Wednesday 30 December 2015

Balang Cinta (Bab 5) ~ Wizana Emilia

 Nasi goreng ayam di Kafe Anggerik itu memang menepati citarasa Khyra. Sudah beberapa kali dia memesan menu yang sama sewaktu makan di kafe ini. Rasa pedas, manis dan masin nasi goreng tersebut menambat selera. Ayam gorengnya pula, rangup, garing dan berempah.
            Namun fikiran Khyra tidak tertumpu di situ. Sejak malam tadi, dia berasa terganggu. Fikirannya teringat akan pertemuannya dengan Firas. Setiap kali mengingati Firas, setiap kali hati Khyra berasa sedih.
Khyra pasti, Firas tidak sukakannya. Penolakan demi penolakan yang diterima, membuatkan Khyra terus kecewa. Jika tidak kerana Ernieza, dia tidak mahu berkenalan dengan sesiapa jua pun. Khyra tidak peduli sekiranya memang sudah takdirnya untuk terus bersendiri sampai bila-bila.
            Khyra tidak pasti sama ada dia sukakan Firas atau pun tidak. Yang dia pasti, sebelum ini beberapa kali hatinya pernah terpaut kepada insan yang bergelar lelaki. Kali pertama Khyra jatuh hati semasa di alam persekolahan menengah. Jejaka yang berjaya mencuri perhatiannya bernama Syed Rafiki.
            Lelaki itu sebaya usia dengannya dan merupakan pelajar popular di sekolah. Syed Rafiki adalah ketua pengawas di Sekolah Menengah Seafield. Mereka berada di dalam tingkatan yang sama. Justeru, mereka bersua muka pada setiap hari. Namun sehingga tamat persekolahan, tidak ada apa-apa yang berlaku di antara dia dan Syed Rafiki. Hanya Khyra yang bertepuk sebelah tangan. Sedangkan... Syed Rafiki tidak cintakannya.
            Kali kedua Khyra jatuh hati, sewaktu menuntut di UiTM Shah Alam. Hatinya terpaut kepada rakan sekuliahnya, Aminuddin. Namun, nasib tidak menyebelahinya. Kali ini juga dia kecewa. Aminuddin seolah-olah tidak nampak akan kehadirannya. Lelaki itu memilih rakan baiknya Sufiah sebagai teman wanita. Maka, sepanjang tiga tahun pengajian, Khyra terpaksa menyaksikan kemesraan Aminuddin dengan kawan baiknya.
            Kali ketiga pula, cinta di tempat kerja. Hatinya tertawan dengan majikannya sendiri. Bermula dengan mengagumi, hatinya berasa semakin sayang terhadap lelaki itu. Ya, Khyra jatuh hati terhadap Dato’ Iskandar. Namun, kali ini situasinya berbeza. Tidak seperti cintanya terhadap Syed Rafiki dan Aminuddin.
            `Cinta tidak semestinya memiliki...'
            Ya, bezanya kali ini, Khyra tidak berhasrat untuk memiliki hati majikannya itu. Tidak mengapa jika Dato' Iskandar tidak menjadi miliknya. Khyra tidak berharap tinggi. Cukup sekadar setiap hari, dia dapat melihat senyuman dan wajah majikannya itu. Sudah memadai untuk menceriakan sepanjang harinya. Cukup sekadar Khyra tahu yang dia tidak akan kehilangan Dato' Iskandar. Tentunya... Jika tidak memiliki, bermakna sampai bila-bila pun dia tidak akan kehilangan Dato' Iskandar.
            `Firas?’ hatinya berbisik.
            Suatu nafas yang berat kemudiannya dilepaskan. Ada suatu perasaan sukar yang terbuku di jiwa. Suatu perasaan yang mengganggunya.
            Khyra tidak pasti sama ada dia sukakan Firas atau pun tidak. Cuma, hatinya terasa sebal apabila teringat wajah Firas. Begitu jelas betapa Firas seakan terpaksa duduk semeja dengannya. Beberapa kali Khyra cuba menatap wajah dan merenung mata Firas. Namun, balasannya adalah hampa. Firas melarikan pandangan mata. 
            Senyuman Firas juga amat pahit dan tiada gulanya. Wajah Firas tidak ikhlas dan kaku. Malah, Firas membiarkan sahaja Khyra pulang malam tadi. Tanpa menahan atau meminta Khyra menunggu lebih lama.
Hati Khyra terasa sedih dan pedih. Dia tahu siapa dirinya jika dibandingkan dengan jurutera itu. Khyra hanyalah seorang setiausaha. Manakala Firas terlalu sempurna dan boleh mendapatkan mana-mana perempuan pun!
            ’Kacak dan sombong!’
            Hati Khyra terus terdetik sedih.
            `Kenapa mesti sombong?!'
`Dan kenapa setuju jumpa dengan aku?
            "Akak sebenarnya ada perkara nak tanya Khyra," kata-kata Ernieza menyentakkan dari lamunan.
            Khyra berpaling memandang wajah Ernieza.
            "Hmmm.. Tanyalah kak," ujarnya, lembut.
            Ernieza tersenyum.
            "Macam mana date night dengan Firas hari tu?"
            `Huh!'
Sudah dijangka, kakak sepupunya akan membuka juga bicara tentang pertemuan tempoh hari dengan Firas.
Ligat fikiran Khyra memikirkan jawapan unuk diluahkan.
            "Macam tulah kak," lemah Khyra menjawab akhirnya.
Wajahnya ditundukkan, garpu dan sudu ditangannya menguis-nguis nasi goreng di dalam pinggan. Seleranya tiba-tiba menjadi tumpul.
            "Okey tak Firas?" soal Ernieza lagi.
            Khyra melepaskan keluhan yang berat.
            "Dia tak suka saya kak," jawabnya, jujur.
            Ernieliza merenungnya tajam. Terasa seperti wajahnya ditikam dengan pisau bertubi-tubi.
            "Firas cakap ke yang dia tak suka Khyra ?" 
            Berat. Sungguh berat untuk diperjelaskan kepada orang lain. Tiada kata yang dapat menggambarkan apa yang telah berlaku.
            "Tak," geleng Khyra.
            "Habis tu? Macam mana tahu dia tak suka Khyra?"
            Air liurnya ditelan pahit.
            "Kak, kan kita boleh tahu kalau orang tak suka kita?"
            Ernieza menggeleng.
"Tak semestinya Khyra."
`Mengapa Kak Ernie tak boleh nak faham?!' Hati Khyra mengeluh kecewa.
            "Tapi, boleh nampak kak!" balas Khyra yakin. "Dia memang tak suka saya!" sambungnya lagi.
            Kening Ernieza berkerut.
"Setahu akak, Firas sukakan Khyra."
            Kening Khyra pula berkerut. Dia mula menggeleng ke kanan dan ke kiri. Tidak mungkin Firas sukakannya!           
            "Tak mungkin Kak Ernie!" Tajam wajah Ernieza direnung.
"Kenapa Khyra  rasa macam tu?"
"Kak... Dia macam terpaksa je makan malam dengan saya. Tak bercakap sangat pun. Macam.. Hmmm... Macam sekadar nak habiskan masa!" luah Khyra dengan nada sayu. Hatinya kembali tersentuh mengingati wajah Firas yang kaku dan tiada ekspresi.
            "Firas tu pemalu..." 
            `Pemalu?!'
Khyra berasa teramat hampa. Kakak sepupunya itu mencurigai dirinya dan berpihak kepada lelaki yang angkuh itu.
            "Pemalu sekali pun... Takkanlah sampai susah nak senyum pada saya?! Saya pun pemalu kak! Tahu tak betapa susahnya saya cuba kawal perasaan malu saya ni? Walau pun susah, saya  senyum juga pada dia. Tapi dia? Kak... Dia buat muka toye je! Macam nak suruh saya balik cepat. Bila saya bangun, dia tak kata apa-apa pun!" jelas Khyra lagi, melontarkan hujah-hujah yang konkrit.
            "Lain orang lain caranya Khyra. Tapi akak tak tipu, Firas memang suka pada Khyra," ujar Ernieza tidak sudah-sudah dengan nada penuh keyakinan.
            Daripada berasa kecewa, Khyra mula berasa marah dan hairan. Marahkan Ernieza yang seolah-olah lebih tahu dan hairan mengapa beria-ia benar kakak sepupunya itu mempertahankan Firas.
            "Mana Kak Ernie tahu?"
            Senyuman sinikal bermain di bibir Ernieza.
            "Firas cakap pada Abang Sham," balas Ernieza.
            Entah sudah berapa kali Khyra menggelengkan kepala.
            "Macam susah nak percaya."
            "Betul... Takkanlah abang kau nak tipu? Fakta: Firas memang suka pada kau dik," tegas Ernieza.
            Khyra tersenyum tawar. Kata-kata Ernieza umpama angin lalu yang meniup pipinya dan berlalu pergi.
            "Kalau betul dia sukakan saya, suruh dia telefon saya," jawab Khyra, hambar.
            "Betul ni? Khyra beri Firas peluang?" 
            "Iya," berat kepalanya mengangguk. "Tapi, saya nak dengar sendiri dari mulut dia."
            "Bila Firas boleh call?"
            "Bila-bila... Apabila dia serius dan bersedia."
            "Jadi, Khyra  memang suka Firas kan?" soal Ernieza, menduga hati.
            Soalan yang begitu berat untuk dijawab. Bimbang sekali disalah tafsir.
             "Entah," ringkas jawapan Khyra dengan bahu yang dijungkit ke atas.
            Namun, jawapan sepatah itu sudah cukup membuatkan Ernieza tersenyum.
            "Terima kasih Khyra," ucap kakak sepupunya dengan gembira.
            "Jawab `entah’ pun akak gembira," gerutu Khyra. Dijelingnya Ernieza dengan jelingan sindiran.
            "Mestilah! `Entah’ tu pun dah cukup baik. Akak tahu yang Khyra sukakan Firas. Kan dik, kan...." ujar Ernieza.
            Khyra mengeluh.
            "Okeylah kak. Saya tak boleh lama-lama. Pukul 3.00 ni saya ada mesyuarat."
            "No problem. Jap ye, sikit je lagi akak nak habiskan Kuey Tiow ni," balas kakak sepupunya, ceria.
            Khyra hanya mengangguk sambil menyedut minuman sodanya.

            `Kalau betul dia sukakan aku, dia perlu berterus-terang. Aku dah bosan berteka-teki. Bosan!’ detik hati Khyra, geram.    

No comments:

Post a Comment