumpa dia sendiri ye?" persoalan itu diutarakan dengan pandangan ke arah Shamsul, menunggu pendapat daripada suaminya. 
            "I rasa lebih baik kalau you jumpa dia berdepan. Senang you nak pujuk. Esok kalau you lapang, set lah lunch date dengan cousin you tu," cadang Shamsul.
            "Baik juga tu. Okeylah,  I whatapps Khyra," balas Ernieza dengan wajah yang agak puas, seraya jari-jemarinya menaip aksara-aksara pada telefon bimbitnya.

            - Salam Khyra.
            + Ya Kak Ernie.
            - Esok lunch dengan akak boleh?
            + Ok. Di mana?
            - Kafe Anggerik.
            + Ok. Akak tunggu di sana?
            - Ya. Pukul 1.
            + Ok. Pukul 1.
            - Jumpa esok.
            + Ok kak.

No comments:

Post a Comment